Wednesday, May 15, 2013

Hati Bertaut Ilmu Di Kongsi.....




Assalamu'alaikum wbt & Salam sejahtera,


Hati bertaut kembali di usrah Tautan Hati. Diizinkan Allah, itu yang pasti! Alhamdulillah wa syukurillah wa ni'matillah, la haula wala kuwwata illa billah! Agak lama rasanya tak update perkongsian usrah di ruangan kaku ini. Terasa rugi kerana ilmu tidak dikongsi dan diperap seorang diri. Tetapi itu bukanlah niat dihati, ianya kerana putaran waktu yang sentiasa mencabar untuk berlumba lari. Alhamdulillah. Di saat ini, aku mencuri sedikit ruang waktu supaya dapat aku coretkan sesuatu diruangan kaku ini. Izinkan aku berkongsi...

Seperti kebiasaan, usrah akan bermula dengan tadabbur surah-surah pendek daripada Al-Quran. Surah pilihan untuk kali ini adalah surah Al-Ma'un yang bermaksud 'Pertolongan/ Bantuan'. 

Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 7 ayat. Di namakan surah Al-Ma'un kerana pada akhir surah ini Allah Ta'ala menjanjikan seburuk-buruk balasan kepada orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan kepada orang yang berhak menerimanya.

Ustazah juga menerangkan beberapa intisari kandungan ayat-ayatnya. Di dalam surah ini Allah menjelaskan  tentang sifat-sifat yang dianggap mendustakan agama. Antara sifat-sifat itu ialah :

  1. Orang yang mengherdik, menindas atau berlaku kasar terhadap anak yatim.
  2. Orang yang tidak memberi makan kepada orang miskin. (atau di dalam tafsir Quran yang lainnya diterangkan : Orang yang tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin)
  3. Orang yang lalai dalam mengerjakan solat.
  4. Orang-orang yang riak dalam beribadat.
  5. Orang-orang yang tidak memberikan pertolongan kepada yang berhak menerimanya.
Semoga kita semua dijauhkan dari sifat-sifat diatas. Aamiin~

Setelah selesai mentaddabur Surah Al-Ma'un. Usrah diteruskan dengan kupasan ilmu daripada buku 'Ghayar Nafsaka'. Ustazah menjelaskan tentang:

  • Kita mestilah menjadi umat yang mulia. Kerana kita dilahirkan dalam keadaan mulia di sisi Allah dan diciptakan pula oleh Yang Maha Mulia-iaitu Allah SWT.
  • Jangan sesekali menghina diri sendiri kerana hidup dengan kehinaan lebih teruk daripada hidup dengan kelaparan.
  • Jika kita menerima suatu penghinaan, hilangkan hinaan itu dengan hijrah. Ianya bermaksud, janganlah bila diri kita dihina di suatu tempat, kita hanya membiarkan ia berterusan. Hanya mengeluh dengan mengenang nasib. Berputus asa dan lemah semangat. Come on! Bukan begini semangat seorang muslim. Dunia ini diciptakan amat luas oleh Yang Maha Luas. Mungkin masih ada ruang dan peluang untuk kita berhijrah ke suatu tempat dimana dapat menjauhkan kita dari penghinaan yang dilemparkan. Maka, jika kita sudah berhijrah carilah kemuliaan disitu. Mudah-mudahan mendapat redha Allah SWT. Diri ini diciptakan mulia oleh Yang Maha Mulia, masakan kita membenarkan diri kita di hina oleh orang lain? atau kita sendiri yang menepek kehinaan itu pada diri? Tepuk dada tanyalah iman... :)

Sedang kita mencari kemulian, berhati-hatilah wahai kawan. Janganlah kita terlalu leka, hingga tidak menyedari kaki sudah pun melangkah menuju kehinaan. Antara faktor yang membolehkan kita menjadi orang yang hina adalah:

  • Apabila kita mula menghambakan diri kepada syaitan. (Cth: Malas solat, baca Quran dan berzikir)
  • Apabila kita mengikut hawa nafsu dalam kehidupan seharian (Cth: Memarahi orang lain tanpa memikirkan perasaannya, makan terlalu kenyang hingga berlaku pembaziran, tidur yang melampaui batas normal seorang manusia...huhu~)
  • Apabila kita hilang percaya kepada Allah SWT. Haa! Yang ni amatttttt bahaya! Jaga-jaga....!

Setelah selesai kupasan ilmiah daripada buku tersebut. Ustazah memberi sedikit ruang dan peluang jika ada sesiapa yang ingin berkongsi pendapat, atau bertanyakan soalan. Selang beberapa minit, seorang ukhti yang bernama Fathiyah bangun bergerak ke hadapan. Beliau dengan seikhlas hatinya ingin berkongsi sebuah analogi yang agak menarik dan menyentap jiwa. Di tangannya, kelihatan dia memegang sekeping not RM 50 yang masih cantik dan tidak berkedut. Lalu, bermulalah perkongsian beliau....

"Kehidupan kita sebagai manusia ini dapat diumpamakan seperti sehelai wang kertas yang baru. Wang itu bernilai samalah seperti diri kita sejak dilahirkn lagi. Malah, itulah nilaian Allah SWT terhadap diri kita. Apabila setiap kali kita melakukan dosa ia kelihatan seperti ini (kelihatan ukhti Fathiya merenyukkan kepingan not RM50 itu dengan mengenggamnya perlahan. Kelopak matanya mula bergenang). Kemudian, kita buat dosa lagi (kali ini kelihatan ukhti Fathiya menumbuk-numbuk kepingan duit RM50 yang sudah renyuk tadi hingga hampir hilang rupa asalnya. Kali ini, air matanya tidak dapat ditahan lagi). Namun, apabila kita kembali bertaubat kepada Allah serta menyesali setiap perbuatan kita yg lalu (duit RM50 yang renyuk tadi di kembalikan kepada kepingan asal). Lihat! kita akan dapat lihat garisan-garisan yang ada pada kepingan duit ini. Garisan itu terus kekal kan? Inilah diumpamakan sebagai garisan-garisan dosa dan begitulah jugalah dengan dosa-dosa yang terpalit di dalam diri kita. Walaupun ia dipandang dan kekal pada pandangan manusia namun nilai wang itu tetap sama dan masih bernilaikan? Begitulah pandangan Allah pada kita.....biarpun pada pandangan manusia kita hina, jijik dan kotor..tetapi pada pandangan Allah, kita tetap bernilai sebagaimana nilainya diawal kelahiran kita ke dunia......"  



Begitulah sebuah analogi kehidupan yang dibentangkan oleh ukhti Fathiya. Kelihatan sahabat-sahabat usrah yang lain hanya tertunduk diam membisu. Masing-masing tenggelam di dalam dunia sendiri sambil bermuhasabah diri. Syukran jazilan ukhti Fathiyah, analogi mu ini akan aku ingati dan aku akan cuba sampaikan kepada sahabat-sahabat lain seperti mana dirimu melakukannya. Halalkan perkongsian ini ya ukhti....(Aku tidak tahu samada perkongsian ini akan dibaca olehnya atau tidak. Namun tidaklah mustahil jika diizinkan Allah) Jazakillahu khair ya ukhti....

Ibrah daripada perkongsian analogi tersebut, janganlah kita merasa berputus asa daripada rahmat Allah walaupun kita telah melakukan dosa yang besar. Kerana sesungguhnya, Allah itu membuka seluas-luasnya pintu taubat dan pengampunan. Allah tidak sesekali zalim! Tidak! wahai sahabat. Kitalah yang menzalimi diri sendiri dengan membawanya ke lembah kejahilan dan mengikut tujukkan syaitan. Allah mahukan kita bersama-sama berkumpul di syurga hanya dengan beribadah dan taat kepada perintah-Nya. Malah, Allah masih ingin menerima taubat hamba-hamba-Nya yang berlumur dosa. 

“Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”  

[Surah Az-Zumar, ayat: 53]


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."

[Surah Al-Baqarah, ayat: 186]


Maka, sekian sajalah perkongsian usrah pada kali ini. Semoga memperolehi manfaat dan hikmah daripadanya. Mohon maaf sekiranya ada kekhilafan di dalam coretan hamba. Sesungguhnya, yang baik itu datang daripada Allah (Segala puji-pujian hanya untuk Allah) manakala yang buruk itu daripada diri si penulis sendiri. InsyaAllah, jika diberikan kelapangan waktu dan kudrat yang baik, akan ku coretkan lagi perkongsian usrah yang akan datang. Biidznillah~

P.s: Perkongsian usrah yang dicoretkan ini adalah hasil kutipan ilmu daripada usrah Tautan Hati yang diadakan pada minggu lepas. Mungkin ada yang tertinggal inputnya...mohon maaf sangat-sangat. (-_-") Hanya ini yang daku mampu....huhuhu~


Sunday, May 12, 2013

Aku, Pakcik Teksi dan Henfon



Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,

Tersebutlah sebuah kisah di pagi Jumaat yang indah, yang memberi ibrah buat diri hamba.
Ingin ku coretkan di lembaran kaku ini semoga ia dapat memberi hikmah dan manfaat kepada yang sudi membaca. InsyaAllah.

Kisah ini berlaku pada pagi hari Jumaat bersamaan 29 Jamadilakhir 1434 H, yang mana ketika itu aku lewat untuk pergi ke tempat kerja. Memandangkan jarum jam semakin pantas berdetik, maka aku mengambil keputusan sepantas jarum jam juga untuk menaiki teksi. Maka, berdirilah aku di tepi jalan yang agak lengang dengan sebuah harapan. Bola mata hanya tertumpu kalau-kalau ada kenderaan berwarna merah putih atau kuning biru (betulkan warna teksi camni? Huhu..) lalu disitu, sesekali sempat juga mengerling ke arah skrin henfon sambil jari-jemari menekan butang-butang tanpa sebarang tujuan khusus. Saje suka-suka....

Setelah beberapa minit berlalu, hati terus berdoa agar Allah permudahkan urusan untuk mendapatkan sebuah teksi. Ya Allah..permudahkanlah aku untuk mendapatkan teksi. Aku dah lambat sangat-sangat gi keje ni. Huhuhu....Selang beberapa minit, akhirnya bola mata bersinar-sinar dan hati berbunga-bunga pabila kelihatan beberapa buah teksi yang muncul dari jauh menghala ke arah jalan tempat aku berdiri terpacak dari tadi. Tanpa membuang masa, aku terus mendepangkan tangan kanan sebagai isyarat menahan teksi yang berada dihadapan mendahului teksi-teksi lain. Haih...banyak pulak teksi yang muncul. Alhamdulillah! Teksi itu pun berhenti dan aku terus memasukinya setelah melihat pakcik yang berusia..err..mungkin lewat 30-an kot..mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda setuju untuk menghantar aku ke destinasi yang aku khabarkan.

Sepanjang aku berada di dalam teksi yang nampak baru dan selesa itu, malah di ceriakan  pula suasana dengan dendangan irama lagu klasik retro 60-an di corong radionya, hati aku bermonolog, "Bagusnya pakcik ni...padahal jarak tempat untuk hantar aku bukanlah jauh sangat. Berapa sangatlah untungnya. Bagus..bagus..tak memilih rezeki yang Allah nak bagi." (Sebenarnya, jarak ofis dengan rumah tak adalah jauh sangat pun. Kalau kebiasaan hari-hari, aku jalan kaki je...dalam 20 minit- jalan malas-malas sampailah kat ofis. Kalau laju-laju tahap ERL, dalam 10 minit dah sampai tapi semput la sikit. Fuh~) Setelah tak sampai 10 minit aku duduk di dalam teksi, maka sampailah ke destinasi. Aku membayar jumlah yang tertera di skrin meter. Hm....RM3.40 je. Tiga ringgit memang caj tetap masa buka pintu, dan 0.40 sen je la aku kena tambah. Aku hulur sekeping not hijau. Risau juga kalau-kalau pakcik tu tak ada duit tukar. Tapi, Alhamdulillah...dia memulangkan baki yang tepat. "Terima kasih pakcik!" Ucap aku sebaik keluar dari perut teksi itu. Dia hanya mengangguk dengan sedikit senyuman. Jelas terpancar diwajahnya, dia bekerja dengan ikhlas. Dia tidak berkira-kira dengan peluang-peluang rezeki yang Allah sediakan pada pagi itu walaupun nilainya tidaklah seberapa. Kalau ikutkan, boleh aje dia menolak aku sebagai penumpangnya dan mencari penumpang lain yang hendak ke destinasi yang lebih jauh. Ini kerana, lebih jauh jarak maka lebih banyak keuntungan diperolehi. Kerana itu, aku berasa kagum seraya hati berdoa sambil bola mata sempat memandang sekilas ke arah teksi yang mula bergerak jauh itu. Ya Allah, Kau murahkanlah rezeki pakcik teksi itu....


Tiba di perkarangan meja kerja setelah melalui sapaan-sapaan dari rakan-rakan. Aku hanya tersengih...sedar diri kerana terlambat. HUHU! Seperti kebiasaan, prosedur pertama iaitu mengeluarkan laptop daripada beg bersama alat-alatannya. Setelah selesai semuanya, aku membetulkan kedudukkan mencari keselesaan di tempat duduk. Tiba-tiba, hati mula menyergah fikiran bahawa ada satu lagi gadget yang tiada diatas meja. Hah? Barulah aku teringat pada henfon yang menjadi peneman aku berdiri terpacak ditepi jalan seketika tadi. Alamak! Kat mana pulak yer? Puaslah aku mencari disekeliling tempat dan menyelongkar di dalam beg. Keresahan seperti ibu ayam hendak bertelur itu disedari rakan-rakan sekerja, lalu diluahkan jua segala rasa. Aduhai....dugaan. Lalu, Kak A yang baik hatinya membantu dengan membuat panggilan ke nombor telefon aku. Tut tut...katanya, "Masuk voicemail la..."  ADUH! Kat mana pulak yer? Rasa-rasanya tadi aku tak tukar pun mod silent, bateri pun masih ada tiga bar. Maka, pelbagai lah pendapat,pandangan, andaian yang dikeluarkan oleh rakan-rakan..."Tertinggal kat rumah kottt...." Aku menidakkan. Mana mungkin tertinggal sedangkan tadi aku bermain-main dengannya. Oh henfon...dimana kamu? Aku risaukan segala maklumat yang tersimpan di dalamnya, ada koleksi gambar-gambar kenangan, dan rantaian SMS daripada insan-insan tersayang yang hadir di lembaran kehidupan. Ada kata-kata tarbiah, muhasabah, motivasi dan inspirasi daripada mereka. Sayangnya... Setelah penat, aku duduk mengadap laptop. Nampak macam tenang, tetapi fikiran masih berfikir tentangnya manakala hati pula sedang  bermunajat kepada Allah agar diberi kemudahan dan kesabaran. Mungkin...inilah ujian dihari Jumaat yang mulia. Kata-kata ini juga dilafazkan oleh Kak A kepada aku. Dia memujuk supaya bersabar. Ya...sedang bersabar lah ni wahai kakak ku...huhu~ Dia menambah lagi, "Ingat tak buku yang akak bagi tu...Kita kena 'Bersyukur saat diuji' " Aku hanya diam, hanya senyuman mampu diukir sedang hati mengiyakan kata nasihatnya.  Lalu, aku teringat pada sebuah buku yang dia letakkan diatas meja pada pagi kelmarin. 


Sila KLIK di sini


Buku ni aku belum sempat baca lagi. Tapi, daripada tajuknya sudah pasti ianya mencungkil  tentang hikmah disebalik musibah iaitu dengan bersangka baik kepada Allah SWT. (Kepada sesiapa yang belum baca, silalah dapatkan buku ini. InsyaAllah bermanfaat)


Tidak ada kejayaan melainkan dengan usaha berterusan dan tawakal kepada-Nya. Panggilan dibuat buat kali kedua. Kali ini, aku sendiri yang mendailnya. Huh! Rasa pelik je mendail nombor sendiri. "Hello.." Haa! Terdengar satu suara yang menjawab ditalian.
"Hello Assalamu'alaikum...ni pakcik teksi ke? Ha...henfon saya tertinggal. Pakcik kat mana yer?" bla...bla..bla....(Perbualan aku bergema satu ruangan bilik ofis disebabkan oleh keterujaan yang tidak dapat dibendung...maaf ye kawan-kawan~) Alhamdulillah! Syukur padaMu Ya Allah! Kaulah sebaik-baik Penolong! Yes! Pakcik teksi tu akan menghantar henfon aku yang tertinggal di dalam teksinya beberapa minit aje lagi. 

Senyuman terukir hingga ke telinga sebaik saja henfon bertukar tangan. "Terima kasih yer pakcik..." Ucap aku sambil menghulurkan sekeping sampul surat berwarna putih sebagai pemberian ikhlas yang tidaklah seberapa. Aku menganggapnya sebagai hadiah untuk pakcik diatas kejujurannya. Pada mulanya pakcik itu menolak, namun selepas melihat aku beria-ia menghulurnya, akhirnya dia pun ambil dengan sekuntum senyuman. "Pakcik tak minta yer.." katanya dalam nada yang agak serba salah.
"Yer..pakcik. Saya bagi ikhlas ni..." Aku senyum kemudian melangkah pergi sambil membelek-belek henfon ditangan. Syukur pada-Mu Ya Allah!

Aku mencari ruang buat diri, merenung musibah kecil yang menimpa. Aku cuba untuk flashback kembali setiap scenes, dari awal hingga akhir. Cuba mencari ibrah dan hikmah. Dan tiba-tiba aku teringat pada doa. Ya! Doa yang aku panjatkan buat pakcik teksi tersebut agar Allah SWT memurahkan rezekinya. Kini, barulah aku faham maksud disebalik kejadian. Mungkin saja musibah kecil ini yang menimpa aku ini sebagai perantara rezeki daripada Allah SWT kepada pakcik teksi. Rezeki yang dimaksudkan mungkin adalah pemberian di dalam sampul putih tadi. Pada mulanya, pakcik teksi hanya mendapat RM 3.40 daripada aku. Namun, kerana musibah kecil ini, dia mendapat lebih daripada itu. Allah juga telah mengabulkan doa dengan membuktikan Kemurahan-Nya.Itulah dia...rezeki Allah yang tidak disangka-sangka. Tak kira dimana, tak kira siapa malah tidak mustahil juga melalui musibah yang menimpa. 

"....Dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa terhisab." 
[Surah Al-Baqarah, ayat: 212]

Subhanallah..MasyaAllah! 

Patutlah aku rasa tenang dan tak terlalu mengelabah seperti selalu, rupa-rupanya Allah-lah Yang Maha Tahu. Indahnya perancangan Allah buat hamba-hambaNya. Semoga apa yang dicoretkan ini dapat memberi manfaat. Dan segala kebaikkan di dalam perkongsian ini, adalah datangnya daripada Allah SWT, manakala segala keburukkan adalah daripada diri aku sendiri.
"Dan berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan 
kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui."
 [Surah Al-Ankabut, ayat: 60]

P.s: "Lain kali kalau tengah tunggu teksi ke...bas ke...jangan main henfon! Simpan dulu..." Nasihat Kak L.    (-_- ") ~ baiklah....huhu! *padan muka, kan dah kene sebijik!*