Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,
Di ketika aku menulis di ruangan ini, perjalanan hari sudah pun masuk hari ke 7 Ramadhan. Alhamdulillah, ternyata cepat masa berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah pun seminggu Ramadhan kita nikmati.
Bagaimana kita nikmati Ramadhan tahun ini?
Ini yang ingin aku ketengahkan. Ianya lebih kepada mengoreksi diriku sendiri yang masih cuba berusaha menghayati bulan yang barokah ini. Tahun-tahun lalu, jika aku flashback 5 tahun ke belakang, Ramadhan yang aku tahu hanyalah menahan lapar dan dahaga kemudian berterawih. Bila tiba 10 malam akhir Ramadhan, aku tahu ada Lailatul Qadr tapi pada masa yang sama aku lebih teruja dengan kemeriahan 'nak sambut raya'.
Itu...kisahnya 5 tahun yang lalu. Cukuplah, biarlah ia sekadar itu.
Bila melihat diri kita dari pandangan masa lalu dan review life timeline kita sejak Ramadhan yang lepas hinggalah kini, APAKAH ADA PERUBAHAN DAN PENINGKATAN?
DIRI KITA BAGAIMANA? SEMAKIN BAIKKAH ATAU SEMAKIN TERUK?
Ini perkara untuk dikoreksi.
Berbalik kepada aku. Jujurnya aku katakan, lewat aku memahami pengertian berpuasa ni. Kenapa aku katakan lewat? Kerana aku telah bazirkan bonus-bonus yang Allah bagi beberapa tahun yang lalu dengan begitu saja. Sebab itu, pada Ramadhan kali ini, aku cuba untuk berusaha menjadikan ia Ramadhan yang terbaik! Terbaik dari segi apa?
Dari segi memanfaatkan masa
Dari segi meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah
Dari segi penghayatan fikiran dan hati
Dari segi memperbaiki akhlak
Cukuplah selama bertahun-tahun dulu aku menikmati Ramadhan dengan kurang penghayatan rohani, kini aku ingin menghayatinya dengan sepenuh-penuh penghayatan. Ramadhan adalah madrasah buat jiwa insan. Di dalamnya ada pelbagai modus tarbiah. Ada juga beberapa ujian khusus bersama dengan gandaan markah bonus. Lulus atau tidak, kita akan tahu melalui perubahan diri kita selepas tamatnya Ramadhan. Kita dikatakan lulus dengan cemerlang jika amalan ketika di bulan Ramadhan kita teruskan pada bulan-bulan selainnya. Manakala akhlak kita semakin ada penambahbaikan. Mungkin sebelumnya kita seorang yang pemarah, setelah tamat Ramadhan kita menjadi orang yang tenang dan sabar. Kegagalan pula dapat dilihat jika amalan selepas tamatnya Ramadhan semakin berkurang dan kita meninggalkannya pada bulan-bulan lain. Manakala akhlak pula semakin buruk dan mungkin juga biasa-biasa saja (maksudnya tiada apa-apa perubahan).
Bisyr al-Hafi ditanya: "Ada segelintir orang yang hebat beribadah sepanjang Ramadhan. Namun setelah Ramadhan berakhir, mereka juga berhenti."
Beliau menjawab:"Seburuk-buruk orang ialah orang yang tidak mengenali Tuhannya melainkan semasa Ramadhan sahaja!" [Miftah al-Afkar li Taahub li Dar al-Qarar]
Rugilah orang yang gagal. Apakah ertinya dia berpuasa dengan tidak memahami pengertian 'puasa' dengan sebenar-benarnya. Sia-sia menahan lapar dahaga tetapi hanya sedikit pahala dikutipnya. Semoga kita semua bukanlah dari golongan yang ini. InsyaAllah. Aamiin.
Kesan Ramadhan yang paling utama apabila diri kita semakin berTAKWA kepada Allah. Kerana, Ramadhan itu bulan membentuk jiwa supaya menjadi jiwa yang bertakwa kepada Allah. Inilah kesan yang terhebat. APA YANG PERLU KITA BUAT UNTUK MENDAPAT KENIKMATAN RAMADHAN?
Pertama, kita perlu lebih sibuk memikirkan ibadah daripada juadah.
Kedua, kurangkanlah hiburan dunia dan lebihkan hiburan akhirat - iaitu membaca dan mendengar ayat-ayat al Quran.
Ketiga, kurangkan bercakap atau berbual-bual lama tentang perkara-perkara yang tak penting lagi-lagi perkara berkaitan dengan sikap aib orang lain. Perbaikilah diri sendiri.
Keempat, bacalah buku-buku ilmiah. Sudah-sudahlah baca novel cintan cintun tu.
Kelima, sayangi masa dengan tidak 'menunggulkan' diri dengan menonton drama-drama Melayu yang banyak menyumbang kepada dosa mata dan fikiran.
Seterusnya....fikir-fikirkanlah mana-mana aktiviti yang dapat menambah pahala terutamanya bersedekah.
JOMLAH! kita sama-sama upgrade kualiti Ramadhan kita supaya kita lulus dengan cemerlang selepas keluarnya dari madrasah Ramadhan kerana kita sendiri tidak tahu apakah ada Ramadhan lagi untuk kita pada tahun mendatang. Sama-sama kita doa yang terbaik. Semoga berjaya!
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah maka dosanya di masa lalu akan diampuni.” [HR. Bukhari no. 38 dan Muslim no. 760]