Sunday, January 27, 2013

Dari Perkongsian Kepada Perkongsian.....


Assalamu’alaikum wbt,

Alhamdulillah kerana masih diberi peluang untuk hadir ke Usrah Tautan Hati 5 yang diadakan di Masjid Jamek Saad Abi Waqqas, Gombak pada beberapa minggu yang lepas. Untuk entri kali ini aku terlambat update (kerana sibuk dengan aktiviti-aktiviti & keje-keje kat ofis), dan sekadar copy dari sebuah perkongsian seorang hamba Allah di laman Facebook kerana aku tak sempat untuk menyalin output-output dari usrah tersebut.  Inilah dikatakan 'Dari Perkongsian Kepada Perkongsian'. Huhuhu...

-----------------------------------------------------

Usrah dimulakan dengan Tadabbur surah An-Nas.......

"Sebik-baik kalam, adalah kalam Allah"

Surah An-Nas adala surah terakhir dalam Al-Quran dan merupakan surah ke 114..Surah yang diturunkan selepas hijrah..Kak Ha juga kongsikan kenapa surah At-Taubah tidak dimulakan dengan Basmalah adalah kerana Surah At-Taubah surah yang bermula dengan celaan Allah dan diturunkan semasa peperangan. 
Kak Ha juga kongsikan Asbabul Nuzul surah An-Nas dimana surah An-Nas surah yang sangat dekat dengan suasana akhir zaman.
Diriwayatkan Ibn Abbas dan Aisyah RA, peristiwa Yahudi menyihir Rasulullah SAW dan turunnya kedua surah serentak (Surah Al-Falaq dan An-Nas) tatkala Rasulullah SAW balik dari Hudaibiah dalam bulan Zulhijjah tahun tujuh hijriah. 
Setelah selesai perang Khaibar maka datanglah ketua-ketua Yahudi bertemu seorang tukang sihir Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq, bertujuan untuk melakukan sihir ke atas Rasulullah SAW. Dengan kerjasama daripada seorang budak Yahudi yang juga khadam nabi, mereka telah mencuri sikat rambut Nabi beserta rambut yang terdapat pada gigi sikatnya.. 
Bersama bahan-bahan tersebut dibuat patung berupa Rasulullah SAW daripada lilin, lalu ditikam dengan dua belas bilah jarum dan disimpul dengan dua belas ikatan. Maka ditakdirkan, Rasulullah SAW pun terkena sihir selama 6 bulan..Pada suatu hari ketika Nabi SAW tidur maka datanglah dua malaikat, seorang di kepala dan seorang di kaki. 
Malaikat 1 : Apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini?
Malaikat 2: Thabb.
Malaikat 1: Apakah Thabb itu?
Malaikat 2: Sihir.
Malaikat 1: Siapakah yang menyihirnya?
Malaikat 2: Lubaid Al A’sham, orang Yahudi.
Malaikat 1: Dengan apa disihirnya?
Malaikat 2: Sikat dan rambut yang gugur.
Malaikat 1: Di manakah sihir itu diletakkan?
Malaikat 2: Dalam bungkusan daun tamar di bawah batu besar dalam telaga keluarga Zarwan. 
Rasulullah SAW tersedar dari mimpi dan berithu kpada Aisyah tentang penyakit yang dideritainya.'La A'lamul Ghaibu - Aku tidak tahu benda ghaib kecuali apa yang diwahyukan kepadaku' 

Dalam konsep perubatan Islam, berdasarkan pada hadis Nabi, pengamal perubatan Ialam sendiri tidak tahu perkara ghaib.
"Sangkaan Tak Jadi rujukan" 
Kemudian Rasulullah SAW mengutus Saidina Ali, Saidina Zubir dan Ammar ibnu Yasir pergi ke telaga tersebut. Sesampainya di sana, mereka kemudian menemui ‘bungkusan berikat’ tersebut lalu mereka mengambil dan mengeluarkannya dari telaga itu, seterusnya bungkusan berikat itu disampaikan pada Rasulullah SAW..Pada bungkusan tersebut terdapat dua belas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum..Kemudian Rasulullah membaca ‘Surah Mu’awwidataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada Baginda dalam mimpi semalam..Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut (Surah Al-Falaq & Surah An-Nas), terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdirNya, Rasulullah dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas dari belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh Baginda yang kemudiannya beransur hilang. 
"BISMILLAAHI YUBRIIKA, WA MIN KULLI DAAIN YASYFIIKA, WA MIN SYARRI HAASIDIN IDZAA HASADA, WA SYARRI KULLI DZII 'AININ (Dengan (menyebut) nama Allah yang menciptakan engkau, Dialah yang menyembuhkan engkau dari segala macam penyakit dan dari kejahatan pendengki ketika mendengki, serta segala macam kejahatan pandangan makhluk yang bermata)" 
Tahukah Kawan-kawan? (Hehe..tiru buku buah hati Kak Ha) : 
~Kata-kata An-Nas (manusia) diulang sebanyak 5 kali
~Allah memerintahkan kita berlindung kepadaNya daripada pelbagai rupa bentuk kejahatan.
~Ayat 1-3, Allah perintahkan berlindung kepadaNya.
~Sifat Malik Allah menjadikan semua manusia berasa tenang..Allah Pencipta dan Penguasa dan semua makhluk.
~Ayat 4-5 Allah mengajar manusia berlindung dari bisikan syaitan yang bersembunyi. 
Dari Ibnu Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda: 
“Setiap orang di antara kalian telah diutus untuknya seorang qorin (pendamping) dari golongan jin.” Para sahabat bertanya, 
“Termasuk Anda, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, 
“Termasuk saya, hanya saja Allah membantu ku untuk menundukkannya, sehingga dia masuk Islam. Karena itu, dia tidak memerintahkan kepadaku kecuali yang baik.” [HR. Muslim] 
Jangan sesekali kita takut kepada syaitan, jin dan iblis. Kerana kita ada Allah dan persiapkan diri kita agar syaitan, iblis dan jin gentar dengan kita seperti Saidina Umar yang ditakuti oleh jin, syaitan dan iblis. Dekatkan diri dengan Allah. 
Slot terakhir UTH 5 adalah GAME, kami diminta untuk membuat bulatan ukhuwwah oleh Kak Ha dan diminta untuk mengira menggunakan tiga bahasa iaitu melayu, inggeris dan arab. Ternyata kami tidak boleh menyebut dengan laju. Tetapi apabila Kak Ha meminta kami untuk menyebut secara perlahan, kami mampu menghabiskan. Kak Ha nak sampaikan di sini, kalau kita terlalu cepat membaca al-Quran, main langgar ja hukum tajwid, kita tidak akan faham makna tetapi apabila kita membaca dengan tertib dan penuh penghayatan, kita akan dapat rasakan maksud disebalik apa yang kita baca..

 [SUMBER: FB_Usrah Tautan Hati – gombak ]-sumber original tanpa sebarang pengubahsuaian struktur ayat.


P.s: Kak Ha = merujuk kepada Ustazah Fatimah Syarha, yang lebih mesra dan sangat senang menggelarkan dirinya dengan panggilan tersebut. (^^,)
----------------------------------------------------------

Sekian sajalah perkongsiannya, cuma ingin menambah sikit, usrah juga diselitkan dengan perkongsian pengalaman daripada beberapa orang ahli kumpulan tentang pengalaman kejadian sihir yg pernah dialami samada oleh mereka sendiri/ahli keuarga/rakan-rakan. Semoga Allah memberi kefahaman yang tinggi, ilmu yang diberkati dan hikmah yang bijaksana kepada kita semua. Juga kepada hamba Allah yang sudi berkongsi output-nya di laman Facebook tersebut, semoga ukhti dirahmati, dilindungi, dan diberkati Allah SWT.  Aamiin Allahumma aamiin~


Tuesday, January 15, 2013

Dialog Sebabak: Serba salah


Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,



Ini dialog di antara Si Aku dan Si Hati. 

Aku: Serba salah. Inilah perasaan yang sering kali menganggu kenteraman jiwa. Aku berjalan-jalan disekitar ibu kota, aku terlihat anak-anak muda khususnya kaum hawa. Mereka orang islam. 

Hati: Macamana kau tau mereka tu orang islam? 

Aku: Sebab mereka bertudung. Dan, kerana itu juga aku kecewa. 

Hati: Eh! Kenapa nak kecewa? Mereka bertudung tu kira baik lah. Mereka islam. Bukankah umat islam tu bersaudara?

Aku: Ya. Disebabkan itu juga aku risau dan serba salah. Rasa berdosa pun ada.

Hati: Pelik.

Aku: Baiklah. Aku akan huraikan satu persatu. Aku kecewa, kerana mereka orang islam dan bertudung tetapi tidak menutup aurat sepenuhnya. Pakai baju ketat, jeans ketat, tudung pula singkat, bling-bling..warna striking...tu semua tabarujj. Boleh menarik perhatian kaum lelaki. Mereka tak pakai stokin. Mungkin mereka tak faham sepenuhnya tentang konsep menutup aurat dengan sempurna.

Yang kedua; aku risau dan serba salah. Aku risau jika aku dikatakan sebagai selfish. Ya, aku sedang berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna kerana tidak mahu menempah azab di neraka. Namun, aku hanya mampu melihat kaum-kaum sejenis ku menempah azab neraka kerana aurat mereka. Umpamanya, aku je yang nak masuk syurga. Ahli keluarga, rakan-rakan, dan sahabat-sahabat lain macama mana pulak? Huhuhu...Patutkah aku membiarkan ia berlaku? Jika tidak patut...bagaimana harus aku lakukan? Inilah perasaan serba salah dan berdosa. Aku juga risau jika nanti ditanya oleh Allah SWT tentang tanggungjawab aku terhadap muslim yang lain? Huhuhu.....Apa pendapat kau hati? Apa kita nak buat sekarang?

Hati: Hemm....? *Terdiam seribu bahasa. Si Hati cuba meminta pendapat dari Si Akal pula*  

(....bersambung. InsyaAllah)



P/S: Jika suatu masa nanti, kita disoal oleh Allah SWT tentang tanggungjawab kita sesama muslim yang lain. Kalian dah ada jawapan?


Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: 
 "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya." - [Hadis riwayat Bukhari]
"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."  [Surah As-Saff, ayat: 2-3] 

Tuesday, January 1, 2013

Harapan 2013.....




Assalamua'alaikum wbt,


Alhamdulillah. Blog entri yang pertama di awal tahun Masihi 2013. Syukur ke hardat Ilahi kerana masih mengurniakan kudrat berupa akal yang baik dan tubuh badan yang sihat. Ingin aku kongsikan di sini sedikit coretan ringkas. Hermm... kali ni bukanlah tentang azam tahu baru cuma sedikit harapan. Kenapa bukan azam ek?



Oh, sebabnya 'azam' bagi seorang muslim sejati adalah pada setiap hari, bukan pada waktu-waktu yang khusus sahaja. Tiap-tiap hari, ketika bangun pagi-pagi, sematkan azam untuk menjadi lebih baik, melakukan hal-hal yang baik, menambah & memperbaiki amalan serta mengurangkan (minimumkan) perbuatan yang boleh mendatangkan dosa. Itulah cara/ gaya hidup Islam. Ia bersifat menyeluruh, bukannya khusus. 



Cuma harapan, ia agak berlainan sedikit bagi aku. Harapan adalah keinginan untuk mendapat hasil yang baik pada masa-masa akan datang. Contohnya, harapan aku untuk tahun 2013, aku ingin aktif dalam badan-badan amal & kebajikan. Supaya ia dapat menjadi saham diakhirat kelak. Aku ingin rajin menuntut ilmu, supaya aku tidak hanyut dengan gelora akhir zaman yang menuju ke pulau Jahiliyyah. Inilah antara harapan yang ingin aku laksanakan, semoga ia menjadi kenyataan.


Tahun 2012 dan juga tahun-tahun sebelumnya, sememangnya perjalanan tahun-tahun itu telah men-tarbiahkan diri aku sendiri. Di awalnya, ia bermula dengan kekosongan jiwa, keresahan, kesesatan, kesedihan. Namun, ketika ini aku beroleh kemanisan, kelapangan, dan keindahan iman. Allah SWT lah yang memberi suluhan cahaya hidayah. Dia-lah yang menjawab segala persoalan yang terperuk di minda yang sempit. Dia-lah yang mencelikkan mata hati untuk mengenal agamaNya. Ya, hanya Dia. Ketika aku mencari-cari manusia untuk melepaskan segala rasa, hanya cinta-Nya yang hadir mengetuk sanubari membawa aku bangkit untuk sujud di sejadah. Ber-uzlah di hening malam. Menadah tangan, memohon bimbingan dengan air mata berlinangan. Syukur pada Allah yang memberi peluang untuk aku merasai kemanisan iman dan tidak sesekali aku kesali tentang musibah jiwa yang melanda. Inilah hikmah disebalik semua yang berlaku. Kalau tidak, masakan aku akan menulis blog entri seperti ini?


Tahun 2013, masih dalam perancangan dan pengetahuan-Nya. Bagaimanakah ia nanti? Itu aku tidak mahu persoalkan. Aku cuma ada harapan. Dan harapan yang paling utama untuk setiap waktu yang ada adalah harapan untuk menjadi penghuni syurgaNya. Sekian saja coret-moret untuk pembukaan tirai 2013. Semoga kita semua dilindungi, dirahmati, diberkati, diberi rezeki, diberi petunjuk & hidayah, diberi kefahaman dalam ilmu agama, diberi peluang merasai kemanisan iman serta diberi arah untuk menuju ke Jannah. InsyaAllah~



Masa berlalu...

Tanpaku menyedari...
Aku bersyukur diatas segala kebaikan,
Aku bersyukur diatas segala ujian dan dugaan,
Tahun 2012 penuh dengan keinsafan, pengajaran dan pelajaran,
Kini tinggal kenangan dan pengalaman,
Perjalanan tahun 2013 masih di dalam pengetahuan-Nya,
Semoga kita semua diberi perlindungan, 
Diberi petunjuk & hidayah,
Diberi peluang membuat kebaikkan,
Demi menuju perkampungan akhirat,
Yang sudah pasti Jannah yang kita harapkan...

InsyaAllah
~ ♥



Monday, December 31, 2012

Bekerja - Kerana Apa?




Assalamua’alaikum  wbt,

Pernahkah kalian dengar atau mengalami dialog dibawah?

“Aku malas la nak buat overtime, macam la company nak bayar aku lebih,”
“Fed-up aku dengan company ni, bonus punyalah payah nak kasi, nak cari keje lainlah!”
“Buat apa aku nak tolong keje dia? Bukan ada kena mengena dengan keje aku pun…huh!”

Aku percaya, kepada kalian yang berkerjaya pasti pernah mendengar atau mengalami situasi seperti dalam dialog tersebut. Dan aku sendiri tidak menafikan, terkadang aku juga tersasar dari matlamat utama, pernah juga beberapa potong dialog di atas terdetik di hati . Namun itulah fitrah lahiriah seorang makhluk yang bernama ‘manusia’. Tidak terlepas daripada melakukan khilaf . Astagfirullahal’adzim~

Baiklah, kali ini aku ingin berkongsi sedikit kefahaman yang bersangkut paut dengan dialog tersebut. Oh ya..kalian tahu apa hubungkaitnya? (Kalau tahu angguk, kalau tak tahu senyum je….ok? )

Ianya berhubungkait dengan matlamat utama dan keikhlasan dalam melakukan perkerjaan. Dalam bahasa mudah yang merangkumi maksud keseluruhannya iaitu –NIAT.

Apabila kita bergelar seorang ‘pekerja’ (tak kiralah di syarikat apa pun atau bekerja sedirian berhad) PERTAMA: Kita Tanya pada diri sendiri…Apa matlamat dan tujuan aku bekerja ni?  KEDUA : Untuk siapa aku bekerja?
KETIGA: Ganjaran apa yang aku nak setelah penat bekerja?

Jawapan bagi yang PERTAMA: Of course…majority akan jawab. Aku bekerja kerana nak menyara keluarga dan diri sendiri, nak bayar hutang, nak beli kereta, untuk kestabilan hidup, nak jadi orang kaya, nak jadi bos…dan bermacam-macam jawapan yang bersifat duniawi.

Jom kita tengok jawapan yang KEDUA:
Aku bekerja untuk company la..Aku bekerja untuk diri aku sendiri..aku bekerja untuk bos aku  jek..bos lain tak masuk korum okey!

Jawapan untuk yang KETIGA pulak:
Sudah tahu bertanya pula…sudah tentulah aku nak bonus lebih! Aku nak kenaikkan gaji tiap-tiap tahun. Aku nak bos puji aku lebih dan semua orang respek aku. Aku nak dapat ‘Anugerah Pekerja Terbaik’ dan bermacam-macam lagi jawapan yang ala-ala angkuh gitu….huh!

Baiklah, aku akan huraikan satu persatu apa hubungkaitnya ketiga-tiga jawapan tersebut dengan dialog diatas?

Dialog-dialog diatas terjadi kerana ianya berpunca daripada niat dan matlamat yang tidak tepat.  Kalau ditelitikan daripada jawapan-jawapan yang diberi. Ternyata  jelas kesemuanya adalah bersifat duniwai semata-mata. Kemana letaknya akhirat? Di manakah Allah di dalam hatinya?

Kebanyakkan manusia yang menuturkan dialog-dialog tersebut kerana kurangnya kesedaran terhadap kebergantungan hidup. Hidup hanya disandarkan kepada matlamat dunia. Bila tak dapat bonus atau gaji tak naik mulalah menyalahkan kompeni. Bila disuruh buat kerja lebih masa, muncung terus ditarik dan mengeluh-ngeluh. Tahu tak kenapa itu boleh berlaku? Pernah tak kalian fikirkan tentang Allah Yang Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Pemberi Rezeki? Tahukah kalian, siapa pemberi rezeki yang utama? Kompeni kah? Manager kah? CEO kah? Dan tahukah kalian siapa CEO yang paling utama?

Haa..ce try jawab…kalau tahu senyum je. Alhamdulillah~

Kalau kita bekerja dengan niat kerana Allah dan meyakini bahawa Allah itu Maha Melihat setiap perlakuan dan gerak-geri serta Allah itulah pemberi rezeki maka, tidak sekali-kali kita menuturkan mahupun terdetik di hati dengan dialog-dialog tersebut.

JANGAN merungut kalau kamu belum dinaikkan gaji. Mungkin usaha mu belum cukup. (Allah Maha Mengetahui dan Dia-lah Pemberi Rezeki. Bukan Manager, bukan CEO atau syarikat kamu. Mereka-mereka ini cuma medium untuk Allah menyalurkan rezeki kepada kamu. Ingatlah! Tanpa izin Allah, dan Allah mengatakan itu bukan hak mu atau rezeki mu, maka kamu tidak akan memperolehinya.)

JANGAN mengeluh bila terpaksa bekerja lebihan masa. Mungkin kamu telah mencuri-curi masa kerja mu dengan aktiviti peribadi. Jadi Allah memberi lebihan masa untuk kamu menebus masa kerja yang kamu curi. Amanah dalam bekerja itu punca keberkatan rezeki. (Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui)

JANGAN malas-malas jika ada rakan sekerja minta bantuanmu. Mungkin Allah mahu memberimu extra pahala dengan membantu orang lain. (Allah Mengetahui apa yang diniatkan di dalam hati hamba-hamba Nya.)

JANGAN mengutuk/ mengata berlebihan jika ada bos  atau rakan sekerja yang tidak kamu senangi. Mungkin Allah mahu menguji tahap keimanan mu dan anggaplah ia sebagai satu medan tarbiah dalam kehidupan. (Allah mencipta manusia dengan pelbagai ragam dan perilaku)

JANGAN rasa tersinggung atau sedih jika hasil usahamu tidak dihargai mahupun mendapat pujian. Kerana mungkin Allah ingin mengajarmu tentang erti ‘keikhlasan’.

Jadikanlah medan pekerjaan adalah medan mengumpul saham pahala. Sematkan  di dalam hati bahawa bekerja kerana inginkan ganjaran pahala. Tiada sebaik-baik ganjaran daripada pahala melainkan Allah memberi bonus berupa syurga di akhirat kelak. Pujuklah hati dengan yakin kepada firman Allah :

...Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.
[Surah Al-Baqarah, ayat: 212]

Dan berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui. [Surah Al-Ankabut, ayat: 60]

Jika matlamat pahala dan akhirat menjadi tunjang niat ketika bekerja, sudah pasti kita akan berasa bahagia, senang sentiasa dan rajin bekerja. Biarpun tiada bonus yang banyak, biar pun tiada pujian manusia, biarpun terpaksa bekerja lebihan masa, seandainya ada sifat bersangka baik dengan Allah, semua itu tidak akan menjadi masalah yang mengoncang jiwa. Asalkan masih ada kehidupan, itu sudah cukup bermakna. Masakan kita mahukan harta dan kemewahan tanpa kehidupan yang bahagia? Huh!  Mustahil!

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu,
yang kamu hendak dustakan? [Surah Ar-Rahman]

Oleh itu, jom kita bekerja dengan hati yang senang dengan meyakini  Yang Maha Pemberi Rezeki dan anggaplah kita bekerja kerana CEO yang paling utama iaitu –ALLAH SWT!

Muhasabah untuk diri ku juga diri mu….


Aku Kagum.....



Aku kagum...
Kagum melihat muslimah solehah,
Yang sentiasa bermujahadah,
Melawan  hawa nafsu tanpa aurat yang mendedah,

Aku kagum...
Kagum melihat pemuda soleh,
Menuntut ilmu dengan gigih,
Mencari cinta Ilahi untuk diraih,
Bukan cinta duniawi yang ditagih,

Aku kagum..
Kagum melihat anak-anak muda belia,
Yang berjiwa agama,
Yang memikirkan akhirat melebihi dunia,


Melihatkan mereka..
Aku kagum bercampur cemburu,
Cemburu melihat kecekalan mereka,
Berusaha untuk menjadi soleh dan solehah,
Untuk menjadi pemuda pemudi pewaris ulama,

Sedang aku tertanya-tanya..
Di manakah aku ketika seusia mereka?
Lalai dengan manusia kabur dek cinta dunia,
Akhirat dicampak entah kemana,
Hilang...
Tiada arah lalu ku berserah..
Mencari cahaya, ku sujud di sejadah,
Menangis berlinang, lalu tangan ku tadah,

Kini aku kagum,
Kagum dengan kasih sayangNya,
Yang akhirnya menunjukkan aku arah,
Untuk menuju ke Jannah,

Allahuakhbar...Allah Maha Besar!
Alhamdulillah~



Thursday, December 20, 2012

Letakkan Allah Dalam Hatimu....




Assalamu’alaikum wbt,

Alhamdulillah kerana masih diberi peluang untuk hadir ke Usrah Tautan Hati 4 yang diadakan di Masjid Jamek Saad Abi Waqqas, Gombak.  Tajuk usrah kali ini adalah Di Mana Allah ku? Dan tafsir surah yang akan di ulaskan adalah Surah Al-Insyirah/ Al-Sharh.


Terjemahannya :
  1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?
  2. Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) –
  3. Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
  4. Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
  5. Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
  6. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
  7. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
  8. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

Ulasan:

Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Baginda SAW, diantaranya melapangkan dadanya untuk menerima hidayah dan petunjuk dijalan yang betul. Meringankan beban tugas Baginda SAW dalam menyiarkan Islam, dengan diberi-Nya pelbagai kemudahan dalam melaksanakannya. Allah SWT juga telah meninggikan sebutan nama Baginda SAW  dengan mengurniakan kepadanya pangkat dan berbagai kemuliaan.

Allah SWT memberi semangat dan harapan dengan menegaskan:
“Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Untuk menghapuskan sebarang perasaan berputus asa yang kebiasaannya terdapat dalam kalangan manusia semasa menemui jalan buntu, lalu Allah menegaskan sekali lagi :
“(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan!”

Maka, hendaklah kita sebagai hamba-Nya yakin kepada ayat ini kerana ianya ada penegasan dari Tuhan yang telah menciptakan kita dan seluruh alam ini. Seharusnya kita terus berusaha dan tabah hati serta berserahlah (bertawakal) kepada Allah semata-mata. Ingatlah, Allah tidak memungkiri janjinya dan jika merasa kesusahan berpeganglah pada surah ini.

Kesusahan itu hanya seketika, sedangkan ganjaran pahala itu kekal untuk dibawa ke syurga~



Topik yang seterusnya, adalah tentang Persahabatan dan Ukhuwah.

Apa yang aku dapat konklusikan, persahabatan @ ukhuwah yang terjalin atas dasar kasih sayang kerana Allah itu lebih kekal dan berpanjangan. Kerana Allah itu bersifat kekal. Berbanding jika kita menjalinkan sesuatu hubungan itu kerana harta, kecantikkan wajah, kerana tinggal dikawasan yang sama, kerana dalam kumpulan yang sama, maka jalinan ukhuwah juga berisiko untuk rapuh dan menjauh. Ini kerana, kesemua sebab yang disenaraikan tadi adalah sebab-sebab yang rapuh yang mana ianya tidak kekal kecuali Yang Maha Esa-Allah SWT.

Berkata Ibnu Qayyim :”Cinta itu akan hilang bersama hilangnya sebab”

Ustazah juga berkata, “Sebab yang rapuh akan menjadikan ukhuwah itu rapuh, tetapi jika sebab itu kukuh akan menjadikan ukhuwah itu kukuh.”  Jadi, apa sebab yang kukuh? Cuba tanyakan pada diri sendiri, ‘Aku berkawan dengan dia kerana apa?’ Aku mencintai dia kerana apa?’ Aku berkasih sayang dengan dia kerana apa?’ Aku bersahabat dengan dia kerana apa? 
Kemudian kita ada dua pilihan, nak perhubungan kita kekal selamanya atau sementara? Nak Allah redha atau berukhuwah sambil buat dosa? Fikir-fikirkanlah yang mana terbaik untuk dikumpulkan sebagai mata ganjaran (pahala) menuju ke syurga.

Dan Ustazah mengatakan bahawa umat islam itu bersaudara. Ini kerana Allah ada menegaskan dalam surah Al-Hujurat ayat,10 : “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”


Antara tips bersahabat/berukhuwah:

  • Sebarkan salam tidak kira dimana jua.
  • Luahkan rasa sayang dengan mengatakan : “Saya sayang awak kerana Allah”
  • Saling memberi hadiah (give & take) atau bersedekah (senyum pun boleh..senyum kan salah satu daripada sedekah)
  • Saling menziarahi untuk menunjukkan bahawa kita menyayanginya kerana Allah.
  • Wajah berseri yakni sentiasa mempamerkan senyuman. Kerana senyuman mampu menjadi penawar hati.
  • Saling bantu-membantu dalam melakukan kerja amal dan ibadah (iaitu semangat jihad dan melakukan ibadah bersama-sama)
  • Dan, apa yang paling PENTING adalah  bersikap husnoz zhon iaitu bersangka baik diantara satu sama lain.


Dalam menjalinkan ukhuwah dan mencari sahabat, carilah sahabat yang baik yakni baik dari segi akhlak dan agamanya supaya dia sentiasa mengingatkan kita kepada Allah SWT dan menyedarkan/menegur kita jika kita terleka dan lalai dengan dunia. 

Ada perumpamaan mengatakan, ‘Sahabat yang baik umpama penjual minyak wangi yang mana wangiannya akan melekat pada pakaian kita. Manakala sahabat yang tidak baik umpama si tukang besi yang mana bau asapnya akan melekat pada pakaian kita dan tidak mustahil percikkan apinya juga akan mengenai kita.’

TETAPI,

Ianya bukanlah bermakna kita terus meninggalkan rakan-rakan yang kurang agama dan akhlaknya. Seelok-eloknya, kita cuba untuk mendekati mereka dengan membawa mereka kembali kepada fitrah iaitu kepada jalan yang diredhai Allah SWT. Gunakanlah ilmu yang diperolehi dengan penuh berhemah dan hikmah, agar mampu menguatkan kembali jiwa-jiwa mereka yang lemah.  Berkasih sayanglah kerana Allah, agar jalinan ukhuwah kekal abadi hingga ke bertemu di Jannah!


Letakkan segala niat adalah kerana Allah. Kerna jika kita disakiti 

kita akan mampu tersenyum dan tenang kerana yakin akan 

ganjaran syurga dan kasih sayang Allah kepada kita.



Jika Allah selalu bersamamu, maka siapa yang harus engkau takuti? Sebaliknya, jika Allah menjadi musuh mu, maka kepada siapa engkau akan berharap?

[Buku La' Tahzan |Dr.'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni]



“Iman tanpa amal soleh umpama software tanpa hardware”  
– Ustazah Fatimah Syarhah


Sedikit perkongsian foto si cilik bakal Ustazah dan muslimah solehah (^^,) InsyaAllah~

"Nak tolong pegangg.." -kata si kecil (Baiknya dia...)

Ustazah dan anak sulungnya yang petah :)

Jangan kacau...tangah fokus ni! 

Ada gaya!

Sekian saja perkongsian untuk kali ini.  Salam ukhuwahfillah abadan abada! Semoga bermanfaat  &  semoga Allah redha~



Sunday, December 9, 2012

Terima Kasih, Ya Allah!


Assalamualaikum w.b.t,

Beberapa minggu  yang lalu, tiba-tiba je  terdetik dan terniat di hati untuk join kumpulan usrah. Entah kenapa terasa macam teringin sangat. Lalu hati pun berdoa,”Ya Allah, mudah-mudahan suatu hari nanti aku akan dapat join  mana-mana kumpulan usrah”  Kemudian, hati bermonolg lagi, ”Hemm..nak pergi dengan siapa? Siapa la yang nak ajak aku join kumpulan usrah ni?” Hati terus bermonolog dengan harapan yang tak pasti.

Namun, Allah SWT itu Maha Mendengar, Maha Mengetahui dan Maha Pengasih. Suatu hari, aku lihat notification di Facebook. Aku check satu persatu. Kemudian, bola mata tertancap pada satu  notification yang bertulis ‘USRAH TAUTAN HATI 3’, “Wah..macam menarik!” Lalu, aku terus membukanya dan mendapati ada seorang teman di ofis mempelawa aku untuk join usrah ni.

Allahurabbi…masa ni rasa macam….Eh? Betul ke dia ajak aku ni? (Sebab, memang sepanjang hidup belum ada orang yang ajak aku pergi usrah, kalau ajak  pergi dengar program ceramah tu ade la..) Alhamdulillah! Dengan izin Allah, kami berdua dapat hadir ke program usrah tersebut di Masjid Jamek Saad Abi-waqqas, Gombak, KL pada 6.Disember.2012 walaupun pelbagai dugaan untuk sampai ke situ.

Yang paling menarik dan amat-amat teruja….apabila Allah mengabulkan pula niat hati untuk bertemu face-to-face  dengan hamba Allah yang seorang ni. Beliau adalah naqibah pada hari itu. Selain itu juga, beliau adalah seorang penulis buku motivasi islamik dan fiqah yang terkenal. Nak tau siapa?

Jeng-Jeng-Jeng…..





Tada!


Ustazah Fatimah Syarha

Subahanallah. MasyaAllah. Tak tau macamana nak ucapkan rasa syukur dan berterima kasih pada Allah. Rasa macam mimpi pun ada. Alhamdulillah kerana dipertemukan dan bersalaman dengan beliau di dalam majlis ilmu yang dikelola oleh beliau sendiri. Pada pandangan aku, beliau seorang yang lemah lembut tetapi tegas dalam kata-katanya. Senyumannya yang tidak lekang dibibir. Ucapannya yang memberi pelajaran dan doa. Subhanallah, sungguh cantik dan solehah makhluk ciptaanMu ini.

Terima kasih juga kepada teman ofis yang sudi mempelawa. Sememangnya Allah telah memilih kamu sebagai pengantaraan untuk mengabulkan niat hati ini. Alhamdulillah. Semoga nanti kita dapat hadir lagi ke majlis ilmu yang penuh keberkatan ini.

Okey. Back to the topic!

Di dalam usrah tersebut, Ustazah Fatimah Syarha telah mengupas tentang terjemahan surah Ad-Dhuha dan kemudiannya mengulas tentang masalah kesedihan atau keresahan yang sering dialami oleh manusia. Tertarik satu quote dari slide beliau iaitu; ‘Jangan jadi hamba kepada kesedihan’. Seterusnya, beliau menerangkan tentang ‘8 penyakit fitrah yang boleh menjadi fitnah’.  Nak tau? Baiklah..


Ustazah mengupas tajuk ini daripada doa bebas dari hutang :


“Ya Allah aku berlindung dari kesusahan dan kedukaan, dari lemah kemahuan dan rasa malas, dari sifat pengecut dan bakhil, dari belenggu hutang dan tekanan manusia.”

Penyakit yang sentiasa menjadi faktor kesedihan, kemurungan dan keresahan hati manusia itu terdapat dalam doa ini. Oleh sebab itu, Nabi SAW mengajar kita doa ini supaya terhindar daripada 8 penyakit tersebut, iaitu:-

  1. Al-Hammi : Kesedihan kepada perkara yang belum berlaku lagi.
  2. Al-Hazal : Kesedihan kepada perkara yang sedang/telah berlaku.
  3. Al-‘Ajzi : Lemah kemahuan
  4. Al-Kasali : Malas
  5. Al-Jubni : Takut/ pengecut
  6. Al-Bukhli : Bakhil
  7. Gholabatit daini : Belenggu hutang
  8. Waqohril rijal : Tekanan manusia

Jadi, mari kita hafal dan amalkan doa ni ye.

Sekarang, nak share pula tentang ulasan tafsiran surah Ad-Dhuha.

[1] Demi waktu dhuha,
[2] Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
[3] (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
[4] Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
[5] Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.
[6] Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
[7] Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?
[8] Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
[9] Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
[10] Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
[11] Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

Sebelum turunya surah ini, wahyu telah terhenti dalam satu peringkat masa yang singkat. Kejadian ini menyebabkan junjungan kita Nabi Muhammad SAW berdukacita, dan kaum Musyrik yang menentang Baginda mengambil kesempatan dari peristiwa itu untuk menuduh bahawa, “Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan membencinya.”

Maka Allah SWT turunkan ayat ini untuk memberi semangat kepada Baginda supaya janganlah dihiraukan tuduhan-tuduhan musuh Islam kerana Allah Ta’ala tetap menolongnya dan menjadikan kesudahan perjuangannya lebih baik daripada peringkat awalnya. Bahkan Allah akan memberinya kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Akhirnya Baginda redha dan berpuas hati.

Rumusannya,  jika kita berada didalam kesedihan atau berasa dukacita ingatlah bahawa Allah SWT itu sentiasa ada bersama kita. Janganlah malu atau sombong untuk mengadu segala masalah dan keresahan jiwa kepadaNya sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mendengar dan paling hampir dengan kita. Walaupun, ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW, ianya juga adalah ditujukan kepada kita kerana Baginda menjadi contoh utama kepada umatnya.

Okeylah, sekian saja perkongsian dari Usrah Tautan Hati 3 yang di ketuai oleh Ustazah Fatimah Syarhah. InsyaAllah, jika diberi peluang lagi untuk hadir ke usrah yang seterusnya, aku akan kongsikan kat blog ni.

P/s: Kalut punya pasal….sampaikan pen dan buku nota pun tak bawak. Nasib baik ada henpon, boleh la jugak taip sikit-sikit apa yang sempat ditaip. (Time tu risau jugak kalau-kalau ustazah ingat aku sibuk ber-SMS huhuhu....maaf ye ustazah~) Teringat pulak kisah Imam As-Syafie yang menulis menggunakan jari telunjuk kanannya pada tapak tangan kiri kerana tidak mempunyai alat tulis ketika menghadiri kelas Fiqah yang diajar oleh Imam Muslim Al-Zanji.

Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat – Imam As-Syafie

~Alhamdulillah~