Sunday, March 17, 2013

Hijrah Itu Indah: EGO kepada Allah. Dan Aku Berhijrah…


Assalamu'alaikum  w.b.t,

HIJRAH. Apa makna yang tersirat disebalik perkataan ini? Tentu sekali jika dikaitkan dengan sejarah Islam, kita akan teringat akan peristiwa umat Islam dan Nabi Muhammad SAW berpindah dari Mekah ke Madinah bagi menyebarkan dakwah dan menegakkan agama Islam. Tetapi, bagaimana pula pengertian hijrah dalam konteks ‘diri kita sendiri’ ? Perkataan hijrah mengandungi elemen ‘dari’ atau ‘ke’ dan ‘daripada’ atau ‘kepada’. Dan inilah elemen yang memperngaruhi diri insan bernama manusia. Sebenarnya, dalam konteks hijrah terhadap diri sendiri  boleh juga dikatakan sebagai hijrah hati. Hijrah hati bermaksud, berhijrah daripada cinta selain dari Allah, kepada mencintai Allah. Berhijrah daripada menghambakan diri kepada manusia, kepada menjadi hamba kepada Allah. Berhijrah daripada bergantung kepada selain Allah (manusia & dunia), kepada takut dan berharap kepada Allah.

Setiap orang mempunyai pengalaman penghijrahan masing-masing. Bagaimana ia bermula? Sudah tentu melalui Dia yang Maha Esa. Tidak dinafikan, kadang-kadang sikap ego kita yang sentiasa menidakkan kehadiran hidayah Allah. Bila terasa hendak membuat kebaikkan, maka muncul lah bisikan-bisikan syaitan yang menghasut. Ini kerana, kita sudah terlalu selesa dengan cara dan gaya kehidupan yang tanpa kita sedari ianya terkeluar dari landasan Islam yang sebenar. Apa yang kita inginkan hanya keseronokkan, kepuasan, kegembiraan, kesenangan, kemegahan, pengaruh, dan puji-pujian. Kesemua ini adalah bersifat sementara. Apabila kesemuanya hilang, maka dengan itu kita merasa resah, merasa kehilangan, kemurungan, merasa diri tidak berguna, merasa kesunyian dan hati rasa kosong. Nah! Inilah cara Allah SWT menyapa hamba-hambaNya yang ego dan hanyut dengan keseronokkan dunia.

Dan, aku hambaNya tidak terkecuali dari semua itu. Beberapa kali ditegur oleh Allah SWT (dengan ujian dan dugaan). Namun, tidak juga aku sedar. Pernah suatu ketika, pada tahun 2009 berlakunya peristiwa lemas yang hampir meragut nyawa. Sewaktu lemas yang mana ketika itu merasakan badan ditarik perlahan-lahan ke dalam air . Aku dapat merasakan semakin gelap dan semakin hilang cahaya. Aku cuba berusaha untuk naik ke permukaan, tetapi gagal.  Dalam hati terdetik, “Ya Allah, aku akan mati ke hari ni?”. Kemudian, selepas beberapa ketika aku terasa simbahan cahaya dan terasa oksigen mula memasuki rongga-rongga pernafasan. Alhamdulillah! Aku memandang sekeliling. Aku mulai nampak ramai orang. Aku masih melihat alam. Ya! Aku masih diberi peluang untuk hidup dengan pertolongan Allah melalui seorang penyelamat. Ketika didalam perjalanan pulang, lama aku termenung memandang langit senja. Hatiku berbisik, "Alhamdulillah. Aku masih dapat melihat dunia. Jika tidak, sudah pasti aku tidak akan dapat melihat senja…” Aku merasa sebak.

TETAPI! Peristiwa itu lansung tak memberi kesan sepenuhnya terhadap diri sendiri. Insafnya hanya sekejap. Kemudian, kembali kepada asal. Inilah yang dikatakan ego kerana tahu akan kebenaran tetapi tidak mahu mengikuti. Aku memilih untuk berada di dalam zon selesa, berada didalam keseronokkan dunia, bergantungan kepada manusia. Bagi aku, itu semua sudah cukup membuatkan aku merasa lengkap dan tidak memerlukan apa-apa lagi. Walaupun aku masih menunaikan ibadah-ibadah yang wajib seperti solat dan puasa tetapi pada masa itu aku tidak peduli akan keikhlasan melakukan ibadah tersebut. Hanya buat tetapi pengisiannya…kosong!

Allah SWT tidak jemu dalam menguji hamba-hambaNya. Lalu aku diuji dengan perasaan berputus asa,  kehilangan segala rasa bahagia, konflik dengan seorang sahabat yang disayangi dan sebagainya. Dan, ketika itulah aku tersedar bahawa aku memerlukan Tuhan. Lalu aku menunaikan solat, dan aku berdoa hingga menitis air mata. Aku memohon agar aku dijauhkan dari penderitaan perasaan itu dan dijauhkan dari manusia-manusia yang menjadi punca kesengsaraan jiwa. Sehinggalah, pada suatu malam kehadiran sebuah mimpi. Kelihatan aku sedang melalui suatu titian atau jambatan yang dilalui oleh ramai manusia. Kebanyakkan manusia yang lalu disitu adalah orang-orang kafir. Sehinggalah dipenghujung jambatan itu, aku diikuti oleh seseorang. Aku menoleh dengan mata yang mengecil kerana disimbahi cahaya yang sangat terang. Kelihatan seorang lelaki yang memakai serban dan berjubah putih berjalan menghampiri aku. Aku cuba melarikan diri. Kemudian, orang dengan wajahnya yang bercahaya itu mengucapkan sesuatu sambil tersenyum kearah ku. Pesannya lebih kurang begini, “Celakalah! Orang-orang yang ingkar akan perintah Allah. Dan, berbahagialah orang-orang yang mengikut perintahNya.” Selesai saja berkata-kata, orang itu tersenyum manakala aku terus melarikan diri kerana ketakutan. Kemudian, perlahan-lahan cahaya itu hilang dan aku terjaga dari tidur yang lena. Aku terpingga-pingga dan terus bibir mengulang kata-kata yang di sampaikan oleh ‘orang’ di dalam mimpi tadi. Sehingga hari ini, kata-kata ‘orang’ itu sentiasa berlegar-legar di kotak fikiran. 

Allahuakhbar! Subahanallah! Di atas rasa keyakinan dengan pertolongan Allah SWT, itulah permulaan kepada membulatkan niat untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Penghijrahan yang dilakukan secara berperingkat-peringkat melalui petunjuk dan hidayah yang Allah SWT kurniakan.  Kini, aku mula merasai ketenangan dan kemanisan iman. Allah menghilangkan segala kesedihan dan kemurungan. Allah mengurniakan teman-teman yang positif dan sentiasa memotivasikan diri.  Aku bersyukur dengan apa yang aku miliki pada hari ini. Jika diberikan harta seluas lautan hatta sebanyak gunung sekali pun, tidak sekali-kali ingin aku ulangi masa lalu. Tiada anugerah nikmat yang paling bermakna selain anugerah  nikmat IMAN & ISLAM dan tiada yang paling berharga melainkan kalimah لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللّهُ !


Ketika saat ini, aku masih lagi sedang bermujahadah dan istiqamah. Masih belum layak dikatakan solehah. Terlalu banyak kejahilan, kelemahan dan kekurangan. Aku mula menggali lubuk-lubuk ilmu kerana jiwa mendahagakannya. Jika ditanya ‘apa yang sedang aku hijrahkan (ubahkan)?’ jawapannya adalah : Ia meliputi keseluruhannya - iaitu diri sendiri, samada dari aspek fizikal (luaran) dan juga pemikiran (dalaman). Kesemua ini sedang aku adunkan untuk dibentuk mengikut acuan Islam, kerana Islam itu adalah cara hidup. Selain itu, aku juga menanam impian untuk berniqab. Namun, ia tidak semudah memasang impian dek kerana takut akan tersasarnya niat. Maka, aku perlu mengadakan sedikit percaturan dengan diri sendiri, juga dengan mengharap suluhan petunjuk dari Ilahi. Jika diizinkan-Nya selaras dengan niat dihati. InsyaAllah. Semoga dipermudahkan.


Maaf jika entri ini terlalu panjang dan mengambil masa kalian untuk membaca. Tetapi inilah hakikatnya kepada sebuah penghijrahan. Sesungguhnya penulisan ini hanyalah sekadar sebuah perkongsian yang membawa harapan agar kalian-kalian yang sedang berhijrah/ ingin berhijrah mengambil apa-apa manfaat daripada entri ini. Tak dinafikan ketika proses penghijrahan itu berlaku, terlalu banyak ujian dan halangan. Hati berbolak-balik, fikiran tidak menentu dan terasa hilang semangat. Namun ingatlah wahai kalian, bahawa pilihan untuk menjadi hamba Allah yang patuh terhadap suruhanNya tidak sekali-kali akan rugi. JANGAN BERTANGGUH untuk bertaubat kerana tiada jaminan untuk setiap detik yang mendatang. Apa yang difikirkan tentang dunia? Kerana dunia ini pinjaman sementara. Jika tidak percaya, perhatikan sekeliling mu, lihat detik-detik waktu yang berlalu. Sangat pantas kan? Hilangnya keberkatan waktu dan terjadinya banyak kemusnahan serta bencana. Tanda-tanda apakah ia? (Fikir-fikirkanlah…..) Wallahua'lam~


Berbanggalah jika kalian dikatakan asing (kerana mengikut syariat) kerana Islam itu sendiri bermula dalam keaadaan yang asing. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Islam mulai dalam keadaan asing dan akan kembali sebagaimana ia mulai iaitu menjadi asing. Kerana itu berbahagialah orang-orang asing” 
[Hadis Riwayat Muslim]

Sekian, wassalam.


# Perkongsian dari seorang Hamba Allah. Semoga Allah memberinya taufik dan hidayah untuk terus istiqamah. Aamiin~



5 comments:

  1. Wahh, bestnya bait-bait :) Semoga kita samasama terus lurus di jalan Allah :)

    ReplyDelete
  2. dari segman yang sama =)

    http://www.ubaidullahjaafar.my/2013/03/segmen-hijrah-itu-indah.html

    ReplyDelete
  3. semoga istiqamah dalam berhijrah...Amin
    dr segmen y sama
    http://noraiiiiiin.blogspot.com/2013/03/hijrah-itu-indah.html

    ReplyDelete
  4. terima kasih atas perkongsian .
    innshaaallah sama sama istiqamah :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama2 kasih :)
      InsyaAllah..mudah2an kita semua diberi taufiq dan hidayah. Aamiin Allahumma Aamiin

      Delete