Sunday, November 11, 2012

Aku & Buku : Imam Syafie - Pejuang Kebenaran





Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,


Alhamdulillah kerana diberi kesempatan dan keupayaan untuk menghabiskan bacaan sebuah buku yang bertajuk 'Imam Syafie - Pejuang Kebenaran' karangan Abdul Latip Talib. Selepas membaca buku bersaiz sederhana ni, ia membuatkan aku semakin mengenali insan yang membawa mazhab yang aku ikuti iaitu mazhab Syafie. Semakin aku mengenali beliau melalui kisah suka duka yang telah dinukilkan didalam buku ini, semakin aku menyanjungi beliau. Betapa aku kagum dengan semangat Imam Syafie yang begitu mengutamakan ilmu berbanding kemewahan dunia. Ilmu adalah segala-gala untuknya. Imam yang mempunyai susur galur berketurunan Muhammad S.A.W itu adalah seorang yang qana'ah dan zuhud. Beliau gigih menuntut ilmu dan berusaha mencari guru. Beliau sangat menghormati dan menyayangi guru-gurunya walaupun mereka mempunyai aliran mazhab yang berbeza-beza dan mempunyai pengikut-pengikut yang ramai. Namun, Imam Syafie tidak pernah menyuarakan bantahan jika ada percanggahan dari kefahamannya selagi ianya tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Sehinggakan, Imam Malik Bin Anas yang disanjungi penduduk Madinah membenarkan Imam Syafie (yang merupakan anak murid kesayangannya) membuat fatwa sendiri. Imam Syafie merantau ke merata negara bagi menuntut ilmu dan beliau menjadi terkenal kerana ilmu yang ada padanya sedangkan beliau bukanlah dari golongan orang yang kaya raya. Imam Syafie juga telah dikurniakan Allah SWT daya ingatan yang kuat dan mampu menghafal dalam masa yang sangat singkat. Ini telah dibuktikan, pada umur 9 tahun beliau sudah berjaya menghafal Al-Quran, pada umur 10 tahun beliau sudah menghafal kitab Al-Muwatta' karangan Imam Malik dan pada umur 15 tahun beliau telah diberi kepercayaan menjadi mufti di Mekah serta pernah  menghafal 10,000 syair Bani Huzail. Subhanallah! Ini jelas dengan firman Allah SWT didalam Al-Quran : 

"Dan jika Allah menghendaki engkau beroleh suatu kebaikkan maka tiada sesiapa pun akan dapat menghalang limpah kurnia-Nya"  [Surah Yunus, ayat: 107]

Okey! Pasti kalian (bagi yang belum pernah membaca atau mengetahui sejarah hidup Imam Syafie) nak tahu serba sedikit jalan cerita beliau daripada buku yang aku baca ni kan? Baiklah.....dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang aku dengan berlapang dada berkongsi serba sedikit ringkasan cerita dari buku tersebut. Jom, baca!


  • Imam Syafie - Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Idris bin bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Bonda beliau bernama, Ummu Habibah al-Uzdiyyah. Ayahanda beliau bernama Idris bin Abbas dan telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Diberi nama Syafie kerana wajahnya seiras dengan moyangnya-Syafie bin Saib.
  •  Pada usia 9 tahun telah berjaya menghafal Al-Quran.
  •  Pergi menuntut ilmu Al-Quran dengan Imam Ismail Al-Kustantani.
  • Belajar pula syair dengan Mas'ab bin Zubair dan telah berjaya menghafal 10,000 syair Bani Huzail.
  • Menuntut pula ilmu hadis dengan Imam Sufyan Ainiah (sahabat Imam Ismail).
  • Kemudian, pergi menuntut ilmu fiqah dengan Imam Muslim Al-Zanji (sahabat Imam Sufyan).
  •  Setelah itu, seorang rakan sebayanya bernama Khalid telah mengajaknya untuk menuntut ilmu peperangan dengan seorang bekas tentera Islam iaitu Amiruddin. Beliau menuntut ilmu peperangan dan bermain senjata. Dengan itu, beliau handal dalam ilmu memanah.
  • Berkeinginan untuk berhijrah ke Madinah bagi menuntut ilmu dengan Imam Malik bin Anas. Dengan berkat doa daripada bonda tercinta dan guru-guru yang mengajarnya, akhirnya beliau berhijrah ke Madinah bersama Naufal seorang pedagang yang akan menjalankan perniagaanya di Mekah bersama rombongan kafilah-kafilah dagangan yang lain.
  • Selepas menguasai pelbagai ilmu daripada Imam Malik, beliau berhijrah pula ke Kufah, Iraq dengan mengikut rombongan para pedagang Madinah yang ingin berdagang di Kufah.
  • Di Kufah, beliau menuntut ilmu dengan Imam Muhamad Al-Hasan & Imam Abu Yusof yang mana kedua-dua imam ini bermazhab Hanafi. Imam Syafie menghafal pula kitab Al-Awsat yang dikarang oleh Imam Abu Hanafi.
  • Setelah sekian lama, Imam Syafie kembali semula ke Madinah (yang mana ketika ini dalam pemerintahan Khulafa Harun Ar-Rasyid). Beliau ingin sangat bertemu dengan gurunya-Imam Malik.
  •  Imam Malik kemudiannya meninggal dunia pada tahun 179 Hijrah ketika berumur 86 tahun.
  • Imam Syafie berasa kehilangan dan sedih, lalu pulang ke Mekah untuk bertemu dengan bonda yang dicintainya.
  • Dijemput pula oleh Gabenor Yaman iaitu Al-Malik untuk menuntut dan menyampaikan ilmu disana.
  • Sekali lagi meninggalkan ibunya untuk berhijrah ke kota Yaman dan beliau berpeluang menuntut ilmu firasat dengan Maulana Arif.
  • Di Yaman juga, beliau telah dipertemukan jodoh dengan Hamidah binti Uyainah. Hamidah adalah calon yang diperkenalkan oleh Gabenor Al-Malik dan berketurunan Uthman bin Affan. Hasil perkhawinan, beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Abu Uthman Muhammad, Fatimah dan Zainab.
  • Kemudian, Gabenor Yaman telah mencadangkan Imam Syafie untuk menjadi hakim (atau kadi) di kota Najran. Beliau bersetuju dan berhijrah ke kota Najran pula.
  • Selepas daripada itu, Gabenor Yaman meninggal dunia dan digantikan dengan Gabenor As-Saud yang berperangai buruk.
  • Akibat menasihati kelakuan Gabenor As-Saud yang berperangai buruk itu, Imam Syafie telah difitnah oleh Gabenor As-Saud dan dituduh menjadi ketua kepada kaum Syiah serta ingin mengulingkan kerajaan Khalifah Harun Ar-Rasyid.
  • Imam Syafie dan para pengikutnya yang setia telah dihukum. Mereka diarahkan untuk berjalan ke kota Baghdad dengan kaki dan tangan mereka diikat dengan rantai besi yang berat.
  • Di kota Baghdad, Imam Syafie dan para pengikutnya dipenjara dan diseksa.  Kemudian dipanggil mengadap Khalifah Harun Ar-Rasyid untuk disoal siasat.
  • Setelah mendapati kebenaran berpihak kepada Imam Syafie, Khalifah Harun Ar-Rasyid melepaskan beliau dari hukuman dan meminta maaf. Gabenor As-Saud dihukum oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid dan Imam Syafie telah memaafkannya.
  • Imam Syafie ingin bermusafir pula ke Mesir tetapi niatnya terpaksa dibatalkan selepas mendapat berita kematian bonda tercinta di Mekah. Beliau dan keluarga segera pulang ke Mekah dan menetap sambil mengejar ilmu di sana buat seketika.
  • Beberapa tahun berlalu, Khalifah Harun Ar-Rasyid pula meninggal dunia dan digantikan dengan Khalifah Al-Makmum.
  • Khalifah Al-Makmum menjemput Imam Syafie untuk kembali ke kota Baghdad bagi mengajar ilmu disana.
  • Setibanya di kota Baghdad, beliau diberi kitab-kitab karangan Imam Abu Hanifah oleh kadi Syeikh Isa bin Munkadir.
  • Selepas selesai membaca kesemua kitab-kitab tersebut, beliau membahaskan perkara-perkara khilaf yang dijumpainya di dalam kitab-kitab yang menjadi rujukan para pengikut mazhab Hanafi itu.
  • Hal itu menimbulkan rasa kemarahan segelintir pengikut mazhab Hanafi yang fanatik. Mereka ini tidak mahu berbincang dan mula membenci Imam Syafie. Namun, golongan itu adalah golongan yang kecil dan majoritinya berlapang hati untuk mendengar hujahan Imam Syafie mengenai perkara-perkara khilaf yang dijumpai beliau didalam kitab-kitab mazhab Hanafi itu
  • Setelah itu, Imam Syafie menerima jemputan daripada Gabenor Mesir iaitu Abbas bin Musa. Beliau berhijrah pula ke Mesir untuk mengajar ilmu disana.
  • Di kota Fustat, Mesir - beliau bertemu dengan Abdullah Al-Hakam (rakan seperguruannya ketika berguru dengan Imam Malik). Abdullah Al-Hakam telah menjemput beliau untuk tinggal dirumahnya.
  • Imam Syafie sempat melawat Sayidah Nafisah iaitu cucu kepada Saidina Ali r.a dan sangat menghormati wanita tersebut. Kemudian, menziarahi pula Gabenor Mesir yang telah menjemputnya ke kota itu.
  • Beliau diberi kebenaran untuk mengajar di Masjid Amru dan menyelesaikan masalah perselisihan mazhab diantara mazhab Maliki dan mazhab Hanafi.
  • Imam Syafie telah banyak memberikan fatwanya sendiri tanpa mengikut sepenuhnya ajaran Imam Malik mahupun ajaran dari rujukan kitab Al-Awsat (Mazhab Hanafi). Namun, itu tidak bermakna Imam Syafie menolak ajaran guru-gurunya. Yang menjadi perbezaan pendapat hanyalah di dalam ilmu fiqah dan selainnya masih sama serta tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis. Malah, gurunya Imam Malik membenarkan beliau untuk memberi fatwa sendiri.
  • Keadaan ini menyebabkan ada golongan yang menyokongnya dan ada segolongan kecil yang menentangnya.
  • Sahabatnya, Abdullah Al-Hakam masih mengajar ilmu yang merujuk mazhab Maliki walaupun menyedari anak lelakinya yang bernama Muhamad sering mengikuti kelas yang dianjurkan Imam Syafie. Namun, Abdullah Al-Hakam tidak sekali-kali menghalangnya sehingga Muhamad membuat pengakuan telah mengikut mazhab Syafie.
  • Seorang lelaki bernama Fityan adalah yang paling kuat menentang Imam Syafie kerana terlalu fanatik dengan mazhab yang dipeganginya.
  •  Imam Syafie mendapati beliau menderita penyakit bausir berdarah. Tetapi masih aktif menulis dan menghasilkan beberapa buah kitab antaranya kitab Al-'Umm. Beliau juga mengkaji kitab Al-Hujjaj yang telah dikarangnya. Jumlah kitab yang berjaya dikarangnya adalah sebanyak 142 kitab.
  • Fityan dan pengikutnya sentiasa mencari peluang untuk menghalau dan menjatuhkan Imam Syafie. Namun tindakkan Fityan itu akhirnya sampai ke pengetahuan Gabenor Mesir.
  • Fityan ditangkap dan dihukum dengan dicukur misai, rambut dan janggutnya sebelum diikat dan dibawa berarak mengilingi kota Fustat dengan menaiki unta.
  • Hukuman yang dikenakan ke atas Fityan ini telah menimbulkan kemarahan para pengikutnya. Salah seorang pengikutnya yang bernama Sahol telah mencadangkan untuk membalas dendam terhadap Imam Syafie.
  • Pada suatu malam, Imam Syafie dipukul oleh pengikut-pengikut Fityan ketika ingin berjalan pulang ke rumahnya dari masjid Amru.
  • Imam Syafie jatuh sakit dan keadaannya tidak membolehkan beliau untuk pergi mengajar di masjid seperti kebiasaan. Anak murid kesayangannya, al-Rabi' sentiasa membantu dan menemaninya. Imam Ahmad bin Hanbal juga ada datang untuk menziarahinya. (Imam Ahmad bin Hanbal adalah pengasas mazhab Hanbali. Beliau juga merupakan rakan seperguruan Imam Syafie ketika berguru dengan Imam Malik bin Anas. Malah, beliau sendiri juga pernah berguru dengan Imam Syafie).
  • Akhirnya, pada malam Jumaat, 28 Rejab tahun 204 Hijrah bersamaan dengan 820 Masihi Imam Syafie telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usianya 54 tahun dan meninggalkan ilmunya yang mekar indah dihati para ilmuan.
  • Al-Rabi' dan para pengikutnya yang lain merasa kehilangan dan mereka bersedih diatas pemergian insan yang memberi cahaya ilmu diserata tempat. Ajarannya tersebar luas diseluruh Mesir, Iraq, Yaman, Jordan, Syria dan beberapa buah negara lain. Kehilanganya diratapi ramai.
  • Jenazahnya telah dimandikan oleh Gabenor Mesir (diatas permintaannya sendiri ketika sedang nazak), kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.

~Al-Fatihah

Begitulah kisah hidup suka duka Imam Syafie dalam pencarian dan penyebaran ilmunya ke serata dunia. Beliau bagaikan bulan bintang dan matahari yang memberi sinar kepada para pencinta ilmuan. Paling aku kagum adalah jalinan ukhuwah yang kukuh diantara imam-imam besar yang lain. Biarpun berbeza mazhab, selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis maka tiada apa yang perlu diperdebatkan. Begitulah sikap Imam Syafie yang tidak memaksa sesiapa pun mengikut mazhabnya dan tidak pula beliau memcemuh mazhab-mazhab lain yang tidak sefahaman dengan apa yang di ijtihadnya. Beliau amat menghormati guru dan tidak menyombong diri.

Jadi, kita sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah tidak seharusanya bertelingkah dan saling berkelahi jika terdapat perbezaan dari segi ikutan mazhab. Selagi mana ajaran itu mentauhidkan Allah SWT, mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW,  maka tidak ada apa yang perlu diperdebatkan. Jika ini berlaku, bimbang ianya akan meruntuhkan dan menjarakkan jalinan ukhuwah diantara umat Islam. Hal ini amat dinantikan dan disenangi orang-orang kafir. Beringatlah wahai sahabat-sahabat sekalian! Allah SWT berfirman : ".....Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara."  [Surah Hujuraat, ayat: 10]


Rangkap puisi terakhir Imam Syafie:

Bila hatiku keras degil
dan kemahuanku menjadi sempit
Aku jadikan keampunan Engkau sebagai harapan
Dosaku mungkin besar
Tetapi keampunan Engkau lebih besar
Engkau pemilik keampunan
dan masih tetap mengampunkan
Jika Engkau tidak  izinkan
Iblis tidak dapat mengoda
Adam hambamu yang suci
Sampai dia boleh diperdayakannya
Ampuni aku wahai Tuhanku.....

Apa yang dikongsikan ini hanyalah ringkasan. Sekirannya berminat untuk membaca kisah sepenuhnya silalah dapatkan buku tersebut ya. Dijamin tak rugi. InsyaAllah.

Sekian sajalah perkongsian ilmu kali ini. Semoga bermanfaat buat kalian yang sudi singgah. Aku akan meneruskan pembacaan buku-buku lain dan akan dikongsikan diruangan sepi ini. InsyaAllah. 


Monday, November 5, 2012

Cinta Itu Untuk Siapa?


Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,
Alhamdulillah. Aku terpanggil (blog yang memanggil..hehe) untuk menulis satu entri berkaitan dengan C.I.N.T.A selepas membaca wall post di Facebook Hilal Asyraf. Wall post tersebut ada memaparkan gambar jam tangan yang diukir nama beliau dan seorang sahabat beliau – Klik kat sini kalau nak tengok.
Apa yang menarik sangat?
Yup! Sangat menarik dan sangan sweet! Sebuah persahabatan yang berasaskan kasih sayang sesama insan. Tetapi disini, bukanlah hendak aku ulaskan tentang wall post tersebut. Aku ingin memberi pendapat tentang kegunaan dan fungsi perasaan CINTA yang Allah SWT telah anugerahkan kepada kita-hambaNya. Ramai orang suka mengaitkan ungkapan & perasaan CINTA itu untuk pasangan kekasih. Terutama dikalangan remaja muda mudi. Bila disebut saja tentang CINTA, terus ingat ber-‘couple’ atau ‘kekasih’ atau ‘awek’…’pakwe’ dan macam-macamlah! Seolah-olah CINTA itu Allah anugerahkan hanya untuk golongan-golongan tertentu sahaja. Eh..ye ke??
 
CINTA itu anugerah dari Allah SWT dan ia tidak tertumpu pada satu konteks sahaja. CINTA itu universal, kerana seluruh alam ini, kehidupan ini adalah HAK MILIK Yang Maha Pencipta termasuklah CINTA. Jadi, kenapa harus kita mengkhususkan konteks CINTA itu? Mungkin yang menjadi perbezaannya adalah cara penyampaian dan nilai CINTA itu sendiri. Namun,  kita berhak menggunakan anugerah pemberian Allah SWT itu pada setiap apa yang diciptakanNya dan kita PERLU menggunakan CINTA itu pada jalan yang betul iaitu pada jalan yang Allah redhai. Kita layak untuk mengatakan CINTA kepada Allah SWT  & Rasulullah SAW, CINTA kepada agama, CINTA kepada alam, CINTA kepada haiwan, CINTA kepada keamanan, CINTA kepada sesama manusia. Jika begitu, apa yang nak dirasakan janggal jika kita mengatakan, “Aku mencintai ibu  dan ayahku” “Aku mencintaimu, sahabat” .  CINTA itu konteksnya luas. Bukan hanya untuk pasangan kekasih atau suami dan isteri saja ya!
Jadi, mari kita reset semula pemikiran kita agar berfikiran luas dan terbuka apabila mengatakan tentang CINTA. Cintailah sesama insan kerana itu asas keamanan dan menguatkan jalinan ukhuwah dikalangan umat islam khususnya. Ingat…Rasulullah SAW juga menyayangi umatnya tidak kira siapakah mereka. Mari kita bercinta untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Dan, ucaplah Alhamdulillah diatas nikmat pemberian perasaan CINTA ini.  Bayangkan jika ia tiada…cuba bayangkan…..?
Wallahua'alam~

Aku CINTA Allah  SWT & Rasulullah SAW
Aku CINTA agamaku
Aku CINTA ibu dan ayahku
Aku CINTA ahli keluargaku
Aku CINTA bakal suamiku/ suamiku
Aku CINTA bakal isteriku/ isteriku
Aku CINTA teman-temanku
Aku CINTA sahabat-sahabatku
Aku CINTA orang-orang tua
AKU CINTA haiwan
Aku CINTA alam semulajadi

Aku CINTA apa-apa sahaja yang tidak mengundang kemurkaanNya.
 

Saturday, October 27, 2012

Aku yang terjaga!









Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,


Alhamdulillah di atas nikmat Iman dan Islam yang Allah SWT berikan kepada aku dan kalian semua. Alhamdulillah! Di atas setiap kejadian dan kewujudan di alam bernama kehidupan. Alhamdulillah! Di atas kurniaan akal yang baik dan tubuh badan yang sihat.


Allahuakhbar!

Sesungguhnya aku ini hamba-Nya yang baru terjaga dari lena yang mengasyikkan. Aku ini pernah terlalu banyak bermimpi tanpa mengenal erti realiti. Aku ini pernah alpa dari mengucap lafaz-lafaz syukur. Aku ini pernah buta dari mengenal Sang Pencipta. Aku ini yang pernah bergantung kepada manusia semata. Menyintai manusia melebihi cinta kepada-Nya. Aku ini begini...aku ini begitu. Itulah aku dari sudut kaca kegelapan yang lampau.

Alhamdulillah. Namun Allah masih memberi peluang untuk aku melihat kehidupan dari perspektif yang di redhai-Nya. Dia yang mengejutkan aku dari mimpi. Dia yang mencelikkan mata hati aku yang buta. Dia yang memberi peringatan sebagai ubat kepada kealpaan. Dia yang menegurku ketika aku lalai. Dan, Dia yang memberi cahaya petunjuk kepada penyuluh kegelapan. Dia yang memberi rasa cinta untuk menyintai-Nya. Dia buat begitu..Dia buat begini, sedang aku masih menegakkan keegoan walaupun hati merintih sengsara. Nah! Sekarang aku tersedar...tersedar setelah di sapa dengan kesedihan, kekecewaan dan berputus asa.

Aku tertanya-tanya, siapakah aku? Tujuan hidup? Mahu menjadi siapakah? Aku merasakan aku tersesat jauh, sehinggakan aku tidak mengenal jalan-jalan dihadapan. Aku buntu. Jadi, aku membuat U-Turn. Alhamdulillah, aku jumpa Dia. Tuhanku yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Lama aku menangis di sejadah. Bercerita masalah. Meluahkan resah. Melafazkan ungkapan cinta kepada-Nya. Allahuakhbar! Ya, Dia Maha Mendengar. Aku diberi kekuatan. Sedikit demi sedikit aku bangkit. Hilang resah, ketenangan menjelma. Aku gembira. Wa syukurillah!

Hidayah Allah. Itu pemberian paling berharga buat aku hamba-Nya. Aku tidak mahu kehilangannya. Kehilangannya membuatkan aku kembali kepada kegelapan yang mendorong aku mengumpul saham ke neraka. Na'uzubillah.

Cahaya petunjuk, cahaya yang menyuluh ketika aku melalui jalan yang lurus. Semakin aku melangkah mara kehadapan, semakin aku merasai kenikmatan iman dan islam. Dan, disini bermulalah segala-galanya.

Aku kehausan ilmu tentang-Nya.
Aku ingin mengenali sifat-sifat-Nya.
Kalam-Nya yang mulia aku dekati.
Aku mula mengenali diri.

Dari setiap pesanan-pesanan Nya.
"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin (yang benar-benar beriman), hendaklah mereka menghulurkan jilbab-jilbab mereka keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih dikenali, kerana mereka tidak diganggu, dan Allah maha pengampun lagi maha Penyayang"
[Surah Al Ahzab, ayat : 59]

Aurat. Inilah perkara pertama yang menjadi fokus. Kerana, Allah SWT menyebut tentangnya di dalam Al-Quran. Allah menerangkan seksaan bagi yang ingkar. Lalu aku hamba yang hina dan jahil ini mengkaji tentangnya. Membuat eksperimen ke atas diri sendiri. Nah! Kebenaran itu pasti. Semakin aku mencuba, semakin aku selesa. Semakin aku tambah, semakin aku rasa kekurangannya. Barangkali belum cukup untuk menutupi. Ya! Selama ini mungkin aku hanya membaluti aurat. Bukan menutup! Jadi, Allah SWT mengajarku bagaimana untuk mendapatkan keselesaan dan Dia yang mengenalkan aku tentang imej seorang muslimah. Ya, imej yang menjadi identiti diri yang selama ini aku cari. Terima kasih, Allah.

Namun, itu semua belum cukup untuk mengatakan aku solehah. Jika sempurna jilbab diluaran, belum tentu sempurna jilbab di hati. Hati yang kotor perlu dibersihkan. Bagaimana? Ya, sudah tentu dengan zikir-zikir dan alunan ayat-ayat dari kalam-Nya. Itulah pembersih hati yang paling berkesan untuk hati yang berlumut dengan dosa silam.

Hati yang bersih, jiwa akan mendapat ketenangan. Namun, akal pula dahagakan ilmu. Katanya, 'ilmu mu belum cukup menguatkan hati mu'. Jadi, aku merasa jahil dan bodoh. Aku mula mengali lubuk-lubuk ilmu yang ada. Semakin aku gali, semakin aku merasai kebodohan.

"Wah, ini pun aku tak tahu?"
"Alamak, apa ni?"
"Ohh..haram hukumnya,"
"La..baru aku tahu,"
"Ya, Allah...kenapa lah sebelum ni aku tak pernah nak ambik tau,"
"Ceh, budak kecik pun tau,"
"Bodohnya aku...Ya Allah, aku malu..."

Inilah di antara ayat-ayat pengakuan di atas kebodohan dan kejahilan ketika usia menginjak alam kedewasaan & ke'tua'an. (Yang mana dan boleh jadi mak dan bapak orang)

Ketika inilah aku merasa kerugian waktu. Tahun-tahun yang berlalu aku bazirkan dan biarkan berlalu dengan begitu saja. Sia-sia dan penuh dosa. Betapa ruginya aku. Inilah dikatakan seperti peribahasa Melayu, 'Sudah terhantuk, baru terngadah' (maksudnya: “Setelah mendapat kesusahan baru hendak beringat-ingat”)
Alhamdulillah, Wa syukurillah!
Dari alunan melodi Linkin Park, Muse, Eminem, Creed, GreenDay....kepada alunan melodi Hijjaz, InTeam, Raihan, Devotees, dsb.
Dari koleksi bahan bacaan Utopia, Gempak, Galaxie...kepada koleksi bahan bacaan Solusi, Al-Islam, Al-Ustaz dsb.
Itulah aku. Seorang hamba yang terjaga dari lena yang mengasyikkan. Dan, Allah itu Maha penyayang, Dia tidak membiarkan aku seorang diri. Dia sentiasa ada. Dia-lah yang memberi petunjuk dan hidayah. Dia-lah yang memberi nikmat Iman & Islam. Dia-lah yang menjadikan aku seperti aku pada hari ini.
Aku tidak mahu kembali kepada masa lalu
Aku tidak mahu menjadi aku yang dulu.
Sudah cukup sudah...
Cinta manusia hanya sementara
Namun cinta-Nya kekal selamanya...

Kerana....

Aku hamba-Nya, bukan hamba kepada manusia!





PERKONGSIAN DARI SEORANG 'ABDULLAH' (Hamba Allah) Jazakallahu Khairan~

Jom! Dengar lagu Hidayah - Hijjaz

Sunday, October 21, 2012

Oh! Para niqabis...aku kagum!



Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,


Sudah lama aku ingin menulis tentang tajuk seperti yang tertera diatas. Aku ingin menulis sekadar meluahkan rasa kagum kepada para niqabis. Siapakah mereka?

Mereka adalah para muslimah yang memakai sehelai kain (niqab) untuk menutup muka bagi mengelakkan fitnah dan menjaga kehormatan mereka dengan cara yang terhormat dan hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Aku kagum...

Kagum dengan kekentalan iman yang ada dalam diri mereka. Kerana, memakai niqab pada akhir zaman ini memang cabarannya terrrrrlalu besar! Terlalu banyak dugaan dan halangan. Lebih malang lagi, ada sesetengah negara mengharamkan pemakaian niqab malah dikenakan pula denda. Sedangkan, pada zaman Nabi Muhammad SAW pemakaian niqab adalah dikalangan majoriti muslimah. Namun, fenomena itu sangatlah payah untuk kita lihat di akhir zaman ini. Jangankan diluar negara, malah di negara kita sendiri sudah ada pengharaman memakai niqab di dalam catatan peraturan-peraturan tertentu. Terutama di universiti-universiti dan juga di jabatan-jabatan dalam sektor kerajaan/swasta. Kenapa ya? Serius! Aku masih tertanya-tanya dengan peraturan atau pengharaman pakaian yang pernah dipakai oleh isteri-isteri Nabi SAW ni? Berdosakah pada pandangan mereka? Apakah yang mereka fikirkan? Adakah dengan memakai niqab kelihatan islam itu seperti terlalu ekstrimis?? Oh! Come on la...Aku tak setuju!

Oleh sebab itulah, aku tersangat kagum dengan para niqabis pada hari ini. Terutama yang memakai niqab sejak dari kecil sehinggalah dewasa. Ternyata mereka-mereka ini adalah orang-orang yang teguh keimanannya terhadap Allah SWT dan tidak gentar pada godaan-godaan duniawi. Jadi, aku menganggap para niqabis sekalian tidak ubah seperti seorang srikandi dalam melawan hawa nafsu dan godaan-godaan disekelilingnya. Merekalah antara mujahidah solehah.

Ya, aku kagum!

Wahai para muslimah yang dikasihi Allah SWT,
Aku ingin mendoakan agar kita semua sentiasa di dalam pemeliharaan Allah SWT dari segi akhlak dan tutur bicara. Dan, semoga kita sama-sama bermujahadah untuk menjadi muslimah yang solehah bagi meraih redha-Nya & menjadi bidadari di syurga-Nya kelak. Amin~



Jom! Dengar lagu  Muslimah - Nazrey Johani


Sunday, October 14, 2012

Aku & Buku : Melukis Pelangi - Catatan Hati Oki Setiana Dewi

Inilah bukunya! Mesti ada yang dah pernah baca kan? (^^,)



Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,


Alhamdulillah, selesai sudah membaca sebuah buku yang mempunyai pengisian yang sangat bermanfaat dan penuh dengan ilmu. Buku tersebut adalah hasil karangan Oki Setiana Dewi yang bertajuk Melukis Pelangi. Pada awalnya, aku mula berniat untuk membeli buku ni ketika pameran buku antarabangsa di PWTC. Malangnya terlupa, sebab terlalu syok membeli buku-buku lain. Tapi, Alhamdulillah, aku dipertemukan lagi dengan buku ni ketika menghadiri program 'A One Moment To Remember' yang dianjurkan oleh One Heart Creative pada 9.Jun.2012 yang lalu. Tanpa berfikir panjang, terus aje aku membelinya (walaupun pada masa tu tengah kesempitan fulus...uhuks) Hampir 4 bulan aku menyimpan buku ni di rak dan baru hari ini aku berjaya menamatkan bacaan (dalam tempoh seminggu). 

Apa yang menarik pasal buku ni?

MasyaAllah...Subhanallah! Memang menarik dan bermanfaat. Tak rugi kalau baca. Buku ni adalah luahan sebenar tentang perjalanan seorang hamba Allah SWT yang pada awalnya terlalu obses pada cita-cita dunia dan tidak berjilbab. Hamba Allah yang dimaksudkan itu adalah penulisnya sendiri- Oki. Beliau menceritakan tentang impiannya untuk menjadi artis. Kemudian sanggup merantau meninggalkan kampung halaman kerana mengejar cita-cita itu, dan di bandar besar itulah beliau menghadapi pelbagai dugaan, ujian dan rintangan. 

Kerap beliau hampir berputus asa, namun beliau seorang yang kuat semangat dan mampu memotivasi diri sendiri agar terus berusaha demi mencapai cita-citanya menjadi seorang artis. Sehinggalah pada suatu masa, Allah SWT menimpakan musibah kepadanya dan keluarga dan kerana musibah itulah beliau tekad untuk berjilbab serta membuat perubahan baru untuk keseluruhan hidupnya. Malah, cita-citanya yang ingin mengejar populariti dunia itu juga ditinggalkannya semata-mata kerana Allah SWT. Ya, ketika itu beliau mulai mengenali Allah SWT, beliau mula mengenali Islam yang sebenar-benarnya (walaupun sebelumnya beliau melakukan solat dan rukun-rukun Islam yang lainnya), beliau mula merasai nikmat dan kemanisan iman yang tak terhingga....Subhanallah, indahnya hidayah yang Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu. 

Kemudian, beliau terus berusaha untuk menjadi seorang yang berilmu justeru melupakan cita-cita dambaannya sejak kecil lagi. Namun, perancangan Yang Maha Kuasa tiada siapa tahu. Allah SWT menemukan beliau dengan cita-citanya itu tetapi dengan cara dan konsep yang berbeza. Oki telah mendapat sokongan daripada sahabat-sahabatnya untuk menghadiri audition filem 'Ketika Cinta Bertasbih' (KCB). Pada mulanya, beliau menolak dan tidak mahu melibatkan diri lagi di dalam bidang lakonan tetapi setelah dipujuk dan melihat sahabat-sahabatnya bersungguh-sungguh maka beliau akhirnya bersetuju. Sepanjang perjalan uji bakat tersebut, beliau hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Namun, Alhamdulillah, berkat usaha dan doanya juga sokongan keluarga dan sahabat-sahabat, akhirnya beliau berjaya dipilih untuk melakonkan watak utama filem KCB iaitu watak Anna Althafunnisa. Watak ini memang bukan watak pilihannya ketika diawal uji bakat. Dia mahukan watak Husna. Namun, telah tertulis rezekinya untuk mendukung watak utama.

Dan, dari KCB lah bermulanya kisah perjalanan seorang Oki Setiana Dewi sebagai seorang 'artis' sehingga beliau berjaya meraih beberapa anugerah untuk filem KCB ini. Seterusnya, kejayaan inilah yang mengubah nasib keluarganya dan apa yang membuatkan beliau bersyukur adalah kerana beliau telah berjaya membuatkan kedua ibu bapanya bahagia.

KONKLUSI

Penulisan Oki adalah penulisan yang sangat-sangat-sangat jujur! 100% jujur dari lubuk hatinya sendiri. Sehinggakan ketika aku membaca bab demi bab, perasaan turut mengikut perubahan rentak cerita. Emosi juga adakalanya turun, adakalanya naik. Mungkin tiada siapa yang menyangka, Oki yang dilihat pada hari ini mempunyai perjalanan hidup yang penuh dengan jerih payah, kesedihan, kesusahan, pengorbanan, kesungguhan dan pelbagai lagi. Jika dilihat pada senyumannya pada hari ini, itulah senyuman yang sentiasa memotivasikan dirinya. Aku sendiri tak sangka, Oki adalah seperti apa yang diceritakan didalam bukunya. Ya, aku sangat mengkagumi semangatnya. Dari awalnya tidak berjilbab dan berpakaian tidak menutup aurat kepada pakaian yang menampilkan dirinya seperti yang kita lihat pada hari ini. 

Jadi, aku sangat-sangat mengesyorkan kepada kalian-kalian yang sudi menyinggah di ruangan blog ni untuk membaca buku Melukis Pelangi -Oki Setiana Dewi. Pasti kalian akan mendapat sesuatu daripada pembacaannya dan akan mendapat ilmu yang memberi kesan dihati. 

Aku juga telah mendapat sesuatu, iaitu -'penyesalan yang tidak berguna lagi' -Apa maksud nya? Maksudnya, aku telah merugikan beberapa tahun dalam kehidupan untuk berada dalam kegelapan. Kegelapan daripada menuntut ilmu, kegelapan daripada mengenal Pencipta. Selepas aku membaca buku ni, baru aku sedar bahawa aku mengalami kerugian yang besar untuk akhirat kelak. Dan, aku terfikir-fikir sendiri, apa yang sedang aku lakukan ketika berada pada usia 16 tahun? Iaitu ketika Oki sedang sibuk mengejar impian-impiannya. Apa pula yang aku buat ketika menjadi seorang pelajar IPT? Iaitu ketika Oki sedang berusaha mempertahankan jilbabnya dan menuntut ilmu agama dengan bersungguh-sungguh. Di mana aku ketika itu? Apa yang aku buat? Sedang impian bersusun diatas lembaran kertas-kertas didalam diari? Di mana aku letak Allah SWT ketika itu? Dengan siapa aku bergantung harap? Banyak mana ilmu yang aku menuntut dengan bersungguh-sungguh? Islam? Aku tidak memahaminya secara total. Sama seperti Oki diawalnya, hanya menjalankan rukun-rukunnya tetapi tiada pemahaman dan penghayatan. 

Ya, itulah rumusan serba sedikit tentang impak hasil dari pembacaan buku bersaiz sederhana ini. Cukuplah sekadar itu yang aku coretkan. Buku ini membuatkan aku rasa sayang untuk menghabiskannya. Buku ini membuatkan aku rasa seperti mengenali  rapat dan rindu kepada penulisnya. Buku ini juga membuatkan kita kembali berfikir tentang kehidupan dan mengingati Allah SWT. Buku ini juga membuatkan kita ingin terus mendalami Al-Quran. Dan, buku ini akan membuatkan kita berasa bersyukur kepada-Nya di atas nikmat kehidupan dan yang paling utama, adalah nikmat Iman & Islam.

"Ya Allah, janganlah Engkau menarik kembali nikmat iman dan islam yang telah Engkau anugerahkan kepada kami hamba-hamba-Mu. Dan, kekalkan lah hidayah yang telah  Engkau kurniakan kepada kami. Tetapkanlah hati kami agar sentiasa kekal berada dijalan-Mu. Lindungilah kami dan berkatilah usaha dakwah kami. Amin." 

Best Quote :

Bismillah...aku berjilbab! Semoga dengan jilbab ini aku bisa menjadi anak salehah, doaku didengar oleh-Mu. Untuk memberi kesembuhan kepada ia yang paling aku kucintai..... 

Setiap ku tanya apa yang bisa ku bantu, ibuku hanya mengatakan,"Cukup bantu ibu dengan menjadi anak saleh" 

Sesungguhnya yang terindah dalam kehidupan ini adalah ketika kita bisa memberikan sesuatu untuk orang lain....

Kata Inspirasi :

"Kamu ini belum terkenal saja sudah sombong sekali. Begitu banyak orang menginginkan peran itu, kamu malah menolaknya! Kamu lupa dengan perjuangan kamu selama ini? Dengan jilbab, kamu tidak akan pernah bisa jadi apa-apa!"

Kata-kata cercaan yang menjadi inspirasi untuk Oki berjaya. Kini, dia sudah membuktikannya. Dan dia berkata didalam hati ketika selesai upacara penerimaan anugerahnya, "Lihat...aku berjilbab...dan aku bisa menjadi apa-apa! Jilbab tidak menghalangiku untuk berprestasi!"


P/s: Jalan kehidupan setiap manusia adalah berbeza-beza. Namun matlamat dan tujuannya adalah sama. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [Surah Ad-Dzariyat, 51: 56] Fikir-fikirkanlah...

Wallahu'alam.


Tuesday, October 9, 2012

Dakwah Jalanan, Misi Jihad & Flashmob!

We love Muhammad SAW

Assalamualaikum w.b.t & Salam sejahtera,

7.Okt.2012 (Ahad) - Pada jam 7.30 pagi, aku (bersama my younger sister) melangkah kaki keluar dari rumah dengan satu misi. Kalau diikutkan waktu keluar dari rumah itu memang agak lewat. Aku risau dan bimbang. Memang beberapa hari sebelum tarikh ini aku dihentam dengan pelbagai perasaan dan hati seakan ingin menghalang niat. Pelbagai tafsiran muncul di minda dan cuba untuk mengacah-ngacah sang hati yang sedang resah. Semakin hari semakin aku tidak keruan. Sehinggakan aku pernah berniat untuk batalkan aje misi pada hari ini. Tetapi, pada malam sebelumnya aku berdoa di dalam sujud yang lama agar dipermudahkan urusan hari ini jika ia akan memberi manfaat yang baik untuk kami semua (mission volunteer). Disebabkan kekuatan daripada Allah SWT-lah yang membuatkan aku tekad dan tegar melawan segala perasaan negatif yang menghentam jiwa. Biasalah, pabila kita ingin melakukan sesuatu yang baik pasti syaitan akan cuba menghalanginya. Lebih-lebih lagi, jika perkara itu berkait rapat dengan aktiviti dakwah dalam menyebarkan agama Allah SWT dan mempertahankan Rasul Nya- Nabi Muhammad SAW. 

Apa misi nya?

Misinya adalah- menyertai program 'flashmob' (Rapat Seni Kerahmatan Rasulullah) anjuran IKRAMTeens yakni ini adalah pengalaman baru buat aku dan mungkin juga yang lain-lain. Flasmob ini bertujuan untuk memberitahu masyarakat umum tentang betapa mulianya adab dan akhlak Rasulullah SAW. Ini juga berkait rapat untuk menafikan dan membersihkan perspektif umum berkenaan kisah yang telah dipaparkan oleh filem 'Innocence of Muslims' yang telah menghina Nabi SAW dan tidak menghormati umat islam keseluruhannya.

Pada jam 9 am (++)- Kami semua (peserta) berkumpul di dataran Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa. Bilangan peserta agak ramai, hampir mencecah 3 angka. Alhamdulillah. Cuma nak di-highlight-kan kat sini, bilangan kaum hawa mendahului bilangan kaum Adam. Ahaks! (^_<) Tahniah muslimah! Kemudian , kami diarahkan oleh fasilitator untuk bergerak dan berkumpul di luar perkarangan masjid bagi sesi taklimat dan latihan.  

Namun, selepas beberapa minit berlalu. Program kami diuji oleh Allah SWT dengan kedatangan seorang pakcik (mungkin AJK masjid) yang menaiki motorsikal telah menegur dan melarang kami untuk berkumpul di situ, katanya kami telah menganggu kawasan masjid. Hemm..pada pendapat akulah. Kami taklah sebising mana. Lagu yang dimainkan pun lagu nasyid yang berunsurkan selawat kepada Nabi SAW. Lagipun, bukan kami menari-nari macam buat joget lambak kat situ. Rasanya, bunyi kenderaan yang lalu lalang tu lagi bising dari kami. Jadi, aku pun membebel dalam hati... "Inilah..kalau orang Melayu-Islam sendiri pun tak cuba nak bagi support. Macam mana Islam nak maju? Macam mana tak ditindas oleh orang-orang kafir?? Haish.."

Ketika ini, aku lihat muka sekalian fasilitator. Jelas terpapar kebimbangan dan keresahan di wajah mereka yang keletihan. Dan, aku faham situasi itu memandangkan aku juga kerap terlibat selaku AJK event di ofis. Pabila masalah 'dihalau oleh pakcik masjid' itu berlaku, maka fasi perlu mencari tempat lain untuk sesi latihan kami. Alhamdulillah, Allah SWT membantu mereka dengan mencadangkan agar kami semua bergerak dan berkumpul di padang Setiawangsa. Walaupun berpanas terik dan keletihan, anak-anak muda ini masih kuat semangatnya untuk terus melangkah. Ya, aku kagum melihat belia-belia muda belasan tahun dan awal 20-an ini mempunyai kesungguhan dalam melaksanakan misi jihad. (Err..maaf, sebenarnya aku tidak boleh dikategorikan sebagai belia 'awal' 20-an lagi...huhuhhu. Mungkin akukah yg paling tua???) Whatever la...

Di taman permainan yang diteduhi oleh rimbunan pokok-pokok di situ, kami duduk berkumpul menyambung sesi latihan yang tertangguh. Ketua fasilitator bersungguh-sungguh mengajar kami step-by-step formasi dan gerakkan yang akan dilakukan ketika pertunjukkan flashmob nanti. Maklumlah, flasmob akan dibuat di khayalak ramai dan di sebuah kawasan 'hot' di ibukota yang majoriti pengunjungnya adalah non-muslims dan foreigner. Untuk memastikan kejayaan mesej yang disampaikan, maka setiap pergerakkan perlu dilakukan dengan teratur dan tersusun. Jadi, untuk memudahkan kami fasi telah membahagi-bahagikan kami kepada beberapa kumpulan (kesemuanya ada 7 kumpulan).

Pada jam 12 pm - Kami diarahkan untuk berehat, makan tengahari dan solat Zuhur. Yeay! Tapi, apa yang mengembirakan kami pabila Allah SWT menghadiahkan kami rezeki berupa berbungkus-bungkus nasi lemak dari seorang makcik yang berniaga di tepi jalan berhampiran dengan taman permainan itu. Alhamdulillah....terima kasih makcik! Ucap kami semua (^^,)

Pada jam 2 pm - Kami berkumpul semula mengikut kumpulan yang telah dibahagi-bahagikan tadi. Ketika berkumpul dan menanti arahan daripada fasi-fasi sekalian, masing-masing mula berlatih gerak gaya formasi yang telah diajar oleh Bro. Deen (ketua Fasilitator) tadi. Agak lama kami berkumpul dibawah terik matahari. Maka aku memujuk hati, "...bersabarlah duhai hati. Inilah dugaan untuk berjihad. Baru jihad kecil macam ni belum berjihad yang sebetul-betulnya di medan peperangan. Panas ni pun tak seterik panas di padang masyar. Bersabarlah..' -Pujuk hati. Hampir setengah jam lebih berlalu, barulah kami dibawa ke stesen LRT Setiawangsa untuk menuju ke stesen Hang Tuah kemudian menaiki monorel menuju ke Bukit Bintang. Ya! kami akan berkumpul dan melakukan flasmob disana. Bukit Bintang! 

Pada jam 4 pm (++) - Suasana di Bukit Bintang @ BB memang dipenuhi selautan manusia yang cintakan dunia. Maksudnya disini, majoritinya ke BB hanya untuk mencari keseronokkan dan kebahagian dunia. Bagi mereka, BB itulah syurga. Ya, syurga dunia untuk mereka. Dan disinilah kami, para pendakwah jalanan (bak kata Bro. Deen la....DJ = Dakwah Jalanan) akan melakukan misi kami. Agak mencabar sebenarnya sebab kami dikelilingi oleh masyarakat yang majoritinya adalah non-muslims. 

Kami tiba dihadapan shopping mall LOT 10 dan berhadapan dengan kedai mewah Uni Qlo. Di ruang dataran laluan manusia lalu lalang itulah akan menjadi pentas pertunjukkan dakwah jalanan kami. Semoga semuanya berjalan lancar!  Masa diambil kira-kira hampir jugalah satu jam untuk kami berlakon seperti crowd yang lain. Konon-konon datang saje-saje melepak. TAPI! Lakonan kami ternyata tidak dapat mengelak daripada disoal siasat oleh seoarang encik polis yang meronda disitu. Mungkin dia peka dengan keadaan sekeliling (al-maklumlah kan..polisss...) dan dia nampak suasana crowd yang nampak asing. Manakan tidak, sudah menjadi kebiasaan mata crowd yang ada disekitar itu berpakaian agak ranggi, up-to-date, seksi, dan bermacam-macam fesyen, tetapi pada petang yang indah itu crowd dihiasi dengan para muslimah (manjoriti) yang solehah-solehah semuanya. (^^,) Hehehehe...Jadi, dia bertanyakan soalan (ketika itu aku bersama teman-teman peserta),

En. Polis: Korang semua ni datang daripada mana? 
Aku :  Err...(agak blur ketika ini. Takkan nak citekan hal sebenar pulak kan?? Haishh..)
En.Polis: Korang dari mana ni ramai-ramai ni? (Dia tak puas hati)
Aku :  Er..kiteorang dari Setiawangsa.
En.Polis: Ooo..Setiawangsa. Ingatkan apa la ramai-ramai ni..
Aku: Er..saje je, kiteorang datang ber-shopping...hehehe (Wahh...idea spontan ni. Tak tau la logik ke tak. Hentam je lah)

Masanya telah tiba!

Seperti yang dirancangkan. Penjaga speaker telah pun bersedia dan lagu telah dipasang dengan kuatnya. Maka bergemalah lagu nyanyian Opick - Shollu 'ala Muhammad. Pertunjukkan flasmob di mulakan dan diketuai oleh Bro. Deen dan begitu jugalah untuk lagu yang seterusnya Opick - Pewaris Surga. Dan, selepas selesai kedua-dua lagu maka pergerakkan akhir adalah 'freezing'  iaitu dengan duduk statik sambil mengayakan amalan sunnah Nabi SAW. Kumpulan aku membawa mesej 'freezing' yang berbunyi 'Muhammad SAW taught us to >> "Respect your parents" '. Gaya 'freezing' ni tak lama, hanya 2-3 minit je. Okey la tu...

SELESAI...

Maka, "Tepuk!-Tepuk!-Tepuk! ". Alhamdulillah. Kemudian, flyers mula diedarkan dan sampul surat berwarna putih yang bertulis ' Duit Raya daripada Muhammad SAW' juga turut diberi kepada mereka yang bertuah (secara random). MasyaAllah, semoga Allah SWT memberi pahala yang banyak dan memberkati penganjur program dan semua yang terlibat.

Pada jam 5.30 pm (lebih kurang la kot...) - Tamatlah sudah program flasmob kami dan berjayalah misi jihad kami tanpa senjata. Kami diarahkan untuk bersegera menunaikan sola Asar di Pavillion sebelum kembali berkumpul untuk pulang bersama-sama. Sekian sudah coretan perjalanan program yang merupakan pengalaman pertama aku. Agak teruja dan happy bila program ini berjalan dengan jayanya walaupun terdapat pelbagai dugaan dan halangan serta sedikit kelemahan.


TRIVIA:

- Pada jam 6 pm, sekumpulan manusia non-muslims (mungkin berbangsa cina) telah membuat pertunjukkan seakan flasmob juga di hadapan Pavillion. Yang jelas kontranya dengan flasmob kami, mereka menari tarian...huh! apa lagi tarian yang tengah 'hot' sekarang? Oppa Gangnam Style! Huh! (Akhlak Jahanam Style!) --> Sorry to say diz. Aku memang anti dengan tarian yang tak bertamadun ni. (Oppss..sorri la ye kalau ade peminat dance yang ntah apa-apa ni....Opps!)

- Kemunculan kumpulan besar kami di stesen LRT & Monorel membuatkan orang-orang disekeliling memandang dengan [?] di dalam kotak fikiran mereka. Adakah kami nampak weird? atau kami adalah antara golongan asing yang minoriti?

Dan, inilah hakikat yang telah dijangkakan:



"Islam itu bermula asing lagi aneh (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).”  [Hadis Riwayat Muslim, 1/350, no. 208]

“Maka beruntunglah mereka yang dianggap asing, iaitu orang-orang yang melakukan islah (pembaikan) di ketika manusia berkeadaan rosak.”  [Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/219, no. 2554. At-Tirmidzi mensahihkannya]


PENDAPAT:

  • Untuk lebih mantap, latihan flashmob perlu dibuat beberapa hari awal supaya nampak lebih cun dan  seragam. Mungkin next time akan lebih power kot. Aminn..InsyaAllah. Teruskan! Teruskan! ye adik-adik! (^_<)
  • Mungkin, perlu cari tempat yang lebih luas sikit (jika peserta mencapai 3 angka)
  • Terdapat sedikit kelemahan dalam perjalan aturcara. (Yang ini, no wonder lah kan...mana-mana event organizer pun kadang-kadang buat silap yang ini). Tetapi masih boleh diperbaiki. InsyaAllah.
  • So far....kesemuanya okey! Dan misi hari ini BERJAYA! Mabruk 'alaik untuk antum semua!


P/S: Semoga apa yang telah dilakukan akan dipraktikkan didalam kehidupan. Terutama dalam bab-MEMBINA UKHUWAH. Nabi Muhammad SAW dan agama Islam itu sendiri sangat mementingkan persaudaraan. Baginda SAW tidak memilih untuk bersalaman dan berkenalan di antara satu sama lain dikalangan umat islam. Murahnya senyuman baginda semurah hatinya. Dari Hasan dari Rasulullah SAW, baginda bersabda : "Umatku masuk syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan jiwa dan kasih sayang sesama muslim."

Rasulullah SAW bersabda : "Para pengasih akan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih. Kasihanilah yang di bumi maka yang di langit akan mengasihi mu."

Dan, jika hal ini tetap juga berlaku (longgarnya tali persaudaraan) maka bersiap sedialah untuk menunggu penghujungnya umur dunia seperti salah satu hadis Nabi SAW :

Daripada Abdullah Ibn Mas'ud r.a, beliau berkata : Rasulullah SAW telah bersabda, "Sesungguhnya apabila kiamat sudah hampir tiba (1.) orang hanya memberi salam kepada orang yang dikenalinya sahaja, (2.) perniagaan akan bertambah maju, sehingga orang perempuan membantu suaminya berniaga, (3.) banyak orang memutuskan hubungan silaturahim (hubungan kekeluargaan), (4.) banyak saksi palsu (5.) orang menyembunyikan penyaksian yang benar, (6.) dan akan banyak kemudahan alat tulis." [Hadis riwayat Ahmad]



Lastly, aku ucapkan jutaan terima kasih buat team penganjur yang bertungkus lumus dan berpenat lelah dalam menjayakan program yang sangat-sangat bermanfaat. Kalau tak kerana diadakan program ni, maka tak terciptalah pengalaman pertama hamba Allah ini. Jazakumullahu Khairan! Syukur kepada Allah SWT juga yang memberi kudrat dan kesihatan yang baik untuk join program ni. 

Dalam banyak-banyak lagu Opick. Lagu yang digunakan di dalam program ni adalah yang pertama kali aku dengar. Kalau nak dengar lagu Opick - Shollu 'ala Muhammad, sila klik disini  & untuk lagu Opick - Pewaris Surga, sila klik disini.


Apa yang boleh aku katakan, walau apa pun yang terjadi, biarlah apa orang nak kata...aku join program ni atas rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW, niat untuk memberi sokongan sesama umat Islam dan niat untuk berdakwah....lillahi ta'ala!  <--Inilah ayat penguat jiwa ketika fikiran jahat berbisik kepada hati untuk tidak hadir ke program ni.

 Alhamdulillah~