Tuesday, November 20, 2012

Biasa la…….



Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

Terdetik hati kali ini untuk mengulas tentang fenomena ucapan “Biasa la…” yang kebiasaannya kita dengar di dalam komunikasi harian. Ada apa dengan perkataan yang ringkas ini? Bunyinya macam tak memberi apa-apa kemudaratan pun?

Eh? Ye ke?

Selalu kita dengar ayat ini di tuturkan pabila ada gaya komunikasi yang bersifat memberitahu atau menyampaikan tentang sesuatu keadaan. Contohnya:

Perbualan 1
A: Aku tengok budak-budak remaja sekarang ni bukan main berani. Siap buat adegan tak senonoh pulak tu kat tempat awam.Haish…malu aku tengok!
B: Alaa...kau ni, biasa la tu budak-budak zaman sekarang.

Perbualan 2
A: Kenapa ramai orang lelaki Melayu islam tak pergi sembahyang Jumaat? Selamba je aku tengok diorang lepak kat kedai makan time sembahyang Jumaat.
B: Biasa la tu…orang lelaki zaman sekarang…

Perbualan 3
A: Sekarang ni, banyak kes buang bayi….
B: Biasa la….zaman sekarang…..

Tentu ketiga-tiga contoh perbualan diatas pernah didengari oleh kalian-kalian kan? Cuba baca respon si B. Respon si B dengan menggunakan ayat “Biasa la…” seolah-olah mengiyakan keadaan negatif yang disampaikan oleh si A dan seperti acuh tak acuh. Pada pendapat aku, ayat tersebut menunjukkan betapa seseorang itu bersikap pasrah dan redha dengan isu-isu yang boleh meruntuhkan akhlak  dan akan menyebarkan unsur-unsur yang tidak baik dalam masyarakat khususnya yang beragama Islam. Dalam pemikirannya, tiada menunjukkan kebimbangan dan kerisauan dengan masalah yang melanda dan seolah-olah membenarkan atau menerima dengan lapang dada terhadap fenomena-fenomena negatif tersebut. Mungkin dia kurang sensitif dengan isu-isu yang macam tu.  Tapi, kalau isu-isu artis dan gosip, bukan main lantang dia bersuara..huh!

Apabila sikap dan gaya pemikiran ‘Biasa la’ ni selalu diamalkan oleh masyarakat, tak mustahil suatu hari nanti segala apa isu-isu yang berkaitan dengan masalah-masalah sosial akan dipandang sebelah mata dan dibiarkan saja dengan alasan “Biasa lah…zaman sekarang…”

Bahaya…bahaya! Memang nampak simple dan biasa-biasa. TAPI! Kalau diamalkan atau diajar dengan pemikiran “Biasa la “ yang biasa-biasa itulah kan jadi perkara yang luar biasa! Yang membawa kepada binasa!  Nau’zubillah~

Jadi, sama-samalah kita berfikir dan muhasabah diri. Adakah apabila kita dimaklumkan tentang isu-isu negatif, kita tergolong dalam golongan pemberi respon seperti si B? Tepuk dada, tanya diri sendiri…..

Semoga kita diberi kebaikkan di dunia dan di akhirat serta dijauhkan dari azab api neraka –Amin



Sunday, November 11, 2012

Aku & Buku : Imam Syafie - Pejuang Kebenaran





Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,


Alhamdulillah kerana diberi kesempatan dan keupayaan untuk menghabiskan bacaan sebuah buku yang bertajuk 'Imam Syafie - Pejuang Kebenaran' karangan Abdul Latip Talib. Selepas membaca buku bersaiz sederhana ni, ia membuatkan aku semakin mengenali insan yang membawa mazhab yang aku ikuti iaitu mazhab Syafie. Semakin aku mengenali beliau melalui kisah suka duka yang telah dinukilkan didalam buku ini, semakin aku menyanjungi beliau. Betapa aku kagum dengan semangat Imam Syafie yang begitu mengutamakan ilmu berbanding kemewahan dunia. Ilmu adalah segala-gala untuknya. Imam yang mempunyai susur galur berketurunan Muhammad S.A.W itu adalah seorang yang qana'ah dan zuhud. Beliau gigih menuntut ilmu dan berusaha mencari guru. Beliau sangat menghormati dan menyayangi guru-gurunya walaupun mereka mempunyai aliran mazhab yang berbeza-beza dan mempunyai pengikut-pengikut yang ramai. Namun, Imam Syafie tidak pernah menyuarakan bantahan jika ada percanggahan dari kefahamannya selagi ianya tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Sehinggakan, Imam Malik Bin Anas yang disanjungi penduduk Madinah membenarkan Imam Syafie (yang merupakan anak murid kesayangannya) membuat fatwa sendiri. Imam Syafie merantau ke merata negara bagi menuntut ilmu dan beliau menjadi terkenal kerana ilmu yang ada padanya sedangkan beliau bukanlah dari golongan orang yang kaya raya. Imam Syafie juga telah dikurniakan Allah SWT daya ingatan yang kuat dan mampu menghafal dalam masa yang sangat singkat. Ini telah dibuktikan, pada umur 9 tahun beliau sudah berjaya menghafal Al-Quran, pada umur 10 tahun beliau sudah menghafal kitab Al-Muwatta' karangan Imam Malik dan pada umur 15 tahun beliau telah diberi kepercayaan menjadi mufti di Mekah serta pernah  menghafal 10,000 syair Bani Huzail. Subhanallah! Ini jelas dengan firman Allah SWT didalam Al-Quran : 

"Dan jika Allah menghendaki engkau beroleh suatu kebaikkan maka tiada sesiapa pun akan dapat menghalang limpah kurnia-Nya"  [Surah Yunus, ayat: 107]

Okey! Pasti kalian (bagi yang belum pernah membaca atau mengetahui sejarah hidup Imam Syafie) nak tahu serba sedikit jalan cerita beliau daripada buku yang aku baca ni kan? Baiklah.....dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang aku dengan berlapang dada berkongsi serba sedikit ringkasan cerita dari buku tersebut. Jom, baca!


  • Imam Syafie - Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Idris bin bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Bonda beliau bernama, Ummu Habibah al-Uzdiyyah. Ayahanda beliau bernama Idris bin Abbas dan telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Diberi nama Syafie kerana wajahnya seiras dengan moyangnya-Syafie bin Saib.
  •  Pada usia 9 tahun telah berjaya menghafal Al-Quran.
  •  Pergi menuntut ilmu Al-Quran dengan Imam Ismail Al-Kustantani.
  • Belajar pula syair dengan Mas'ab bin Zubair dan telah berjaya menghafal 10,000 syair Bani Huzail.
  • Menuntut pula ilmu hadis dengan Imam Sufyan Ainiah (sahabat Imam Ismail).
  • Kemudian, pergi menuntut ilmu fiqah dengan Imam Muslim Al-Zanji (sahabat Imam Sufyan).
  •  Setelah itu, seorang rakan sebayanya bernama Khalid telah mengajaknya untuk menuntut ilmu peperangan dengan seorang bekas tentera Islam iaitu Amiruddin. Beliau menuntut ilmu peperangan dan bermain senjata. Dengan itu, beliau handal dalam ilmu memanah.
  • Berkeinginan untuk berhijrah ke Madinah bagi menuntut ilmu dengan Imam Malik bin Anas. Dengan berkat doa daripada bonda tercinta dan guru-guru yang mengajarnya, akhirnya beliau berhijrah ke Madinah bersama Naufal seorang pedagang yang akan menjalankan perniagaanya di Mekah bersama rombongan kafilah-kafilah dagangan yang lain.
  • Selepas menguasai pelbagai ilmu daripada Imam Malik, beliau berhijrah pula ke Kufah, Iraq dengan mengikut rombongan para pedagang Madinah yang ingin berdagang di Kufah.
  • Di Kufah, beliau menuntut ilmu dengan Imam Muhamad Al-Hasan & Imam Abu Yusof yang mana kedua-dua imam ini bermazhab Hanafi. Imam Syafie menghafal pula kitab Al-Awsat yang dikarang oleh Imam Abu Hanafi.
  • Setelah sekian lama, Imam Syafie kembali semula ke Madinah (yang mana ketika ini dalam pemerintahan Khulafa Harun Ar-Rasyid). Beliau ingin sangat bertemu dengan gurunya-Imam Malik.
  •  Imam Malik kemudiannya meninggal dunia pada tahun 179 Hijrah ketika berumur 86 tahun.
  • Imam Syafie berasa kehilangan dan sedih, lalu pulang ke Mekah untuk bertemu dengan bonda yang dicintainya.
  • Dijemput pula oleh Gabenor Yaman iaitu Al-Malik untuk menuntut dan menyampaikan ilmu disana.
  • Sekali lagi meninggalkan ibunya untuk berhijrah ke kota Yaman dan beliau berpeluang menuntut ilmu firasat dengan Maulana Arif.
  • Di Yaman juga, beliau telah dipertemukan jodoh dengan Hamidah binti Uyainah. Hamidah adalah calon yang diperkenalkan oleh Gabenor Al-Malik dan berketurunan Uthman bin Affan. Hasil perkhawinan, beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Abu Uthman Muhammad, Fatimah dan Zainab.
  • Kemudian, Gabenor Yaman telah mencadangkan Imam Syafie untuk menjadi hakim (atau kadi) di kota Najran. Beliau bersetuju dan berhijrah ke kota Najran pula.
  • Selepas daripada itu, Gabenor Yaman meninggal dunia dan digantikan dengan Gabenor As-Saud yang berperangai buruk.
  • Akibat menasihati kelakuan Gabenor As-Saud yang berperangai buruk itu, Imam Syafie telah difitnah oleh Gabenor As-Saud dan dituduh menjadi ketua kepada kaum Syiah serta ingin mengulingkan kerajaan Khalifah Harun Ar-Rasyid.
  • Imam Syafie dan para pengikutnya yang setia telah dihukum. Mereka diarahkan untuk berjalan ke kota Baghdad dengan kaki dan tangan mereka diikat dengan rantai besi yang berat.
  • Di kota Baghdad, Imam Syafie dan para pengikutnya dipenjara dan diseksa.  Kemudian dipanggil mengadap Khalifah Harun Ar-Rasyid untuk disoal siasat.
  • Setelah mendapati kebenaran berpihak kepada Imam Syafie, Khalifah Harun Ar-Rasyid melepaskan beliau dari hukuman dan meminta maaf. Gabenor As-Saud dihukum oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid dan Imam Syafie telah memaafkannya.
  • Imam Syafie ingin bermusafir pula ke Mesir tetapi niatnya terpaksa dibatalkan selepas mendapat berita kematian bonda tercinta di Mekah. Beliau dan keluarga segera pulang ke Mekah dan menetap sambil mengejar ilmu di sana buat seketika.
  • Beberapa tahun berlalu, Khalifah Harun Ar-Rasyid pula meninggal dunia dan digantikan dengan Khalifah Al-Makmum.
  • Khalifah Al-Makmum menjemput Imam Syafie untuk kembali ke kota Baghdad bagi mengajar ilmu disana.
  • Setibanya di kota Baghdad, beliau diberi kitab-kitab karangan Imam Abu Hanifah oleh kadi Syeikh Isa bin Munkadir.
  • Selepas selesai membaca kesemua kitab-kitab tersebut, beliau membahaskan perkara-perkara khilaf yang dijumpainya di dalam kitab-kitab yang menjadi rujukan para pengikut mazhab Hanafi itu.
  • Hal itu menimbulkan rasa kemarahan segelintir pengikut mazhab Hanafi yang fanatik. Mereka ini tidak mahu berbincang dan mula membenci Imam Syafie. Namun, golongan itu adalah golongan yang kecil dan majoritinya berlapang hati untuk mendengar hujahan Imam Syafie mengenai perkara-perkara khilaf yang dijumpai beliau didalam kitab-kitab mazhab Hanafi itu
  • Setelah itu, Imam Syafie menerima jemputan daripada Gabenor Mesir iaitu Abbas bin Musa. Beliau berhijrah pula ke Mesir untuk mengajar ilmu disana.
  • Di kota Fustat, Mesir - beliau bertemu dengan Abdullah Al-Hakam (rakan seperguruannya ketika berguru dengan Imam Malik). Abdullah Al-Hakam telah menjemput beliau untuk tinggal dirumahnya.
  • Imam Syafie sempat melawat Sayidah Nafisah iaitu cucu kepada Saidina Ali r.a dan sangat menghormati wanita tersebut. Kemudian, menziarahi pula Gabenor Mesir yang telah menjemputnya ke kota itu.
  • Beliau diberi kebenaran untuk mengajar di Masjid Amru dan menyelesaikan masalah perselisihan mazhab diantara mazhab Maliki dan mazhab Hanafi.
  • Imam Syafie telah banyak memberikan fatwanya sendiri tanpa mengikut sepenuhnya ajaran Imam Malik mahupun ajaran dari rujukan kitab Al-Awsat (Mazhab Hanafi). Namun, itu tidak bermakna Imam Syafie menolak ajaran guru-gurunya. Yang menjadi perbezaan pendapat hanyalah di dalam ilmu fiqah dan selainnya masih sama serta tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis. Malah, gurunya Imam Malik membenarkan beliau untuk memberi fatwa sendiri.
  • Keadaan ini menyebabkan ada golongan yang menyokongnya dan ada segolongan kecil yang menentangnya.
  • Sahabatnya, Abdullah Al-Hakam masih mengajar ilmu yang merujuk mazhab Maliki walaupun menyedari anak lelakinya yang bernama Muhamad sering mengikuti kelas yang dianjurkan Imam Syafie. Namun, Abdullah Al-Hakam tidak sekali-kali menghalangnya sehingga Muhamad membuat pengakuan telah mengikut mazhab Syafie.
  • Seorang lelaki bernama Fityan adalah yang paling kuat menentang Imam Syafie kerana terlalu fanatik dengan mazhab yang dipeganginya.
  •  Imam Syafie mendapati beliau menderita penyakit bausir berdarah. Tetapi masih aktif menulis dan menghasilkan beberapa buah kitab antaranya kitab Al-'Umm. Beliau juga mengkaji kitab Al-Hujjaj yang telah dikarangnya. Jumlah kitab yang berjaya dikarangnya adalah sebanyak 142 kitab.
  • Fityan dan pengikutnya sentiasa mencari peluang untuk menghalau dan menjatuhkan Imam Syafie. Namun tindakkan Fityan itu akhirnya sampai ke pengetahuan Gabenor Mesir.
  • Fityan ditangkap dan dihukum dengan dicukur misai, rambut dan janggutnya sebelum diikat dan dibawa berarak mengilingi kota Fustat dengan menaiki unta.
  • Hukuman yang dikenakan ke atas Fityan ini telah menimbulkan kemarahan para pengikutnya. Salah seorang pengikutnya yang bernama Sahol telah mencadangkan untuk membalas dendam terhadap Imam Syafie.
  • Pada suatu malam, Imam Syafie dipukul oleh pengikut-pengikut Fityan ketika ingin berjalan pulang ke rumahnya dari masjid Amru.
  • Imam Syafie jatuh sakit dan keadaannya tidak membolehkan beliau untuk pergi mengajar di masjid seperti kebiasaan. Anak murid kesayangannya, al-Rabi' sentiasa membantu dan menemaninya. Imam Ahmad bin Hanbal juga ada datang untuk menziarahinya. (Imam Ahmad bin Hanbal adalah pengasas mazhab Hanbali. Beliau juga merupakan rakan seperguruan Imam Syafie ketika berguru dengan Imam Malik bin Anas. Malah, beliau sendiri juga pernah berguru dengan Imam Syafie).
  • Akhirnya, pada malam Jumaat, 28 Rejab tahun 204 Hijrah bersamaan dengan 820 Masihi Imam Syafie telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usianya 54 tahun dan meninggalkan ilmunya yang mekar indah dihati para ilmuan.
  • Al-Rabi' dan para pengikutnya yang lain merasa kehilangan dan mereka bersedih diatas pemergian insan yang memberi cahaya ilmu diserata tempat. Ajarannya tersebar luas diseluruh Mesir, Iraq, Yaman, Jordan, Syria dan beberapa buah negara lain. Kehilanganya diratapi ramai.
  • Jenazahnya telah dimandikan oleh Gabenor Mesir (diatas permintaannya sendiri ketika sedang nazak), kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.

~Al-Fatihah

Begitulah kisah hidup suka duka Imam Syafie dalam pencarian dan penyebaran ilmunya ke serata dunia. Beliau bagaikan bulan bintang dan matahari yang memberi sinar kepada para pencinta ilmuan. Paling aku kagum adalah jalinan ukhuwah yang kukuh diantara imam-imam besar yang lain. Biarpun berbeza mazhab, selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis maka tiada apa yang perlu diperdebatkan. Begitulah sikap Imam Syafie yang tidak memaksa sesiapa pun mengikut mazhabnya dan tidak pula beliau memcemuh mazhab-mazhab lain yang tidak sefahaman dengan apa yang di ijtihadnya. Beliau amat menghormati guru dan tidak menyombong diri.

Jadi, kita sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah tidak seharusanya bertelingkah dan saling berkelahi jika terdapat perbezaan dari segi ikutan mazhab. Selagi mana ajaran itu mentauhidkan Allah SWT, mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW,  maka tidak ada apa yang perlu diperdebatkan. Jika ini berlaku, bimbang ianya akan meruntuhkan dan menjarakkan jalinan ukhuwah diantara umat Islam. Hal ini amat dinantikan dan disenangi orang-orang kafir. Beringatlah wahai sahabat-sahabat sekalian! Allah SWT berfirman : ".....Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara."  [Surah Hujuraat, ayat: 10]


Rangkap puisi terakhir Imam Syafie:

Bila hatiku keras degil
dan kemahuanku menjadi sempit
Aku jadikan keampunan Engkau sebagai harapan
Dosaku mungkin besar
Tetapi keampunan Engkau lebih besar
Engkau pemilik keampunan
dan masih tetap mengampunkan
Jika Engkau tidak  izinkan
Iblis tidak dapat mengoda
Adam hambamu yang suci
Sampai dia boleh diperdayakannya
Ampuni aku wahai Tuhanku.....

Apa yang dikongsikan ini hanyalah ringkasan. Sekirannya berminat untuk membaca kisah sepenuhnya silalah dapatkan buku tersebut ya. Dijamin tak rugi. InsyaAllah.

Sekian sajalah perkongsian ilmu kali ini. Semoga bermanfaat buat kalian yang sudi singgah. Aku akan meneruskan pembacaan buku-buku lain dan akan dikongsikan diruangan sepi ini. InsyaAllah. 


Monday, November 5, 2012

Cinta Itu Untuk Siapa?


Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,
Alhamdulillah. Aku terpanggil (blog yang memanggil..hehe) untuk menulis satu entri berkaitan dengan C.I.N.T.A selepas membaca wall post di Facebook Hilal Asyraf. Wall post tersebut ada memaparkan gambar jam tangan yang diukir nama beliau dan seorang sahabat beliau – Klik kat sini kalau nak tengok.
Apa yang menarik sangat?
Yup! Sangat menarik dan sangan sweet! Sebuah persahabatan yang berasaskan kasih sayang sesama insan. Tetapi disini, bukanlah hendak aku ulaskan tentang wall post tersebut. Aku ingin memberi pendapat tentang kegunaan dan fungsi perasaan CINTA yang Allah SWT telah anugerahkan kepada kita-hambaNya. Ramai orang suka mengaitkan ungkapan & perasaan CINTA itu untuk pasangan kekasih. Terutama dikalangan remaja muda mudi. Bila disebut saja tentang CINTA, terus ingat ber-‘couple’ atau ‘kekasih’ atau ‘awek’…’pakwe’ dan macam-macamlah! Seolah-olah CINTA itu Allah anugerahkan hanya untuk golongan-golongan tertentu sahaja. Eh..ye ke??
 
CINTA itu anugerah dari Allah SWT dan ia tidak tertumpu pada satu konteks sahaja. CINTA itu universal, kerana seluruh alam ini, kehidupan ini adalah HAK MILIK Yang Maha Pencipta termasuklah CINTA. Jadi, kenapa harus kita mengkhususkan konteks CINTA itu? Mungkin yang menjadi perbezaannya adalah cara penyampaian dan nilai CINTA itu sendiri. Namun,  kita berhak menggunakan anugerah pemberian Allah SWT itu pada setiap apa yang diciptakanNya dan kita PERLU menggunakan CINTA itu pada jalan yang betul iaitu pada jalan yang Allah redhai. Kita layak untuk mengatakan CINTA kepada Allah SWT  & Rasulullah SAW, CINTA kepada agama, CINTA kepada alam, CINTA kepada haiwan, CINTA kepada keamanan, CINTA kepada sesama manusia. Jika begitu, apa yang nak dirasakan janggal jika kita mengatakan, “Aku mencintai ibu  dan ayahku” “Aku mencintaimu, sahabat” .  CINTA itu konteksnya luas. Bukan hanya untuk pasangan kekasih atau suami dan isteri saja ya!
Jadi, mari kita reset semula pemikiran kita agar berfikiran luas dan terbuka apabila mengatakan tentang CINTA. Cintailah sesama insan kerana itu asas keamanan dan menguatkan jalinan ukhuwah dikalangan umat islam khususnya. Ingat…Rasulullah SAW juga menyayangi umatnya tidak kira siapakah mereka. Mari kita bercinta untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Dan, ucaplah Alhamdulillah diatas nikmat pemberian perasaan CINTA ini.  Bayangkan jika ia tiada…cuba bayangkan…..?
Wallahua'alam~

Aku CINTA Allah  SWT & Rasulullah SAW
Aku CINTA agamaku
Aku CINTA ibu dan ayahku
Aku CINTA ahli keluargaku
Aku CINTA bakal suamiku/ suamiku
Aku CINTA bakal isteriku/ isteriku
Aku CINTA teman-temanku
Aku CINTA sahabat-sahabatku
Aku CINTA orang-orang tua
AKU CINTA haiwan
Aku CINTA alam semulajadi

Aku CINTA apa-apa sahaja yang tidak mengundang kemurkaanNya.