Assalamu'alaikum wbt,
Siapakah saudara Ahmad Ammar?
Serius...aku juga tidak mengenali individu tersebut melainkan selepas beliau tiada lagi di dunia ini. Aku yakin kalian yang bukan dikalangan ahli keluarganya atau rakan-rakannya juga tidak mengenalinya. Aku mula mengenalinya dan ambil tahu tentang saudara Ahmad Ammar selepas video pemergiannya mendapat sambutan di YouTube malah tersebar pula di laman Facebook. Fenomena itu membuatkan diri ini tertanya-tanya, siapakah gerangan pemuda ini? Apa yang membuatkan orang ramai seantero dunia memberi tumpuan kepadanya? Lalu aku mula mencari-cari info tentangnya sehinggalah terbitnya buku catatan kenangan yang disusun oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Buku yang bertajuk, "Cerita Cinta Ahmad Ammar" (CCAA) ini mempunyai halaman berwarna dan ketebalan mukasurat lebih kurang 300 lebih halaman. Aku membelinya pada bulan Mac yang lepas dan baru semalam 17.Mei .2014 aku baru selesai mengkhatamkannya. Maklumlah atas kekangan masa dan kesihatan tak menentu, menjadikan masa yang diambil agak lama :)
Apa yang memukul mood kemalasan aku untuk ber-blogging kepada mood kerajinan adalah kerana tertarik dengan suatu kesimpulan iaitu 'kembalil melihat sejarah'. Kesimpulan ini di simpulkan oleh aku sendiri sewaktu membaca buku CCAA. Dan, ini juga yang ingin disampaikan oleh saudara Ammar dalam menyusun strategi untuk melaksanakan misi & visi dakwahnya.
Dalam buku CCAA, ada terdapat pelbagai coretan dan karangan yang dicoret khas daripada emak dan ayah beliau sendiri, juga daripada ahli keluarga terdekat dan sahabat-sahabat yang mengenali beliau. Coretan mereka banyak berkisar tentang keperibadian saudara Ammar dan garis masa (timeline) kehidupannya. Emak dan ayah beliau (iaitu Tn. Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Abdul Aziz) adalah yang paling banyak berkongsi kisah tentang bagaimana anakanda lelaki tunggal mereka itu membesar termasuklah bagaimana pendidikkan saudara Ammar sejak dari kecil sehinggalah berakhir di sebuah universiti di Turki.
Begitu juga dengan kakak beliau dan juga abang iparnya, mereka berkongsi tentang perspektif terhadap keperbadian Ammar yang sememangnya telah dibentuk melalui pendidikan emak dan ayahnya. Benarlah kata orang, bahawa pendidikkan awal adalah bermula daripada pendidikkan dirumah sendiri. Jika baik, maka baiklah. Jika sebaliknya, maka suasana yang kurang baik itu akan terbawa-bawa dalam keperibadian ahli-ahli keluarga.
Tidak terkecuali juga sahabat-sahabat saudara Ammar yang sudi berkongsi kisah kenangan mereka bersama pemuda itu. Membaca coretan mereka, hati ini turut merasa sebak. Sangat terkesan dengan pautan ukhuwah yang dibina sehingga membuahkan bibit cinta dan kasih sayang di dalam persahabatan mereka. Mereka sangat sayangkan sahabat mereka Ammar, namun Allah lebih menyayanginya. Mereka redha dengan menyahut seruan misi dan visi sahabat mereka Ammar untuk turut menyumbang bakti kepada umat. Perjuangan mesti diteruskan!
Sejujurnya aku ingin katakan, bahawa buku ini sedikit sebanyak telah menyimbah mata hati supaya celik untuk melihat betapa umat Islam hari ini perlu bangkit dengan melihat kembali sejarah kegemilangannya. Hanya dengan mengetahui sejarah, kita akan tahu bahawa Islam pernah mencapai tahap kegemilangannya. Bukan setakat tahu sahaja, tetapi harus untuk kita kaji dan ambil tahu tentang bagaimana umat terdahulu berjaya menguasai sepertiga dunia. Bagaimana tamadun Islam begitu gah dan menyebabkan kuasa-kuasa Barat ingin menyaingi kita? Dan, lihat pula pada hari ini...apa sudah jadi? Dimana umat Islam yang kuat dan digeruni musuh? Mengapa umat Islam kini ditindas? Ya, inilah persoalan yang memerlukan jawapan. Saudara Ammar sedar akan hal ini, kerana itulah beliau mempunyai semangat yang tinggi untuk menelusuri sejarah kebangkitan tamadun Uthmaniyyah di Turki dan melihat strategi Sultan Muhammad Al-Fateh dalam menakluki kota Konstatinopel pada usia muda (setahun lebih tua daripada saudara Ammar).
Saudara Ammar juga gigih mempelajari Kitab Risalah An Nur yang dikarang oleh Imam Bediuzzaman Said Nursi. Risalah ini banyak menyentuh tentang keimanan dan jati diri seorang muslim. Ia dapat memberi bimbingan untuk memahami hakikat-hakikat iman tanpa melalui jalan yang panjang dan berliku-liku yakni dengan berpegang teguh kepada sunnah dan ajaran Rasulullah SAW, itu cukup memadai untuk membawa jiwa seorang hamba mendekati Rabb nya -Allah SWT. Ini juga termasuklah dengan mendekati dan memahami Al-Quran kalamullah yang mulia. Oleh kerana itu, saudara Ammar juga tidak meninggalkan amalan membaca Quran malah beliau juga ada dan sedang menghafal beberapa surah di dalam Quranul Karim. Sungguh pun begitu, perkara asas yang membawa kepada keredhaan Allah terhadap saudara kita ini adalah IKHLAS. Ya, beliau ikhlas dalam menuntut ilmu demi untuk membela umat Islam diakhir zaman ini. Namun, perancangan Allah telah mendahului segalanya.
Selain saudara Ammar, di dalam buku CCAA ada seorang lagi insan yang aku kagumi. Beliau adalah Tn Hj Ahmad Azam iaitu ayahanda saudara Ammar. Kenapa beliau? Kerana beliau sanggup mengetepikan duniawi semata-mata ingin melihat umat Islam terbela. Sebelum beliau menceburi bidang dakwah dan melibatkan diri dengan badan-badan islamik NGO. Beliau mempunyai Bachelor Business Administration daripada Indiana State University dan Master Business Administration, Stephen F Austin State University Texas. Kalau dilihat daripada kelulusan dan pencapai beliau, ianya bukanlah calang-calang. Dengan pencapai tersebut, tentu sekali beliau boleh menjadi ahli perniagaan yang berjaya atau menyelusuri bidang-bidang korporat atau jika tidak berada di dunia dakwah beliau mungkin seorang ahli korporat di Malaysia. Namun, seperti yang diketahui, beliau tidak memilih untuk berada dilandasan cita-cita duniawi. Beliau memilih untuk terus bergerak dilandasan yang membawa keuntungan bagi membina kehidupan di negeri abadi yakni akhirat. Ternyata, siapapun kita diatas muka bumi ini hanyalah sebagai hamba kepada Allah. Bekerja untuk Allah untuk mendapat keredhaanNya, inilah yang menjadi pilihan Tn Hj Ahmad Azam dan seterusnya mengalirkan pula semangat dai'e ini kepada anakanda beliau, saudara Ammar juga kepada anak-anak yang lain. Inilah inspirasi buat jiwa, jika diberi pilihan, aku juga ingin berada selandasan dengan beliau. Biidznillah :) (Aamiin Allahumma Aamiin)
Terlalu panjang untuk aku huraikan secara keseluruhan, kerana buku CCAA ini terlalu banyak manfaatnya. Tidak rugi jika kalian ingin membeli dan membacanya kerana ia akan mencuit jiwa yang kian terleka dengan keseronokkan dunia untuk lebih memandang kepada hikmah yang Allah rencanakan buat hamba-hambaNya. Pendapat aku tentang fenomena saudara Ammar ini:-
"Sesungguhnya aku yakin bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah. Pemergian Ahmad Ammar bukanlah suatu yang kebetulan berlaku tanpa perancangan daripada Yang Maha Merancang. Allah SWT ingin menyedarkan jiwa-jiwa muda khususnya supaya bangun dan bangkit untuk membela agama Allah. Allah SWT ingin melihat umat Islam kembali bersatu supaya daulah Islamiyyah kembali ditegakkan. Maka, saudara kita Ammar adalah asbab kepada menyuntik semangat umat Islam yang kian lemah imannya. Allah SWT ingin kita melihat dan menelusuri kembali sejarah ketamadunan Islam. Hanya dengan sejarah kita akan tahu bagaimana kegigihan umat terdahulu termasuklah umat Islam di zaman Rasulullah SAW. Ternyata selepas pemergian saudara Ammar, ramai daripada anak-anak muda mula menunjukkan minat dengan kajian sejarah Islam. Ada yang mula mencari info-info tentang tamadun Islam dan ada yang mula ingin melakukan perubahan dalam hidup untuk menjadi insan yang mempunyai misi dan misi dakwah. Ibu bapa juga tidak terkecuali daripada percikkan hikmah ini, ramai dikalangan ibu bapa mula tertarik tentang bagaimana Tn Haji Ahmad Azam dan Puan Azlina memberi pendidikan asas buat saudara Ammar sehingga berjaya membentuk keperibadian yang baik."
Begitulah serba sedikit perkongsian daripada pembacaan. Buku CCAA bukanlah buku yang hanya mencoretkan kenangan semata-mata dan bukan pula buku untuk mengagung-agungkan saudara Ammar. Apa yang ingin disampaikan adalah tentang misi & visi serta perjuangan dalam menuntut ilmu oleh seorang hamba Allah yang bernama Ahmad Ammar. Akhir kata, kembalilah melihat sejarah Islam kerana di dalamnya terdapat rangka strategi kejayaan buat agama Allah. Terima kasih Allah kerana hadirkan hambaMu Ahmad Ammar sebagai penyuntik semangat jiwa-jiwa yang alpa dengan keseronokkan dunia. Semoga roh Ahmad Ammar tenang dan damai bersama para solihin serta bertemu bidadari syurga idaman. Al-Fatihah buat saudara Ahmad Ammar.
"Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling, maka itu tidak penting. Jika Dia menerima sedangkan seluruh masyarakat menolak, maka tiada kesannya. Setelah Dia meredhai dan menerimanya, jika Dia kehendaki dan selari dengan hikmahNya, walaupun kalian dalam keadaan tidak meminta, Dia akan menjadikan masyarakat juga menerima dan meredhai. Kerana itu, keredhaan Allah sahaja yang perlu dijadikan sebagai tujuan utama dalam khidmat dakwah ini." - [Catatan terakhir yang dijumpai di dalam beg saudara Ahmad Ammar]
Ingin dapatkan buku CCAA? Klik di sini : The Caliph
Nak tahu tentang Grup Penjejak Tamadun Dunia yang saudara Ammar sertai? Klik di sini : GPTD
