Wednesday, May 15, 2013

Hati Bertaut Ilmu Di Kongsi.....




Assalamu'alaikum wbt & Salam sejahtera,


Hati bertaut kembali di usrah Tautan Hati. Diizinkan Allah, itu yang pasti! Alhamdulillah wa syukurillah wa ni'matillah, la haula wala kuwwata illa billah! Agak lama rasanya tak update perkongsian usrah di ruangan kaku ini. Terasa rugi kerana ilmu tidak dikongsi dan diperap seorang diri. Tetapi itu bukanlah niat dihati, ianya kerana putaran waktu yang sentiasa mencabar untuk berlumba lari. Alhamdulillah. Di saat ini, aku mencuri sedikit ruang waktu supaya dapat aku coretkan sesuatu diruangan kaku ini. Izinkan aku berkongsi...

Seperti kebiasaan, usrah akan bermula dengan tadabbur surah-surah pendek daripada Al-Quran. Surah pilihan untuk kali ini adalah surah Al-Ma'un yang bermaksud 'Pertolongan/ Bantuan'. 

Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 7 ayat. Di namakan surah Al-Ma'un kerana pada akhir surah ini Allah Ta'ala menjanjikan seburuk-buruk balasan kepada orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan kepada orang yang berhak menerimanya.

Ustazah juga menerangkan beberapa intisari kandungan ayat-ayatnya. Di dalam surah ini Allah menjelaskan  tentang sifat-sifat yang dianggap mendustakan agama. Antara sifat-sifat itu ialah :

  1. Orang yang mengherdik, menindas atau berlaku kasar terhadap anak yatim.
  2. Orang yang tidak memberi makan kepada orang miskin. (atau di dalam tafsir Quran yang lainnya diterangkan : Orang yang tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin)
  3. Orang yang lalai dalam mengerjakan solat.
  4. Orang-orang yang riak dalam beribadat.
  5. Orang-orang yang tidak memberikan pertolongan kepada yang berhak menerimanya.
Semoga kita semua dijauhkan dari sifat-sifat diatas. Aamiin~

Setelah selesai mentaddabur Surah Al-Ma'un. Usrah diteruskan dengan kupasan ilmu daripada buku 'Ghayar Nafsaka'. Ustazah menjelaskan tentang:

  • Kita mestilah menjadi umat yang mulia. Kerana kita dilahirkan dalam keadaan mulia di sisi Allah dan diciptakan pula oleh Yang Maha Mulia-iaitu Allah SWT.
  • Jangan sesekali menghina diri sendiri kerana hidup dengan kehinaan lebih teruk daripada hidup dengan kelaparan.
  • Jika kita menerima suatu penghinaan, hilangkan hinaan itu dengan hijrah. Ianya bermaksud, janganlah bila diri kita dihina di suatu tempat, kita hanya membiarkan ia berterusan. Hanya mengeluh dengan mengenang nasib. Berputus asa dan lemah semangat. Come on! Bukan begini semangat seorang muslim. Dunia ini diciptakan amat luas oleh Yang Maha Luas. Mungkin masih ada ruang dan peluang untuk kita berhijrah ke suatu tempat dimana dapat menjauhkan kita dari penghinaan yang dilemparkan. Maka, jika kita sudah berhijrah carilah kemuliaan disitu. Mudah-mudahan mendapat redha Allah SWT. Diri ini diciptakan mulia oleh Yang Maha Mulia, masakan kita membenarkan diri kita di hina oleh orang lain? atau kita sendiri yang menepek kehinaan itu pada diri? Tepuk dada tanyalah iman... :)

Sedang kita mencari kemulian, berhati-hatilah wahai kawan. Janganlah kita terlalu leka, hingga tidak menyedari kaki sudah pun melangkah menuju kehinaan. Antara faktor yang membolehkan kita menjadi orang yang hina adalah:

  • Apabila kita mula menghambakan diri kepada syaitan. (Cth: Malas solat, baca Quran dan berzikir)
  • Apabila kita mengikut hawa nafsu dalam kehidupan seharian (Cth: Memarahi orang lain tanpa memikirkan perasaannya, makan terlalu kenyang hingga berlaku pembaziran, tidur yang melampaui batas normal seorang manusia...huhu~)
  • Apabila kita hilang percaya kepada Allah SWT. Haa! Yang ni amatttttt bahaya! Jaga-jaga....!

Setelah selesai kupasan ilmiah daripada buku tersebut. Ustazah memberi sedikit ruang dan peluang jika ada sesiapa yang ingin berkongsi pendapat, atau bertanyakan soalan. Selang beberapa minit, seorang ukhti yang bernama Fathiyah bangun bergerak ke hadapan. Beliau dengan seikhlas hatinya ingin berkongsi sebuah analogi yang agak menarik dan menyentap jiwa. Di tangannya, kelihatan dia memegang sekeping not RM 50 yang masih cantik dan tidak berkedut. Lalu, bermulalah perkongsian beliau....

"Kehidupan kita sebagai manusia ini dapat diumpamakan seperti sehelai wang kertas yang baru. Wang itu bernilai samalah seperti diri kita sejak dilahirkn lagi. Malah, itulah nilaian Allah SWT terhadap diri kita. Apabila setiap kali kita melakukan dosa ia kelihatan seperti ini (kelihatan ukhti Fathiya merenyukkan kepingan not RM50 itu dengan mengenggamnya perlahan. Kelopak matanya mula bergenang). Kemudian, kita buat dosa lagi (kali ini kelihatan ukhti Fathiya menumbuk-numbuk kepingan duit RM50 yang sudah renyuk tadi hingga hampir hilang rupa asalnya. Kali ini, air matanya tidak dapat ditahan lagi). Namun, apabila kita kembali bertaubat kepada Allah serta menyesali setiap perbuatan kita yg lalu (duit RM50 yang renyuk tadi di kembalikan kepada kepingan asal). Lihat! kita akan dapat lihat garisan-garisan yang ada pada kepingan duit ini. Garisan itu terus kekal kan? Inilah diumpamakan sebagai garisan-garisan dosa dan begitulah jugalah dengan dosa-dosa yang terpalit di dalam diri kita. Walaupun ia dipandang dan kekal pada pandangan manusia namun nilai wang itu tetap sama dan masih bernilaikan? Begitulah pandangan Allah pada kita.....biarpun pada pandangan manusia kita hina, jijik dan kotor..tetapi pada pandangan Allah, kita tetap bernilai sebagaimana nilainya diawal kelahiran kita ke dunia......"  



Begitulah sebuah analogi kehidupan yang dibentangkan oleh ukhti Fathiya. Kelihatan sahabat-sahabat usrah yang lain hanya tertunduk diam membisu. Masing-masing tenggelam di dalam dunia sendiri sambil bermuhasabah diri. Syukran jazilan ukhti Fathiyah, analogi mu ini akan aku ingati dan aku akan cuba sampaikan kepada sahabat-sahabat lain seperti mana dirimu melakukannya. Halalkan perkongsian ini ya ukhti....(Aku tidak tahu samada perkongsian ini akan dibaca olehnya atau tidak. Namun tidaklah mustahil jika diizinkan Allah) Jazakillahu khair ya ukhti....

Ibrah daripada perkongsian analogi tersebut, janganlah kita merasa berputus asa daripada rahmat Allah walaupun kita telah melakukan dosa yang besar. Kerana sesungguhnya, Allah itu membuka seluas-luasnya pintu taubat dan pengampunan. Allah tidak sesekali zalim! Tidak! wahai sahabat. Kitalah yang menzalimi diri sendiri dengan membawanya ke lembah kejahilan dan mengikut tujukkan syaitan. Allah mahukan kita bersama-sama berkumpul di syurga hanya dengan beribadah dan taat kepada perintah-Nya. Malah, Allah masih ingin menerima taubat hamba-hamba-Nya yang berlumur dosa. 

“Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”  

[Surah Az-Zumar, ayat: 53]


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."

[Surah Al-Baqarah, ayat: 186]


Maka, sekian sajalah perkongsian usrah pada kali ini. Semoga memperolehi manfaat dan hikmah daripadanya. Mohon maaf sekiranya ada kekhilafan di dalam coretan hamba. Sesungguhnya, yang baik itu datang daripada Allah (Segala puji-pujian hanya untuk Allah) manakala yang buruk itu daripada diri si penulis sendiri. InsyaAllah, jika diberikan kelapangan waktu dan kudrat yang baik, akan ku coretkan lagi perkongsian usrah yang akan datang. Biidznillah~

P.s: Perkongsian usrah yang dicoretkan ini adalah hasil kutipan ilmu daripada usrah Tautan Hati yang diadakan pada minggu lepas. Mungkin ada yang tertinggal inputnya...mohon maaf sangat-sangat. (-_-") Hanya ini yang daku mampu....huhuhu~


No comments:

Post a Comment