14.September.2013|Sabtu (8 Zulkaedah 1434H)
Rasa berbaloi, walaupun terlepas bas untuk tiket yang pertama dan terpaksalah beli tiket yang kedua rupa-rupanya ada suatu hikmah yang Allah rencanakan buat hamba-hambaNya.
Ditakdirkan diri ini bertemu dengan seorang gadis yang umurnya sebaya degan saya ketika saya menaiki bas trip yang kedua pada jam 8.30 malam. Wajahnya persis gadis Filipina, boleh saya katakan dia seorang gadis yang memiliki wajah yang cantik.
"Er..boleh saya duduk? Ada orang kat sebelah tak?" Tanyanya dengan lembut dan sopan.
Saya geleng dan kemudian mengangguk sambil tersenyum disebalik tabir wajah. Mendengarkan jawapan itu, gadis yang memakai t-shirt nipis dan freehair itu segera melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah yang masih kosong. Kelihatan dia bersusah payah dengan beg-beg yang dibawanya dan terdengar dia mengeluh seorang diri kerana beg tangannya ditumpahi air jagung Nelson. Saya kasihan melihat kesusahan dia lalu menghulurkan beberapa helai tisu. Dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih berkali-kali sambil mengeluarkan barang-barangnya yang basah dan melekit dek air jagung yang tumpah. Dia minta tolong saya pegangkan barang-barangnya sementara dia mengelap beg tangannya. Sesambil itu dia memulakan perbualan dengan menceritakan perjalanan hidupnya pada hari itu. Ternyata, banyak ujian kesabaran buatnya. Alhamdulillah, dia seroang yang penyabar.
Setelah selesai kerja-kerja mengemaskan begnya. Masing-masing terdiam seketika. Selang beberapa minit, dia menyapa saya dengan sopan. "Err..minta maaf, saya nak tanya awak..minta maaf ye soalan ni mungkin agak privasi."
Wahh sopannya dia. Hati saya berbisik. Saya mengangguk. "Boleh...tanyalah."
"Dah lama ke awak pakai macam ni?" soalnya.
Mendengarkan soalan yang tersenarai di dalam ramalan saya itu. Saya mengukir senyum disebalik tabir yang menutupi wajah. Saya yakin dia dapat melihat reaksi itu melalui pergerakkan mata saya. Dengan soalan yang pertama itu, maka bermulalah sebuah perbualan lanjutan yang melibatkan perkongsian pendapat, soal jawab dan perbincangan. Saya tertarik dengan analoginya, "Awak setuju tak bila saya cakap pakaian-pakaian yang menutup aurat..contohnya macam jubah-jubah dan tudung-tudung semuanya mahal harganya..kalau baju-baju yang singkat-singkat tu senang je nak dapat yang murah-murah...ada yang boleh beli borong..Hurm, betullah yang orang-orang yang menutup aurat tu memang mahal harganya...hmm..~" katanya sambil tersenyum dengan penuh rasa kagum. Saya dapat lihat dari wajahnya, ada sebuah harapan buat dirinya.
Perbualan diteruskan dengan pelbagai isu tentang agama - iaitu tentang pemakaian, tentang kiamat, tentang takdir, tentang jodoh pun ada. Dia ada menceritakan pengalamannya yang pernah putus tunang dan dia berharap akan mendapat seorang suami yang dapat membimbing dia ke jalan Allah bukan yang akan merosakkan dia. Aamiin...saya hanya berdoa di dalam hati.
Yang paling menarik, dia sudi berkongsi cerita tentang pengalamannya bertemu dengan seorang lelaki keturunan cina yang tidak menganut apa-apa agama atau lebih dikenali sebagai golongan Atheis. Mereka ini tidak percayakan akan kewujudan Tuhan dan lebih percayakan Sains. Lelaki Atheis itu memberitahu bahawa dia terpaksa mengaku bahawa dia beragama Buddha di dalam surat pendaftaran beragama hanya semata-mata ingin melengkapkan pendaftaran tersebut. Lelaki itu sememangnya tidak percayakan mana-mana agama. Dia berpendapat, jika adanya Tuhan..bagaimana pula dengan kejadian Tuhan itu? Siapa yang mencipta Tuhan? Si gadis yang bersamanya ketika itu cuba menanyakan pendapat tentang agama Islam. Lelaki itu memberi jawapan yang sama. Dia tidak percaya. Kemudian gadis itu bercerita serba sedikit tentang kewujudan Allah dan meminta pendapatnya tentang kejadian tsunami yang melanda Aceh yang mana pada ketika itu kesemua bangunan hancur ranap kecuali masjid. Lelaki yang bertuhankan Sains ini memberi jawapannya didalam teori saintifik. Katanya kedudukan binaan bangunan itu dipengaruhi oleh daya graviti bumi disebabkan kedudukannya berada di latitud sekian..sekian...kemudian berada di koordinat sekian..sekian..dan bermacam-macamlah teori si Atheis. Kemudian, si gadis itu berbalik kepada saya, dia pula menyoal tentang persoalan lelaki tadi - 'Jika ada Tuhan, siapa pula yang mencipta Tuhan?' Dia bukan was-was cuma pada ketika peristiwa yang dilaluinya bersama lelaki Atheis, dia tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepada lelaki itu. Dia bertanyakan pula kepada saya. Jawab saya ringkas, "Bagaimana adanya yang lain menciptakan Tuhan? Sedangkan itulah Tuhan Yang Satu, Maha Memiliki seluruh alam dan apa saja yang ada kat atas dunia," Mendengarkan jawapan itu, si gadis tersenyum sambil terangguk-angguk seolah-olah berpuas hati.
Perbualan seterusnya, dia bercerita tentang seorang rakan sekerjanya seorang lelaki berketurunan India yang baru memeluk Islam. Lelaki itu berkongsi pengalamannya ketika dia hadir di pejabat agama untuk melafazkan lafaz syahadah. Ketika itu dia sempat menyuarakan persoalan yang terbuku di hati kepada seorang ustaz di situ mengenai 'Di manakah Allah? Jika Allah itu ada, mana buktinya?' Ustaz itu menerangkan analogi yang kian popular di dalam soal jawab dakwah iaitu analogi angin. Jawapan itu memuaskan hati lelaki India muslim tadi dan lebih mengukuhkan keyakinannya sehingga dia melafazkan lafaz syahadah. Alhamdulillah.
Dua jam berlalu, mata saya kian mengantuk tetapi saya merelakan hati untuk terus melayan perbualannya. Saya yakin ada hikmah disebalik pertemuan dengannya dan saya tidak mahu melepaskan peluang dengan mensia-siakan usaha untuk saya memberi sesuatu bermanfaat kepadanya walaupun ilmu saya tidaklah seluas mana. Huhuhu... Dia terus bercerita dan berkongsi pendapat. Kadang-kadang dia bertanya jika ada perkara yang kurang difahami dan kadang-kadang dia meluahkan perasaan bahawa dia berasa malu untuk bercakap perihal agama memandangkan perwatakkannya seperti itu. Dia juga ada menyuarakan hasrat untuk bertudung dan merasa tertarik dengan muslimah yang memakai purdah. Dia kagumi dengan muslimah yang bertudung labuh, 'sejuk mata memandang' katanya sambil tersenyum lebar. Yang paling saya terharu, pabila dia berkata sambil menepuk lembut peha saya. "Saya berharap suatu hari nanti bila saya terjumpa dengan awak lagi, saya dah tak macam ni". Hati wanita saya tersentuh. Saya mengangguk kemudian memandangnya, "InsyaAllah, saya akan doakan awak."
Walaupun dia begitu, apa yang mengkagumkan saya. Di setiap perbuatannya, pasti tidak lekang dibibir dengan sebutan zikir-zikir memuji Allah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, Lailahaillah...Astagfirullah...Dan, saya yakin dia mempunyai ciri-ciri seorang da'i memandangkan dia mempunyai kemahiran komunikasi yang bagus. Dia juga kelihatan bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu agama. Cuma perlu digilap sedikit dan perlukan bimbingan. Saya yakin, dia akan berubah dan boleh menjadi muslimah yang solehah. Siapa tahu, dengan kehendak Allah dan hidayahNya, si gadis akan menjadi salah seorang da'i dan menjadi muslimah yang taat kepada TuhanNya. Malah, mungkin lebih baik daripada saya yang tidaklah seberapa baik ni. Huhu..aamiin.
Jam hampir menunjukkan jam 12.00 am. Kerancakkan perbualan kami semakin perlahan sehinggakan dia terlena. Saya membiarkan dia terus diulit lenanya sambil berdoa untuknya. Selepas setengah jam, kami tiba ke destinasi. Dalam keadaan mengantuk yang amat dan keletihan, dia bangun dari tempat duduk dan segera turun daripada bas. Saya mulai sedar bahawa saya belum pun sempat bertanyakan namanya dan maklumat untuk menghubunginya maka saya hanya terkulat-kulat membiarkannya terus berlalu. Tak apalah..mudah-mudahan bertemu lagi dengannya...InsyaAllah...Pujuk hati seraya segera turun daripada bas dengan menyulam harapan buat si gadis.
Semoga apa yang saya sampaikan kepada dia dapat memberi manfaat untuknya dan semoga dia diberikan kekuatan serta diberi hidayah oleh Allah. Aamin ya mujib~
Jangan menganalisis manusia daripada luarannya. Tetapi cuba selami dulu hati dan sikapnya. Mungkin padanya ada manfaat dan hikmah buat kita. Sesungguhnya tiadalah Allah menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Bak kata seorang sahabat, "Kejadian lalat tu pun ada hikmahnya..."
Antara ibrah (pelajaran) yang dapat dikutip melalui pengalaman ini:
- Jangan ciptakan jurang dengan mereka yang belum menutup aurat sempurna (sedangkan kita yang dikatakan menutup aurat ini pun belum tentu mendapat nilaian yang baik disisi Allah) Cuba ciptakan suasana yang memudahkan mereka mendekati kita dan selesa untuk berbual. Kerana kita tidak tahu apakah hasrat hati yang terpendam disebalik dia berperwatakkan begitu. Daripada pengalaman, saya seringkali mendapat luahan bahawa muslimah-muslimah yang bertudung labuh dan berpurdah sukar untuk didekati oleh mereka-mereka yang berperwatakkan biasa-biasa. Disebabkan hal ini, mereka-mereka yang mempunyai niat suci murni dan hasrat untuk berhijrah mula berasa terpinggir dan berasa tidak layak. Maaf jika ada yang berkecil hati, saya sekadar mewakilkan diri untuk menyampaikan hasrat-hasrat mereka yang pernah meluahkan kepada saya. Dan, saya juga pernah berada disituasi mereka. Semoga kita sama-sama saling meraikan, saling memahami dan apa yang penting perlu saling bantu-membantu ke arah kebaikkan. Syurga bukan untuk kita seorang. Dan ingatlah, tidak mendapat cium bau syurga kepada orang-orang yang sombong. :)
- Dan, perkara yang kedua. Sebagai seorang yang bergelar muslim perlu adanya pengetahuan dalam agama walaupun hanya sekadar asas. Bukan itu saja, malah perlu pelajari teknik-teknik untuk memberi jawapan yang berhikmah dan beranalogi. Ini supaya, pabila kita diterjah oleh soalan-soalan daripada non-muslim, kita sudah punyai jawapan bagi menerangkan agama yang indah ini. Untung-untung, jawapan kita yang berhikmah itu dapat membuka pintu hati dan fikiran mereka serta menjadi asbab kepada hidayah Allah. Mudah-mudahan, InsyaAllah. Tidak perlu merendahkan diri untuk berdakwah, selagi bergelar muslim, menyebarkan dan memelihara agama Allah adalah tanggungjawab yang paling utama! (Nasihat ini lebih ditujukan kepada diri si penulis ini. Huhuhu....)
- Setiap perkara dan setiap pertemuan kita dengan manusia pasti ada manfaat dan hikmahnya. Maka, hargailah dan raihlah manfaat tersebut dengan sebaik-baiknya.
Sekian saja perkongsian pengalaman saya. Semoga bermanfaat dan ambillah pelajaran darinya. Dan, saya mohon kemaafan jika ada terdapat khilaf/kekurangan disebalik kata-kata.

No comments:
Post a Comment