Thursday, August 23, 2012

Aku & Buku : Umar Abdul Aziz - Bayangan khalifah al-Rasyidin



Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, kerana dikurniakan nikmat kesihatan dan akal yang sihat untuk menamatkan pembacaan buku sirah seorang tokoh khalifah yang tersohor ini. Baru semalam (Syawal 4) aku baru saja selesai membaca buku yang bertajuk 'Umar Abdul Aziz - Bayangan khalifah al-Rasyidin' yang ditulis oleh penulis novel sejarah No.1 Malaysia iaitu Abdul Latip Talib. 

Sinopsis : 

Semasa hidupnya, Khalifah Umar al Khattab selalu berdoa. “Wahai Tuhanku, kurniakan aku zuriat yang menguatkan Islam.” Doa Khalifah Umar al Khattab termakbul dengan lahirnya Umar bin Abdul Aziz atau nama sebenarnya Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin Ash bin Umaiyah bin Abdi Syams. Ibunya bernama Laila Ummu Ashim binti Ashim bin Umar al Khattab, khalifah al Rasyidin yang kedua.

Beliau dilahirkan di Halwan pada tahun 61 Hijrah/683 Masihi. Namun pendapat yang popular mengatakan beliau lahir pada tahun 63 Hijrah/684 Masihi di Kota Madinah ketika tentera Yazid bin Muawiyah dari Damsyik menyerang kota suci tersebut. Selepas menjadi khalifah, Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna.

Keadilan yang beliau perjuangkan menyamai keadilan pada zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim. Novel ini menceritakan dengan lebih lanjut siapa Umar Abdul Aziz dan mengapa dia dianggap sebagai bayangan khalifah al Rasyidin.


Komen Aku :

Jarang aku menghabiskan satu buku dalam masa sehari, tetapi bila baca buku ni aku sangat-sangat teruja untuk membacanya sampai habis. Ini kerana rasa keterujaan dengan keperibadian Umar Abdul Aziz persis moyangnya Umar Al-Khattab yang merupakan sahabat baginda Rasulullah SAW. Beliau seorang pemimpin yang zuhud dan soleh. Juga seorang yang taat menjaga amanah dan memerintah dengan adil. Sikap beliau yang aku kagumi, beliau tidak membezakan taraf dikalangan umat islam. Keperibadian Umar mengingatkan aku kepada akhlak Rasulullah SAW yang paling baik akhlaknya di kalangan umat manusia. Sempat aku berangan-berangan untuk menjejakkan kaki ke tempat-tempat yang di telah sebutkan didalam buku tersebut untuk aku merasai dan melihat sendiri peninggalan sejarah Nabi-nabi terdahulu dan sahabat-sahabat baginda Ar-Rasul SAW serta zaman khalifah-khalifah islam juga ulama-ulama tersohor. Di atas manfaat yang aku perolehi selepas membaca buku yang bersaiz sederhana ni, jadi aku ingin mengesyorkan agar kalian-kalian yang sudi singgah di laman blog ini supaya membaca buku ni. Ianya sangat sesuai di baca oleh orang-orang yang mempunyai kredibiliti untuk memimpin juga boleh di baca oleh sesiapa saja yang ingin mengenali dan mengambil contoh keperibadian beliau.


Antara Quote Terbaik :

"Lihatlah betapa ramainya rakyat saya. Hari ini mereka menyayangi saya. Tetapi saya khuatir di akhirat kelak mereka memusuhi saya," -Khalifah Umar Abdul Aziz.
"Selain cemuhan kepada nabi, saya tidak tahu adakah cemuhan selain daripada itu dapat menghalalkan darah seseorang muslim bagi di bunuh," -Khalifah Umar Abdul Aziz
"Harta Baitulmal adalah kepunyaan rakyat. Saya tidak mencurinya walaupun satu dinar,"  -Khalifah Umar Abdul Aziz
"Wahai isteriku Fatimah. Suamimu ini diberikan beban bagi menguruskan umat Muhammad. Lalu saya terfikir berkenaan dengan nasib fakir miskin yang kelaparan, mereka yang sakit terlantar tanpa mendapat rawatan, orang yang telanjang tidak berpakaian, mereka yang teraniaya, orang tua yang terbiar, mereka yang ramai anak sedangkan hartanya sedikit dan lain-lain. Di akhirat kelak saya dipertanggungjawabkan ke atas mereka itu. Saya bimbang tidak dapat menjawabnya di hadapan Tuhan di akhirat kelak. Disebabkan itu saya merasa takut dan sedih lalu menangis," -Khalifah Umar Abdul Aziz
"Tuhan melihat apa yang saya lakukan. Malaikat sentiasa mencatat semua amalan saya. Takutkan neraka jahanam itu membuatkan saya sangat takut hendak melakukan penyelewengan," -Khalifah Umar Abdul Aziz
"Sekiranya kita pernah menzalimi manusia, kita mesti mendapat kemaafan daripada mereka yang kita zalimi bagi mendapat keampunan Tuhan. Sekiranya tidak, di akhirat kelak mereka datang mengadu kepada Tuhan mengenai kezaliman yang kita lakukan padanya." -Khalifah Umar Abdul Aziz (Nasihat beliau kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan)
"Di sisi Tuhan, manusia itu sama sahaja kecuali yang bertakwa. Pemimpin yang tidak bertakwa dan menderhaka kepada Tuhan tidak wajar dihormati," -Sa'id Musayyab (Seorang ulama di Madinah)
"Wahai Sa'id Musayyab, berdoalah semoga Khalifah Al-Walid mendapat hidayah. Tidak salah kita berbuat baik kepada khalifah. Apabila kita berdampingan rapat dengannya, mudah kita berdakwah. Sekiranya kita memusuhi pemimpin yang zalim, maka kezalimannya semakin bertambah," -Khalifah Umar Abdul Aziz
Ketua negara yang adil, dia berdiri antara Tuhan dengan hamba-Nya. Dia mendengarkan firman Allah kemudia menyampaikan kepada rakyatnya. Dia patuh kepada perintah Tuhan kemudian mengajak rakyatnya supaya turut mematuhi-Nya. - Ulama Hasan al-Basri (Isi kandungan suratnya kepada Khalifah Umar Abdul Aziz)
"Saya pernah hidup mewah ketika ayah menjadi khalifah. Oleh itu saya tidak kisah sekiranya kita hidup serba sederhana sahaja. Aku sentiasa bersama kamu, wahai suamiku," - Fatimah (Isteri Khalifah Umar Abdul Aziz)


P/s: Kalau nak tau lebih banyak quote-quote nasihat yang menarik dan terbaik, silalah dapatkan buku ini. Kalau nak beli secara online pun boleh. Klik kat sini  Nak beli!  (Bukan promoting tetapi cadangan....tak ada sebarang komisyen diterima yer...)



MONOLOG : Selepas baca buku ni, aku tertanya-tanya sendiri masih adakah pemimpin seperti Umar Al-Khattab dan cicitnya Umar Abdul Aziz di akhir zaman ini?

No comments:

Post a Comment