![]() |
Inilah bukunya! Mesti ada yang dah pernah baca kan? (^^,) |
Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,
Alhamdulillah, selesai sudah membaca sebuah buku yang mempunyai pengisian yang sangat bermanfaat dan penuh dengan ilmu. Buku tersebut adalah hasil karangan Oki Setiana Dewi yang bertajuk Melukis Pelangi. Pada awalnya, aku mula berniat untuk membeli buku ni ketika pameran buku antarabangsa di PWTC. Malangnya terlupa, sebab terlalu syok membeli buku-buku lain. Tapi, Alhamdulillah, aku dipertemukan lagi dengan buku ni ketika menghadiri program 'A One Moment To Remember' yang dianjurkan oleh One Heart Creative pada 9.Jun.2012 yang lalu. Tanpa berfikir panjang, terus aje aku membelinya (walaupun pada masa tu tengah kesempitan fulus...uhuks) Hampir 4 bulan aku menyimpan buku ni di rak dan baru hari ini aku berjaya menamatkan bacaan (dalam tempoh seminggu).
Apa yang menarik pasal buku ni?
MasyaAllah...Subhanallah! Memang menarik dan bermanfaat. Tak rugi kalau baca. Buku ni adalah luahan sebenar tentang perjalanan seorang hamba Allah SWT yang pada awalnya terlalu obses pada cita-cita dunia dan tidak berjilbab. Hamba Allah yang dimaksudkan itu adalah penulisnya sendiri- Oki. Beliau menceritakan tentang impiannya untuk menjadi artis. Kemudian sanggup merantau meninggalkan kampung halaman kerana mengejar cita-cita itu, dan di bandar besar itulah beliau menghadapi pelbagai dugaan, ujian dan rintangan.
Kerap beliau hampir berputus asa, namun beliau seorang yang kuat semangat dan mampu memotivasi diri sendiri agar terus berusaha demi mencapai cita-citanya menjadi seorang artis. Sehinggalah pada suatu masa, Allah SWT menimpakan musibah kepadanya dan keluarga dan kerana musibah itulah beliau tekad untuk berjilbab serta membuat perubahan baru untuk keseluruhan hidupnya. Malah, cita-citanya yang ingin mengejar populariti dunia itu juga ditinggalkannya semata-mata kerana Allah SWT. Ya, ketika itu beliau mulai mengenali Allah SWT, beliau mula mengenali Islam yang sebenar-benarnya (walaupun sebelumnya beliau melakukan solat dan rukun-rukun Islam yang lainnya), beliau mula merasai nikmat dan kemanisan iman yang tak terhingga....Subhanallah, indahnya hidayah yang Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu.
Kemudian, beliau terus berusaha untuk menjadi seorang yang berilmu justeru melupakan cita-cita dambaannya sejak kecil lagi. Namun, perancangan Yang Maha Kuasa tiada siapa tahu. Allah SWT menemukan beliau dengan cita-citanya itu tetapi dengan cara dan konsep yang berbeza. Oki telah mendapat sokongan daripada sahabat-sahabatnya untuk menghadiri audition filem 'Ketika Cinta Bertasbih' (KCB). Pada mulanya, beliau menolak dan tidak mahu melibatkan diri lagi di dalam bidang lakonan tetapi setelah dipujuk dan melihat sahabat-sahabatnya bersungguh-sungguh maka beliau akhirnya bersetuju. Sepanjang perjalan uji bakat tersebut, beliau hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Namun, Alhamdulillah, berkat usaha dan doanya juga sokongan keluarga dan sahabat-sahabat, akhirnya beliau berjaya dipilih untuk melakonkan watak utama filem KCB iaitu watak Anna Althafunnisa. Watak ini memang bukan watak pilihannya ketika diawal uji bakat. Dia mahukan watak Husna. Namun, telah tertulis rezekinya untuk mendukung watak utama.
Dan, dari KCB lah bermulanya kisah perjalanan seorang Oki Setiana Dewi sebagai seorang 'artis' sehingga beliau berjaya meraih beberapa anugerah untuk filem KCB ini. Seterusnya, kejayaan inilah yang mengubah nasib keluarganya dan apa yang membuatkan beliau bersyukur adalah kerana beliau telah berjaya membuatkan kedua ibu bapanya bahagia.
KONKLUSI
Penulisan Oki adalah penulisan yang sangat-sangat-sangat jujur! 100% jujur dari lubuk hatinya sendiri. Sehinggakan ketika aku membaca bab demi bab, perasaan turut mengikut perubahan rentak cerita. Emosi juga adakalanya turun, adakalanya naik. Mungkin tiada siapa yang menyangka, Oki yang dilihat pada hari ini mempunyai perjalanan hidup yang penuh dengan jerih payah, kesedihan, kesusahan, pengorbanan, kesungguhan dan pelbagai lagi. Jika dilihat pada senyumannya pada hari ini, itulah senyuman yang sentiasa memotivasikan dirinya. Aku sendiri tak sangka, Oki adalah seperti apa yang diceritakan didalam bukunya. Ya, aku sangat mengkagumi semangatnya. Dari awalnya tidak berjilbab dan berpakaian tidak menutup aurat kepada pakaian yang menampilkan dirinya seperti yang kita lihat pada hari ini.
Jadi, aku sangat-sangat mengesyorkan kepada kalian-kalian yang sudi menyinggah di ruangan blog ni untuk membaca buku Melukis Pelangi -Oki Setiana Dewi. Pasti kalian akan mendapat sesuatu daripada pembacaannya dan akan mendapat ilmu yang memberi kesan dihati.
Aku juga telah mendapat sesuatu, iaitu -'penyesalan yang tidak berguna lagi' -Apa maksud nya? Maksudnya, aku telah merugikan beberapa tahun dalam kehidupan untuk berada dalam kegelapan. Kegelapan daripada menuntut ilmu, kegelapan daripada mengenal Pencipta. Selepas aku membaca buku ni, baru aku sedar bahawa aku mengalami kerugian yang besar untuk akhirat kelak. Dan, aku terfikir-fikir sendiri, apa yang sedang aku lakukan ketika berada pada usia 16 tahun? Iaitu ketika Oki sedang sibuk mengejar impian-impiannya. Apa pula yang aku buat ketika menjadi seorang pelajar IPT? Iaitu ketika Oki sedang berusaha mempertahankan jilbabnya dan menuntut ilmu agama dengan bersungguh-sungguh. Di mana aku ketika itu? Apa yang aku buat? Sedang impian bersusun diatas lembaran kertas-kertas didalam diari? Di mana aku letak Allah SWT ketika itu? Dengan siapa aku bergantung harap? Banyak mana ilmu yang aku menuntut dengan bersungguh-sungguh? Islam? Aku tidak memahaminya secara total. Sama seperti Oki diawalnya, hanya menjalankan rukun-rukunnya tetapi tiada pemahaman dan penghayatan.
Aku juga telah mendapat sesuatu, iaitu -'penyesalan yang tidak berguna lagi' -Apa maksud nya? Maksudnya, aku telah merugikan beberapa tahun dalam kehidupan untuk berada dalam kegelapan. Kegelapan daripada menuntut ilmu, kegelapan daripada mengenal Pencipta. Selepas aku membaca buku ni, baru aku sedar bahawa aku mengalami kerugian yang besar untuk akhirat kelak. Dan, aku terfikir-fikir sendiri, apa yang sedang aku lakukan ketika berada pada usia 16 tahun? Iaitu ketika Oki sedang sibuk mengejar impian-impiannya. Apa pula yang aku buat ketika menjadi seorang pelajar IPT? Iaitu ketika Oki sedang berusaha mempertahankan jilbabnya dan menuntut ilmu agama dengan bersungguh-sungguh. Di mana aku ketika itu? Apa yang aku buat? Sedang impian bersusun diatas lembaran kertas-kertas didalam diari? Di mana aku letak Allah SWT ketika itu? Dengan siapa aku bergantung harap? Banyak mana ilmu yang aku menuntut dengan bersungguh-sungguh? Islam? Aku tidak memahaminya secara total. Sama seperti Oki diawalnya, hanya menjalankan rukun-rukunnya tetapi tiada pemahaman dan penghayatan.
Ya, itulah rumusan serba sedikit tentang impak hasil dari pembacaan buku bersaiz sederhana ini. Cukuplah sekadar itu yang aku coretkan. Buku ini membuatkan aku rasa sayang untuk menghabiskannya. Buku ini membuatkan aku rasa seperti mengenali rapat dan rindu kepada penulisnya. Buku ini juga membuatkan kita kembali berfikir tentang kehidupan dan mengingati Allah SWT. Buku ini juga membuatkan kita ingin terus mendalami Al-Quran. Dan, buku ini akan membuatkan kita berasa bersyukur kepada-Nya di atas nikmat kehidupan dan yang paling utama, adalah nikmat Iman & Islam.
"Ya Allah, janganlah Engkau menarik kembali nikmat iman dan islam yang telah Engkau anugerahkan kepada kami hamba-hamba-Mu. Dan, kekalkan lah hidayah yang telah Engkau kurniakan kepada kami. Tetapkanlah hati kami agar sentiasa kekal berada dijalan-Mu. Lindungilah kami dan berkatilah usaha dakwah kami. Amin."
Best Quote :
Bismillah...aku berjilbab! Semoga dengan jilbab ini aku bisa menjadi anak salehah, doaku didengar oleh-Mu. Untuk memberi kesembuhan kepada ia yang paling aku kucintai.....
Setiap ku tanya apa yang bisa ku bantu, ibuku hanya mengatakan,"Cukup bantu ibu dengan menjadi anak saleh"
Sesungguhnya yang terindah dalam kehidupan ini adalah ketika kita bisa memberikan sesuatu untuk orang lain....
Kata Inspirasi :
"Kamu ini belum terkenal saja sudah sombong sekali. Begitu banyak orang menginginkan peran itu, kamu malah menolaknya! Kamu lupa dengan perjuangan kamu selama ini? Dengan jilbab, kamu tidak akan pernah bisa jadi apa-apa!"
Kata-kata cercaan yang menjadi inspirasi untuk Oki berjaya. Kini, dia sudah membuktikannya. Dan dia berkata didalam hati ketika selesai upacara penerimaan anugerahnya, "Lihat...aku berjilbab...dan aku bisa menjadi apa-apa! Jilbab tidak menghalangiku untuk berprestasi!"
P/s: Jalan kehidupan setiap manusia adalah berbeza-beza. Namun matlamat dan tujuannya adalah sama. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [Surah Ad-Dzariyat, 51: 56] Fikir-fikirkanlah...
Wallahu'alam.

Kat mana saya boleh membeli buku ini selain waktu pesta buku?
ReplyDeleteMaaf..baru dapat baca komen kat sini. Masih berminat ke dengan buku ni? Atau dah beli masa pesta buku hari tu?
Delete