Beberapa bulan menyepi, kini jemari kembali menari. Bukan sebagai 'keyboard warrior' tetapi sebagai penari rentak kehidupan insani. Terlalu banyak perkara yang berlaku dan pelbagai ujian yang dilalui. Kesemuanya adalah rencah kehidupan, penyumbang nilai dosa pahala seorang hamba. Syukur kehadrat Allah SWT Yang Maha Baik, dan selawat kepada junjungan baginda Rasulullah SAW yang dikasihi lagi dimuliakan. Atas sebab keduanya (yakni Allah & Rasul) aku masih kuat untuk menyumbang coretan dakwah disini. Semoga menjadi saham di akhirat dan menyumbang manfaat kepada yang sudi membaca atau terbaca. [Heheh..]
Jom kita lihat kepada tajuk.
Suka untuk aku membicarakan tentang tajuk ini memandangkan aku pernah menjadi Geng Tudung Bawal bidang 50' jer dan pernah menjadi Geng Tudung Labuh atau 'para sinisan' memberi gelaran sinis, Geng Khemah sebab tudung koshibo yang dipakai tu kata mereka boleh dibuat khemah kerana kelebarannya. Ok, tujuannya aku menulis tajuk ini kerana aku ingin fokus pada penyebaran dakwah kepada orang Islam itu sendiri. Terutama kepada para remaja Islam yang berada diluar sana.
Sering kali aku lihat, atau daripada pengalaman aku sendiri. Geng-geng tudung labuh ni terlalu serius apa apabila berada dikelompok yang bukan gengnya. Jika begitu, bagaimana ingin menyebarkan keharuman dakwah Islam? Kita perlu sedar bahawasanya kita tidak boleh terlalu fokus untuk mengajak non-muslim masuk Islam sedangkan kita terlepas pandang akan muslim itu sendiri yang semakin jauh dengan cara hidup Islam. Apa yang kita hendak selamatkan sebenarnya? Seperti menakung air didalam besen yang besar tanpa kita sedar besen itu bocor dan air semakin berkurang malah sia-sia sahajalah usaha kita. Boleh faham tak analogi ni? Harap fahamlah yer...
Pecahkan tembok pemisah!
Pecahkan tembok perbezaan. Jangan cuba-cuba hendak membina kroni sendiri. Islam itu luas dan indah, hidup berpuak-puak tidak membantu dalam usaha dakwah kerana akan ada semangat mementingkan kumpulan atau puak itu sendiri. Tidak salah jika adakan persatuan/kumpulan, tetapi mestilah membawa satu matlamat bersamanya iaitu menjadi penyebar kedamaian, keamanan, kemesraan, dan kebahagian kepada umat sejagat. Lebih baik jika bercampur dengan masyarakat tanpa mengira siapa dia, bagaimana dia, dan status dia disamping membawa bunga akhlak yang baik, yang harum mekar dan mampu memikat hati orang yang melihatnya. Inilah salah satu cara dakwah yang baik.
Jangan serius.
Bukanlah bererti perlu untuk bersikap sambil lewa. Jangan bersikap terlalu serius apabila berada dikalangan mereka yang tidak bertudung labuh kerana siapa tahu di hati mereka juga pernah terdetik untuk menjadi salah seorang dari pemakainya? Jika anda boleh berlawak jenaka dan ceria dihadapan sahabat-sahabat yang seangkatan dengan anda, kenapa tidak dengan mereka yang bukan seperti anda? Tahukah anda, bahawasanya mereka-mereka ini berasa amatlah segan untuk mendekati anda. Jadi, andalah yang perlu menyediakan ruang dan mencipta keserasian bersama. Ubah kejanggalan mereka kepada selesa. Jangan bercerita tentang kebaikkan diri atau tentang ilmu di dada tetapi berceritalah tentang kehidupan milik Allah ini. Orang yang berilmu tetapi merendah diri itulah orang yang sebenar-benarnya ikhlas dan mulia. Berusaha untuk mendapatkan redha Allah, itulah yang lebih utama!
Kami bukan baik macam malaikat. Kamu jangan menghukum.
Ya, kami yang bertudung labuh bukanlah baik seperti malaikat. Kami juga sedang berusaha dalam proses pembaikkan diri dan rohani. Maka, janganlah apabila kami tersilap kalian terus menghukum dan meletakkan label seolah-olah kami haram untuk membuat dosa. Kami dan kamu, kita semua hamba Allah yang tidak akan terlepas daripada membuat dosa besar mahupun kecil. Oleh sebab itulah, kita perlu sama-sama bergandingan dalam usaha menjadi hamba yang baik. At least, ada usaha daripada tak buat apa-apa. Kan??
Tiada beza.
Kita tiada beza. Yang berbeza hanya iman sahaja. Siapa kita disebalik pakaian kita hanya Dia Yang Maha Tahu. Jadi, jangan bermegah dengan pakaian yang dirasakan kitalah para alimah. Atau, kita pula yang selesa dengan pakaian yang tidak menutup aurat seolah-olah dunia ini kita yang punya. Duduklah dipertengahan. Bersederhanalah. Apa yang penting, perlu mengikut syariat yang digariskan Allah. Jika undang-undang negara kita patuh, kenapa tidak untuk undang-undang Allah? Renung-renungkanlah.....
Sekian sahaja perkongsian, coretan tarian jemari. Semoga dapat membuka mata dan minda 'kami & kamu'. Mohon kemaafan jika ada kata-kata yang tidak disenangi. Sungguh tiada niat untuk menemplak atau menyindir atau memburukkan mana-mana pihak, ini sekadar ulasan daripada pengalaman sendiri. Demi kebaikkan ummah, perlu ada semangat bersatu padu dan tidak hanya mementingkan kelompok yang setaraf dengannya. Kita semua sama kerana kita para pendosa dan kita hambaNya. Segala yang baik adalah datang daripada Allah, dan yang buruk daripada diriku sendiri.
