Tuesday, April 10, 2012

Menyentuh Hati, Menyentap Jiwa





Assalamualaikum & Salam Sejahtera,


Masih teringat setahun yang lepas, pada waktu tengahari ketika aku bersama dengan seorang sahabat baik di sebuah restoran. Sedang rancak berbual, tiba-tiba muncul seorang penjual memberi salam dengan penuh sopan. Kelihatan penjual itu memegang beberapa buah buku. Daripada gayanya, sudah tentu dia adalah seorang direct-seller. Timbul rasa kurang senang dihati aku dan sahabat. Namun, selepas budak lelaki itu memperkenalkan diri dan memperkenalkan barangan yang dijual, katanya dia menjual buku yang diterjemah daripada Mukashafah Al-Qulub karangan Imam Al-Ghazali. Entah kenapa tiba-tiba aku tertarik untuk terus membelek buku yang bertajuk- PENENANG JIWA. 

Si penjual tersebut tidak berputus asa namun tidak pula dia memaksa. Dengan penuh hikmah dah berhemah dia cuba mempromosi barangannya itu. Bagaikan di seru satu suara- "Beli lah..." aku terus mengangguk setuju untuk membelinya walaupun pada ketika itu otak ligat membuat kira-kira tentang baki duit yang ada. Alhamdulillah...cukup. Tanpa berfikir panjang, aku menghulurkan bayaran buku yang berharga RM 15 itu. Namun, sahabat hanya mampu melihat, kerana  ketika itu dia tidak mempunyai kewangan yang cukup.

"Terima kasih kak...semoga murah rezeki akak," ucap si penjual.
Aku hanya membalas dengan senyuman. Kemudian, si penjual tersebut memandang kami berdua.

"Kak, disebabkan hari ni last stock. Saya hadiahkan akak satu lagi buku percuma."

Aku dan sahabat saling berpandangan. Mungkin teruja.
"Err..betul ke ni?"

Si penjual mengangguk dengan senyuman. Jelas terpancar keikhlasan di wajah mudanya.

"Err...terima kasih banyak-banyak," ucap aku dan sahabat dengan nada yang gembira. 

Sebaik saja si penjual itu beredar, seraya aku memandang sahabat. 

"Nah, buku free ni saya bagi kat awak. Ambillah..baca," Buku free dihulurkan kepada sahabat dengan seulas senyuman.

"Er..betul ke? Terima kasih,"

Aku sekadar mengangguk dan membelek-belek buku yang baru saja dibeli. Alhamdulillah, rezeki daripada Allah. Aku beli 1 dapat 2...rezeki untuk sahabat juga. (^^,)

............................................................................................................

Alhamdulillah- Walaupun mengambil jangka masa yang panjang, akhirnya aku berjaya menamatkan pembacaan buku yang setebal 487 muka surat ni. Kira-kira hampir setahun jugak la untuk menamatkan pembacaan. MasyaAllah! Rasa nya kalau novel cinta mau nya dua hari dah habis...paling lama pun seminggu dah habis. Wahh...terukkknya aku! (**-)" 

Memang diakui, bila aku bukak je buku ni...confirm mengantuk. Dan, kadang-kadang tak sampai dua muka surat, aku dah ZZzZzZz....Huh! Ternyata syaitan tidak pernah mengalah untuk menghalang manusia membuat sesuatu yang berfaedah untuk diri mereka sendiri. Lebih-lebih lagi dalam bab-bab keagamaan nih. (Dan, ternyata iman dalam diri ini masih belum utuh!)

" Aku akan duduk (mengintip) mereka di atas jalan Engkau yang lurus. Kemudian, aku datang memperdayakan mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka."  { Q.S. Al-A'raf: 16-17}



Buku PENENANG JIWA (Pengubatan & Rawatan) yang diterjemahkan daripada kitab 'Mukashafah Al-Qulub', karya Hujatul Islam Imam Al-Ghazali, rahimahullah.  Apa yang menarik, buku ni mempunyai 111 bab. Bab pertama di mulakan dengan tajuk 'Takut Kepada Allah SWT'. 

Terus terang aku akui, memang banyak dugaan untuk aku yang lemah iman ni untuk habiskan buku ni. Kerap terasa malas dan mengantuk. Tetapi, kekuatan isi-isi kandungan buku ni seakan-akan memberi sokongan kepada hati supaya tak berputus asa. Alhamdulillah- ketika di pertengahan bacaan, aku mula terasa akan manfaatnya. Buku hasil penulisan Imam Al-Ghazali (yang telah diterjemahkan) ni bagaikan berbicara dengan memberi kata-kata nasihat dan dakwah. Sehinggakan, aku terasa ada perkara yang disampaikan, terkena pada diri sendiri.(Gulp!..terpana seketika)


Dan Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya melepasi bab terakhir yang paling menyentuh hati. Menyentuh hati kerana ia membuatkan aku mengalirkan air mata. Menyentuh hati kerana ia membuatkan aku menangis teresak-esak. Belum ada buku yang pernah membuatkan aku berperasaan macam ni. Bab terakhir buku ini adalah bertajuk 'Rasulullah SAW Wafat'. Air mata mula bergenang ketika membaca perenggan ni :

Dirawikan pula bahawa Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril AS, sebelum wafatnya," Bagaimana umatku ini setelah aku meninggal?" Kemudian Allah SWT memberikan wahyu kepada Jibril AS, "Berikan khabar gembira kepada kekasih-KU bahawa Aku tidak akan menghinakan umatnya, bahawa dialah manusia yang pertama kali keluar ketika mereka dibangkitkan, bahawa dia pemimpin mereka ketika dikumpulkan, bahawa Syurga haram bagi umat-umat lain sebelum umatnya masuk ke situ." Kemudian baginda berkata,"Kini kedua mata daku telah sejuk."


Subhanallah- sungguh besar kasih Allah SWT kepada kekasih-Nya, Muhammad SAW. Dan, betapa kuat kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya. Siapa umatnya?

KITA!

Ya, kita adalah umat Nabi Muhammad SAW yang ditangguhkan balasannya oleh Allah SWT. Ya Allah, betapa BERTUAH nya kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Cuba kita renung-renung balik...cuba kita buka Al-Quran dan baca terjemahannya. Ternyata jelas ramai umat manusia sebelumnya yang kufur dan ingkar pada perintah Allah SWT telah dibayar CASH! oleh-Nya.


" Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh, sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakkan."
{ Surah Al-Naml, ayat: 14}

"Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya)." {Surah Asy-syu'araa', ayat: 65-66}

"Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan pelbagai makhluk. Kemudia daripada itu, kami tenggelamkan golongan(kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera)." {Surah Surah Asy-syu'araa', ayat: 119-120}

"Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut). Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan), maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran."
 {Surah Asy-syu'araa', ayat: 172-173}


Jadi, cuba kita tengok sekeliling. Masih ada kan manusia-manusia zalim? Masih ada kan manusia-manusia yang kufur? Masih ada kan manusia-manusia yang ingkar? Masih ada kan yang menyembah berhala (patung-patung kecil)? Ya, mereka masih ada di muka bumi. Masih bermaharjalela dengan berjalan penuh bangga. Masih membuat maksiat..membuat dosa..malah ada yang lebih teruk, mereka menghina agama Islam! Ya! Mereka-mereka inilah umat Nabi Muhammad SAW di akhir zaman. Mereka-mereka ini termasuk lah diri kita....kategori mana kah kita? Agak-agak, kalau diletakkan kita di zaman umat Nabi-Nabi terdahulu (sebelum Rasulullah) balasan yang manakah patut kita terima? Nauzubillah!

Takut??

Ya, memang sifat 'Takut' perlu ada. Malah WAJIB! Bukan 'Sunat' bukan 'Harus'! Wajib kita TAKUT KEPADA ALLAH SWT. Kita sentiasa takut dengan CCTV ciptaan manusia bila kita ada buat perkara-perkara yang salah di suatu kawasan/tempat. TAPI, tak pulak kita takut dengan Allah SWT yang sentiasa ada memerhati setiap perlakuan kita. (Sekalipun kita menyorok sedalam kerak bumi). CCTV ada rakaman ye? Sebab tu kena takut...?
TAPI INGAT! Setiap apa yang dilakukan oleh makhluk di dunia ni akan diperlihatkan segala rakaman perbuatannya di Padang Masyar nanti. Siaran lansung. Tiada ASTRO, tiada TV3, tiada TV9 mahupun TV Al-HIJRAH. 


Baiklah, berbalik kepada cerita bab terakhir tadi. Ada lagi satu perenggan yang membuatkan aku merasai kehilangannya. Rasa tersentuh dan sebak yang amat sangat (Allah SWT je yang tau). 

Dalam satu riwayat, "Bahawa ketika Abu Bakar mendengar khabar itu, beliau segera masuk ke rumah Nabi SAW dan mensolatkan baginda dengan kedua matanya mengalir air mata. Kemudian dia membuka wajah baginda lalu mencium dan mengusapnya. Setelah itu dia berkata, " Wahai Rasul, ketika hidup namamu begitu harum. Setelah mati pun namamu harum. Telah terputus sebab kematian engkau apa yang tidak terputus oleh kematian seorang pun daripada nabi. Kalau kematian ini bukan kerana pilihanmu, tentulah kami akan bertambah sedih. Kalau engkau tidak melarang kami menangis, tentulah air mata kami akan habis. Ingatlah kami, wahai Muhammad di sisi Tuhanmu."

Benarlah kata-kata sahabat baginda - Saidina Abu Bakar RA, pemergian baginda amatlah dirasai. Dan, sewaktu pembacaan di perenggan yang terakhir itu, aku merasai seperti sedang berada di dalam suasana dimana para sahabat dan orang-orang yang ada pada ketika itu. Teramat sedih! Teramat sedih! 

Bertambah sedih apabila mengenangkan umat Nabi Muhammad SAW pada akhir zaman ni (termasuk lah diri sendiri). Sudah tentu baginda akan sedih dan kecewa. Baginda kasihkan kita...sayangkan kita umatnya. Tapi kita? Tepuk dada tanyalah iman~

Bersyukurlah...kerana kita umat Nabi Muhammad SAW. 




Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Bagi setiap nabi terdapat doa (yang telah dikabulkan di dunia) untuk umatnya. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari kiamat.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)




اللهم صلى على محمد وعلى آل محمد 

Ya Allah, berikan selamat dan sejahtera kepada Muhammad dan keluarga baginda serta para sahabat kesemuanya.



P/s: Walau sehebat mana pun buku yang dijadikan rujukan, namun tidak dapat mengalahkan kehebatan Al-Quran- rujukan UTAMA dunia & akhirat.


No comments:

Post a Comment