Thursday, August 23, 2012

Aku & Buku : Umar Abdul Aziz - Bayangan khalifah al-Rasyidin



Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, kerana dikurniakan nikmat kesihatan dan akal yang sihat untuk menamatkan pembacaan buku sirah seorang tokoh khalifah yang tersohor ini. Baru semalam (Syawal 4) aku baru saja selesai membaca buku yang bertajuk 'Umar Abdul Aziz - Bayangan khalifah al-Rasyidin' yang ditulis oleh penulis novel sejarah No.1 Malaysia iaitu Abdul Latip Talib. 

Sinopsis : 

Semasa hidupnya, Khalifah Umar al Khattab selalu berdoa. “Wahai Tuhanku, kurniakan aku zuriat yang menguatkan Islam.” Doa Khalifah Umar al Khattab termakbul dengan lahirnya Umar bin Abdul Aziz atau nama sebenarnya Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin Ash bin Umaiyah bin Abdi Syams. Ibunya bernama Laila Ummu Ashim binti Ashim bin Umar al Khattab, khalifah al Rasyidin yang kedua.

Beliau dilahirkan di Halwan pada tahun 61 Hijrah/683 Masihi. Namun pendapat yang popular mengatakan beliau lahir pada tahun 63 Hijrah/684 Masihi di Kota Madinah ketika tentera Yazid bin Muawiyah dari Damsyik menyerang kota suci tersebut. Selepas menjadi khalifah, Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna.

Keadilan yang beliau perjuangkan menyamai keadilan pada zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim. Novel ini menceritakan dengan lebih lanjut siapa Umar Abdul Aziz dan mengapa dia dianggap sebagai bayangan khalifah al Rasyidin.


Komen Aku :

Jarang aku menghabiskan satu buku dalam masa sehari, tetapi bila baca buku ni aku sangat-sangat teruja untuk membacanya sampai habis. Ini kerana rasa keterujaan dengan keperibadian Umar Abdul Aziz persis moyangnya Umar Al-Khattab yang merupakan sahabat baginda Rasulullah SAW. Beliau seorang pemimpin yang zuhud dan soleh. Juga seorang yang taat menjaga amanah dan memerintah dengan adil. Sikap beliau yang aku kagumi, beliau tidak membezakan taraf dikalangan umat islam. Keperibadian Umar mengingatkan aku kepada akhlak Rasulullah SAW yang paling baik akhlaknya di kalangan umat manusia. Sempat aku berangan-berangan untuk menjejakkan kaki ke tempat-tempat yang di telah sebutkan didalam buku tersebut untuk aku merasai dan melihat sendiri peninggalan sejarah Nabi-nabi terdahulu dan sahabat-sahabat baginda Ar-Rasul SAW serta zaman khalifah-khalifah islam juga ulama-ulama tersohor. Di atas manfaat yang aku perolehi selepas membaca buku yang bersaiz sederhana ni, jadi aku ingin mengesyorkan agar kalian-kalian yang sudi singgah di laman blog ini supaya membaca buku ni. Ianya sangat sesuai di baca oleh orang-orang yang mempunyai kredibiliti untuk memimpin juga boleh di baca oleh sesiapa saja yang ingin mengenali dan mengambil contoh keperibadian beliau.


Antara Quote Terbaik :

"Lihatlah betapa ramainya rakyat saya. Hari ini mereka menyayangi saya. Tetapi saya khuatir di akhirat kelak mereka memusuhi saya," -Khalifah Umar Abdul Aziz.
"Selain cemuhan kepada nabi, saya tidak tahu adakah cemuhan selain daripada itu dapat menghalalkan darah seseorang muslim bagi di bunuh," -Khalifah Umar Abdul Aziz
"Harta Baitulmal adalah kepunyaan rakyat. Saya tidak mencurinya walaupun satu dinar,"  -Khalifah Umar Abdul Aziz
"Wahai isteriku Fatimah. Suamimu ini diberikan beban bagi menguruskan umat Muhammad. Lalu saya terfikir berkenaan dengan nasib fakir miskin yang kelaparan, mereka yang sakit terlantar tanpa mendapat rawatan, orang yang telanjang tidak berpakaian, mereka yang teraniaya, orang tua yang terbiar, mereka yang ramai anak sedangkan hartanya sedikit dan lain-lain. Di akhirat kelak saya dipertanggungjawabkan ke atas mereka itu. Saya bimbang tidak dapat menjawabnya di hadapan Tuhan di akhirat kelak. Disebabkan itu saya merasa takut dan sedih lalu menangis," -Khalifah Umar Abdul Aziz
"Tuhan melihat apa yang saya lakukan. Malaikat sentiasa mencatat semua amalan saya. Takutkan neraka jahanam itu membuatkan saya sangat takut hendak melakukan penyelewengan," -Khalifah Umar Abdul Aziz
"Sekiranya kita pernah menzalimi manusia, kita mesti mendapat kemaafan daripada mereka yang kita zalimi bagi mendapat keampunan Tuhan. Sekiranya tidak, di akhirat kelak mereka datang mengadu kepada Tuhan mengenai kezaliman yang kita lakukan padanya." -Khalifah Umar Abdul Aziz (Nasihat beliau kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan)
"Di sisi Tuhan, manusia itu sama sahaja kecuali yang bertakwa. Pemimpin yang tidak bertakwa dan menderhaka kepada Tuhan tidak wajar dihormati," -Sa'id Musayyab (Seorang ulama di Madinah)
"Wahai Sa'id Musayyab, berdoalah semoga Khalifah Al-Walid mendapat hidayah. Tidak salah kita berbuat baik kepada khalifah. Apabila kita berdampingan rapat dengannya, mudah kita berdakwah. Sekiranya kita memusuhi pemimpin yang zalim, maka kezalimannya semakin bertambah," -Khalifah Umar Abdul Aziz
Ketua negara yang adil, dia berdiri antara Tuhan dengan hamba-Nya. Dia mendengarkan firman Allah kemudia menyampaikan kepada rakyatnya. Dia patuh kepada perintah Tuhan kemudian mengajak rakyatnya supaya turut mematuhi-Nya. - Ulama Hasan al-Basri (Isi kandungan suratnya kepada Khalifah Umar Abdul Aziz)
"Saya pernah hidup mewah ketika ayah menjadi khalifah. Oleh itu saya tidak kisah sekiranya kita hidup serba sederhana sahaja. Aku sentiasa bersama kamu, wahai suamiku," - Fatimah (Isteri Khalifah Umar Abdul Aziz)


P/s: Kalau nak tau lebih banyak quote-quote nasihat yang menarik dan terbaik, silalah dapatkan buku ini. Kalau nak beli secara online pun boleh. Klik kat sini  Nak beli!  (Bukan promoting tetapi cadangan....tak ada sebarang komisyen diterima yer...)



MONOLOG : Selepas baca buku ni, aku tertanya-tanya sendiri masih adakah pemimpin seperti Umar Al-Khattab dan cicitnya Umar Abdul Aziz di akhir zaman ini?

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012




Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,




الله اكبر، الله اكبر، الله اكبر،

لا إله إلا الله والله اكبر، الله اكبر ولله الحمد.

الله اكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا

لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون

لا إله إلا الله وحده، صدق وعده، ونصر عبده، وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده.

لا إله إلا الله والله اكبر، الله اكبر ولله الحمد.

Alhamdulillah!  Syukur kepada Allah SWT diatas nikmat kehidupan dan peluang merasai kehadiran bulan Syawal yang pernuh keberkatan ini. 


Sambutan

Bagi diri aku, sambutan hanya bersederhana dan tak banyak beza dengan tahun-tahun lepas. Cuma, kali ni mungkin rezeki lebih sikit. Alhamdulillah. Walau bagaimanapun, dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, hati bersimpati dengan nasib seorang sahabat yang tidak sihat. Semoga Allah SWT melindungi kamu dan semoga kamu cepat sembuh (^^,) InsyaAllah~


Bermakna kah Aidilfitri?

Ya. Bagi aku ia sangat bermakna sebab, time hari raya ajelah kami adik-beradik dan keluarga dapat berkumpul di rumah. Maklumlah, majoriti daripada kami adalah perantau (mencari rezeki & menuntut ilmu). Bila time raya ajelah dapat rasa suasana satu family. Kami pasang langsir, buat kuih raya, kemas rumah dan macam-macam lagi. BEST! 


Apa yang berbeza?

Kemeriahan Aidilfitri dulu dan sekarang. Kalau dulu-dulu (5-6 tahun yang lepas dan ke bawah) hari raya di meriahkan dengan alunan takbir raya. Baik di dalam TV ataupun radio. Malah, takbir raya itulah pencetus utama kemeriahan hari raya. Malangnya, pada zaman yang tersangat moden ni hari raya banyak di meriahkan dengan lagu-lagu raya dan bunyi dentuman mercun. Aku rasa lah....aku hanya dengar takbir raya pada pagi hari raya pertama je. Hari-hari seterusnya dah tak kedengaran lagi dah melainkan lagu-lagu raya dan bunyi dentuman mercun. Oh tidak! Apakah ini cara sambutan Aidilfitri pada akhir zaman? Dimana letaknya nilai-nilai Islam? Atau, adakah suasana begini hanya berlaku di Malaysia sahaja? Bagaimana dengan negara-negara Islam yang lain? Wallahua'alam~


Duit Raya?

Alhamdulillah. Pertama sekali aku ingin mengucapkan setinggi-tinggi 'TERIMA KASIH' kepada majikan yang baik hati kerana memberikan duit raya yang pertama kepada aku. Duit raya itu lah aku gunakan untuk tolong my mum & abah beli persiapan untuk hari raya. Pada hari raya, entah macam mana...ada juga lah insan-insan yang menghulur duit raya. Pada mulanya, memang malu yang amat untuk terima tapi bila dah didesak berkali-kali aku ambik la juga dengan tebalkan muka. Hehehehehe....Dah nak buat macamana kan? Orang dah nak bagi, atau mungkin dia berniat untuk bersedekah dan mungkin juga rezeki Allah SWT bagi untuk aku (^^,) Alhamdulillah~

Memandangkan status sebagai 'pekerja' maka tak terkecualilah untuk menjadi 'pemberi duit raya' kepada anak-anak sepupu dan sedara mara. Macam mana lah nanti bila ada anak-anak sedara sendiri? Huhuhuhuhu....bajet kena lebih sikit la jawabnya. InsyaAllah, rezeki Allah SWT bagi.


Okey lah, sekian saja coretan ringkas sempena kedatangan Syawal ni. Tak lupa juga kepada bulan Ramadhan yang semakin jauh meninggalkan kita. Harapan aku untuk Ramadhan, agar kita semua dipertemukan lagi dengannya. Bulan yang penuh dengan berkat dan rahmat dari Allah SWT dan bulan yang disediakan bonus pahala untuk dikumpul sebagai bekalan akhirat. Aku akan merindui sahurnya, merindui ketenangan jiwa dari godaan syaitan, merindui suasana nya yang mana kedengaran alunan bacaan ayat-ayat Al-Quran melalui aktiviti Tadarus, merindui Terawih nya dan paling aku rindui malam Al-Qadr nya (Lailatul Qadar). Ya Allah, hamba Mu ini akan merindui Ramadhan. Sihatkan lah kami agar kami dapat bertemu dengan nya lagi. Amin~

Dengan rasa rendah diri, aku ingin mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri' Taqabballahu minna wa minkum...Mohon maaf zahir dan batin jika ada terlanjur perkataan di dalam penulisan kepada pembaca-pembaca yang terjumpa atau terbaca blog yang biasa-biasa ni. Semoga memperoleh manfaat.  InsyaAllah~

Sunday, August 5, 2012

OH TIDAK! Perpaduan Ummah Semakin Membimbangkan!


Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

PERPADUAN UMMAH- Ya, suatu perkataan yang membawa maksud yang besar dan penting untuk umat Islam. Aku tertarik untuk menulis pandangan tentang perpaduan ummah selepas memerhatikan beberapa fenomena yang berlaku sejak kebelakangan ini. Percaya atau tidak, perpaduan dikalangan kita umat Nabi Muhammad SAW ini sudah semakin longgar ikatannya. Dan, kerana kelonggaran ikatan inilah yang membuatkan sekutu-sekutu Dajjal menari-nari keseronokkan kerana mereka ini amat menantikan kejatuhan tamadun Islam yang mana ia akan bermula dengan longgarnya perpaduan dikalangan umat Islam itu sendiri.

Buktinya?

Cukup aku katakan disini bukti yang paling jelas dan mudah kita lihat iaitu tentang pergaduhan sesama umat islam dalam arena politik. Mereka saling mencaci dan mengutuk antara satu sama lain. Masing-masing ingin menegakkan kebenaran mengikut kefahaman sendiri.Fenomena ini boleh kita lihat di laman sosial Facebook atau Twitter. Tak percaya? Tunggulah pilihanraya nanti. Kita akan tengok umat islam sendiri akan mencaci dan mengutuk antara satu sama lain. Kita tunggu.....

Yang seterusnya, fenomena ini sudah pun berlaku di kalangan kita. Ianya dapat kita lihat ketika solat berjemaah. Ramai diantara kita terlalu pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu merapatkan saf. Katanya, "Panas la kalau rapat-rapat..."  "Tak selesa lah.." (ini kebiasaannya berlaku dikalangan jemaah muslimah) Sedangkan perbuatan merapatkan saf itu sendiri adalah sunnah Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW :


“Hendaklah kamu luruskan saf-saf kamu atau Allah akan perselisihkan antara wajah-wajah kamu..” (Riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu dawud, Tirmizi, An-Nasai dan Ibn Majah)

Dari Anas B. Malik (radhiyallahu 'anhu), beliau menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyuruh supaya para makmum merapatkan saf-saf mereka dan Nabi akan dapat memerhatikan mereka dari belakang. Dan pada ketika itu masing-masing di antara kami pun saling merapatkanlah bahu dengan bahu dan telapak kaki dengan telapak kaki yang di sebelah.
 (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/154, no. 683)
Daripada 'Abdullah B. 'Umar, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya.  
(Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Di nilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)
Dari Abu Mas’ud r.a katanya: "Rasulullah s.a.w menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata: "Luruskan barisanmu, jangan bengkok-bengkok kerana barisan yang bengkok, nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah-belah. Orang dewasa yang cerdik dan pandai hendaklah berdiri dekat di belakangku, kemudian yang pandai dan seterusnya.”
(Hadith Riwayat Muslim) 

Ini kerana kekuatan ummah itu juga kita dapat lihat dengan merapatkan saf ketika solat berjemaah. Tidak kiralah siapa yang duduk disebelah kita samada orang tua..orang muda..orang kaya..orang miskin...kerana kita semua adalah sama mata Allah SWT. Yang membezakan kita adalah iman & takwa. Wallahu'alam.


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu.”  
(Hadith Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran tentang perbuatan merapatkan saf.

“Sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan dijalannya dilakukan secara tersusun seperti satu saf seolah-olahnya mereka merupakan sebuah bangunan yang kukuh.” 
[Surah As-Saff : 4]

Lihat! Inilah sebab kenapa pentingnya untuk meluruskan dan merapatkan saf.  ".......sebuah bangunan yang kukuh." dan inilah yang Allah SWT andaikan jika umat islam merapatkan saf umpama seperti sebuah bangunan yang kukuh yang mana ia melambangkan perpaduan yang utuh dan kuat dikalangan umat Islam. Namun pada hari ini, cuba kita renungkan bagaimana cara kita solat berjemaah? Rapatkah saf kita? Luruskah saf kita? Atau ikut suka hati janji selesa?? Aku tak mengatakan hal ini berlaku di semua masjid/surau tetapi ianya SUDAH pun berlaku di beberapa tempat. Mungkin hal ini hanyalah minoriti TETAPI ingatkah pada peribahasa "Sikit-sikit lama-lama jadi bukit" yang mana mengambarkan bahawa sesuatu yang kecil itu boleh berubah menjadi sesuatu yang besar. Jadi, adakah kita ingin lihat fenomena ini berlaku secara berterusan? Sehingga menyebabkan kelonggaran perpaduan umat Islam itu sendiri akan menjadi berita baik oleh sekutu-sekutu Dajjal??!!

Ada lagi fenomena kedua tentang solat berjemaah yang jelas membuktikan kelonggaran perpaduan umat. Iaitu bersalam- ramai kelihatan jemaah bersalaman hanya sesama geng-geng mereka atau kepada orang-orang yang dikenali dan yang berada berdekatan dengan mereka sahaja. Bila ada orang asing yang bersalam dengan mereka, mereka berasa janggal. Hal ini bukan saja membuktikan kelonggaran perpaduan umat, malah antara tanda-tanda hampirnya kiamat seperti hadis Nabi SAW.


Daripada Abdullah Ibn Mas'ud r.a, beliau berkata : Rasulullah SAW telah bersabda, "Sesungguhnya apabila kiamat sudah hampir tiba (1.) orang hanya memberi salam kepada orang yang dikenalinya sahaja, (2.) perniagaan akan bertambah maju, sehingga orang perempuan membantu suaminya berniaga, (3.) banyak orang memutuskan hubungan silaturahim (hubungan kekeluargaan), (4.) banyak saksi palsu (5.) orang menyembunyikan penyaksian yang benar, (6.) dan akan banyak kemudahan alat tulis."
(Hadis riwayat Ahmad)

Jelas bahawa kita adalah umat diakhir zaman. Dan, yang paling ditakuti kita adalah perpecahan umat Islam. Bagaimana kita ingin mempertahankan agama kita sedangkan kita tidak mengambil berat tentang perpaduan ummah? Kita sering kali marah jika ada non-muslim menghina agama kita, tetapi kita sendiri tidak menjaga maruah agama kita dengan menghina dan memaki-hamun saudara seislam kita. Kenapa kita tidak ikut adab dan akhlak Rasulullah SAW?  Bersikap lemah-lembut, bersopan, tegas dan berhemah. Beliau tidak pernah sesekali berdakwah atau menegur kesilapan seseorang dengan cara yang kasar atau dengan cara menghina walaupun begitu beliau berjaya membina dan menyebarkan Islam keseluruh dunia. Islam tersebar dengan kelembutan dan kesopanan bukan dengan cara kekerasan. Sebab itu nilai kasih sayang dikalangan umat Islam adalah suatu nilai yang sangat-sangat penting. Jika hilang nilai ini, maka kita akan lihat perpecahan besar dikalangan umat Islam. Dan, ketika itu bagaimana harus kita pelihara maruah Islam itu sendiri? serta dimana kekuatannya? Fikir-fikirkan lah.....

Wallahu'alam~