Sunday, September 17, 2017

Kepulangan Ahli Syurga?




14 September 2017 | Khamis – satu tarikh yang menggemparkan seluruh manusia di bumi Malaysia. Peristiwa yang berlaku pada tarikh ini memberi kesan yang mendalam kepada setiap jiwa yang mengetahuinya. Termasuklah aku!


Pusat Darul Quran Tahfiz Al Ittifaqiyah, Keramat KL (Sumber foto: Google)

Berita mengesahkan 24 orang huffaz di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berusia sekitar belasan tahun bersama dua orang ustaz, maut dalam satu kebakaran pada awal pagi iaitu beberapa minit sebelum waktu Subuh. Kemudian, tular sebuah video yang sempat dirakam ketika kebakaran itu berlaku. Paparan video itu menambahkan lagi rasa sebak di dada. Kelihatan api yang kian marak diselangi jeritan suara anak-anak kecil meminta tolong. Malangnya, tiada siapa yang mampu dan terdaya untuk membantu kerana api semakin marak. Menurut berita, hanya ada beberapa orang sahaja yang sempat terjun ke bawah itupun dalam keadaan melecur dan cedera. Keadaan berterusan sehinggalah azan Subuh dan bantuan pun tiba. Namun, tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan para huffaz. Allah...sayu hati.

Kemudian, tular pula beberapa keping gambar selepas api berjaya dipadamkan dan unit forensik serta polis sudah mula mengambil alih untuk siasatan. Bab ni, aku tak mahu cerita lebih. Memang menyayat hati. Kalau ikutkan tak mahu tengok, tapi keinginan melebihi segala rasa. Maka 'tertengok' lah jugak. Huhu. Maaf gambar-gambar tersebut terlalu sensitif dan tak boleh kongsikan kat sini.

Okeylah. Disini, bukan aku nak share tentang berita ni semata-mata. Sebab, aku tahu kebanyakkan 90% rakyat Malaysia lebih arif tentang kronologi kejadian yang berlaku. Malah ada yang lebih 'pakar' daripada pakar forensik, pakar siasatan, doktor dan sebagainya. Entahlah, macam-macam spekulasi di buat. Paling tak best, bila ada pihak yang membuat provokasi sehinggakan ada segilintir orang Islam sendiri memberi pendapat supaya 'tutup pusat tahfiz di Malaysia'. Ada pula yang sibuk menyalahkan pengetua sekolah tahfiz tersebut. Ouhh! Mentaliti apakah ini? Tak kisahlah apa sekalipun reaksi emosi kalian, tetapi gunalah bahasa yang baik dan hormatilah musibah yang sedang berlaku.

Sebenarnya kan...apa yang berlaku ni, jika kita pandang dengan mata akhirat, tentu kita lebih memikirkan hikmah. Adakah ini berlaku tanpa adanya kuasa yang mengizinkannya berlaku? Come on...kita orang Islam, mana Allah di hati kita? Jika Allah tidak izin, maka ia tidak akan berlaku. Dan, adakah ini berlaku kerana Allah ingin mengzalimi? Tidak! Tentu ada sesuatu yang Allah nak sampaikan dan yang paling utama, Allah nak bagi sesuatu yang paling berharga kepada kita semua dan lebih berharga kepada keluarga para huffaz yang syahid. Jika kita lihat dengan mata kepala, tentu seperti tiada apa-apa. Tetapi, lihatlah dengan mata hati, InsyaAllah sesuatu itu kau akan temui...

Ini yang aku nak cerita apa yang aku telah temui dan dapat melalui hikmah kejadian...

Pada petang Jumaat lebih kurang jam 4 petang, aku ingin pulang ke pejabat selepas minta izin keluar sekejap atas urusan tertentu. Seperti biasa, aku akan melalui jambatan motorsikal yang menghadap ke arah kawasan Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah (RS), Gombak yang terletak di seberang jalan. Ketika aku menaiki jambatan tersebut, aku lihat ramai anak-anak muda memberhentikan motor mereka di atas jambatan dan mereka seperti sedang melihat sesuatu. Apakah???

Dengan semangat inkuiri yang tinggi, aku pun berhenti juga. Aku cuba menjengah ke bawah dan menyoroti pandangan mata mereka. Rupa-rupanya mereka sedang asyik melihat sesuatu di RS. Oh ya! Pada ketika itu barulah aku teringat bahawa beberapa jenazah daripada pelajar tahfiz yang syahid itu akan dikebumikan di RS petang ni (itupun aku dapat tau daripada rakan pejabat).


Maka, tanpa membuang masa, aku melencong daripada niat asal untuk pulang ke pejabat. Lalu, aku membelok motor ke arah pintu masuk RS yang sebelum ini aku hanya melihat dari jauh (sebab setiap hari, memang inilah laluan aku untuk ke pejabat). Dan, inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke RS. Aku lihat kiri kanan jalan masuk di pintu utama sudah mula dipenuhi dengan deretan kereta. Dari jauh, kelihatan beberapa buah khemah empat segi berwarna putih sudah siap dipasang. Ketika aku mula masuk di pintu utama, aku terhidu bau wangian. Sangat wangi dan suasana cukup tenang walau ada cahaya matahari. Aku lihat pula di langit, ada beberapa gumpalan awan kelabu memayungi di tempat pengkebumian. Uniknya, sekumpulan awan-awan itu hanya berada tepat di kawasan lubang-lubang yang di gali, sedangkan di bahagian kanan langit masih ada cahaya matahari. Aku berkata dalam hati yang mula diterjah rasa sebak, "Ya Allah, adakah begini kepulangan ahli syurga?". Dengan rasa sayu, aku meneruskan perjalanan ke dalam dan menghampiri kawasan pengkebumian. Setibanya aku di kawasan pengkebumian, jenazah masih belum tiba. Kelihatan orang semakin ramai membanjiri kawasan RS seolah-olah sedang ada pesta. Tak kiralah siapa pun, baik yang tua, yang muda, anak-anak kecil. Tak terkecuali Mufti Wilayah – Dr. Zulkifli Al Bakri, juga para alim, para asatizah dan selebriti-selebriti tempatan. Kumpulan wartawan daripada pelbagai agensi penerbitan turut mengambil tempat untuk lokasi liputan masing-masing. Keadaan pada waktu itu, seperti sedang menunggu ketibaan Sultan. Yang bestnya, siap ada orang jual makanan dan minuman lagi. Seriously, dah macam ada pesta. Sepanjang hayat aku tak pernah lagi hadir ke majlis pengkebumian yang dimuliakan seperti ini. Allah....!





Kehadiran aku di majlis pengkebumian para huffaz cilik ini, antara pengalaman yang amat berharga dan cukup memberikan kesan mendalam kepada hati nurani. Ia menyuntik keinsafan dalam diri dan memberi semangat untuk perbanyakkan amalan. Jelas disini, Allah ingin menunjukkan betapa janji-janjiNya untuk memuliakan orang-orang yang lidahnya basah dengan kalamullah adalah benar. Anak-anak yang syahid ini, hari-hari mereka diwarnai dengan pengisian Al-Quran malah sebahagian memori mereka juga dipenuhi dengan ayat-ayat Al Quran. Maka, apakah yang dapat menyangkal nikmat daripada Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang untuk mereka? Sedang kita bersedih mengenangkan apa yang berlaku ke atas mereka di dunia, roh mereka sedang berlari-lari di sisi Rabbul 'Alamiin. Mereka menuju ke syurga, InsyaAllah. Kemuliaan yang Allah berikan kepada mereka, kita dapat lihat pada suasana di majlis pengkebumian mereka. Orang ramai mengerumuni dan menanti jasad yang tidak hidup seolah menanti Sultan kesayangan tiba atau orang-orang kenamaan berstatus VVIP. Manakan tidak, mereka itu VVIP di sisi Allah. Berkat dan rahmat daripada Allah, ia menarik hati-hati manusia yang lalu di kawasan RS itu untuk singgah memberi penghormatan yang terakhir kepada jasad mereka.

(Sumber foto: Facebook Fsham M Zain)


Dr. Zulkifli Al Bakri - Mufti Wilayah 

Sepanjang aku berada di kawasan itu, hati tidak henti di hentam rasa sebak. Sebak atas dua perkara. Pertama, tentulah tentang musibah yang menimpa mereka. Kedua, sebak memikirkan kemuliaan yang Allah berikan pada mereka. Sedangkan di dunia mereka sudah dimuliakan sebegini rupa, bagaimanakah mereka di syurga? Allah....tak tergambar.


(Sumber foto: Facebook Fsham M Zain)

Aku tidak mahu cerita lebih panjang lagi, cukuplah aku ingin mengatakan, untuk sisa waktu yang ada di dunia ini, manfaatkanlah dengan sebaik mungkin. Mulailah pasang azam untuk perbanyakkan amalan. Bisiklah dan pujuklah hati untuk mendampingi Al-Quran setiap hari. Bacalah walau satu muka. Untuk lebih baik, usahakanlah menghafal mana-mana surah yang disukai. Biarlah walaupun pendek, asalkan ada lekat kalamullah di memori kita ini. Kelak ia akan membantu meringankan beban kita di alam akhirat. Tidak rugi bersahabat dengan Al Quran, kerana kelak ia turut bantu memberi syafaat kepada kita. Mungkin sekarang kita sukar nak percaya, tetapi tunggulah waktu itu tiba, jangan pula kita menyesal dan meratap hiba.


(Sumber foto: Facebook Fsham M Zain)

Ibrah (pengajaran) daripada kejadian ini, sebagai manusia, perlu untuk kita usaha melakukan apa yang terbaik. Tentang isu keselamatan dan sebagainya, mudah-mudahan ianya akan menjadi fokus utama dalam apa jua situasi dan tempat. Tidak hanya khusus pada sekolah-sekolah/pusat tahfiz, madrasah atau pondok sahaja. Kemudian, belajarlah menghormati suasana yang berlaku dengan kata-kata yang baik sesuai dengan imej diri sebagai seorang yang bergelar muslim. Dan ibrah dari sudut akhirat pula, dunia ini sementara dan semakin ke penghujung fasa akhir zaman. Usahlah tertalu sibuk mengejar material duniawi hingga terlupa mengaut segala material akhirat. Bimbang kelak akaun akhirat kita kosong (na'uzubillah min zalik) untuk dipersembahkan kepada Yang Maha Agung. Dialah Raja segala Raja. Maka ketika itu tidak dapat lagi kita menoleh ke belakang.

Sebagai penutup, setiap kata-kata nasihat dan peringatan dalam penulisan ini, tidak lain adalah untuk peringatan diri aku juga - si penulisnya. Aku cuma ingin berkongsi pengalaman dan rasa melalui hikmah yang Allah berikan. Ilham penulisan ini juga adalah dariNya (Alhamdulillah). Apa-apa yang baik, kutiplah, simpanlah dan kongsilah. Sekiranya ada kekurangan dan kesalahan, ampun maaf diucapkan. Semoga sama-sama kita saling mengingati dan berharap suatu masa nanti kita semua dapat berjiran di syurga abadi. Aamiin Aamiin Allahumma Aamiin~


Anak-Anak syurga. Al-Fatihah (Sumber foto: Google)


Al-Fatihah (Sumber foto: Google)




P.s: Segala yang diceritakan di dalam penulisan ini adalah pengalaman peribadi. Mungkin tidak sama dengan apa yang dilalui oleh orang lain, kerana lain orang, lain pandangan dan pengalamannya. Wallahu'alam.



Thursday, May 18, 2017

SIAPA KATA KITA TAK BOLEH JADI 'ABDULLAH' YANG TAAT?




Assalamu'alaikum WBT & Salam sejahtera,


"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang beriman dan selalu bertaqwa." 
[QS Yunus : 62-64]

Wali Allah. 
Siapa mereka ini?
Mereka adalah golongan yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menyerahkan seluruh kehidupannya hanya kepada Allah semata-mata. Mereka juga tidak berkehendakkan kepada dunia. Biarpun kehidupan mereka kelihatan sepi di mata manusia biasa tetapi ibadahlah menjadi hiburan dan kenikmatan buat mereka. 

Namun, adakah mereka ini sejak lahir ke dunia terus diangkat martabat menjadi wali Allah? Adakah mereka memberi gelaran 'wali Allah' itu kepada diri mereka sendiri?

Tidak kesemuanya. (Kecuali yang memang dipilih oleh Allah)
Mereka ini bukanlah sejak lahir diangkat darjat sebagai wali Allah. Malah mereka sendiri tidak mengetahuinya (walaupun perkara itu sudah di catat dalam takdir Ilahi). Jangan terkejut jika ada diantara mereka berasal daripada kelompok orang-orang yang pernah menempuhi jalan-jalan jahiliyyah, bergelumang dengan kelalaian dan maksiat. Namun, hidayah dan petunjuk Allah lah yang menyelamatkan mereka daripada terus lemas di dalam lumpur kejahilan. Hidayah itu lah yang membangkitkan kesedaran dan menyalakan api keikhlasan untuk menjadi hamba Allah yang taat.

Antaranya iaitu Abdullah bin Mubarak ; dia terlalu mencintai dan tergila-gilakan seorang wanita sehingga mengabaikan solat. Maka dari itu dia diberi petunjuk dan terus bertaubat. Begitu juga dengan Al-Fuzail bin Iyaz, beliau suatu ketikanya seorang ketua kepada kumpulan penyamun. Jika difikirkan, bagaimana seorang penyamun yang berpangkat 'ketua' itu boleh tersenarai sebagai wali Allah? Inilah dia kemahuan Allah. Dia memberikan hidayah kepada sesiapa pun yang dikehendakiNya. Dia juga berfirman, "....dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." [QS Yunus, ayat: 107] Itulah yang berlaku kepada Fudail bin Iyaz. Peristiwa dia merompak sekumpulan pedagang memberi keinsafan kepada dirinya lalu beliau bertaubat.

Inilah sekadar contoh yang boleh dikongsikan di sini. Jika ingin tahu lebih ramai lagi tokoh-tokoh wali Allah, bolehlah kalian dapatkan buku 'Himpunan Kisah Para Wali' terbitan Hijjaz Publishing. Sememangnya buku  ini memberikan banyak info tentang sejarah keperibadian para wali. Selepas membaca kisah-kisah di dalamnya, segala persepsi bahawa seorang wali itu memang sejak lahirnya warak dan alim akan disangkal sama sekali. Ini kerana, kebanyakkan daripada mereka adalah orang-orang yang insaf dan bertaubat dari dosa-dosa.

Tujuan penulisan ini bukanlah ingin menampakkan kelemahan para wali yang dimuliakan Allah. Aku sekadar ingin mengorek segenggam tarbiah. Dan bukan pula aku ingin mengajak kalian menjadi wali. Tidak. Kerana martabat wali itu bukanlah seperti mendapat pingat anugerah daripada sultan, ianya tidak kelihatan malah golongan itu sendiri tidak sesekali mengakui diri mereka sebagai wali. Penulisan ini adalah untuk menunjukkan bahawa, 'untuk menjadi hamba Allah yang taat, yang mukhlis ia tidak memerlukan syarat'. Ini bermaksud, tidak semestinya perlu memakai serban atau berpurdah, tidak semestinya wajib hafaz 30 juzuk Quran dan menjadi imam baru dikatakan taat. Kerana, hidayah itu akan menyapa kepada sasaran yang tepat dan segalanya bermula dengan niat. Niat walaupun tidak disusuli dengan amal itu adalah lebih baik daripada melakukan amal tanpa niat, kerana boleh jadi ia tersasar dalam perbuatan amalnya justeru menjadikannya tidak ikhlas. Tanpa keikhlasan, jangan bermimpilah untuk mendapat martabat sebagai 'wali Allah'. Kerana wali Allah itu orang yang ikhlas dalam ibadahnya dan sepenuh hati bertaubat daripada dosa-dosa lalu. 

Ambilah kisah-kisah para wali ini sebagai inspirasi buat kita manusia biasa. Walau kita ini pernah bergelumang di dalam lumpur kejahilan, itu tidak bermakna kita 'tidak layak' untuk menjadi baik, menjadi hamba Allah yang taat dan menjadi orang yang beramal dengan ilmu yang benar. Ingatlah kalian, bahawa Allah itu Maha Mengetahui isi hati hambaNya, penilaianNya lebih tepat berbanding manusia yang penuh kelemahan dan sering kali tidak adil. Usah pedulikan apapun jika kita sungguh-sungguh nak jadi baik disisi Allah. Teruskan berusaha selagi mana ada hembusan nafas. Terus saja bangkit jika terjatuh. Jangan pernah kita berhenti. Allah memandang kualiti usaha dan Dia melihat segalannya. Beribadahlah sepenuh hati dan bukan ingin meraih apa-apa gelaran, kerana gelaran itu kita tidak layak menyebutnya. Hanya Allah yang layak. Jika Dia mengkehendaki, Dia sajalah yang memuliakan hamba itu sehingga harum namanya menjadi sebutan para penghuni langit lalu tersebar keharuman itu keseluruh penduduk dunia. 


Wallahu'alam.

Sekian sajalah perkongsian kali ini. Jika ada kelemahan dalam perkongsian ini mohon diberikan teguran yang berhemah. InsyaAllah, sama-sama kita saling melengkapi. Semoga kita diberikan kekuatan untuk sentiasa berusaha menjadi 'Abdullah' (hamba Allah) yang taat. Aamiin Allahumma Aamiin...


"Dan  jika  Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." [QS Yunus, ayat: 107]





Saturday, January 21, 2017

Ahlan 2017 - Aku Belum Cukup Baik






Fuhhh~ Fuhh!  *Tiup habuk.

Ehh..! Maaf  tak perasan ada orang. *sengih*

Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,


Semoga sihat hendaknya. Alhamdulillah, Allah izin untuk kita sampai ke tahun 2017. Tahun demi tahun, semakin banyak jugalah koleksi kenangan. Ohh ya! Diri kita bagaimana? Jika bertambah baik dan ada peningkatan...syukur Alhamdulillah semoga terus istiqamah.

Dah lama aku tak update di blog ni. Sebenarnya, tak tahu nak tulis apa. Idea semakin malap.
Cuma, aku amat berharap permulaan tahun ini bermula dengan perkara-perkara yang baik-baik. Perkara yang akan membawa diri ke arah yang lebih positif.


Azam?
Ha Ha Ha...aku tiada azam berjela-jela. Azam aku sama setiap tahun. Iaitu 'INGIN MENJADI HAMBA ALLAH YANG BERTAQWA'. Azam ni memang takkan ada expired date. Sebab, takwa itu tak dapat diukur dengan mata kasar. Ianya melibatkan hati yang ikhlas mengabdikan diri pada Allah. Jika kalian tanya, habis tu siapa yang berhak menilai? Jawapannya, hanya ALLAH sahaja. 

Kerana kita manusia ni, tiada istilah 'sudah cukup baik'. Bagi aku usaha untuk jadi baik ni adalah usaha yang berterusan sepanjang hayat. Tak ada limit, 'Ohh..aku rasa tahun ni aku dah cukup baik dah ni..aku tolong orang..aku banyak join majlis-majlis ilmu...aku..bla-bla..bla!" Ni bukan nak jadi baik, tapi nak jadi riak. Na'uzubullah, semoga ia bukan kita.

Begitu juga dengan takwa. Mana ada manusia dapat menilai dan mengukur nilai takwa seseorang? Mungkinlah secara zahirnya, apabila kita melihat orang-orang soleh kita akan mengatakan mereka itulah orang yang bertakwa. Namun... sejauh mana ketakwaannya? Apakah nilai takwanya? 

Tiada manusia dapat menilai. Hanya Allah.


So...berazamlah sentiasa untuk menjadi orang bertakwa. Ia sebenarnya suatu latihan buat rohani untuk sentiasa keep remind dengan azam ni. 

Memang tak dinafikan, adakalanya kita terjatuh juga ke dalam lembah dosa. Apakan daya...kita manusia. Tapi jangan biar lama, bangun dan bersihkan kotoran itu. Dan BERUSAHALAH untuk menyucikan hati. Sebab Allah, nak lihat usaha kita untuk mendapat redhanya. Usaha itulah salah satu bukti bahawa kita mengaku yang kita hambaNya. 

Hm, jadi sama-samalah kita usaha untuk capai azam ni. InsyaAllah, pasang niat dan istiqamah. Disaat hilang daya kekuatan, maka angkatlah tangan mu, mintalah kekuatan pada Allah untuk terus beribadah kepadaNya. 

Okeylah, setakat ni dulu update. Semoga aku rajin untuk update write up akan datang. He he he ;P InsyaAllah.


SALAM TAHUN BARU 2017.


 

Sunday, June 12, 2016

Impikan Ramadhan Terbaik!



Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,


Di ketika aku menulis di ruangan ini, perjalanan hari sudah pun masuk hari ke 7 Ramadhan. Alhamdulillah, ternyata cepat masa berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah pun seminggu Ramadhan kita nikmati.

Bagaimana kita nikmati Ramadhan tahun ini?
Ini yang ingin aku ketengahkan. Ianya lebih kepada mengoreksi diriku sendiri yang masih cuba berusaha menghayati bulan yang barokah ini. Tahun-tahun lalu, jika aku flashback 5 tahun ke belakang, Ramadhan yang aku tahu hanyalah menahan lapar dan dahaga kemudian berterawih. Bila tiba 10 malam akhir Ramadhan, aku tahu ada Lailatul Qadr tapi pada masa yang sama aku lebih teruja dengan kemeriahan 'nak sambut raya'. 
Itu...kisahnya 5 tahun yang lalu. Cukuplah, biarlah ia sekadar itu.

Bila melihat diri kita dari pandangan masa lalu dan review life timeline kita sejak Ramadhan yang lepas hinggalah kini, APAKAH ADA PERUBAHAN DAN PENINGKATAN? 
DIRI KITA BAGAIMANA? SEMAKIN BAIKKAH ATAU SEMAKIN TERUK?
Ini perkara untuk dikoreksi.

Berbalik kepada aku. Jujurnya aku katakan, lewat aku memahami pengertian berpuasa ni. Kenapa aku katakan lewat? Kerana aku telah bazirkan bonus-bonus yang Allah bagi beberapa tahun yang lalu dengan begitu saja. Sebab itu, pada Ramadhan kali ini, aku cuba untuk berusaha menjadikan ia Ramadhan yang terbaik! Terbaik dari segi apa?

Dari segi memanfaatkan masa
Dari segi meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah
Dari segi penghayatan fikiran dan hati
Dari segi memperbaiki akhlak

Cukuplah selama bertahun-tahun dulu aku menikmati Ramadhan dengan kurang penghayatan rohani, kini aku ingin menghayatinya dengan sepenuh-penuh penghayatan. Ramadhan adalah madrasah buat jiwa insan. Di dalamnya ada pelbagai modus tarbiah. Ada juga beberapa ujian khusus bersama dengan gandaan markah bonus. Lulus atau tidak, kita akan tahu melalui perubahan diri kita selepas tamatnya Ramadhan. Kita dikatakan lulus dengan cemerlang jika amalan ketika di bulan Ramadhan kita teruskan pada bulan-bulan selainnya. Manakala akhlak kita semakin ada penambahbaikan. Mungkin sebelumnya kita seorang yang pemarah, setelah tamat Ramadhan kita menjadi orang yang tenang dan sabar. Kegagalan pula dapat dilihat jika amalan selepas tamatnya Ramadhan semakin berkurang dan kita meninggalkannya pada bulan-bulan lain. Manakala akhlak pula semakin buruk dan mungkin juga biasa-biasa saja (maksudnya tiada apa-apa perubahan).

Bisyr al-Hafi ditanya: "Ada segelintir orang yang hebat beribadah sepanjang Ramadhan. Namun setelah Ramadhan berakhir, mereka juga berhenti."
Beliau menjawab:"Seburuk-buruk orang ialah orang yang tidak mengenali Tuhannya melainkan semasa Ramadhan sahaja!"  [Miftah al-Afkar li Taahub li Dar al-Qarar]

Rugilah orang yang gagal. Apakah ertinya dia berpuasa dengan tidak memahami pengertian 'puasa' dengan sebenar-benarnya. Sia-sia menahan lapar dahaga tetapi hanya sedikit pahala dikutipnya. Semoga kita semua bukanlah dari golongan yang ini. InsyaAllah. Aamiin.

Kesan Ramadhan yang paling utama apabila diri kita semakin berTAKWA kepada Allah. Kerana, Ramadhan itu bulan membentuk jiwa supaya menjadi jiwa yang bertakwa kepada Allah. Inilah kesan yang terhebat. APA YANG PERLU KITA BUAT UNTUK MENDAPAT KENIKMATAN RAMADHAN?

Pertama, kita perlu lebih sibuk memikirkan ibadah daripada juadah.
Kedua, kurangkanlah hiburan dunia dan lebihkan hiburan akhirat - iaitu membaca dan mendengar ayat-ayat al Quran.
Ketiga, kurangkan bercakap atau berbual-bual lama tentang perkara-perkara yang tak penting lagi-lagi perkara berkaitan dengan sikap aib orang lain. Perbaikilah diri sendiri.
Keempat, bacalah buku-buku ilmiah. Sudah-sudahlah baca novel cintan cintun tu.
Kelima, sayangi masa dengan tidak 'menunggulkan' diri dengan menonton drama-drama Melayu yang banyak menyumbang kepada dosa mata dan fikiran.
Seterusnya....fikir-fikirkanlah mana-mana aktiviti yang dapat menambah pahala terutamanya bersedekah.

JOMLAH! kita sama-sama upgrade kualiti Ramadhan kita supaya kita lulus dengan cemerlang selepas keluarnya dari madrasah Ramadhan kerana kita sendiri tidak tahu apakah ada Ramadhan lagi untuk kita pada tahun mendatang. Sama-sama kita doa yang terbaik. Semoga berjaya!

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah maka dosanya di masa lalu akan diampuni.” [HR. Bukhari no. 38 dan Muslim no. 760]




Friday, May 20, 2016

AKU KER? WHY ME?


Assalamu’alaikum WBT & Salam Sejahtera,

20 MEI 2016 | 13 SYAABAN 1437H

Pejam celik pejam celik, kita semakin menghampiri Ramadhan 2016 bersamaan 1437H. Alhamdulillah kerana masih diberi peluang menikmati kehidupan. Syukur tak terhingga kepada Allah SWT atas banyak kurnianNya. Syukur juga kepada Allah atas hikmah dan tarbiah yang dikirimkanNya. Itu tidak lain hanya untuk menguji dan menambah ‘value’ insan disisiNya.

Aku.

Salah seorang daripadanya. (Mungkin juga kalian)

Ketika aku sedang menulis entri ni, aku membawa bersama hati yang ‘kegalauan’ (ini dalam bahasa Indonesia, bahasa Melayunya – kesedihan). Sungguh, ujian yang mendatang pada bulan mulia ini (yakni Syaaban) sangat menguji mental. Sekali lagi aku diuji dengan ‘sakit’nya dalam berukhuwah. Jika 5 tahun yang lalu, aku mengalami kemurungan dalam tempoh masa yang agak lama. Di ketika ini, aku merasakan seolah-olah ianya terjadi lagi. Sungguh ujian yang sukar!

Kenapa aku katakan ianya sukar?

Kerana aku adalah seorang penderita OCD. (Wahh! Apekebenda tuu??) OCD tu singkatan kepada Obssesive Compulsive Disorder. Ia adalah salah satu cabang penyakit dalam psikologi. Secara umumnya, ia adalah penyakit was-was dan kebimbangan yang melampau dan berlaku secara berulang-ulang. Penderitanya tidak dapat mengawalnya secara normal kerana faktor-faktor biologi yang tidak sempurna. Cehh ceh..korang faham ke tak ni? Buat-buatla faham ya..Ok, sambung -  OCD ada tiga kategori. Haih, dah macam entri kesihatan pula ya. Tapi tak apalah, ilmu untuk dikongsi, aku akan kongsikan serba sedikit tapi secara ringkas je la yer. Nak tau lanjut, sila ‘Googling’ :P Ok, sambung–

OCD ada tiga kategori:

1.       Washer – Ia lebih cenderung kepada kebersihan. Contohnya, basuh tangan berkali-kali, cuci pinggan berkali-kali walaupun dah bersih berkilat, pesakit akan melakukannya sehingga mereka rasa macam nak baling je pinggan tu ke dinding. (Ha Ha – seriously!)

2.       Checker – Pesakit kategori ni sangat bagus kalau jadi ‘Pak Guard’ (Ha-Ha) Sebabnya, pesakit kategori ni cenderung kepada hal-hal keselamatan dirinya atau orang-orang yang mereka rasa sangat penting dalam hidup. Mereka punya kebimbangan dan ‘caring’ tuh terlajak over! Contohnya, kalau mereka nak tidur, mereka akan periksa semua pintu, tingkap dan pastikan semuanya berkunci. Kalau pintu bilik, mereka akan check tombol pintu sampaikan tombol tu nak tercabut dibuatnya. (Ha-Ha – Seriously wehh!)

3.       Geometry – Pesakit kategori ni cenderung pada penyusunan dan kekemasan. Paling ‘annoying’, adakalanya mereka ni sangat-sangat cerewet dan yang bagusnya, mereka ni sangat superb teliti. So, hasil kerja mereka memang tip-top lah! (Tip-top selepas berperang dengan ketelitian melampau – uhuks!) Dan, boleh dikatakan mereka ni agak ‘skema’ sebab mereka akan ikut segala peraturan. Eh...jangan salah fikir. Bukan peraturan sekolah atau pejabat. Tapi, peraturan yang ada dalam dalam pemikiran mereka. Ini diistilahkan juga sebagai ‘Geometry Pattern Thinking’.

Ya, ‘Geometry Pattern Thinking’ (GPT). Aku salah seorang daripada kategori ini.

Sejujurnya, penyakit OCD yang menganggu hidup aku ni sangat memberi kesan kepada banyak segi. Pada mulanya, aku memang acuh tak acuh je bila dapat tahu tentang simptom-simptomnya. Sejak dari umur belasan tahun sehingga pertengahan umur 20-an aku dah menternak si OCD ni dalam diri. Aku mula tersedar dan mula ambil berat bilamana penyakit ni dah menguasai hampir 90% corak pemikiran aku. Pada asalnya, OCD hanya menganggu dari segi zahirnya sahaja seperti tingkah laku pengulangan perbuatan dan rasa was-was. Iyela...was-was kan ramai orang mengalaminya, so aku tak expect ia akan jadi lebih buruk. Bila aku kaji, was-was penderita OCD berbeza dengan was-was orang normal. Orang normal boleh control lagi, tapi OCDian tak dapat mengawalnya dalam masa yang singkat. Kesian...

Selain daripada gangguan dari segi perbuatan, aku sedari OCD mula menganggu corak pemikiran melalui ‘Geometry Pattern Thinking’. Segala perkara yang ada dalam otak semuanya siap disusun rapi. Complete set! Daripada A – Z. Dari hal yang belum berlaku hingga kononnya macam dah berlaku (actually belum berlaku pun, tapi memandai-mandai create sendiri). Yang sadisnya, syarat utama GPT ni (aku tulis singkatan je lah ye) setiap yang disusun tu kena WAJIB! berlaku. (WHATTTT!) Sekiranya tak berlaku, maka akan berlakulah konflik jiwa. Akan stress. Akan mengungkit-ungkit. Akan menyesal dan macam-macam lagilah. Penat wehh... Plus, dengan kebimbangan melampau dan IVT (Aisehh..apebenda pulak IVT?) IVT tu singakatan kepada Inner Vocal Tic juga salah satu gangguan dalam OCD. Dalam bahasa Melayu, ia dipanggil lintasan hati. Sering berlaku dalam solat atau sedang melakukan sesuatu yang memerlukan fokus. Tujuan ia adalah untuk membuatkan kita hilang keyakinan pada akidah. Dan, aku perasan yang IVT ni boleh muncul dalam pelbagai bentuk. IVT pandai ‘meniru’ nada suara hati kita. Ia akan mengatakan sesuatu yang boleh menganggu emosi dan mengecas corak pemikiran negatif. Maka, jadilah orang itu orang yang berfikran negatif. Jika dalam Islam, IVT tu adalah bisikan syaitan. Sebab tu, bagi penderita OCD muslim, disarankan untuk lebih dekatkan diri dengan Allah SWT. Jaga solat. Zikir harian dan selawat. Kalau boleh, jangan tinggal walau satu.

Pada diri aku pula, IVT seringkali mengatakan malah mendesak supaya aku jadi bimbang dengan sesuatu perkara. Padahal perkara tersebut belum pun berlaku dan tak pasti pun akan berlaku. Akibat kebimbangan melampau, aku bertindak atas apa yang di‘katakan’. Maka, terjadilah pelbagai kerumitan. Terutama dalam suatu hubungan (bukan coupling-coupling ehh...ni tentang ukhuwah - khususnya), sering kali berlaku ketengangan disebabkan ‘aku yang sukar untuk difahami’ dan aku sendiri sukar nak memahami diri. Kadang-kadang ia berlaku ‘undercontrol’. Bila dah bertindak, mulalah berlaku penyesalan. Akan keluarlah monolog-monolog dalam diri, “Kalaulah aku tak cakap macam tu...” “Kalaulah aku tak fikir camtu..” Kalau..dan kalau...!

Inilah salah satu ujiannya, akibat daripada IVT –OCD ni, berlakulah beberapa konflik. Ia sangat membuatkan aku kembali menikmati kemurungan. Mood makan pun terbang melayang (ada hikmah juga, boleh kuruskan badan He-He). Bohonglah, kalau aku kata aku tak menyesal dan tak ber’kalau-kalau’, bohonglah kalau aku tak bermandi hujan air mata, bohonglah kalau aku rasa macam nak masuk wad mental, bohonglah kalau aku rasa macam ‘useless’, rasa tak layak, rendah diri dan sebagainya. Inilah kejujurannya. Aku faham, sukar untuk orang normal (yang tak mengalami semua ni) faham apa yang aku alami. Kalian tak merasa betapa siksanya. Bohonglah kalau aku kata ujian yang sedang aku lalu ni tak menaikkan persen (%) OCD ni. Uhukks~ Bohonglah kalau aku tak pernah bertanya pada Tuhan, WHY? WHY? WHY ME??? Dan sehingga aku bertanya, HOW? HOW? HOWWW CAN I DOOO!  :’(

Sedih. Sedih bila mengenangkan diri sendiri. Orang-orang yang paling rapat pun tak faham sepenuhnya hal ni. Kerap juga aku dianggapkan sebagai ‘sengaja’. Seolah-olah aku gembira dengan semua ni. Gembira bila mana tercetusnya konflik. Ahh..adakah mereka fikir aku gila??  Allah...

Hanya Allah Maha Tahu.

Dialah Allah yang tahu segala keadaan ku. Dia mendengar setiap keluhan ku. Dia tahu aku nak sembuh dan normal seperti orang lain. Dia tahu aku kemurungan lagi. Dia tahu aku hilang semangat diri. Dia tahu, aku melalui perkara yang sama lagi (walaupun jalan cerita dan asbabnya berbeza, tapi rentaknya masih sama). Di bulan Syaaban yang mulia ni, aku diuji. Inilah yang aku nak highlightkan di awal-awal entri tadi. Jika dulu, aku melalui ujian dengan mencari segala kekuatan dan pada masa itu jugalah aku tekad untuk meninggalkan segala fasa jahilliyah dalam diri. Penghijrahan. Ketika itulah ia bermula. Sehinggalah aku menjadi seperti hari ini (tapi tak de lah baik sangat, jauh lagi nak jadi alim). So, aku kira aku berjaya melalui ujian dengan baik. Alhamdulillah. Malah, Allah hadiahkan pula dengan suasana yang lebih baik dan rakan-rakan yang solehah. Allah letakkan aku dalam kelompok mereka-mereka yang cintakan ilmu dan sentiasa mengingatkan diri kepada Allah. Dan, paling aku tak percaya sehingga hari ini, aku ex-jahiliyyah ni aktif pula dengan program-program keagaamaan hingga aku pernah beberapa kali menjadi sebahagian daripadanya AJK-AJK nya. Allahu...nikmat Tuhanmu yang mana kau ingin dustakan? :’)

Ternyatalah, ujian tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk upgrade value seorang hamba disisiNya. Klu untuk berjaya dalam ujian ni adalah KESABARAN, KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH, IBADAH SUNGGUH-SUNGGUH & DOA DENGAN YAKIN.  Aku harap, aku mampu lalui ujian ni dengan baik sepertimana dulu aku pernah melaluinya. Walau setiap hari bertemankan air mata, hati hanya berharap kepada yang empunya kekuatan. Allah rabbul ‘alamin. Aku tak tahu apakah hikmah ujian kali ini, tetapi aku (PERLU) yakin bahawa ujian ini memberi sesuatu yang baik. Mungkin, Allah nak bagi sesuatu yang lebih istimewa! Aku bersangka baik. Jika dulu, Allah upgrade aku daripada seorang dalam fasa jahiliyyah kepada yang lebih baik. Kini, apakah Allah ingin upgrade lagi kepada yang lebih-lebih baik?? :’) Allah...aku sedang cuba memujuk diri.

Sejujurnya, aku cuba mengheret hati dan berusaha untuk bangkit. Kalian yang sudi membaca sehingga ke perenggan ni, doa-doakanlah aku supaya jadi orang ‘normal’.  Er..i means, sihat mental dan fizikal, baik akhlak dan be more positive. High spritual. Dan, dikurniakan keteguhan iman.

P.s: Can’t wait for Ramadhan. Nak bercinta-cinta dengan Allah. Nak grab bonus-bonus yang ada. InsyaAllah. Allahumma balighna Ramadhan. Aamiin Allahumma Aamiin~


Okeylah, sekian saja perkongsian kali ni. Yang baik ambillah sebagai pelajaran, yang buruk kalian campak jauh-jauh ya. ;)

[Kalau nak tahu lebih lanjut tentang OCD dan IVT yang aku sebutkan diatas, bolehlah kalian jengguk kat sini http://husnuzzonloa.blogspot.com]



Saturday, April 23, 2016

Tamparan Seindah Mawar Berduri




Assalamu’alaikum WBT & Salam sejahtera,


Alhamdulillah. Sekian lama tak menjenguk ruangan bisu ini. Tentu pada zahirnya dah berhabuk tebal. Tapi tak apalah, aku cuma berharap ilmu dan perkongsian di ruangan bisu ini tidak terhapus dek zaman. Pada coretan kali ni, entah kenapa tergerak hati ini untuk berkongsi secebis rasa. Hmm, mungkin sekadar celotehan biasa-biasa. (Sebenarnya aku dah lama rindu nak menulis..uhukss!)

 [Straight to the point, sebab tak tahu nak tulis intro apa....huhu]

Seindah Mawar Berduri -  Inilah sebuah karya lama tetapi ia muncul semula dengan berwajah baru! Karya ni sangat evergreen. Ia telah diterbitkan pada  tahun 2009 oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka. Alhamdulillah, pada tahun ini, penulis telah berjaya mendapatkan hak cipta untuk menerbitkan semula  novel ini dengan tema baharu.  Novel ini, aku tidak pernah tahu kisahnya. Pada 2009, langsung aku tak pernah ambil tahu tentang wujudnya  novel ni, padahal pada waktu tu, novel ni antara novel yang ter’hot’ dipasaran. Hmm, mungkinla pada waktu tu, aku bukanlah penggemar bahan bacaan islamik.  Penulisnya pun mungkin aku tak berapa kenal. :p

Ketika saat ini, selepas aku menelaah setiap  isi penulisan barulah aku tahu kenapa novel ini evergreen  dan dicari-cari peminat novel islamik. Subhanallah, rupanya mereka kagum dengan keunggulan watak di dalam novel ini.  Khazinatul Asrar, seorang mujahidah, seorang role-model muslimah yang sememangnya layak menjadi ikutan muslimah zaman kini. Keperibadian Khazinatul Asrar persis sekuntum  mawar berduri yang mekar ditaman cinta Ilahi.  Muslimah yang sentiasa cintakan tarbiah dan dakwah. Misi dan Visi hanya untuk agama Allah. Cintanya bukan cinta suka-suka. Tiada istilah ‘couple-islamik’ di dalam prinsip percintaan sepertimana yang kerap dilafazkan oleh muda-mudi  ‘trend islamik’.  (Trend -  bermaksud ikutan, ia bukanlah budaya yang diamalkan dengan penuh penghayatan dan pemahaman).


Kagum dengan mawar berduri!

Aku kagum dengan watak Khazinatul Asrar dan juga rakan-rakannya. Sungguh jauh berbeza daripada diri sendiri. Aku terlalu banyak ketinggalan untuk menjadi seorang mujahidah demi menggapai cinta Ilahi. Terdetik juga rasa hati, andai dapat ku undurkan putaran dunia, aku ingin menjadi seorang ‘muslimah’ yang teguh berjalan menuju redhaNya. Aku ingin menyambung pelajaran di bidang agama. Aku ingin hafaz al-Quran dan hadis. Aku ingin fasih berbahasa Arab iaitu bahasa syurga. Aku ingin…..

Ahh..! Semua itu hanya keinginan yang sudah berlalu. Terkadang timbul rasa kesal kerana memilih jalan yang salah. Namun, jauh disudut penyesalan, hati memujuk dengan mengatakan itu semua takdir Tuhan. Segala yang berlaku sudah pastinya disulami hikmah yang baik.

Seindah Mawar Berduri -  betul-betul membuka mata hati untuk lebih usaha dalam perbaiki sahsiah diri. Bukan mudah menjadi muslimah yang bermujadahah, tetapi ia mudah dengan pertolongan Allah SWT. Novel ini sarat dengan tarbiah, hingga terkadang mengundang sebak didada lantaran menghisab kejahilan diri. Allahuu…

Akhir kata...
Semoga Allah berkati dan rahmati penulis novel ini iaitu Ustazah Fatimah Syarha.  Semoga beliau dilimpahi sebanyak-banyaknya kebaikkan atas setiap sumbangan ilmunya dalam bidang penulisan. Semoga ia mengalir menyuburi ladang pahala lalu diganjarkan syurga Firdausi. Aamiin…..


Sekian sajalah coretan kali ini. InsyaAllah jika dikurniakan ilham untuk menulis disini, aku akan kembali mencoret. 

Wassalam.

P.S: Berminat nak baca kisah mawar berduri? Boleh jengguk di laman web www.bukuonlineterbaik.com 

Sunday, August 30, 2015

Aku Bukan Nak WOW! Tapi aku......

Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,

Syukur kepada Allah SWT yang masih mengizinkan hambaNya ini mengerakkan jari jemari untuk terus menaip dan berkongsi kisah disini. 

Ada satu kisah...emm, tapi aku lebih senang mengatakan ia adalah satu perkongsian.
Ok, baiklah. Aku mulakan menaip bait-bait yang seterusnya ya....Bismillah.

Berada diposisi pekerjaan sebagai seorang pereka grafik bukanlah suatu impian malah bukan juga angan-angan. Aku hanya sangkakan ia adalah sekadar hobi di masa lapang atau ia sebagai platform untuk menjana pendapatan sambilan. Mendapat pula kepercayaan untuk melukis kartun, oh...ini hanya imaginasi ku di zaman awal 20-an dulu. Sebabnya dulu aku memang hantu dengan komik dan pernah berangan sekiranya aku menjadi seorang pelukis komik. Kawan-kawan yang mengenali juga amat menyokong jika aku memilih kerjaya sebagai pelukis komik atau dalam bahasa komersialnya pelukis illustrasi. Tetapi, itu bukanlah pilihan aku yang utama. Aku punyai cita-cita setinggi angkasa (kononnya).  Menceburi bidang penerbitan buku itulah antara keinginan yang sekian lama terperam dihati.  Alhamdulillah...Allah mengatur semuanya dengan rapi dan cantik sekali. Maha Suci Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.  Kini aku berada pada ketiga-tiganya, dalam kata mudah- aku seorang pereka grafik + pelukis illustrasi di sebuah syarikat penerbitan buku-buku islamik.

Bunyinya nampak seperti WOW! kan? Tidaklah!
Aku belum sampai ke tahap itu  malah aku tidak akan pernah hebat kerana kehidupan ini adalah proses tarbiah yang berterusan. Ada lagi Yang Maha Hebat! Dialah yang mengaturkan semua ini. Jadi, korang pujilah Dia. :)

Sebagai seorang pereka grafik amatur, aku diberi tugasan untuk menyiapkan buku yang pertama. Seram sejuk juga aku menerimanya. Maklumlah, ini kali pertama aku akan membuat reka letak untuk menghasilkan sebuah buku.  Ianya mencabar tetapi aku berani menyahut atas keinginan untuk terus belajar perkara yang baru. Yeahh! 

Buku yang perlu aku siapkan ni tajuknya.......errr rasanya aku tak boleh nak umumkan lagi kat sini. Biarlah ia suprisseeeee! Hanya satu perkataan je yang boleh aku taipkan disini iaitu......AYAM. Unikkan tajuknya? Tapi ini bukan keseluruhan tajuk. Hanya sekadar bagi poin je. Hehehe...

Sepanjang proses menyiapkan lakaran kartun sebagai penyeri buku, isi-isi kandungannya perlu dibaca dan difahami terlebih dahulu. Inilah yang ingin aku ceritakan....MENYIAPKAN BUKU INI SEPERTI AKU SEDANG MEMUKUL DIRIKU SENDIRI!!!! 

Aduhh! Kenapa....?
Seriously, jiwa ku lebam. Hati ku tersentap. Semangat ku terbakar. Terasa seperti dicubit-cubit halus. Aduhh..pedih bukan?? Ya, itulah yang aku rasai sepanjang aku menghayati setiap baris perkataan manuskrip buku tersebut.

Disebabkan teruknya aku dibelasah oleh penyampaian buku tersebut. Semangat untuk aku menyiapkan reka letak dan menjadikannya seperti sebuah buku semakin berkobar-kobar. Aku jadi tidak sabar. Sebab.....aku juga mahu korang dibelasah sama seperti aku. Hehehe... (jahat tak aku?) Tapi, bukan semua orang yang akan rasa seperti apa yang aku rasa. Hanya spesis-spesis orang seperti aku saja yang akan merasainya. Spesis apa ya?

Spesis kalau tido, pasang bom belum tentu bangun.
Spesis kalau tido, ayam berkokok disangkakan irama yang merdu.
Spesis kalau tido, bila alarm di henfon berbunyi, "Alaa...kejap lagila...5 minit!"
Spesis pekerja paling cemerlang dengan punch-card merah. Opss! Ha-ha-ha.....

Okey, sekarang korang pasti tahu kenapa aku harus dibelasah oleh penyampaian buku ni. Hm..senang cerita, buku ni adalah diantara buku yang terbaik untuk mereka yang bukan dalam kategori 'morning people'. Untuk mereka di kategorikan sebagai 'night people', bila mereka baca buku ni, mereka akan terangguk-angguk dan tersenyum sampai ke telinga. Setuju! -kata mereka.

Apa itu 'morning people' dan 'night people'

Nak tau yer......
Dapatkan buku yang bakal terbit ni ya. InsyaAllah, hajat doa semoga segalanya dipermudahkan dan diberkati Allah.  

Ok. Sekian sajalah perkongsian.