Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,
PERPADUAN UMMAH- Ya, suatu perkataan yang membawa maksud yang besar dan penting untuk umat Islam. Aku tertarik untuk menulis pandangan tentang perpaduan ummah selepas memerhatikan beberapa fenomena yang berlaku sejak kebelakangan ini. Percaya atau tidak, perpaduan dikalangan kita umat Nabi Muhammad SAW ini sudah semakin longgar ikatannya. Dan, kerana kelonggaran ikatan inilah yang membuatkan sekutu-sekutu Dajjal menari-nari keseronokkan kerana mereka ini amat menantikan kejatuhan tamadun Islam yang mana ia akan bermula dengan longgarnya perpaduan dikalangan umat Islam itu sendiri.
Buktinya?
Cukup aku katakan disini bukti yang paling jelas dan mudah kita lihat iaitu tentang pergaduhan sesama umat islam dalam arena politik. Mereka saling mencaci dan mengutuk antara satu sama lain. Masing-masing ingin menegakkan kebenaran mengikut kefahaman sendiri.Fenomena ini boleh kita lihat di laman sosial Facebook atau Twitter. Tak percaya? Tunggulah pilihanraya nanti. Kita akan tengok umat islam sendiri akan mencaci dan mengutuk antara satu sama lain. Kita tunggu.....
Yang seterusnya, fenomena ini sudah pun berlaku di kalangan kita. Ianya dapat kita lihat ketika solat berjemaah. Ramai diantara kita terlalu pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu merapatkan saf. Katanya, "Panas la kalau rapat-rapat..." "Tak selesa lah.." (ini kebiasaannya berlaku dikalangan jemaah muslimah) Sedangkan perbuatan merapatkan saf itu sendiri adalah sunnah Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW :
“Hendaklah kamu luruskan saf-saf kamu atau Allah akan perselisihkan antara wajah-wajah kamu..” (Riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu dawud, Tirmizi, An-Nasai dan Ibn Majah)
Dari Anas B. Malik (radhiyallahu 'anhu), beliau menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyuruh supaya para makmum merapatkan saf-saf mereka dan Nabi akan dapat memerhatikan mereka dari belakang. Dan pada ketika itu masing-masing di antara kami pun saling merapatkanlah bahu dengan bahu dan telapak kaki dengan telapak kaki yang di sebelah.(Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/154, no. 683)
Daripada 'Abdullah B. 'Umar, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya.
(Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Di nilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)
Dari Abu Mas’ud r.a katanya: "Rasulullah s.a.w menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata: "Luruskan barisanmu, jangan bengkok-bengkok kerana barisan yang bengkok, nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah-belah. Orang dewasa yang cerdik dan pandai hendaklah berdiri dekat di belakangku, kemudian yang pandai dan seterusnya.”(Hadith Riwayat Muslim)
Ini kerana kekuatan ummah itu juga kita dapat lihat dengan merapatkan saf ketika solat berjemaah. Tidak kiralah siapa yang duduk disebelah kita samada orang tua..orang muda..orang kaya..orang miskin...kerana kita semua adalah sama mata Allah SWT. Yang membezakan kita adalah iman & takwa. Wallahu'alam.
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu.”
(Hadith Riwayat Muslim)
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran tentang perbuatan merapatkan saf.
“Sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan dijalannya dilakukan secara tersusun seperti satu saf seolah-olahnya mereka merupakan sebuah bangunan yang kukuh.”
[Surah As-Saff : 4]
Lihat! Inilah sebab kenapa pentingnya untuk meluruskan dan merapatkan saf. ".......sebuah bangunan yang kukuh." dan inilah yang Allah SWT andaikan jika umat islam merapatkan saf umpama seperti sebuah bangunan yang kukuh yang mana ia melambangkan perpaduan yang utuh dan kuat dikalangan umat Islam. Namun pada hari ini, cuba kita renungkan bagaimana cara kita solat berjemaah? Rapatkah saf kita? Luruskah saf kita? Atau ikut suka hati janji selesa?? Aku tak mengatakan hal ini berlaku di semua masjid/surau tetapi ianya SUDAH pun berlaku di beberapa tempat. Mungkin hal ini hanyalah minoriti TETAPI ingatkah pada peribahasa "Sikit-sikit lama-lama jadi bukit" yang mana mengambarkan bahawa sesuatu yang kecil itu boleh berubah menjadi sesuatu yang besar. Jadi, adakah kita ingin lihat fenomena ini berlaku secara berterusan? Sehingga menyebabkan kelonggaran perpaduan umat Islam itu sendiri akan menjadi berita baik oleh sekutu-sekutu Dajjal??!!
Ada lagi fenomena kedua tentang solat berjemaah yang jelas membuktikan kelonggaran perpaduan umat. Iaitu bersalam- ramai kelihatan jemaah bersalaman hanya sesama geng-geng mereka atau kepada orang-orang yang dikenali dan yang berada berdekatan dengan mereka sahaja. Bila ada orang asing yang bersalam dengan mereka, mereka berasa janggal. Hal ini bukan saja membuktikan kelonggaran perpaduan umat, malah antara tanda-tanda hampirnya kiamat seperti hadis Nabi SAW.
Daripada Abdullah Ibn Mas'ud r.a, beliau berkata : Rasulullah SAW telah bersabda, "Sesungguhnya apabila kiamat sudah hampir tiba (1.) orang hanya memberi salam kepada orang yang dikenalinya sahaja, (2.) perniagaan akan bertambah maju, sehingga orang perempuan membantu suaminya berniaga, (3.) banyak orang memutuskan hubungan silaturahim (hubungan kekeluargaan), (4.) banyak saksi palsu (5.) orang menyembunyikan penyaksian yang benar, (6.) dan akan banyak kemudahan alat tulis."
(Hadis riwayat Ahmad)
Jelas bahawa kita adalah umat diakhir zaman. Dan, yang paling ditakuti kita adalah perpecahan umat Islam. Bagaimana kita ingin mempertahankan agama kita sedangkan kita tidak mengambil berat tentang perpaduan ummah? Kita sering kali marah jika ada non-muslim menghina agama kita, tetapi kita sendiri tidak menjaga maruah agama kita dengan menghina dan memaki-hamun saudara seislam kita. Kenapa kita tidak ikut adab dan akhlak Rasulullah SAW? Bersikap lemah-lembut, bersopan, tegas dan berhemah. Beliau tidak pernah sesekali berdakwah atau menegur kesilapan seseorang dengan cara yang kasar atau dengan cara menghina walaupun begitu beliau berjaya membina dan menyebarkan Islam keseluruh dunia. Islam tersebar dengan kelembutan dan kesopanan bukan dengan cara kekerasan. Sebab itu nilai kasih sayang dikalangan umat Islam adalah suatu nilai yang sangat-sangat penting. Jika hilang nilai ini, maka kita akan lihat perpecahan besar dikalangan umat Islam. Dan, ketika itu bagaimana harus kita pelihara maruah Islam itu sendiri? serta dimana kekuatannya? Fikir-fikirkan lah.....
Wallahu'alam~

No comments:
Post a Comment