Thursday, May 18, 2017

SIAPA KATA KITA TAK BOLEH JADI 'ABDULLAH' YANG TAAT?




Assalamu'alaikum WBT & Salam sejahtera,


"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang beriman dan selalu bertaqwa." 
[QS Yunus : 62-64]

Wali Allah. 
Siapa mereka ini?
Mereka adalah golongan yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menyerahkan seluruh kehidupannya hanya kepada Allah semata-mata. Mereka juga tidak berkehendakkan kepada dunia. Biarpun kehidupan mereka kelihatan sepi di mata manusia biasa tetapi ibadahlah menjadi hiburan dan kenikmatan buat mereka. 

Namun, adakah mereka ini sejak lahir ke dunia terus diangkat martabat menjadi wali Allah? Adakah mereka memberi gelaran 'wali Allah' itu kepada diri mereka sendiri?

Tidak kesemuanya. (Kecuali yang memang dipilih oleh Allah)
Mereka ini bukanlah sejak lahir diangkat darjat sebagai wali Allah. Malah mereka sendiri tidak mengetahuinya (walaupun perkara itu sudah di catat dalam takdir Ilahi). Jangan terkejut jika ada diantara mereka berasal daripada kelompok orang-orang yang pernah menempuhi jalan-jalan jahiliyyah, bergelumang dengan kelalaian dan maksiat. Namun, hidayah dan petunjuk Allah lah yang menyelamatkan mereka daripada terus lemas di dalam lumpur kejahilan. Hidayah itu lah yang membangkitkan kesedaran dan menyalakan api keikhlasan untuk menjadi hamba Allah yang taat.

Antaranya iaitu Abdullah bin Mubarak ; dia terlalu mencintai dan tergila-gilakan seorang wanita sehingga mengabaikan solat. Maka dari itu dia diberi petunjuk dan terus bertaubat. Begitu juga dengan Al-Fuzail bin Iyaz, beliau suatu ketikanya seorang ketua kepada kumpulan penyamun. Jika difikirkan, bagaimana seorang penyamun yang berpangkat 'ketua' itu boleh tersenarai sebagai wali Allah? Inilah dia kemahuan Allah. Dia memberikan hidayah kepada sesiapa pun yang dikehendakiNya. Dia juga berfirman, "....dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." [QS Yunus, ayat: 107] Itulah yang berlaku kepada Fudail bin Iyaz. Peristiwa dia merompak sekumpulan pedagang memberi keinsafan kepada dirinya lalu beliau bertaubat.

Inilah sekadar contoh yang boleh dikongsikan di sini. Jika ingin tahu lebih ramai lagi tokoh-tokoh wali Allah, bolehlah kalian dapatkan buku 'Himpunan Kisah Para Wali' terbitan Hijjaz Publishing. Sememangnya buku  ini memberikan banyak info tentang sejarah keperibadian para wali. Selepas membaca kisah-kisah di dalamnya, segala persepsi bahawa seorang wali itu memang sejak lahirnya warak dan alim akan disangkal sama sekali. Ini kerana, kebanyakkan daripada mereka adalah orang-orang yang insaf dan bertaubat dari dosa-dosa.

Tujuan penulisan ini bukanlah ingin menampakkan kelemahan para wali yang dimuliakan Allah. Aku sekadar ingin mengorek segenggam tarbiah. Dan bukan pula aku ingin mengajak kalian menjadi wali. Tidak. Kerana martabat wali itu bukanlah seperti mendapat pingat anugerah daripada sultan, ianya tidak kelihatan malah golongan itu sendiri tidak sesekali mengakui diri mereka sebagai wali. Penulisan ini adalah untuk menunjukkan bahawa, 'untuk menjadi hamba Allah yang taat, yang mukhlis ia tidak memerlukan syarat'. Ini bermaksud, tidak semestinya perlu memakai serban atau berpurdah, tidak semestinya wajib hafaz 30 juzuk Quran dan menjadi imam baru dikatakan taat. Kerana, hidayah itu akan menyapa kepada sasaran yang tepat dan segalanya bermula dengan niat. Niat walaupun tidak disusuli dengan amal itu adalah lebih baik daripada melakukan amal tanpa niat, kerana boleh jadi ia tersasar dalam perbuatan amalnya justeru menjadikannya tidak ikhlas. Tanpa keikhlasan, jangan bermimpilah untuk mendapat martabat sebagai 'wali Allah'. Kerana wali Allah itu orang yang ikhlas dalam ibadahnya dan sepenuh hati bertaubat daripada dosa-dosa lalu. 

Ambilah kisah-kisah para wali ini sebagai inspirasi buat kita manusia biasa. Walau kita ini pernah bergelumang di dalam lumpur kejahilan, itu tidak bermakna kita 'tidak layak' untuk menjadi baik, menjadi hamba Allah yang taat dan menjadi orang yang beramal dengan ilmu yang benar. Ingatlah kalian, bahawa Allah itu Maha Mengetahui isi hati hambaNya, penilaianNya lebih tepat berbanding manusia yang penuh kelemahan dan sering kali tidak adil. Usah pedulikan apapun jika kita sungguh-sungguh nak jadi baik disisi Allah. Teruskan berusaha selagi mana ada hembusan nafas. Terus saja bangkit jika terjatuh. Jangan pernah kita berhenti. Allah memandang kualiti usaha dan Dia melihat segalannya. Beribadahlah sepenuh hati dan bukan ingin meraih apa-apa gelaran, kerana gelaran itu kita tidak layak menyebutnya. Hanya Allah yang layak. Jika Dia mengkehendaki, Dia sajalah yang memuliakan hamba itu sehingga harum namanya menjadi sebutan para penghuni langit lalu tersebar keharuman itu keseluruh penduduk dunia. 


Wallahu'alam.

Sekian sajalah perkongsian kali ini. Jika ada kelemahan dalam perkongsian ini mohon diberikan teguran yang berhemah. InsyaAllah, sama-sama kita saling melengkapi. Semoga kita diberikan kekuatan untuk sentiasa berusaha menjadi 'Abdullah' (hamba Allah) yang taat. Aamiin Allahumma Aamiin...


"Dan  jika  Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." [QS Yunus, ayat: 107]





Saturday, January 21, 2017

Ahlan 2017 - Aku Belum Cukup Baik






Fuhhh~ Fuhh!  *Tiup habuk.

Ehh..! Maaf  tak perasan ada orang. *sengih*

Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,


Semoga sihat hendaknya. Alhamdulillah, Allah izin untuk kita sampai ke tahun 2017. Tahun demi tahun, semakin banyak jugalah koleksi kenangan. Ohh ya! Diri kita bagaimana? Jika bertambah baik dan ada peningkatan...syukur Alhamdulillah semoga terus istiqamah.

Dah lama aku tak update di blog ni. Sebenarnya, tak tahu nak tulis apa. Idea semakin malap.
Cuma, aku amat berharap permulaan tahun ini bermula dengan perkara-perkara yang baik-baik. Perkara yang akan membawa diri ke arah yang lebih positif.


Azam?
Ha Ha Ha...aku tiada azam berjela-jela. Azam aku sama setiap tahun. Iaitu 'INGIN MENJADI HAMBA ALLAH YANG BERTAQWA'. Azam ni memang takkan ada expired date. Sebab, takwa itu tak dapat diukur dengan mata kasar. Ianya melibatkan hati yang ikhlas mengabdikan diri pada Allah. Jika kalian tanya, habis tu siapa yang berhak menilai? Jawapannya, hanya ALLAH sahaja. 

Kerana kita manusia ni, tiada istilah 'sudah cukup baik'. Bagi aku usaha untuk jadi baik ni adalah usaha yang berterusan sepanjang hayat. Tak ada limit, 'Ohh..aku rasa tahun ni aku dah cukup baik dah ni..aku tolong orang..aku banyak join majlis-majlis ilmu...aku..bla-bla..bla!" Ni bukan nak jadi baik, tapi nak jadi riak. Na'uzubullah, semoga ia bukan kita.

Begitu juga dengan takwa. Mana ada manusia dapat menilai dan mengukur nilai takwa seseorang? Mungkinlah secara zahirnya, apabila kita melihat orang-orang soleh kita akan mengatakan mereka itulah orang yang bertakwa. Namun... sejauh mana ketakwaannya? Apakah nilai takwanya? 

Tiada manusia dapat menilai. Hanya Allah.


So...berazamlah sentiasa untuk menjadi orang bertakwa. Ia sebenarnya suatu latihan buat rohani untuk sentiasa keep remind dengan azam ni. 

Memang tak dinafikan, adakalanya kita terjatuh juga ke dalam lembah dosa. Apakan daya...kita manusia. Tapi jangan biar lama, bangun dan bersihkan kotoran itu. Dan BERUSAHALAH untuk menyucikan hati. Sebab Allah, nak lihat usaha kita untuk mendapat redhanya. Usaha itulah salah satu bukti bahawa kita mengaku yang kita hambaNya. 

Hm, jadi sama-samalah kita usaha untuk capai azam ni. InsyaAllah, pasang niat dan istiqamah. Disaat hilang daya kekuatan, maka angkatlah tangan mu, mintalah kekuatan pada Allah untuk terus beribadah kepadaNya. 

Okeylah, setakat ni dulu update. Semoga aku rajin untuk update write up akan datang. He he he ;P InsyaAllah.


SALAM TAHUN BARU 2017.


 

Sunday, June 12, 2016

Impikan Ramadhan Terbaik!



Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,


Di ketika aku menulis di ruangan ini, perjalanan hari sudah pun masuk hari ke 7 Ramadhan. Alhamdulillah, ternyata cepat masa berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah pun seminggu Ramadhan kita nikmati.

Bagaimana kita nikmati Ramadhan tahun ini?
Ini yang ingin aku ketengahkan. Ianya lebih kepada mengoreksi diriku sendiri yang masih cuba berusaha menghayati bulan yang barokah ini. Tahun-tahun lalu, jika aku flashback 5 tahun ke belakang, Ramadhan yang aku tahu hanyalah menahan lapar dan dahaga kemudian berterawih. Bila tiba 10 malam akhir Ramadhan, aku tahu ada Lailatul Qadr tapi pada masa yang sama aku lebih teruja dengan kemeriahan 'nak sambut raya'. 
Itu...kisahnya 5 tahun yang lalu. Cukuplah, biarlah ia sekadar itu.

Bila melihat diri kita dari pandangan masa lalu dan review life timeline kita sejak Ramadhan yang lepas hinggalah kini, APAKAH ADA PERUBAHAN DAN PENINGKATAN? 
DIRI KITA BAGAIMANA? SEMAKIN BAIKKAH ATAU SEMAKIN TERUK?
Ini perkara untuk dikoreksi.

Berbalik kepada aku. Jujurnya aku katakan, lewat aku memahami pengertian berpuasa ni. Kenapa aku katakan lewat? Kerana aku telah bazirkan bonus-bonus yang Allah bagi beberapa tahun yang lalu dengan begitu saja. Sebab itu, pada Ramadhan kali ini, aku cuba untuk berusaha menjadikan ia Ramadhan yang terbaik! Terbaik dari segi apa?

Dari segi memanfaatkan masa
Dari segi meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah
Dari segi penghayatan fikiran dan hati
Dari segi memperbaiki akhlak

Cukuplah selama bertahun-tahun dulu aku menikmati Ramadhan dengan kurang penghayatan rohani, kini aku ingin menghayatinya dengan sepenuh-penuh penghayatan. Ramadhan adalah madrasah buat jiwa insan. Di dalamnya ada pelbagai modus tarbiah. Ada juga beberapa ujian khusus bersama dengan gandaan markah bonus. Lulus atau tidak, kita akan tahu melalui perubahan diri kita selepas tamatnya Ramadhan. Kita dikatakan lulus dengan cemerlang jika amalan ketika di bulan Ramadhan kita teruskan pada bulan-bulan selainnya. Manakala akhlak kita semakin ada penambahbaikan. Mungkin sebelumnya kita seorang yang pemarah, setelah tamat Ramadhan kita menjadi orang yang tenang dan sabar. Kegagalan pula dapat dilihat jika amalan selepas tamatnya Ramadhan semakin berkurang dan kita meninggalkannya pada bulan-bulan lain. Manakala akhlak pula semakin buruk dan mungkin juga biasa-biasa saja (maksudnya tiada apa-apa perubahan).

Bisyr al-Hafi ditanya: "Ada segelintir orang yang hebat beribadah sepanjang Ramadhan. Namun setelah Ramadhan berakhir, mereka juga berhenti."
Beliau menjawab:"Seburuk-buruk orang ialah orang yang tidak mengenali Tuhannya melainkan semasa Ramadhan sahaja!"  [Miftah al-Afkar li Taahub li Dar al-Qarar]

Rugilah orang yang gagal. Apakah ertinya dia berpuasa dengan tidak memahami pengertian 'puasa' dengan sebenar-benarnya. Sia-sia menahan lapar dahaga tetapi hanya sedikit pahala dikutipnya. Semoga kita semua bukanlah dari golongan yang ini. InsyaAllah. Aamiin.

Kesan Ramadhan yang paling utama apabila diri kita semakin berTAKWA kepada Allah. Kerana, Ramadhan itu bulan membentuk jiwa supaya menjadi jiwa yang bertakwa kepada Allah. Inilah kesan yang terhebat. APA YANG PERLU KITA BUAT UNTUK MENDAPAT KENIKMATAN RAMADHAN?

Pertama, kita perlu lebih sibuk memikirkan ibadah daripada juadah.
Kedua, kurangkanlah hiburan dunia dan lebihkan hiburan akhirat - iaitu membaca dan mendengar ayat-ayat al Quran.
Ketiga, kurangkan bercakap atau berbual-bual lama tentang perkara-perkara yang tak penting lagi-lagi perkara berkaitan dengan sikap aib orang lain. Perbaikilah diri sendiri.
Keempat, bacalah buku-buku ilmiah. Sudah-sudahlah baca novel cintan cintun tu.
Kelima, sayangi masa dengan tidak 'menunggulkan' diri dengan menonton drama-drama Melayu yang banyak menyumbang kepada dosa mata dan fikiran.
Seterusnya....fikir-fikirkanlah mana-mana aktiviti yang dapat menambah pahala terutamanya bersedekah.

JOMLAH! kita sama-sama upgrade kualiti Ramadhan kita supaya kita lulus dengan cemerlang selepas keluarnya dari madrasah Ramadhan kerana kita sendiri tidak tahu apakah ada Ramadhan lagi untuk kita pada tahun mendatang. Sama-sama kita doa yang terbaik. Semoga berjaya!

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah maka dosanya di masa lalu akan diampuni.” [HR. Bukhari no. 38 dan Muslim no. 760]




Friday, May 20, 2016

AKU KER? WHY ME?


Assalamu’alaikum WBT & Salam Sejahtera,

20 MEI 2016 | 13 SYAABAN 1437H

Pejam celik pejam celik, kita semakin menghampiri Ramadhan 2016 bersamaan 1437H. Alhamdulillah kerana masih diberi peluang menikmati kehidupan. Syukur tak terhingga kepada Allah SWT atas banyak kurnianNya. Syukur juga kepada Allah atas hikmah dan tarbiah yang dikirimkanNya. Itu tidak lain hanya untuk menguji dan menambah ‘value’ insan disisiNya.

Aku.

Salah seorang daripadanya. (Mungkin juga kalian)

Ketika aku sedang menulis entri ni, aku membawa bersama hati yang ‘kegalauan’ (ini dalam bahasa Indonesia, bahasa Melayunya – kesedihan). Sungguh, ujian yang mendatang pada bulan mulia ini (yakni Syaaban) sangat menguji mental. Sekali lagi aku diuji dengan ‘sakit’nya dalam berukhuwah. Jika 5 tahun yang lalu, aku mengalami kemurungan dalam tempoh masa yang agak lama. Di ketika ini, aku merasakan seolah-olah ianya terjadi lagi. Sungguh ujian yang sukar!

Kenapa aku katakan ianya sukar?

Kerana aku adalah seorang penderita OCD. (Wahh! Apekebenda tuu??) OCD tu singkatan kepada Obssesive Compulsive Disorder. Ia adalah salah satu cabang penyakit dalam psikologi. Secara umumnya, ia adalah penyakit was-was dan kebimbangan yang melampau dan berlaku secara berulang-ulang. Penderitanya tidak dapat mengawalnya secara normal kerana faktor-faktor biologi yang tidak sempurna. Cehh ceh..korang faham ke tak ni? Buat-buatla faham ya..Ok, sambung -  OCD ada tiga kategori. Haih, dah macam entri kesihatan pula ya. Tapi tak apalah, ilmu untuk dikongsi, aku akan kongsikan serba sedikit tapi secara ringkas je la yer. Nak tau lanjut, sila ‘Googling’ :P Ok, sambung–

OCD ada tiga kategori:

1.       Washer – Ia lebih cenderung kepada kebersihan. Contohnya, basuh tangan berkali-kali, cuci pinggan berkali-kali walaupun dah bersih berkilat, pesakit akan melakukannya sehingga mereka rasa macam nak baling je pinggan tu ke dinding. (Ha Ha – seriously!)

2.       Checker – Pesakit kategori ni sangat bagus kalau jadi ‘Pak Guard’ (Ha-Ha) Sebabnya, pesakit kategori ni cenderung kepada hal-hal keselamatan dirinya atau orang-orang yang mereka rasa sangat penting dalam hidup. Mereka punya kebimbangan dan ‘caring’ tuh terlajak over! Contohnya, kalau mereka nak tidur, mereka akan periksa semua pintu, tingkap dan pastikan semuanya berkunci. Kalau pintu bilik, mereka akan check tombol pintu sampaikan tombol tu nak tercabut dibuatnya. (Ha-Ha – Seriously wehh!)

3.       Geometry – Pesakit kategori ni cenderung pada penyusunan dan kekemasan. Paling ‘annoying’, adakalanya mereka ni sangat-sangat cerewet dan yang bagusnya, mereka ni sangat superb teliti. So, hasil kerja mereka memang tip-top lah! (Tip-top selepas berperang dengan ketelitian melampau – uhuks!) Dan, boleh dikatakan mereka ni agak ‘skema’ sebab mereka akan ikut segala peraturan. Eh...jangan salah fikir. Bukan peraturan sekolah atau pejabat. Tapi, peraturan yang ada dalam dalam pemikiran mereka. Ini diistilahkan juga sebagai ‘Geometry Pattern Thinking’.

Ya, ‘Geometry Pattern Thinking’ (GPT). Aku salah seorang daripada kategori ini.

Sejujurnya, penyakit OCD yang menganggu hidup aku ni sangat memberi kesan kepada banyak segi. Pada mulanya, aku memang acuh tak acuh je bila dapat tahu tentang simptom-simptomnya. Sejak dari umur belasan tahun sehingga pertengahan umur 20-an aku dah menternak si OCD ni dalam diri. Aku mula tersedar dan mula ambil berat bilamana penyakit ni dah menguasai hampir 90% corak pemikiran aku. Pada asalnya, OCD hanya menganggu dari segi zahirnya sahaja seperti tingkah laku pengulangan perbuatan dan rasa was-was. Iyela...was-was kan ramai orang mengalaminya, so aku tak expect ia akan jadi lebih buruk. Bila aku kaji, was-was penderita OCD berbeza dengan was-was orang normal. Orang normal boleh control lagi, tapi OCDian tak dapat mengawalnya dalam masa yang singkat. Kesian...

Selain daripada gangguan dari segi perbuatan, aku sedari OCD mula menganggu corak pemikiran melalui ‘Geometry Pattern Thinking’. Segala perkara yang ada dalam otak semuanya siap disusun rapi. Complete set! Daripada A – Z. Dari hal yang belum berlaku hingga kononnya macam dah berlaku (actually belum berlaku pun, tapi memandai-mandai create sendiri). Yang sadisnya, syarat utama GPT ni (aku tulis singkatan je lah ye) setiap yang disusun tu kena WAJIB! berlaku. (WHATTTT!) Sekiranya tak berlaku, maka akan berlakulah konflik jiwa. Akan stress. Akan mengungkit-ungkit. Akan menyesal dan macam-macam lagilah. Penat wehh... Plus, dengan kebimbangan melampau dan IVT (Aisehh..apebenda pulak IVT?) IVT tu singakatan kepada Inner Vocal Tic juga salah satu gangguan dalam OCD. Dalam bahasa Melayu, ia dipanggil lintasan hati. Sering berlaku dalam solat atau sedang melakukan sesuatu yang memerlukan fokus. Tujuan ia adalah untuk membuatkan kita hilang keyakinan pada akidah. Dan, aku perasan yang IVT ni boleh muncul dalam pelbagai bentuk. IVT pandai ‘meniru’ nada suara hati kita. Ia akan mengatakan sesuatu yang boleh menganggu emosi dan mengecas corak pemikiran negatif. Maka, jadilah orang itu orang yang berfikran negatif. Jika dalam Islam, IVT tu adalah bisikan syaitan. Sebab tu, bagi penderita OCD muslim, disarankan untuk lebih dekatkan diri dengan Allah SWT. Jaga solat. Zikir harian dan selawat. Kalau boleh, jangan tinggal walau satu.

Pada diri aku pula, IVT seringkali mengatakan malah mendesak supaya aku jadi bimbang dengan sesuatu perkara. Padahal perkara tersebut belum pun berlaku dan tak pasti pun akan berlaku. Akibat kebimbangan melampau, aku bertindak atas apa yang di‘katakan’. Maka, terjadilah pelbagai kerumitan. Terutama dalam suatu hubungan (bukan coupling-coupling ehh...ni tentang ukhuwah - khususnya), sering kali berlaku ketengangan disebabkan ‘aku yang sukar untuk difahami’ dan aku sendiri sukar nak memahami diri. Kadang-kadang ia berlaku ‘undercontrol’. Bila dah bertindak, mulalah berlaku penyesalan. Akan keluarlah monolog-monolog dalam diri, “Kalaulah aku tak cakap macam tu...” “Kalaulah aku tak fikir camtu..” Kalau..dan kalau...!

Inilah salah satu ujiannya, akibat daripada IVT –OCD ni, berlakulah beberapa konflik. Ia sangat membuatkan aku kembali menikmati kemurungan. Mood makan pun terbang melayang (ada hikmah juga, boleh kuruskan badan He-He). Bohonglah, kalau aku kata aku tak menyesal dan tak ber’kalau-kalau’, bohonglah kalau aku tak bermandi hujan air mata, bohonglah kalau aku rasa macam nak masuk wad mental, bohonglah kalau aku rasa macam ‘useless’, rasa tak layak, rendah diri dan sebagainya. Inilah kejujurannya. Aku faham, sukar untuk orang normal (yang tak mengalami semua ni) faham apa yang aku alami. Kalian tak merasa betapa siksanya. Bohonglah kalau aku kata ujian yang sedang aku lalu ni tak menaikkan persen (%) OCD ni. Uhukks~ Bohonglah kalau aku tak pernah bertanya pada Tuhan, WHY? WHY? WHY ME??? Dan sehingga aku bertanya, HOW? HOW? HOWWW CAN I DOOO!  :’(

Sedih. Sedih bila mengenangkan diri sendiri. Orang-orang yang paling rapat pun tak faham sepenuhnya hal ni. Kerap juga aku dianggapkan sebagai ‘sengaja’. Seolah-olah aku gembira dengan semua ni. Gembira bila mana tercetusnya konflik. Ahh..adakah mereka fikir aku gila??  Allah...

Hanya Allah Maha Tahu.

Dialah Allah yang tahu segala keadaan ku. Dia mendengar setiap keluhan ku. Dia tahu aku nak sembuh dan normal seperti orang lain. Dia tahu aku kemurungan lagi. Dia tahu aku hilang semangat diri. Dia tahu, aku melalui perkara yang sama lagi (walaupun jalan cerita dan asbabnya berbeza, tapi rentaknya masih sama). Di bulan Syaaban yang mulia ni, aku diuji. Inilah yang aku nak highlightkan di awal-awal entri tadi. Jika dulu, aku melalui ujian dengan mencari segala kekuatan dan pada masa itu jugalah aku tekad untuk meninggalkan segala fasa jahilliyah dalam diri. Penghijrahan. Ketika itulah ia bermula. Sehinggalah aku menjadi seperti hari ini (tapi tak de lah baik sangat, jauh lagi nak jadi alim). So, aku kira aku berjaya melalui ujian dengan baik. Alhamdulillah. Malah, Allah hadiahkan pula dengan suasana yang lebih baik dan rakan-rakan yang solehah. Allah letakkan aku dalam kelompok mereka-mereka yang cintakan ilmu dan sentiasa mengingatkan diri kepada Allah. Dan, paling aku tak percaya sehingga hari ini, aku ex-jahiliyyah ni aktif pula dengan program-program keagaamaan hingga aku pernah beberapa kali menjadi sebahagian daripadanya AJK-AJK nya. Allahu...nikmat Tuhanmu yang mana kau ingin dustakan? :’)

Ternyatalah, ujian tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk upgrade value seorang hamba disisiNya. Klu untuk berjaya dalam ujian ni adalah KESABARAN, KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH, IBADAH SUNGGUH-SUNGGUH & DOA DENGAN YAKIN.  Aku harap, aku mampu lalui ujian ni dengan baik sepertimana dulu aku pernah melaluinya. Walau setiap hari bertemankan air mata, hati hanya berharap kepada yang empunya kekuatan. Allah rabbul ‘alamin. Aku tak tahu apakah hikmah ujian kali ini, tetapi aku (PERLU) yakin bahawa ujian ini memberi sesuatu yang baik. Mungkin, Allah nak bagi sesuatu yang lebih istimewa! Aku bersangka baik. Jika dulu, Allah upgrade aku daripada seorang dalam fasa jahiliyyah kepada yang lebih baik. Kini, apakah Allah ingin upgrade lagi kepada yang lebih-lebih baik?? :’) Allah...aku sedang cuba memujuk diri.

Sejujurnya, aku cuba mengheret hati dan berusaha untuk bangkit. Kalian yang sudi membaca sehingga ke perenggan ni, doa-doakanlah aku supaya jadi orang ‘normal’.  Er..i means, sihat mental dan fizikal, baik akhlak dan be more positive. High spritual. Dan, dikurniakan keteguhan iman.

P.s: Can’t wait for Ramadhan. Nak bercinta-cinta dengan Allah. Nak grab bonus-bonus yang ada. InsyaAllah. Allahumma balighna Ramadhan. Aamiin Allahumma Aamiin~


Okeylah, sekian saja perkongsian kali ni. Yang baik ambillah sebagai pelajaran, yang buruk kalian campak jauh-jauh ya. ;)

[Kalau nak tahu lebih lanjut tentang OCD dan IVT yang aku sebutkan diatas, bolehlah kalian jengguk kat sini http://husnuzzonloa.blogspot.com]



Saturday, April 23, 2016

Tamparan Seindah Mawar Berduri




Assalamu’alaikum WBT & Salam sejahtera,


Alhamdulillah. Sekian lama tak menjenguk ruangan bisu ini. Tentu pada zahirnya dah berhabuk tebal. Tapi tak apalah, aku cuma berharap ilmu dan perkongsian di ruangan bisu ini tidak terhapus dek zaman. Pada coretan kali ni, entah kenapa tergerak hati ini untuk berkongsi secebis rasa. Hmm, mungkin sekadar celotehan biasa-biasa. (Sebenarnya aku dah lama rindu nak menulis..uhukss!)

 [Straight to the point, sebab tak tahu nak tulis intro apa....huhu]

Seindah Mawar Berduri -  Inilah sebuah karya lama tetapi ia muncul semula dengan berwajah baru! Karya ni sangat evergreen. Ia telah diterbitkan pada  tahun 2009 oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka. Alhamdulillah, pada tahun ini, penulis telah berjaya mendapatkan hak cipta untuk menerbitkan semula  novel ini dengan tema baharu.  Novel ini, aku tidak pernah tahu kisahnya. Pada 2009, langsung aku tak pernah ambil tahu tentang wujudnya  novel ni, padahal pada waktu tu, novel ni antara novel yang ter’hot’ dipasaran. Hmm, mungkinla pada waktu tu, aku bukanlah penggemar bahan bacaan islamik.  Penulisnya pun mungkin aku tak berapa kenal. :p

Ketika saat ini, selepas aku menelaah setiap  isi penulisan barulah aku tahu kenapa novel ini evergreen  dan dicari-cari peminat novel islamik. Subhanallah, rupanya mereka kagum dengan keunggulan watak di dalam novel ini.  Khazinatul Asrar, seorang mujahidah, seorang role-model muslimah yang sememangnya layak menjadi ikutan muslimah zaman kini. Keperibadian Khazinatul Asrar persis sekuntum  mawar berduri yang mekar ditaman cinta Ilahi.  Muslimah yang sentiasa cintakan tarbiah dan dakwah. Misi dan Visi hanya untuk agama Allah. Cintanya bukan cinta suka-suka. Tiada istilah ‘couple-islamik’ di dalam prinsip percintaan sepertimana yang kerap dilafazkan oleh muda-mudi  ‘trend islamik’.  (Trend -  bermaksud ikutan, ia bukanlah budaya yang diamalkan dengan penuh penghayatan dan pemahaman).


Kagum dengan mawar berduri!

Aku kagum dengan watak Khazinatul Asrar dan juga rakan-rakannya. Sungguh jauh berbeza daripada diri sendiri. Aku terlalu banyak ketinggalan untuk menjadi seorang mujahidah demi menggapai cinta Ilahi. Terdetik juga rasa hati, andai dapat ku undurkan putaran dunia, aku ingin menjadi seorang ‘muslimah’ yang teguh berjalan menuju redhaNya. Aku ingin menyambung pelajaran di bidang agama. Aku ingin hafaz al-Quran dan hadis. Aku ingin fasih berbahasa Arab iaitu bahasa syurga. Aku ingin…..

Ahh..! Semua itu hanya keinginan yang sudah berlalu. Terkadang timbul rasa kesal kerana memilih jalan yang salah. Namun, jauh disudut penyesalan, hati memujuk dengan mengatakan itu semua takdir Tuhan. Segala yang berlaku sudah pastinya disulami hikmah yang baik.

Seindah Mawar Berduri -  betul-betul membuka mata hati untuk lebih usaha dalam perbaiki sahsiah diri. Bukan mudah menjadi muslimah yang bermujadahah, tetapi ia mudah dengan pertolongan Allah SWT. Novel ini sarat dengan tarbiah, hingga terkadang mengundang sebak didada lantaran menghisab kejahilan diri. Allahuu…

Akhir kata...
Semoga Allah berkati dan rahmati penulis novel ini iaitu Ustazah Fatimah Syarha.  Semoga beliau dilimpahi sebanyak-banyaknya kebaikkan atas setiap sumbangan ilmunya dalam bidang penulisan. Semoga ia mengalir menyuburi ladang pahala lalu diganjarkan syurga Firdausi. Aamiin…..


Sekian sajalah coretan kali ini. InsyaAllah jika dikurniakan ilham untuk menulis disini, aku akan kembali mencoret. 

Wassalam.

P.S: Berminat nak baca kisah mawar berduri? Boleh jengguk di laman web www.bukuonlineterbaik.com 

Sunday, August 30, 2015

Aku Bukan Nak WOW! Tapi aku......

Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,

Syukur kepada Allah SWT yang masih mengizinkan hambaNya ini mengerakkan jari jemari untuk terus menaip dan berkongsi kisah disini. 

Ada satu kisah...emm, tapi aku lebih senang mengatakan ia adalah satu perkongsian.
Ok, baiklah. Aku mulakan menaip bait-bait yang seterusnya ya....Bismillah.

Berada diposisi pekerjaan sebagai seorang pereka grafik bukanlah suatu impian malah bukan juga angan-angan. Aku hanya sangkakan ia adalah sekadar hobi di masa lapang atau ia sebagai platform untuk menjana pendapatan sambilan. Mendapat pula kepercayaan untuk melukis kartun, oh...ini hanya imaginasi ku di zaman awal 20-an dulu. Sebabnya dulu aku memang hantu dengan komik dan pernah berangan sekiranya aku menjadi seorang pelukis komik. Kawan-kawan yang mengenali juga amat menyokong jika aku memilih kerjaya sebagai pelukis komik atau dalam bahasa komersialnya pelukis illustrasi. Tetapi, itu bukanlah pilihan aku yang utama. Aku punyai cita-cita setinggi angkasa (kononnya).  Menceburi bidang penerbitan buku itulah antara keinginan yang sekian lama terperam dihati.  Alhamdulillah...Allah mengatur semuanya dengan rapi dan cantik sekali. Maha Suci Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.  Kini aku berada pada ketiga-tiganya, dalam kata mudah- aku seorang pereka grafik + pelukis illustrasi di sebuah syarikat penerbitan buku-buku islamik.

Bunyinya nampak seperti WOW! kan? Tidaklah!
Aku belum sampai ke tahap itu  malah aku tidak akan pernah hebat kerana kehidupan ini adalah proses tarbiah yang berterusan. Ada lagi Yang Maha Hebat! Dialah yang mengaturkan semua ini. Jadi, korang pujilah Dia. :)

Sebagai seorang pereka grafik amatur, aku diberi tugasan untuk menyiapkan buku yang pertama. Seram sejuk juga aku menerimanya. Maklumlah, ini kali pertama aku akan membuat reka letak untuk menghasilkan sebuah buku.  Ianya mencabar tetapi aku berani menyahut atas keinginan untuk terus belajar perkara yang baru. Yeahh! 

Buku yang perlu aku siapkan ni tajuknya.......errr rasanya aku tak boleh nak umumkan lagi kat sini. Biarlah ia suprisseeeee! Hanya satu perkataan je yang boleh aku taipkan disini iaitu......AYAM. Unikkan tajuknya? Tapi ini bukan keseluruhan tajuk. Hanya sekadar bagi poin je. Hehehe...

Sepanjang proses menyiapkan lakaran kartun sebagai penyeri buku, isi-isi kandungannya perlu dibaca dan difahami terlebih dahulu. Inilah yang ingin aku ceritakan....MENYIAPKAN BUKU INI SEPERTI AKU SEDANG MEMUKUL DIRIKU SENDIRI!!!! 

Aduhh! Kenapa....?
Seriously, jiwa ku lebam. Hati ku tersentap. Semangat ku terbakar. Terasa seperti dicubit-cubit halus. Aduhh..pedih bukan?? Ya, itulah yang aku rasai sepanjang aku menghayati setiap baris perkataan manuskrip buku tersebut.

Disebabkan teruknya aku dibelasah oleh penyampaian buku tersebut. Semangat untuk aku menyiapkan reka letak dan menjadikannya seperti sebuah buku semakin berkobar-kobar. Aku jadi tidak sabar. Sebab.....aku juga mahu korang dibelasah sama seperti aku. Hehehe... (jahat tak aku?) Tapi, bukan semua orang yang akan rasa seperti apa yang aku rasa. Hanya spesis-spesis orang seperti aku saja yang akan merasainya. Spesis apa ya?

Spesis kalau tido, pasang bom belum tentu bangun.
Spesis kalau tido, ayam berkokok disangkakan irama yang merdu.
Spesis kalau tido, bila alarm di henfon berbunyi, "Alaa...kejap lagila...5 minit!"
Spesis pekerja paling cemerlang dengan punch-card merah. Opss! Ha-ha-ha.....

Okey, sekarang korang pasti tahu kenapa aku harus dibelasah oleh penyampaian buku ni. Hm..senang cerita, buku ni adalah diantara buku yang terbaik untuk mereka yang bukan dalam kategori 'morning people'. Untuk mereka di kategorikan sebagai 'night people', bila mereka baca buku ni, mereka akan terangguk-angguk dan tersenyum sampai ke telinga. Setuju! -kata mereka.

Apa itu 'morning people' dan 'night people'? 

Nak tau yer......
Dapatkan buku yang bakal terbit ni ya. InsyaAllah, hajat doa semoga segalanya dipermudahkan dan diberkati Allah.  

Ok. Sekian sajalah perkongsian. 



Sunday, July 12, 2015

Tiga Perkara..Tak Sama Ertinya

Assalamu'alaikum WBT & Salam sejahtera,

25 Ramadhan 1436H - Alhamdulillah, catatan blog ini ditulis pada penghujung Ramadhan dan bersama mood kerajinan untuk menaip (hehehe). Dengan izinNya, digagahkan jua untuk mencoretkan sesuatu disini setelah  simpanan idea sudah melebihi muatannya. Oklah, kali ini aku nak kongsikan pendapat dan pemahaman aku  tentang bentuk hubungan yang wujud diantara hamba-hamba Allah. Iaitu persahabatan, teman dan kawan. Ia tiga perkara..tak sama ertinya. Silalah baca....


Apa yang dikatakan tentang persahabatan? 
Ianya sesuatu yang unik, yang terdalam, yang misteri, yang termahal dan yang terindah. (Sebenarnya  banyak lagi ungkapan untuk diertikan). Secara personalnya, aku mempunyai pengertian yang berbeza  diantara kawan, teman dan sahabat. 

Kawan - individu yang kita kenali di dalam suasana umum. Kita kenal namanya dan bila berjumpa kita saling  menyapa. Tetapi ia tidak menyentuh ruang-ruang peribadi kita. Jika berbual pun hanya berkisarkan topik- topik umum atau khabar diri masing-masing. Kawan ni lawan kepada musuh. Jika musuh sudah tentu kita  tak akan mendekatinya, bukan? 

Teman - individu yang kita kenali juga di dalam suasana umum juga tetapi teman lebih kerap kita bertemu.  Pertemuan yang kerap boleh jadi kita dengannya dalam persatuan yang sama, kumpulan usrah, di pejabat  yang sama atau apa-apa program. Dengan teman, kita akan banyak berkongsi tentang permasalahan  umum, adakalanya kita bercerita tentang diri kita. Bila kejauhan, teman-teman ini akan selalu bertanya  khabar dan ajak untuk lepak-lepak bersama. Mungkin ada juga permasalahan peribadi yang kita kongsikan  dengannya, tetapi bukanlah penglibatan secara menyeluruh. Teman juga macam biskut chipsmore, kadang-kadang ada, kadang-kadang menghilang entah ke mana. Namun, ia tidaklah menganggu perjalanan kehidupan kita seharian malah kita seperti tak ambil kisah. Nanti-nanti muncul lah tu...bisik hati. Tapi, berbeza dengan sahabat. Jom, kita baca tentang sahabat.

Sahabat - individu yang kita kenali secara personal. One to One. Bila berjumpa dengannya, hati akan  berbunga mekar dan dapat rasakan aura semangat kita lebih aktif! Dengan sahabat, kita banyak berkongsi  pelbagai perkara, samada perkara baik atau buruk malah segala isu yang ada atas dunia ini kita akan lebih  teruja berkongsi dengan sahabat. Apatah lagi tentang permasalahan diri, segala-galanya kita cerita. Sahabat  boleh diumpamakan sebagai diri kita yang kedua. Andaikan persahabatan itu seperti laptop, kita adalah local  (C) manakala sahabat kita adalah local (D). Bila kejauhan, akan terbit rasa rindu dan seperti tidak sabar  ingin bertemu semula. Sahabat juga akan sentiasa bersama kita dalam apa jua keadaan. Jika mengalami  kesusahan, sahabat akan terlibat secara total. Teman dan kawan hanya ambil tahu tetapi penglibatan  mereka tidak menyeluruh. Dengan sahabat, kita bergurau macam adik beradik, nak lepuk, nak bertampar,  nak cubit-cubitan, nak buat gila-gila...semuanya di depan sahabat. Boleh dikatakan, hanya depan insan  bergelar sahabat inilah kita bebas menjadi diri sendiri tak perlu nak coverline bagai. Hahaha...siapa yang ada sahabat, dia tahulah macam mana..kan? ;) Sahabat ni juga seperti pasangan hidup selepas suami/isteri. Bezanya ia tidak melibatkan tuntutan atau hak seperti hubungan suami/isteri. Malah, pengertiannya boleh jadi lebih lagi. Sebabnya, di saat kita terganggu dengan permasalahan hubungan suami kita atau isteri, sudah tentu pada sahabat kita meluahkan segala rasa. Sahabat pula akan sedia mendengar dengan memikul amanah dan berlaku jujur. Sahabat akan simpati dengan apa yang berlaku dan akan melontarkan pelbagai nasihat, memupuk harapan dan membangkit semangat. Sahabat akan sentiasa ingin melihat kita dalam keadaan gembira samada bersama dirinya mahupun pasangan rumahtangga kita. Itulah sahabat...individu yang merangkumi keluarga dan suami/isteri. Apabila pergaduhan berlaku, ini umpama kesakitan yang mencengkam seluruh jiwa. Pasti ingin lekas diubati agar ianya tidak segera parah. Kadang-kadang selepas pergaduhan itu, hubungan akan di refill dengan kasih sayang dan masing-masing mulai belajar untuk lebih berhati-hati.


Jadi...mana satu yang best? Tentulah SAHABATkan?
Tetapi, yang best itulah sukar untuk didapati atau dicari.  Jika sudah dijumpai, ia sukar untuk dihilangkan,  kadangkala ia sukar untuk dimiliki. Jika sudah dimiliki, ia sukar untuk dijaga dan difahami. Namun, dalam  melalui proses-proses tersebut, tanpa disedari ianya melakar warna-warna indah di atas kanvas kehidupan.  Ini kerana hadirnya rasa kasih dan sayang yang wujud dari jiwa yang dalam. Sebuah rasa yang  dianugerahkan Sang Pemilik kasih sayang iaitu Ar-Rahman , Ar Rahim. Dengan anugerah itu ia mewujudkan  satu tarikan jiwa yang kuat bak kata orang...ada chemistry!

Perjalanan dalam sebuah persahabatan itu tidaklah selalu lapang dan indah. Seperti bunga yang mekar, jika  tidak disiram pasti akan layu jua. 




Inilah yang ingin aku kongsikan sebenarnya...
Tetapi bukan disini, di catatan blog yang seterusnya (InsyaAllah). Dalam catatan tersebut, aku ingin bercerita  tentang sebuah persahabatan yang aku kira hadiah dari Allah dan juga 'alat' tarbiah buat diri. Bagaimana ia  bermula seperti bunga-bunga yang mekar indah dan bagaimana ia hampir....ermm...kalian tengoklah foto dibawah.  (biarlah gambar berbicara). Sengaja aku katakan 'hampir' kerana itu sekadar menyedapkan rasa. Walau apapun, aku bersama prinsip 'Selagi ada kehidupan, selagi itu punya impian dan harapan'. InsyaAllah, kita  jumpa di catatan blog yang seterusnya. Wassalam.




P.s: Ada sesetengah menggunakan gelaran 'sahabat' sebagai istilah umum. Ianya merujuk kepada ukhuwahfillah yang sedang mekar dan menunjukkan penghargaan bersama kemesraan yang terjalin. Dan mungkin juga ada sesetengah individu mempunyai lebih daripada seorang 'sahabat istimewa' dalam hidupnya. :)