Sunday, March 17, 2013

Hijrah Itu Indah: EGO kepada Allah. Dan Aku Berhijrah…


Assalamu'alaikum  w.b.t,

HIJRAH. Apa makna yang tersirat disebalik perkataan ini? Tentu sekali jika dikaitkan dengan sejarah Islam, kita akan teringat akan peristiwa umat Islam dan Nabi Muhammad SAW berpindah dari Mekah ke Madinah bagi menyebarkan dakwah dan menegakkan agama Islam. Tetapi, bagaimana pula pengertian hijrah dalam konteks ‘diri kita sendiri’ ? Perkataan hijrah mengandungi elemen ‘dari’ atau ‘ke’ dan ‘daripada’ atau ‘kepada’. Dan inilah elemen yang memperngaruhi diri insan bernama manusia. Sebenarnya, dalam konteks hijrah terhadap diri sendiri  boleh juga dikatakan sebagai hijrah hati. Hijrah hati bermaksud, berhijrah daripada cinta selain dari Allah, kepada mencintai Allah. Berhijrah daripada menghambakan diri kepada manusia, kepada menjadi hamba kepada Allah. Berhijrah daripada bergantung kepada selain Allah (manusia & dunia), kepada takut dan berharap kepada Allah.

Setiap orang mempunyai pengalaman penghijrahan masing-masing. Bagaimana ia bermula? Sudah tentu melalui Dia yang Maha Esa. Tidak dinafikan, kadang-kadang sikap ego kita yang sentiasa menidakkan kehadiran hidayah Allah. Bila terasa hendak membuat kebaikkan, maka muncul lah bisikan-bisikan syaitan yang menghasut. Ini kerana, kita sudah terlalu selesa dengan cara dan gaya kehidupan yang tanpa kita sedari ianya terkeluar dari landasan Islam yang sebenar. Apa yang kita inginkan hanya keseronokkan, kepuasan, kegembiraan, kesenangan, kemegahan, pengaruh, dan puji-pujian. Kesemua ini adalah bersifat sementara. Apabila kesemuanya hilang, maka dengan itu kita merasa resah, merasa kehilangan, kemurungan, merasa diri tidak berguna, merasa kesunyian dan hati rasa kosong. Nah! Inilah cara Allah SWT menyapa hamba-hambaNya yang ego dan hanyut dengan keseronokkan dunia.

Dan, aku hambaNya tidak terkecuali dari semua itu. Beberapa kali ditegur oleh Allah SWT (dengan ujian dan dugaan). Namun, tidak juga aku sedar. Pernah suatu ketika, pada tahun 2009 berlakunya peristiwa lemas yang hampir meragut nyawa. Sewaktu lemas yang mana ketika itu merasakan badan ditarik perlahan-lahan ke dalam air . Aku dapat merasakan semakin gelap dan semakin hilang cahaya. Aku cuba berusaha untuk naik ke permukaan, tetapi gagal.  Dalam hati terdetik, “Ya Allah, aku akan mati ke hari ni?”. Kemudian, selepas beberapa ketika aku terasa simbahan cahaya dan terasa oksigen mula memasuki rongga-rongga pernafasan. Alhamdulillah! Aku memandang sekeliling. Aku mulai nampak ramai orang. Aku masih melihat alam. Ya! Aku masih diberi peluang untuk hidup dengan pertolongan Allah melalui seorang penyelamat. Ketika didalam perjalanan pulang, lama aku termenung memandang langit senja. Hatiku berbisik, "Alhamdulillah. Aku masih dapat melihat dunia. Jika tidak, sudah pasti aku tidak akan dapat melihat senja…” Aku merasa sebak.

TETAPI! Peristiwa itu lansung tak memberi kesan sepenuhnya terhadap diri sendiri. Insafnya hanya sekejap. Kemudian, kembali kepada asal. Inilah yang dikatakan ego kerana tahu akan kebenaran tetapi tidak mahu mengikuti. Aku memilih untuk berada di dalam zon selesa, berada didalam keseronokkan dunia, bergantungan kepada manusia. Bagi aku, itu semua sudah cukup membuatkan aku merasa lengkap dan tidak memerlukan apa-apa lagi. Walaupun aku masih menunaikan ibadah-ibadah yang wajib seperti solat dan puasa tetapi pada masa itu aku tidak peduli akan keikhlasan melakukan ibadah tersebut. Hanya buat tetapi pengisiannya…kosong!

Allah SWT tidak jemu dalam menguji hamba-hambaNya. Lalu aku diuji dengan perasaan berputus asa,  kehilangan segala rasa bahagia, konflik dengan seorang sahabat yang disayangi dan sebagainya. Dan, ketika itulah aku tersedar bahawa aku memerlukan Tuhan. Lalu aku menunaikan solat, dan aku berdoa hingga menitis air mata. Aku memohon agar aku dijauhkan dari penderitaan perasaan itu dan dijauhkan dari manusia-manusia yang menjadi punca kesengsaraan jiwa. Sehinggalah, pada suatu malam kehadiran sebuah mimpi. Kelihatan aku sedang melalui suatu titian atau jambatan yang dilalui oleh ramai manusia. Kebanyakkan manusia yang lalu disitu adalah orang-orang kafir. Sehinggalah dipenghujung jambatan itu, aku diikuti oleh seseorang. Aku menoleh dengan mata yang mengecil kerana disimbahi cahaya yang sangat terang. Kelihatan seorang lelaki yang memakai serban dan berjubah putih berjalan menghampiri aku. Aku cuba melarikan diri. Kemudian, orang dengan wajahnya yang bercahaya itu mengucapkan sesuatu sambil tersenyum kearah ku. Pesannya lebih kurang begini, “Celakalah! Orang-orang yang ingkar akan perintah Allah. Dan, berbahagialah orang-orang yang mengikut perintahNya.” Selesai saja berkata-kata, orang itu tersenyum manakala aku terus melarikan diri kerana ketakutan. Kemudian, perlahan-lahan cahaya itu hilang dan aku terjaga dari tidur yang lena. Aku terpingga-pingga dan terus bibir mengulang kata-kata yang di sampaikan oleh ‘orang’ di dalam mimpi tadi. Sehingga hari ini, kata-kata ‘orang’ itu sentiasa berlegar-legar di kotak fikiran. 

Allahuakhbar! Subahanallah! Di atas rasa keyakinan dengan pertolongan Allah SWT, itulah permulaan kepada membulatkan niat untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Penghijrahan yang dilakukan secara berperingkat-peringkat melalui petunjuk dan hidayah yang Allah SWT kurniakan.  Kini, aku mula merasai ketenangan dan kemanisan iman. Allah menghilangkan segala kesedihan dan kemurungan. Allah mengurniakan teman-teman yang positif dan sentiasa memotivasikan diri.  Aku bersyukur dengan apa yang aku miliki pada hari ini. Jika diberikan harta seluas lautan hatta sebanyak gunung sekali pun, tidak sekali-kali ingin aku ulangi masa lalu. Tiada anugerah nikmat yang paling bermakna selain anugerah  nikmat IMAN & ISLAM dan tiada yang paling berharga melainkan kalimah لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللّهُ !


Ketika saat ini, aku masih lagi sedang bermujahadah dan istiqamah. Masih belum layak dikatakan solehah. Terlalu banyak kejahilan, kelemahan dan kekurangan. Aku mula menggali lubuk-lubuk ilmu kerana jiwa mendahagakannya. Jika ditanya ‘apa yang sedang aku hijrahkan (ubahkan)?’ jawapannya adalah : Ia meliputi keseluruhannya - iaitu diri sendiri, samada dari aspek fizikal (luaran) dan juga pemikiran (dalaman). Kesemua ini sedang aku adunkan untuk dibentuk mengikut acuan Islam, kerana Islam itu adalah cara hidup. Selain itu, aku juga menanam impian untuk berniqab. Namun, ia tidak semudah memasang impian dek kerana takut akan tersasarnya niat. Maka, aku perlu mengadakan sedikit percaturan dengan diri sendiri, juga dengan mengharap suluhan petunjuk dari Ilahi. Jika diizinkan-Nya selaras dengan niat dihati. InsyaAllah. Semoga dipermudahkan.


Maaf jika entri ini terlalu panjang dan mengambil masa kalian untuk membaca. Tetapi inilah hakikatnya kepada sebuah penghijrahan. Sesungguhnya penulisan ini hanyalah sekadar sebuah perkongsian yang membawa harapan agar kalian-kalian yang sedang berhijrah/ ingin berhijrah mengambil apa-apa manfaat daripada entri ini. Tak dinafikan ketika proses penghijrahan itu berlaku, terlalu banyak ujian dan halangan. Hati berbolak-balik, fikiran tidak menentu dan terasa hilang semangat. Namun ingatlah wahai kalian, bahawa pilihan untuk menjadi hamba Allah yang patuh terhadap suruhanNya tidak sekali-kali akan rugi. JANGAN BERTANGGUH untuk bertaubat kerana tiada jaminan untuk setiap detik yang mendatang. Apa yang difikirkan tentang dunia? Kerana dunia ini pinjaman sementara. Jika tidak percaya, perhatikan sekeliling mu, lihat detik-detik waktu yang berlalu. Sangat pantas kan? Hilangnya keberkatan waktu dan terjadinya banyak kemusnahan serta bencana. Tanda-tanda apakah ia? (Fikir-fikirkanlah…..) Wallahua'lam~


Berbanggalah jika kalian dikatakan asing (kerana mengikut syariat) kerana Islam itu sendiri bermula dalam keaadaan yang asing. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Islam mulai dalam keadaan asing dan akan kembali sebagaimana ia mulai iaitu menjadi asing. Kerana itu berbahagialah orang-orang asing” 
[Hadis Riwayat Muslim]

Sekian, wassalam.


# Perkongsian dari seorang Hamba Allah. Semoga Allah memberinya taufik dan hidayah untuk terus istiqamah. Aamiin~



Monday, March 11, 2013

Apa Sudah Jadi?



Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,

Andai Rasulullah SAW masih ada…pasti Baginda SAW sedih melihat umatnya di akhir zaman.  Melihat umat di zaman ini, membuatkan diri tertanya-tanya dimanakah nilai-nilai Islam yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah SAW? Amat sedikit golongan yang mengamalkannya. Dan yang mengamalkannya pula dianggap seperti orang asing oleh manusia sekeliling. Nah! Inilah fenomena  sebenar umat Islam ketika entri ini ditulis. 

Seriously lah! Jika kita pandang sekeliling, apa yang kita nampak? Kemudian, bandingkan situasi/ fenomena yang kita tengok tu dengan apa yang Allah SWT sebutkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah SAW.  Hanya minimum nilai-nilai Islam yang ada.

Buktinya, jika di zaman awal Rasulullah SAW berdakwah dalam menyebarkan Islam, Baginda dan sahabat-sahabat akan fokuskan dakwah kepada mereka-mereka yang bukan Islam (iaitu yang belum mengenal agama Islam). Tapi, kita tengok pada akhir zaman ni….bukan saja perlu sebarkan dakwah pada yang bukan Islam, malah orang-orang Islam itu sendiri!  Jadi, dimanakah nilai-nilai Islam yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah SAW itu???

Persoalannya disini, bagaimana kita ingin adakan satu jemaah Islam yang kukuh jika orang-orang Islam itu sendiri  sudah membuang nilai-nilai Islam?  Apa yang ada hanya ‘nama’ dan ‘tulisan Islam dialam IC’. Dan, bagaimana pula untuk menyeru kepada orang bukan Islam jika beginilah budaya orang-orang yang mengatakan dia adalah ‘Islam’??

Paling haru-biru, apabila ada segelintir ‘orang-orang’ Islam ini memperlekehkan  dan berpra-sangka kepada saudara-saudari baru (mualaf). Bukannya nak bagi support..tapi nak mengutuk pulak. Islam ada ajar macam tu ke? *geleng-geleng*

Pelikkan? Sepatutnya fokus dakwah kita kepada mereka-mereka yang tidak mengenal  akan Islam. Tetapi, di akhir zaman ni fokus dakwah perlu juga kepada ‘orang-orang’ yang dikatakan Islam ini. Sekali lagi, aku ingin menanyakan soalan…DIMANAKAH NILAI-NILAI ISLAM?  *garu-garu kepala yang tak gatal*

Ada lagi satu bab, dimana pada akhir zaman ini terdapat  muslimah yang memakai niqab. Mungkin pada zaman tabiin, fenomena ini adalah biasa dikalangan umat Islam. Ini kerana, para niqabis memakainya kerana nilai agama Islam itu sendiri. Tetapi, di zaman ini mereka-mereka yang berniqab/berpurdah ini dipandang  sebagai orang asing, pelik dan sebagainya sedangkan mereka ini memakainya kerana ingin menjaga nilai-nilai Islam yang ada pada diri. Tidaklah begitu heran jika orang-orang 'bukan' Islam yang memandang pelik, yang menjadi herannya bila 'orang-orang Islam' itu sendiri yang mengecam dan memandang para niqabis dengan pandangan pelik. Para niqabis dianggap asing. Paling menyedihkan, ada yang melabelkan para niqabis ini segolongan yang mengamalkan ajaran sesat! Woooo! Killer statement tuh! Opss! Asiif  jiddan. Harap niqabis yang mem/terbaca entri ni tak berkecil hati ye. Tapi itulah realiti sesetengah pendapat  ‘mereka-mereka’ yang beragama Islam ini. Tapi, if one day…aku juga seorang niqabis dan mendapat statement macam tuh…(dah standby jawapan siap-siap hehe) jawapan aku: “Kalau apa yang saya/aku/ana pakai ni ajaran sesat dan terpesong dari agama Islam, macam mana pulak dengan orang-orang yang buat maksiat, pakaian dedah sana-sini, berjudi, mencuri, tinggal solat dan sebagainya?  Bolehkah saya/aku/ana mengatakan mereka-mereka ni juga sesat? Malah lebih sesat daripada saya/aku/ana lagi, sebabnya apa yang mereka buat tuh secara jelasnya diharamkan terus oleh Allah SWT. Sedangkan saya/aku/ana memakai niqab dengan niat menjaga iman, jaga hati, jaga pandangan dan kerana Allah SWT. Saya/aku/ana tak susahkan sesapa..dan tak de pun larangan memakai niqab didalam Al-Quran. So, agak-agak…sesatkah saya/aku/ana?”  *Cehwaahh…panjang nya jawapan . Harap-harap lah nanti dapat jawab macam ni sebijik sebulat..hehehe* (Semoga Allah SWT kurniakan para niqabis kekuatan, diperteguhkan iman, dan difasihkan lisan dalam menempis segala padangan pelik, hinaan, dan buruk sangkaan manusia-manusia diakhir zaman. Aamiin Allahumma Aamiin)

GoodNews! Kepada orang-orang yang dianggap asing dalam melaksanakan perintah/ suruhan Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Islam mulai dalam keadaan asing dan akan kembali sebagaimana ia mulai iaitu menjadi asing. Kerana itu berbahagialah 
orang-orang asing. 
[Hadith Riwayat Muslim]

So, biarlah orang-orang itu nak kata apa sekalipun…Allah Maha Mengetahui. Anggaplah tu semua sebagai ujian yang Allah beri  untuk saham pahala bagi setiap kesabaran.

“Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan.” 
 [Surah ali-Imran, ayat 200]


Konklusinya, nilai-nilai Islam semakin hilang ditelan zaman juga hilang ditelan adat. Tak dinafikan, ada segolongan umat Islam lebih mementingkan adat berbanding agama. Seoalah-olah melanggar adat itu berdosa, melanggar perintah agama itu tak apa! (-_-“) *Haihh..!*

Maka, marilah kita umat Muhammad SAW bangkit untuk saling menyebarkan dan saling memberi peringatan didalam kelompok masyarakat Islam khususnya.  Tidak kasihan kah kita kepada Rasulullah SAW dan umat-umat Islam terdahulu yang sanggup bermati-matian untuk mempertahankan Islam? Atau kita sudah  merasa puas dan selamat kerana dilahirkan sebagai Islam? Islam yang bagaimanakah kita ini? Adakah hanya dengan tulisan ‘Islam’ yang tertera di IC biru itu melengkapkan syarat untuk kita mendapatkan keredhaan Allah dan  ganjaran syurga-Nya? Kalau begitu, apa makna perjuangan Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda, srikandi-srikandi Islam tercinta dan umat Islam terdahulunya? Apa yang mereka pertahankan jika Islam semudah di IC semata-mata?  Fikir-fikirkan, renung-renungkan, bermuhasabahlah kita bersama…

Wallahua’lam~

P.s:  Islam itu adalah 'gaya/ cara hidup' secara keseluruhannya kerana Allah SWT....bukan kata nama khas semata-mata.

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah 
kepada orang-orang yang beriman.”
[Surah Ad-Dzariyat, ayat: 55]

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang-orang yang zalim diantara kamu secara khusus 
(tetapi akan menimpa kamu secara umum).
 Ketahuilah bahawa Allah Maha Berat 
azab seksa-Nya.”
[Surah Al-Anfaal, ayat: 25]




Tuesday, March 5, 2013

Tersebutlah sebuah kisah di hari Jumaat....



Gambar sekadar hiasan semata-mata




 Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,


Pada hari Jumaat yang lepas, aku menolong Kak Z (seorang kakak kat ofis) yang sedang menyusun kotak-kotak kecil yang tidak berisi untuk disimpan. Ketika tangan kami rancak menyusun, tiba-tiba Kak Z bersuara. Dengan senyuman dia membuka bicara, “Ni ada satu cerita..”  Mendengarkan itu, aku segera memberi perhatian kepada apa yang akan diceritakannya.


“Ada sorang makcik ni, pada waktu siang kerjanya menjual tempe yang dibuat sendiri dan pada waktu malamnya dia rajin beribadah kepada Allah SWT. Pada suatu hari, makcik tu melihat barang jualannya. Alangkah terkejutnya dia pabila mendapati kacang soya yang dibungkus dengan daun pisang masih belum menjadi tempe. Makcik tu agak kecewa dan berasa sedih lalu dia berdoa, “Ya Allah, jadikanlah kacang soya ini tempe.” Setelah berdoa, dia mengambil masa untuk menunggu tempenya menjadi. Namun, masih juga tidak menjadi. Oleh kerana keyakinannya terhadap kekuasaan Allah SWT, lalu dia berdoa lagi, “Ya Allah, sesungguhnya Kau yang Maha Kuasa tolonglah ubah kacang soya ni jadi tempe.” Namun, kacang soya itu tidak juga menjadi tempe. Makcik tu mula berasa seperti berputus asa tetapi dek kerana tiada lagi sumber mata pencarian, dia meneruskan juga perjalanannya ke pasar dengan membawa tempenya yang belum menjadi. Ketika di dalam perjalanan, makcik itu tidak putus-putus berdoa kepada Allah supaya kacang soya itu dapat bertukar menjadi tempe setibanya dia di pasar nanti. 
Di pasar, makcik membuka bekas jualan yang dibawa. Hatinya terlalu berharap agar keajaiban berlaku. Malangnya, tempenya masih juga belum menjadi. Hampa dan kecewalah makcik. Kali ini dia benar-benar berputus asa. “Mungkin tiada rezeki daripada Allah untuk aku hari ni…” Keluhnya.





Sehingga ke petang, makcik itu masih berada di tempat jualanya. Sedang dia termenung memikirkan nasib malangnya pada hari itu, tiba-tiba dia disapa oleh seorang wanita berusia lingkungan lewat 30-an. “Assalamua’laikum makcik, saya nak tanya. Kat sini ada tak sape-sape yang jual tempe yang belum menjadi tempe?”  


Mendengarkan itu, makcik mengerutkan dahi. Apa ke pelik nak beli tempe yang belum siap?  “Wa'alaikumussalam. Err..makcik ada la jual..tapi- ” Serba salah pula rasanya nak menjual tempe yang belum siap. 

Wanita tersebut memandang makcik dengan wajah yang ceria. “Betulkah?” 
Makcik angguk lambat-lambat.  


                “Wahh..Alhamdulillah! Dah merata-rata saya cari tempe yang belum menjadi tempe. Akhirnya, berjumpa juga dengan makcik yang menjualnya. Kalau macam tu saya nak beli kesemuanya!” Kata wanita itu dengan penuh bersemangat sekali.  


“Semua? Err…sebelum tu makcik nak tanya sikit. Orang semua nak tempe yang dah siap. Ape ke pelik kamu ni nak beli tempe yang belum siap?" Soal makcik meleraikan persoalan yang terbuku dimindanya.  


Wanita tersebut melepas ketawa kecil. “Sebenarnya, saya nak pos tempe-tempe ni ke luar negara. Anak saya belajar kat sana. Dia beria-ria minta saya poskan tempe. Tempe ni feveret dia makcik. Maklumlah…orang Jawa asli katakan..hehehehe..Kalau saya pos tempe-tempe yang belum menjadi ni, sempatlah sampai kat sana nanti mesti dah jadi tempe.” Terang wanita itu.  


“Ohh..kalau begitu…baiklah,” Lalu makcik segera membungkus tempenya yang belum menjadi itu. Kemudian diberikan kepada wanita tersebut. Wanita itu membayarnya dengan harga yang tinggi kerana terlalu gembira.  


Belum sempat makcik berkata apa-apa, wanita itu berlari-lari dengan girangnya sambil membawa bungkusan tempe yang belum menjadi. Makcik mengira-ngira kepingan not yang berada di tangannya. Dia terkejut dan bercampur rasa terharu pabila jumlahnya yang tidak dijangka, iaitu melebihi keuntungan yang biasa diperolehinya. “Alhamdulillah…Alhamdulillah….Syukur pada Mu ya Allah!” Ucap makcik itu dan segera beristigfar diatas pra sangkanya kepada Allah seketika tadi. Akhirnya, makcik itu pun pulang dengan hati yang gembira sambil membawa bekas-bekas kosong yang bersama hasil keuntungannya pada hari itu. 


Haa..gitu la kisahnya. "

Aku terangangguk-angguk faham setelah Kak Z  hampir menamatkan penceritaanya yang penuh pengajaran itu.

                “Macam kotak-kotak kecik ni jugak. Nampak macam tak berguna. Tapi, bila tiba suatu masa di perlukan jugak. Ada manfaatnya nanti.” Sambung Kak Z memberi konklusi sambil meneruskan kerja-kerja penyusunannya.

“Ya..ya..betul-betul,” balas aku sambil tersenyum mengiyakan konklusinya yang berkait dengan tempe yang belum menjadi itu. Dalam erti kata yang mudah, jangan anggap sesuatu yang nampak seperti tidak berguna itu tiada manfaatnya. Mungkin bukan hari ni, tetapi manfaatnya akan terlihat pada esok lusa atau di kemudian hari. (Err…korang paham ke apa yang aku citer ni? Harap-harap faham la yer..huhu)

Tetapi, aku ada tambahan pengajaran lain yang dapat diambil daripada al-kisah tersebut.



MORAL DARI CERITA:
  • Letakkan segala pergantungan termasuklah urusan rezeki kepada Allah SWT semata-mata kerana Allah-lah Maha Pemberi Rezeki.

"..Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan."

[Surah Al-Baqarah, ayat: 212]


  • Jangan bersangka buruk kepada Allah SWT atas setiap musibah yang berlaku. Ianya mungkin ujian dan dugaan bagi menguji tahap keimanan dan kesabaran hamba-hambaNya.



“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu apabila kesusahan menimpa, mereka berkata; sesungguhnya kami ini milik Allah dan 
sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.”

[Surah al-Baqarah, ayat 155-156]

  •  Jangan berputus asa dan kuatkan semangat.



“Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” 

[Surah Az-Zumar, ayat: 53]

  • Allah SWT itu Maha Pengasih dan Penyayang. Dia-lah yang memberi rezeki yang tidak disangka-sangka di atas kesabaran hamba-hambaNya dan Dia-lah Yang Maha Mendengar setiap rintihan doa.



Dan Dialah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Dia Mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan 
Dia juga Mengetahui apa yang kamu usahakan.
[Surah Al-An'am, ayat : 3]


Begitulah serba sedikit pengajarannya. Syukran jazilan kathira - kepada Kak Z kerana sudi berkongsi sebuah cerita yang bermanfaat buat diri ini dan juga kepada mereka-mereka yang membaca penulisan ini. Hanya kerana aktiviti menyimpan & menyusun kotak-kotak kecil, ia dapat membuahkan hikmah yang dikarang oleh sang idea lalu di coretkan melalui sebuah lisan daripada seorang insan yang baik hati. 

Jazakillahu Khair….


P.s : Cerita yang dikarang adalah cerita asal yang disampaikan oleh Kak Z, tetapi diolah sedikit untuk penyesuaian ayat.

"Dan berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa 
yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya 
sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki 
kepadanya dan kepadamu dan 
Dia Maha mendengar lagi 
Maha mengetahui."

[Surah Al-Ankabut, ayat: 60]