Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,
Alhamdulillah di atas nikmat Iman dan Islam yang Allah SWT
berikan kepada aku dan kalian semua. Alhamdulillah! Di atas setiap kejadian dan
kewujudan di alam bernama kehidupan. Alhamdulillah! Di atas kurniaan akal yang
baik dan tubuh badan yang sihat.
Allahuakhbar!
Sesungguhnya aku ini hamba-Nya yang baru terjaga dari lena
yang mengasyikkan. Aku ini pernah terlalu banyak bermimpi tanpa mengenal erti
realiti. Aku ini pernah alpa dari mengucap lafaz-lafaz syukur. Aku ini pernah buta
dari mengenal Sang Pencipta. Aku ini yang pernah bergantung kepada manusia
semata. Menyintai manusia melebihi cinta kepada-Nya. Aku ini begini...aku ini
begitu. Itulah aku dari sudut kaca kegelapan yang lampau.
Alhamdulillah. Namun Allah masih memberi peluang untuk aku
melihat kehidupan dari perspektif yang di redhai-Nya. Dia yang mengejutkan aku
dari mimpi. Dia yang mencelikkan mata hati aku yang buta. Dia yang memberi
peringatan sebagai ubat kepada kealpaan. Dia yang menegurku ketika aku lalai. Dan, Dia
yang memberi cahaya petunjuk kepada penyuluh kegelapan. Dia yang memberi rasa
cinta untuk menyintai-Nya. Dia buat begitu..Dia buat begini, sedang aku masih
menegakkan keegoan walaupun hati merintih sengsara. Nah! Sekarang aku
tersedar...tersedar setelah di sapa dengan kesedihan, kekecewaan dan berputus
asa.
Aku tertanya-tanya, siapakah aku? Tujuan hidup? Mahu menjadi
siapakah? Aku merasakan aku tersesat jauh, sehinggakan aku tidak mengenal
jalan-jalan dihadapan. Aku buntu. Jadi, aku membuat U-Turn. Alhamdulillah, aku
jumpa Dia. Tuhanku yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Lama aku menangis di sejadah. Bercerita masalah. Meluahkan
resah. Melafazkan ungkapan cinta kepada-Nya. Allahuakhbar! Ya, Dia Maha
Mendengar. Aku diberi kekuatan. Sedikit demi sedikit aku bangkit. Hilang resah,
ketenangan menjelma. Aku gembira. Wa syukurillah!
Hidayah Allah. Itu pemberian paling berharga buat aku
hamba-Nya. Aku tidak mahu kehilangannya. Kehilangannya membuatkan aku kembali
kepada kegelapan yang mendorong aku mengumpul saham ke neraka. Na'uzubillah.
Cahaya petunjuk, cahaya yang menyuluh ketika aku melalui
jalan yang lurus. Semakin aku melangkah mara kehadapan, semakin aku merasai
kenikmatan iman dan islam. Dan, disini bermulalah segala-galanya.
Aku kehausan ilmu tentang-Nya.
Aku ingin mengenali sifat-sifat-Nya.
Kalam-Nya yang mulia aku dekati.
Aku mula mengenali diri.Dari setiap pesanan-pesanan Nya.
"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu,
anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin (yang benar-benar beriman),
hendaklah mereka menghulurkan jilbab-jilbab mereka keseluruh tubuh mereka. Yang
demikian itu supaya mereka lebih dikenali, kerana mereka tidak diganggu, dan
Allah maha pengampun lagi maha Penyayang"
[Surah Al Ahzab, ayat : 59]
Aurat. Inilah perkara pertama yang menjadi fokus. Kerana,
Allah SWT menyebut tentangnya di dalam Al-Quran. Allah menerangkan seksaan bagi
yang ingkar. Lalu aku hamba yang hina dan jahil ini mengkaji tentangnya.
Membuat eksperimen ke atas diri sendiri. Nah! Kebenaran itu pasti. Semakin aku
mencuba, semakin aku selesa. Semakin aku tambah, semakin aku rasa
kekurangannya. Barangkali belum cukup untuk menutupi. Ya! Selama ini mungkin
aku hanya membaluti aurat. Bukan menutup! Jadi, Allah SWT mengajarku bagaimana untuk
mendapatkan keselesaan dan Dia yang mengenalkan aku tentang imej seorang
muslimah. Ya, imej yang menjadi identiti diri yang selama ini aku cari. Terima
kasih, Allah.
Namun, itu semua belum cukup untuk mengatakan aku solehah.
Jika sempurna jilbab diluaran, belum tentu sempurna jilbab di hati. Hati yang
kotor perlu dibersihkan. Bagaimana? Ya, sudah tentu dengan zikir-zikir dan
alunan ayat-ayat dari kalam-Nya. Itulah pembersih hati yang paling berkesan
untuk hati yang berlumut dengan dosa silam.
Hati yang bersih, jiwa akan mendapat ketenangan. Namun, akal
pula dahagakan ilmu. Katanya, 'ilmu mu belum cukup menguatkan hati mu'. Jadi,
aku merasa jahil dan bodoh. Aku mula mengali lubuk-lubuk ilmu yang ada. Semakin
aku gali, semakin aku merasai kebodohan.
"Wah, ini pun aku tak tahu?"
"Alamak, apa ni?"
"Ohh..haram hukumnya,"
"La..baru aku tahu,"
"Ya, Allah...kenapa lah sebelum ni
aku tak pernah nak ambik tau,"
"Ceh, budak kecik pun tau,"
"Bodohnya aku...Ya Allah, aku
malu..."
Inilah di antara ayat-ayat pengakuan di atas kebodohan dan
kejahilan ketika usia menginjak alam kedewasaan & ke'tua'an. (Yang mana dan
boleh jadi mak dan bapak orang)
Ketika inilah aku merasa kerugian waktu. Tahun-tahun yang
berlalu aku bazirkan dan biarkan berlalu dengan begitu saja. Sia-sia dan penuh
dosa. Betapa ruginya aku. Inilah dikatakan seperti peribahasa Melayu, 'Sudah
terhantuk, baru terngadah' (maksudnya: “Setelah mendapat kesusahan baru hendak
beringat-ingat”)
Alhamdulillah, Wa syukurillah!
Dari alunan melodi Linkin Park, Muse, Eminem, Creed,
GreenDay....kepada alunan melodi Hijjaz, InTeam, Raihan, Devotees, dsb.
Dari koleksi bahan bacaan Utopia, Gempak, Galaxie...kepada
koleksi bahan bacaan Solusi, Al-Islam, Al-Ustaz dsb.
Itulah aku. Seorang hamba yang terjaga dari lena yang
mengasyikkan. Dan, Allah itu Maha penyayang, Dia tidak membiarkan aku seorang
diri. Dia sentiasa ada. Dia-lah yang memberi petunjuk dan hidayah. Dia-lah yang
memberi nikmat Iman & Islam. Dia-lah yang menjadikan aku seperti aku pada
hari ini.
Aku tidak mahu kembali kepada masa lalu
Aku tidak mahu menjadi aku yang dulu.
Sudah cukup sudah...
Cinta manusia hanya sementara
Namun cinta-Nya kekal selamanya...Kerana....
Aku hamba-Nya, bukan hamba kepada manusia!
PERKONGSIAN DARI SEORANG 'ABDULLAH' (Hamba Allah) Jazakallahu Khairan~
Jom! Dengar lagu Hidayah - Hijjaz

No comments:
Post a Comment