Tuesday, March 5, 2013

Tersebutlah sebuah kisah di hari Jumaat....



Gambar sekadar hiasan semata-mata




 Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,


Pada hari Jumaat yang lepas, aku menolong Kak Z (seorang kakak kat ofis) yang sedang menyusun kotak-kotak kecil yang tidak berisi untuk disimpan. Ketika tangan kami rancak menyusun, tiba-tiba Kak Z bersuara. Dengan senyuman dia membuka bicara, “Ni ada satu cerita..”  Mendengarkan itu, aku segera memberi perhatian kepada apa yang akan diceritakannya.


“Ada sorang makcik ni, pada waktu siang kerjanya menjual tempe yang dibuat sendiri dan pada waktu malamnya dia rajin beribadah kepada Allah SWT. Pada suatu hari, makcik tu melihat barang jualannya. Alangkah terkejutnya dia pabila mendapati kacang soya yang dibungkus dengan daun pisang masih belum menjadi tempe. Makcik tu agak kecewa dan berasa sedih lalu dia berdoa, “Ya Allah, jadikanlah kacang soya ini tempe.” Setelah berdoa, dia mengambil masa untuk menunggu tempenya menjadi. Namun, masih juga tidak menjadi. Oleh kerana keyakinannya terhadap kekuasaan Allah SWT, lalu dia berdoa lagi, “Ya Allah, sesungguhnya Kau yang Maha Kuasa tolonglah ubah kacang soya ni jadi tempe.” Namun, kacang soya itu tidak juga menjadi tempe. Makcik tu mula berasa seperti berputus asa tetapi dek kerana tiada lagi sumber mata pencarian, dia meneruskan juga perjalanannya ke pasar dengan membawa tempenya yang belum menjadi. Ketika di dalam perjalanan, makcik itu tidak putus-putus berdoa kepada Allah supaya kacang soya itu dapat bertukar menjadi tempe setibanya dia di pasar nanti. 
Di pasar, makcik membuka bekas jualan yang dibawa. Hatinya terlalu berharap agar keajaiban berlaku. Malangnya, tempenya masih juga belum menjadi. Hampa dan kecewalah makcik. Kali ini dia benar-benar berputus asa. “Mungkin tiada rezeki daripada Allah untuk aku hari ni…” Keluhnya.





Sehingga ke petang, makcik itu masih berada di tempat jualanya. Sedang dia termenung memikirkan nasib malangnya pada hari itu, tiba-tiba dia disapa oleh seorang wanita berusia lingkungan lewat 30-an. “Assalamua’laikum makcik, saya nak tanya. Kat sini ada tak sape-sape yang jual tempe yang belum menjadi tempe?”  


Mendengarkan itu, makcik mengerutkan dahi. Apa ke pelik nak beli tempe yang belum siap?  “Wa'alaikumussalam. Err..makcik ada la jual..tapi- ” Serba salah pula rasanya nak menjual tempe yang belum siap. 

Wanita tersebut memandang makcik dengan wajah yang ceria. “Betulkah?” 
Makcik angguk lambat-lambat.  


                “Wahh..Alhamdulillah! Dah merata-rata saya cari tempe yang belum menjadi tempe. Akhirnya, berjumpa juga dengan makcik yang menjualnya. Kalau macam tu saya nak beli kesemuanya!” Kata wanita itu dengan penuh bersemangat sekali.  


“Semua? Err…sebelum tu makcik nak tanya sikit. Orang semua nak tempe yang dah siap. Ape ke pelik kamu ni nak beli tempe yang belum siap?" Soal makcik meleraikan persoalan yang terbuku dimindanya.  


Wanita tersebut melepas ketawa kecil. “Sebenarnya, saya nak pos tempe-tempe ni ke luar negara. Anak saya belajar kat sana. Dia beria-ria minta saya poskan tempe. Tempe ni feveret dia makcik. Maklumlah…orang Jawa asli katakan..hehehehe..Kalau saya pos tempe-tempe yang belum menjadi ni, sempatlah sampai kat sana nanti mesti dah jadi tempe.” Terang wanita itu.  


“Ohh..kalau begitu…baiklah,” Lalu makcik segera membungkus tempenya yang belum menjadi itu. Kemudian diberikan kepada wanita tersebut. Wanita itu membayarnya dengan harga yang tinggi kerana terlalu gembira.  


Belum sempat makcik berkata apa-apa, wanita itu berlari-lari dengan girangnya sambil membawa bungkusan tempe yang belum menjadi. Makcik mengira-ngira kepingan not yang berada di tangannya. Dia terkejut dan bercampur rasa terharu pabila jumlahnya yang tidak dijangka, iaitu melebihi keuntungan yang biasa diperolehinya. “Alhamdulillah…Alhamdulillah….Syukur pada Mu ya Allah!” Ucap makcik itu dan segera beristigfar diatas pra sangkanya kepada Allah seketika tadi. Akhirnya, makcik itu pun pulang dengan hati yang gembira sambil membawa bekas-bekas kosong yang bersama hasil keuntungannya pada hari itu. 


Haa..gitu la kisahnya. "

Aku terangangguk-angguk faham setelah Kak Z  hampir menamatkan penceritaanya yang penuh pengajaran itu.

                “Macam kotak-kotak kecik ni jugak. Nampak macam tak berguna. Tapi, bila tiba suatu masa di perlukan jugak. Ada manfaatnya nanti.” Sambung Kak Z memberi konklusi sambil meneruskan kerja-kerja penyusunannya.

“Ya..ya..betul-betul,” balas aku sambil tersenyum mengiyakan konklusinya yang berkait dengan tempe yang belum menjadi itu. Dalam erti kata yang mudah, jangan anggap sesuatu yang nampak seperti tidak berguna itu tiada manfaatnya. Mungkin bukan hari ni, tetapi manfaatnya akan terlihat pada esok lusa atau di kemudian hari. (Err…korang paham ke apa yang aku citer ni? Harap-harap faham la yer..huhu)

Tetapi, aku ada tambahan pengajaran lain yang dapat diambil daripada al-kisah tersebut.



MORAL DARI CERITA:
  • Letakkan segala pergantungan termasuklah urusan rezeki kepada Allah SWT semata-mata kerana Allah-lah Maha Pemberi Rezeki.

"..Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan."

[Surah Al-Baqarah, ayat: 212]


  • Jangan bersangka buruk kepada Allah SWT atas setiap musibah yang berlaku. Ianya mungkin ujian dan dugaan bagi menguji tahap keimanan dan kesabaran hamba-hambaNya.



“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu apabila kesusahan menimpa, mereka berkata; sesungguhnya kami ini milik Allah dan 
sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.”

[Surah al-Baqarah, ayat 155-156]

  •  Jangan berputus asa dan kuatkan semangat.



“Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” 

[Surah Az-Zumar, ayat: 53]

  • Allah SWT itu Maha Pengasih dan Penyayang. Dia-lah yang memberi rezeki yang tidak disangka-sangka di atas kesabaran hamba-hambaNya dan Dia-lah Yang Maha Mendengar setiap rintihan doa.



Dan Dialah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Dia Mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan 
Dia juga Mengetahui apa yang kamu usahakan.
[Surah Al-An'am, ayat : 3]


Begitulah serba sedikit pengajarannya. Syukran jazilan kathira - kepada Kak Z kerana sudi berkongsi sebuah cerita yang bermanfaat buat diri ini dan juga kepada mereka-mereka yang membaca penulisan ini. Hanya kerana aktiviti menyimpan & menyusun kotak-kotak kecil, ia dapat membuahkan hikmah yang dikarang oleh sang idea lalu di coretkan melalui sebuah lisan daripada seorang insan yang baik hati. 

Jazakillahu Khair….


P.s : Cerita yang dikarang adalah cerita asal yang disampaikan oleh Kak Z, tetapi diolah sedikit untuk penyesuaian ayat.

"Dan berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa 
yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya 
sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki 
kepadanya dan kepadamu dan 
Dia Maha mendengar lagi 
Maha mengetahui."

[Surah Al-Ankabut, ayat: 60]



1 comment: