Thursday, May 18, 2017

SIAPA KATA KITA TAK BOLEH JADI 'ABDULLAH' YANG TAAT?




Assalamu'alaikum WBT & Salam sejahtera,


"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang beriman dan selalu bertaqwa." 
[QS Yunus : 62-64]

Wali Allah. 
Siapa mereka ini?
Mereka adalah golongan yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menyerahkan seluruh kehidupannya hanya kepada Allah semata-mata. Mereka juga tidak berkehendakkan kepada dunia. Biarpun kehidupan mereka kelihatan sepi di mata manusia biasa tetapi ibadahlah menjadi hiburan dan kenikmatan buat mereka. 

Namun, adakah mereka ini sejak lahir ke dunia terus diangkat martabat menjadi wali Allah? Adakah mereka memberi gelaran 'wali Allah' itu kepada diri mereka sendiri?

Tidak kesemuanya. (Kecuali yang memang dipilih oleh Allah)
Mereka ini bukanlah sejak lahir diangkat darjat sebagai wali Allah. Malah mereka sendiri tidak mengetahuinya (walaupun perkara itu sudah di catat dalam takdir Ilahi). Jangan terkejut jika ada diantara mereka berasal daripada kelompok orang-orang yang pernah menempuhi jalan-jalan jahiliyyah, bergelumang dengan kelalaian dan maksiat. Namun, hidayah dan petunjuk Allah lah yang menyelamatkan mereka daripada terus lemas di dalam lumpur kejahilan. Hidayah itu lah yang membangkitkan kesedaran dan menyalakan api keikhlasan untuk menjadi hamba Allah yang taat.

Antaranya iaitu Abdullah bin Mubarak ; dia terlalu mencintai dan tergila-gilakan seorang wanita sehingga mengabaikan solat. Maka dari itu dia diberi petunjuk dan terus bertaubat. Begitu juga dengan Al-Fuzail bin Iyaz, beliau suatu ketikanya seorang ketua kepada kumpulan penyamun. Jika difikirkan, bagaimana seorang penyamun yang berpangkat 'ketua' itu boleh tersenarai sebagai wali Allah? Inilah dia kemahuan Allah. Dia memberikan hidayah kepada sesiapa pun yang dikehendakiNya. Dia juga berfirman, "....dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." [QS Yunus, ayat: 107] Itulah yang berlaku kepada Fudail bin Iyaz. Peristiwa dia merompak sekumpulan pedagang memberi keinsafan kepada dirinya lalu beliau bertaubat.

Inilah sekadar contoh yang boleh dikongsikan di sini. Jika ingin tahu lebih ramai lagi tokoh-tokoh wali Allah, bolehlah kalian dapatkan buku 'Himpunan Kisah Para Wali' terbitan Hijjaz Publishing. Sememangnya buku  ini memberikan banyak info tentang sejarah keperibadian para wali. Selepas membaca kisah-kisah di dalamnya, segala persepsi bahawa seorang wali itu memang sejak lahirnya warak dan alim akan disangkal sama sekali. Ini kerana, kebanyakkan daripada mereka adalah orang-orang yang insaf dan bertaubat dari dosa-dosa.

Tujuan penulisan ini bukanlah ingin menampakkan kelemahan para wali yang dimuliakan Allah. Aku sekadar ingin mengorek segenggam tarbiah. Dan bukan pula aku ingin mengajak kalian menjadi wali. Tidak. Kerana martabat wali itu bukanlah seperti mendapat pingat anugerah daripada sultan, ianya tidak kelihatan malah golongan itu sendiri tidak sesekali mengakui diri mereka sebagai wali. Penulisan ini adalah untuk menunjukkan bahawa, 'untuk menjadi hamba Allah yang taat, yang mukhlis ia tidak memerlukan syarat'. Ini bermaksud, tidak semestinya perlu memakai serban atau berpurdah, tidak semestinya wajib hafaz 30 juzuk Quran dan menjadi imam baru dikatakan taat. Kerana, hidayah itu akan menyapa kepada sasaran yang tepat dan segalanya bermula dengan niat. Niat walaupun tidak disusuli dengan amal itu adalah lebih baik daripada melakukan amal tanpa niat, kerana boleh jadi ia tersasar dalam perbuatan amalnya justeru menjadikannya tidak ikhlas. Tanpa keikhlasan, jangan bermimpilah untuk mendapat martabat sebagai 'wali Allah'. Kerana wali Allah itu orang yang ikhlas dalam ibadahnya dan sepenuh hati bertaubat daripada dosa-dosa lalu. 

Ambilah kisah-kisah para wali ini sebagai inspirasi buat kita manusia biasa. Walau kita ini pernah bergelumang di dalam lumpur kejahilan, itu tidak bermakna kita 'tidak layak' untuk menjadi baik, menjadi hamba Allah yang taat dan menjadi orang yang beramal dengan ilmu yang benar. Ingatlah kalian, bahawa Allah itu Maha Mengetahui isi hati hambaNya, penilaianNya lebih tepat berbanding manusia yang penuh kelemahan dan sering kali tidak adil. Usah pedulikan apapun jika kita sungguh-sungguh nak jadi baik disisi Allah. Teruskan berusaha selagi mana ada hembusan nafas. Terus saja bangkit jika terjatuh. Jangan pernah kita berhenti. Allah memandang kualiti usaha dan Dia melihat segalannya. Beribadahlah sepenuh hati dan bukan ingin meraih apa-apa gelaran, kerana gelaran itu kita tidak layak menyebutnya. Hanya Allah yang layak. Jika Dia mengkehendaki, Dia sajalah yang memuliakan hamba itu sehingga harum namanya menjadi sebutan para penghuni langit lalu tersebar keharuman itu keseluruh penduduk dunia. 


Wallahu'alam.

Sekian sajalah perkongsian kali ini. Jika ada kelemahan dalam perkongsian ini mohon diberikan teguran yang berhemah. InsyaAllah, sama-sama kita saling melengkapi. Semoga kita diberikan kekuatan untuk sentiasa berusaha menjadi 'Abdullah' (hamba Allah) yang taat. Aamiin Allahumma Aamiin...


"Dan  jika  Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." [QS Yunus, ayat: 107]