Assalamua'alaikum wbt & Salam Sejahtera,
Alhamdulillah..Diri ini cuba untuk melawan segala perasaan negatif (malas, give-up, mengantuk, penat dan sebagainya...) untuk mengerahkan jari jemari berentak di papan keyboard. Sudah lama rasanya untuk aku berkongsi sedikit kupasan ilmu daripada buku yang bertajuk 'Bersyukur Saat Di Uji'. Buku ini ditulis oleh seorang hamba Allah yang penuh dengan sifat tawadhuknya, iaitu Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Aku memperolehi buku ini bukanlah sengaja ingin membeli, tetapi telah diberi pinjam oleh seorang teman di ofis. Katanya buku ni, "Best! Menyentuh dan menyentap jiwa yang sekian lama leka dengan dunia." Pabila di menawarkan buku tersebut untuk dipinjam, aku terus mengangguk tanda bersetuju.
Keesokkan harinya, sebaik tiba di ofis aku tersnyum melihat sebuah buku itu sudah tersedia di atas meja.
Apa yang nak aku kongsikan kat ruangan ini adalah tentang sedikit kupasan yang dapat diambil daripada buku yang bertajuk 'Bersyukur Saat Di Uji' yang ditulis oleh Prof Muhd Kamil Ibrahim yang mana sangat jujur dan ikhlas dalam penulisannya. Bait-bait huruf yang ditaip di lembaran buku tersebut umpama sebuah bicara yang menerpa halwa telinga dan menyentuh hati si pembaca. Buku ini banyak memberi fokus pada hikmah disebalik kejadian atau perkara yang dialami oleh penulis sendiri yang mana beliau ikhlas dalam berkongsi pengalaman dan menghuraikan hikmah disebaliknya. Bab yang pertama, beliau menceritakan tentang pengalaman rumah kediamannya ditimpa musibah iaitu banjir besar. Bagaimana perasaan beliau dan keluarga dan bagaimana beliau menerima musibah tersebut dengan berlapang dada. Bukan itu saja, ketika musibah itu berlaku beliau diuji juga dengan kakak dan ayahnya yang sedang sakit. Subhanallah, tabahnya beliau dan keluarga.
Itu hanya dipermulaan bab. Untuk bab-bab seterusnya, beliau terus fokus tentang ujian-ujian yang telah dilaluinya dengan susah payah dan dengan penuh ketabahan. Tujuan beliau berkongsi kisah-kisah tersebut bukan niat untuk riak atau berbangga kerana berjaya melalui kesemuannya tetapi apa yang ingin disingkapkan adalah hikmah dan pelajaran daripadanya. Tak mustahil, apa yang dialami beliau akan dialami juga oleh kita, cuma yang berbezanya adalah masa, tempat dan watak-watak yang terlibat. Pengajaran yang perlu diambil adalah bagaimana untuk bersabar, untuk mendidik hati menjadi lebih tabah, menjadi orang yang bersyukur dan menghargai nikmat kehidupan yang Allah SWT berikan.
Antara bab yang aku suka adalah bab 'Sabar dan Solat'. Di dalamnya beliau ada menulis :
Allahu Akhbar. Mengadulah kepada Allah. Bangunlah solat malam. Bermunajatlah kepada-Nya dengan penuh pengharapan betapa Dia Yang Maha Berkuasa untuk menyelesaikan kusut-masai. Menangislah kepada-Nya. Merayu dan merintihlah, biar kita terasa yang jiwa dan perasaan kita tersangat hampir dengan-Nya. Luahkanlah rasa hati kepada Allah Yang Maha Mendengar. InsyaAllah, Dia tidak akan membuka aib kita sehingga kisah kita menjadi bualan sepejabat yang tidak membawa faedah. Bukankah Allah telah berfirman melalui satu hadis qudsi:
Allah SWT turun ke langit dunia, ketika sepertiga malam masih tersisa, Allah menyeru: "Adakah antara hamba Ku yang berdoa kepada Ku, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba Ku yang meminta ampun kepada Ku, supaya aku mengampuninya? Adakah antara hamba Ku yang meminta kepada Ku, supaya aku memenuhinya?" [Hadis Riwayat Bukhari & Muslim]
Bab 28 : 'Mampukah Kita?'
Kedua saya mengajak para jemaah haji yang bersama saya untuk sama-sama melaksanakan solat malam. Saya fikir, bilangan manusia yang mahu melaksana dan sanggup bangun pada sepertiga malam tersisa sangat sedikit. Nisbah orang yang hendak dan berjaya melakukannya bukan terletak kepada pangkat dan darjat, kelulusan Universiti Al-Azhar atau UiTM, ustaz atau guru biasa, profesor atau pensyarah biasa ataupun Perdana Menteri atau raja. Dan pastinya mereka yang mahu melaksanakan amalan ini boleh dikelaskan sebagai golongan terpuji.
Saya terbaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud:
"Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajjud (tinggalkan tidur untuk solat) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji." [Surah Al-Isra' ayat:79]
Bab 29 : 'Kusyuk'
Bab ini aku paling suka sebabnya beliau mengulas tentang isu kusyuk dalam ibadah. Hal kusyuk inilah antara perkara yang paling aku lemah. Dan, daripada penulisan beliau ini aku berjaya mendapat sedikit kekuatan. Antara patah perkataan yang menyapa jiwa;
Jika kita menghayati ada kehidupan lain selepas kematian serta berharap dan berhajat mendapat pembalasan yang terbaik pada kehidupan yang hakiki, insyaAllah datanglah kusyuk dalam solat ataupun amal ibadat lain.
Bab 30 adalah bab yang terakhir tajuknya 'Tunggulah'. Bab ini pun menarik juga. Beliau mengingatkan para pembaca tentang hari pembalasan. Ada perenggan menarik untuk dikongsi.
Tunggulah...kita semua sedang menunggu. Apakah keputusan ujian kehidupan yang telah kita lalui? Bagi mereka yang tidak mengetahui yang mereka sedang diuji, ia tidak membawa sebarang erti yang signifikan.Buat mereka yang tidak mempercayai atau berpura-pura tidak mengetahui yang adanya kehidupan selepas kematian, mereka tidak akan menunggu hari tersebut. Jika ada yang menyangka mereka belum diuji, mungkin ujian tersebut berlalu tanpa mereka sedari. Tunggulah...Tunggulah....Tunggulah. Hari itu pasti tiba.MasyaAllah, boleh aku simpulkan disini, penulisan daripada buku bersaiz sederhana ini mampu membuka mata hati dalam melihat kehidupan dari pelbagai perspektif. Mengetuk jiwa-jiwa yang terpesona dengan keindahan dunia sementara dan mengingatkan diri tentang siapa kita dihadapan sang Pencipta. Seriously, tak rugi jika kalian ingin membaca buku ini. Nampak bersahaja seperti buku cerita biasa, tetapi hikmah dan manfaat daripadanya amatlah luar biasa. Kata prof, itulah ilham dari Pencipta kepada hamba-hambaNya. Lalu aku teringat akan sepotong ayat al-Quran yang mana Allah SWT berfirman:
"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." [Surah Yunus, ayat: 107]
Sekian sajalah perkongsian kali ini, semoga mendapat manfaat daripadanya. Yang baik semuanya datang daripada Allah dan yang buruk daripada hamba sendiri...Ingatlah bahawa, baik kesedihan atau kegembiraan kedua-duanya adalah ujian, selagi mana ada kehidupan manusia memang tidak akan lepas daripada ujian. Bersiap sedialah dengan iman yang teguh dihati, kelak diberi ujian tidak mudah melatah dan masih mampu mengukir senyuman yang indah. :)
"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa(seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."[Surah At-Taghabun, ayat: 11]

No comments:
Post a Comment