Sunday, July 12, 2015

Tiga Perkara..Tak Sama Ertinya

Assalamu'alaikum WBT & Salam sejahtera,

25 Ramadhan 1436H - Alhamdulillah, catatan blog ini ditulis pada penghujung Ramadhan dan bersama mood kerajinan untuk menaip (hehehe). Dengan izinNya, digagahkan jua untuk mencoretkan sesuatu disini setelah  simpanan idea sudah melebihi muatannya. Oklah, kali ini aku nak kongsikan pendapat dan pemahaman aku  tentang bentuk hubungan yang wujud diantara hamba-hamba Allah. Iaitu persahabatan, teman dan kawan. Ia tiga perkara..tak sama ertinya. Silalah baca....


Apa yang dikatakan tentang persahabatan? 
Ianya sesuatu yang unik, yang terdalam, yang misteri, yang termahal dan yang terindah. (Sebenarnya  banyak lagi ungkapan untuk diertikan). Secara personalnya, aku mempunyai pengertian yang berbeza  diantara kawan, teman dan sahabat. 

Kawan - individu yang kita kenali di dalam suasana umum. Kita kenal namanya dan bila berjumpa kita saling  menyapa. Tetapi ia tidak menyentuh ruang-ruang peribadi kita. Jika berbual pun hanya berkisarkan topik- topik umum atau khabar diri masing-masing. Kawan ni lawan kepada musuh. Jika musuh sudah tentu kita  tak akan mendekatinya, bukan? 

Teman - individu yang kita kenali juga di dalam suasana umum juga tetapi teman lebih kerap kita bertemu.  Pertemuan yang kerap boleh jadi kita dengannya dalam persatuan yang sama, kumpulan usrah, di pejabat  yang sama atau apa-apa program. Dengan teman, kita akan banyak berkongsi tentang permasalahan  umum, adakalanya kita bercerita tentang diri kita. Bila kejauhan, teman-teman ini akan selalu bertanya  khabar dan ajak untuk lepak-lepak bersama. Mungkin ada juga permasalahan peribadi yang kita kongsikan  dengannya, tetapi bukanlah penglibatan secara menyeluruh. Teman juga macam biskut chipsmore, kadang-kadang ada, kadang-kadang menghilang entah ke mana. Namun, ia tidaklah menganggu perjalanan kehidupan kita seharian malah kita seperti tak ambil kisah. Nanti-nanti muncul lah tu...bisik hati. Tapi, berbeza dengan sahabat. Jom, kita baca tentang sahabat.

Sahabat - individu yang kita kenali secara personal. One to One. Bila berjumpa dengannya, hati akan  berbunga mekar dan dapat rasakan aura semangat kita lebih aktif! Dengan sahabat, kita banyak berkongsi  pelbagai perkara, samada perkara baik atau buruk malah segala isu yang ada atas dunia ini kita akan lebih  teruja berkongsi dengan sahabat. Apatah lagi tentang permasalahan diri, segala-galanya kita cerita. Sahabat  boleh diumpamakan sebagai diri kita yang kedua. Andaikan persahabatan itu seperti laptop, kita adalah local  (C) manakala sahabat kita adalah local (D). Bila kejauhan, akan terbit rasa rindu dan seperti tidak sabar  ingin bertemu semula. Sahabat juga akan sentiasa bersama kita dalam apa jua keadaan. Jika mengalami  kesusahan, sahabat akan terlibat secara total. Teman dan kawan hanya ambil tahu tetapi penglibatan  mereka tidak menyeluruh. Dengan sahabat, kita bergurau macam adik beradik, nak lepuk, nak bertampar,  nak cubit-cubitan, nak buat gila-gila...semuanya di depan sahabat. Boleh dikatakan, hanya depan insan  bergelar sahabat inilah kita bebas menjadi diri sendiri tak perlu nak coverline bagai. Hahaha...siapa yang ada sahabat, dia tahulah macam mana..kan? ;) Sahabat ni juga seperti pasangan hidup selepas suami/isteri. Bezanya ia tidak melibatkan tuntutan atau hak seperti hubungan suami/isteri. Malah, pengertiannya boleh jadi lebih lagi. Sebabnya, di saat kita terganggu dengan permasalahan hubungan suami kita atau isteri, sudah tentu pada sahabat kita meluahkan segala rasa. Sahabat pula akan sedia mendengar dengan memikul amanah dan berlaku jujur. Sahabat akan simpati dengan apa yang berlaku dan akan melontarkan pelbagai nasihat, memupuk harapan dan membangkit semangat. Sahabat akan sentiasa ingin melihat kita dalam keadaan gembira samada bersama dirinya mahupun pasangan rumahtangga kita. Itulah sahabat...individu yang merangkumi keluarga dan suami/isteri. Apabila pergaduhan berlaku, ini umpama kesakitan yang mencengkam seluruh jiwa. Pasti ingin lekas diubati agar ianya tidak segera parah. Kadang-kadang selepas pergaduhan itu, hubungan akan di refill dengan kasih sayang dan masing-masing mulai belajar untuk lebih berhati-hati.


Jadi...mana satu yang best? Tentulah SAHABATkan?
Tetapi, yang best itulah sukar untuk didapati atau dicari.  Jika sudah dijumpai, ia sukar untuk dihilangkan,  kadangkala ia sukar untuk dimiliki. Jika sudah dimiliki, ia sukar untuk dijaga dan difahami. Namun, dalam  melalui proses-proses tersebut, tanpa disedari ianya melakar warna-warna indah di atas kanvas kehidupan.  Ini kerana hadirnya rasa kasih dan sayang yang wujud dari jiwa yang dalam. Sebuah rasa yang  dianugerahkan Sang Pemilik kasih sayang iaitu Ar-Rahman , Ar Rahim. Dengan anugerah itu ia mewujudkan  satu tarikan jiwa yang kuat bak kata orang...ada chemistry!

Perjalanan dalam sebuah persahabatan itu tidaklah selalu lapang dan indah. Seperti bunga yang mekar, jika  tidak disiram pasti akan layu jua. 




Inilah yang ingin aku kongsikan sebenarnya...
Tetapi bukan disini, di catatan blog yang seterusnya (InsyaAllah). Dalam catatan tersebut, aku ingin bercerita  tentang sebuah persahabatan yang aku kira hadiah dari Allah dan juga 'alat' tarbiah buat diri. Bagaimana ia  bermula seperti bunga-bunga yang mekar indah dan bagaimana ia hampir....ermm...kalian tengoklah foto dibawah.  (biarlah gambar berbicara). Sengaja aku katakan 'hampir' kerana itu sekadar menyedapkan rasa. Walau apapun, aku bersama prinsip 'Selagi ada kehidupan, selagi itu punya impian dan harapan'. InsyaAllah, kita  jumpa di catatan blog yang seterusnya. Wassalam.




P.s: Ada sesetengah menggunakan gelaran 'sahabat' sebagai istilah umum. Ianya merujuk kepada ukhuwahfillah yang sedang mekar dan menunjukkan penghargaan bersama kemesraan yang terjalin. Dan mungkin juga ada sesetengah individu mempunyai lebih daripada seorang 'sahabat istimewa' dalam hidupnya. :)



Tuesday, June 9, 2015

Apa itu HAKIKAT ILMU?

Assalamu'alaikum WBT & Salam sejahtera,


Kali ni, aku ingin berkongsi tentang HAKIKAT ILMU. Memahami hakikat ilmu sangat penting untuk mengenal ilmu. Sebelum tu, aku nak berterus terang bahawa apa yang akan aku share ni dicedok daripada buku 'Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf' yang di tulis oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Aku akan menghuraikan poin-poin yang disampaikan mengikut kefahaman. InsyaAllah.

Jika ditanya, apakah hakikat ilmu?
Soalan ini boleh dijawab dengan baik berdasarkan kisah Hatim al-Asam dengan gurunya, Syaqiq al-Balkhi. Gurunya itu bertanya kepada muridnya Hatim:

"Sudah berapa lama awak belajar denganku?"

Jawab Hatim, "Tiga puluh tiga tahun, guru."

Tanya Syaqiq lagi, "Berapa banyak ilmu yang kamu petik?"

Jawab Hatim, "Hanya 8 masalah sahaja." Terkejutlah gurunya seraya berkata, "Tiga puluh tiga tahun hanya 8 masalah?"

Jawab Hatim,"Benar guru. Saya tidak berdusta."

Gurunya berkata, "Sila datangkan 8 masalah tersebut."

Kata Hatim:

1. PERTAMA - Aku lihat kepada makhluk.
Setiap orang mempunyai kesayangannya tetapi bila sampai ke kubur, nescaya berpisah. Justeru aku jadikan kesayanganku segala kebajikanku supaya ia kekal bersamaku di dalam kubur.

===============
Benar pandangan Hatim. Jelas bahawa beliau seorang yang dikurniakan kebijaksanaan. Memang tak dinafikan setiap orang ada perkara yang menjadi kesayangannya. Boleh jadi dalam bentuk material atau bukan material (apa ya istilah lainnya?) Contohnya: jam, iphone, ipad, laptop, kereta, motor dan apa-apa sajalah yang berbentuk material dan bukan material pula tentulah orang-orang tersayang, haiwan ternakan, pokok-pokok yang ditanam...dan sebagainya. Tetapi, bila kita fikirkan kebenaran kata-kata Hatim, ianya benar! Apakah kesemua yang disenaraikan diatas dapat kita bawa ke kubur kelak? Melainkan......ada kebajikan yang mendatangkan manfaat atas perkara-perkara tersebut. Contohnya: kita ada kereta, kereta tu kita guna untuk manfaat kehidupan. Kita bawa untuk mencari rezeki halal, kita bawa ke majlis-masjlis ilmu, kita tolong tumpangkan kawan-kawan yang susah, kita gunakan untuk berdakwah. Jika ini yang kita lakukan, biarpun kereta kita tak dapat bawa masuk kubur, tapi manfaat dan kebajikannya itulah yang akan kekal bersama kita dalam bentuk amal jariah atau pahala. InsyaALLAH.

2. KEDUA - Aku lihat firman Allah SWT dalam surah al-Nazi'at, ayat 40:
"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, -"

Justeru, aku bersungguh-sungguh mujahadah nafsu hingga stabil dalam ketaataan kepada Allah SWT.
===============
Hatim membuat keputusan yang tepat. Dia memilih untuk terus menerus dalam mujahadah sehingga dia mencapai kestabilan dalam ketaatan kepada Allah. Ketahuilah, bahawa sabar dalam melakukan ketaatan itulah sifat yang paling utama dan akan mengangkat darjat manusia disisi Allah, insyaAllah.



3. KETIGA - Aku lihat setiap orang mempunyai barang yang berharga yang disimpannya. Kemudian aku lihat ayat Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 97:
"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan."

Taktala dapat bagiku sesuatu yang berharga nescaya aku hadapkannya (kepada Allah dengan bersedekah) supaya sentiasa kekal disisiku.
===============
Benar! Itulah yang sebaik-baiknya. Jika kita ada berjuta-juta duit sekalipun diatas dunia dan kita simpan di dalam peti besi, itu bukanlah harta kita yang sebenar-benarnya. Ia akan menjadi harta kita bilamana kita bersedekah atau membuat sesuatu yang bermanfaat daripadanya. Nak jadi kaya dunia akhirat, maka segeralah bersedekah. Jika rasa berat untuk mulakan dengan nilai yang banyak, mulakan dengan satu ringgit. Jika rasa itu masih berat, mulakan dengan sepuluh sen. Jika rasa berat jugak...haii, tak tahulah nak kata apa. Muhasabah diri, jangan sampai Allah tarik semula nikmat harta yang dimiliki. Apa-apa pun, mulakan dengan niat ya. InsyaAllah, Allah akan permudahkan hajat.


4. KEEMPAT - Sesungguhnya aku lihat ramai manusia bermegah.
Mereka bermegah dengan harta kekayaan, nasab keturunan dan kemuliaan. Sedangkan semuanya tiada nilai. Lantas aku lihat firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Justeru, aku beramal untuk bertakwa supaya aku mulia disisiNya.
===============
Pilihan Hatim adalah yang terbaik. Dia melihat pada ayat Allah "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu," Maka, Hatim memilih untuk menjadi mulia disisi Allah daripada mulia yang dipandang manusia. Baginya, Allah adalah segalanya kerana Allah adalah Raja! Malah Dia adalah Penguasa Alam! Apakah kemulian disisi makhluk ciptaanNya lebih bernilai daripada Penciptanya? Sebab itu kita perlu bijak, jangan terlalu memikirkan pandangan manusia, tetapi utamakanlah pandangan Allah kepada kita. Azamkan diri untuk menjadi insan yang bertaqwa. Yang penting jaga niat!


5. KELIMA -  Sesungguhnya aku lihat manusia saling berhasad dengki.
Kemudian aku lihat ayat surah al-Zukhruf, ayat 32:

"(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan."


Justeru, aku tinggalkan hasad.
===============
Ya. Melihat kepada ayat ini. Tidak sepatutnya kita berhasad dengki, kerana Allah telah beri jaminan terhadap keperluan hamba-hambaNya diatas muka bumi. Tetapi, tak dinafikan juga sebagai manusia sifat hasad ini adalah fitrah. Cuma, ianya perlu dikawal dan cepat-cepat dinyah-hapuskan oleh sifat taqwa (sebab itu taqwa tu penting!) Kadang-kadang, kita rasa hasad dengan orang yang dapat apa yang kita terlalu hajatkan. Jika ini berlaku, bersangka baiklah dengan Allah. Mungkin apa yang kita hajatkan itu belum cukup baik untuk kita. Dan, bersabarlah dengan berharap Allah memberikan sesuatu yang lebih baik lagi. Maka, janganlah kita berhasad dengki lama-lama ya...hasad yang positif ia akan membantu kita untuk terus berusaha. Hasad yang negatif ia akan merosakkan jiwa dan hubungan sesama manusia. 


6. KEENAM - Aku lihat kebanyakkan mereka saling bermusuhan.
Kemudian aku lihat firman Allah SWT dalam surah al-Fathir, ayat 6:

"Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka."

Justeru, aku tinggalkan permusuhan dengan mereka dengan hanya menjadikan syaitan sahaja sebagai musuh.
===============
Bijak! Sangat bijak! Inilah manusia yang diberikan sebaik-baik hikmah. Bila baca tentang pendirian Hatim tentang permusuhan ni buatkan jiwa rasa tenang. Sebab, tak perlu nak bermasam muka dengan manusia. Kita perlu berlapang dada dan bersikap pemaaf. Kalau kita teruskan pergaduhan, bimbang itu akan mengheret kita sama-sama dengan penghuni kekal neraka-yakni syaitan. Na'uzubillah! Mulai sekarang, maafkan sesiapa saja yang menyakiti anda. Jika ada bermusuh dengan sesiapa, cepat-cepat maafkan dia. Tiada untung bermusuh lama-lama sedangkan Allah dah bagitau MUSUH MANUSIA HANYALAH SYAITAN! Tapi...kalaun rasa nak ikut jejak langkah 'musuh' yang disebutkan tadi tu...silakanlah bermusuh dengan manusia lama-lama. *saja nak kasi sentap sikit buat yang masih ketegaq! (degil)*


7. KETUJUH - Aku lihat manusia sanggup menghina diri kerana mencari rezeki. Bila aku lihat firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 6:

"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)."

Justeru, aku sibukkan dengan apa yang menjadi amanahku dan meninggalkan urusan rezeki kepada Tuhanku.
===============

Tak dinafikan, kadang-kadang kita ni terrrlalu risau dengan rezeki kita (termasuklah orang yang menulis entri ni *huk! huk!* -terbatuk). Baru hari ni dapat gaji, kita dah sibuk fikirkan tentang rezeki ditengah bulan. "Cukup tak duit ni.." "Macama mana nak bayar bil ni?" "Nanti tak de duit nak pinjam dengan sape ye?" <---Inilah persoalan-persoalan dari keluh kesah seorang hamba yang 'mungkin' lupa tentang REZEKI ITU DALAM PENJAGAAN ALLAH. Lagi parah, bila ada yang pulun kerja sampai lupa nak jalankan kewajipan utama iaitu solat. Kadang-kadang solat, ada masa tinggal. Alasannya - busy! Tak sempat! 

Nah! Sekarang belajarlah daripada Hatim yang mendalami maksud firman Allah. Allah dah bagitau bahawa Dia menanggung rezeki setiap...ulang...SEEETIIIAPPPP..Ya! Setiap makhluk-makhlukNya. Tiada yang berkecuali hatta ulat didalam batu sekalipun. Jadi, tak perlu risau sangat pasal rzeki. Teruskan berkerja dengan bersungguh dengan menjaga hak-hak Allah yakni solat 5 waktu ya (pekerjaan kerana Allah inilah yang dikatakan amanah) dan bertawakal-lah urusan rezeki kepada Allah. Ingat, bahawa rezeki bukanlah bos anda yang bagi. Tapi daripada Allah jualah ia datang, bos anda hanyalah sebagai asbab (penyebab) sahaja. Jika ada rezeki lebih anda pada bulan itu yang Allah nak bagi, maka Allah akan datangkan ilham kepada bos anda untuk bagi bonus pada bulan tersebut. So....rajin-rajinkanlah solat sunat Dhuha ye. InsyaALLAH, mudah-mudahan Allah lapangkan jalan rezeki buat kita semua. Aamiin Allahumma Aamiin.....


8. KELAPAN - Aku lihat mereka bergantung pada hasil buatan perniagaan dan kesihatan mereka, tetapi aku bertawakal kepada Allah.
===============
Yang ini sama seperti konsep rezeki tadi. Dalam apa jua perkara sekalipun, perlu letak kebergantungan hanya pada Allah. Walaupun dalam permasalahan yang kecil, perlu ada ingatan terhadap Allah. Minta dengan berdoa supaya dalam setiap perkara yang kita lakukan ada manfaat dan kebaikan di dalamnya dan semoga dijauhkan daripada segala keburukan serta kejahatan. "Hasbunallah wani’mal-wakîl, ni’mal-mawlâ, wani’man-nashîr" (Cukuplah Allah tempat berserah diri bagi kami,  sebaik-baik pelindung kami, dan sebaik-baik penolong kami)

Jawab gurunya Syaqiq, "Sesungguhnya aku lihat dalam Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran. Dan inilah inti pati kitab Samawi yang empat ini. Siapa beramal dengan 8 masalah itu nescaya dia beramal dengan keempat-empat kitab."

Maka, dengan kisah Hatim dan gurunya ini ia merungkai hakikat disebalik ilmu yang dipelajari. Hakikat disebalik ilmu adalah hikmah. Hikmah adalah ilmu daripada ilmu. Dalam erti kata lain, ia adalah bahagian paling dalam dalam sesuatu ilmu. Contohnya, kita tahu alam ini ada kehidupan, alam semesta dan sebagainya. Tapi adakah kita memikirkan tentang penciptaannya? Tujuan penciptaannya? Ini yang dipanggil ilmu daripada ilmu yang kita sedia tahu. Sebab itu ada ayat al Quran yang mengalakkan supaya kita berfikir dengan melihat kejadian alam semesta dan melihat kebesaran Allah SWT, bukan hanya melihat dasarnya sahaja.

Alhamdulillah. Sekian saja ilmu yang ingin dikongsi. Semoga beroleh manfaat kepada kalian yang sudi singgah, jengguk dan ziarah di blog tak seberapa ni. Terima kasih diucapkan. Jika ada manfaat, ambilah simpan dan kongsikan semoga menjadi amal jariah. Tetapi, jika ada kesalahan kata-kata, mohon diperbetulkan, diberi nasihat dan dimaafkan. Yang baik adalah daripada Allah SWT, yang buruk itu daripada tuan blog sendiri. Huhu...





Sunday, April 12, 2015

Alaa, diakan warak?!



Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,


Kehidupan ini ibarat sebuah roda.
Kadangkala kita diatas, kadangkala kita pula dibawah. Begitu juga dengan roda iman. Adakalanya naik, adakalanya turun. Sebab itulah, sebagai manusia biasa yang sentiasa dikotori debu-debu dosa tidak perlu memandang dari satu perspektif sahaja.

Ambil contoh, ketika kita melihat orang-orang yang kelihatan alim dan warak, tentu kita merasakan mereka hebat dan mempunyai ilmu agama yang tinggi! Kita rasa kagum malah terdetik juga hati ingin menjadi seperti mereka. Dan, apabila berada bersama mereka tentu kita akan rasa malu kerana melihat berbezanya kita yang biasa-biasa ini dengan mereka. Tetapi, sekiranya mereka melakukan satu kesalahan atau menyalahi apa yang telah mereka pelajari sudah tentu kita akan bertindak untuk menghukum atau melabel mereka.

Hati akan berbisik-bisik sinis. 

"Ceh! harap belajar tinggi-tinggi sampai ke Mesir tapi-......"
"Ulang-alik pergi masjid setiap hari, tapi perangai lebih kurang je macam aku,"

Kemudian, terdengar pula satu suara lain yang berbisik. "Kenapa kau tak nasihat atau tegur dia elok-elok?"

Lantas hati menjawab, "Alaa..diakan bertudung labuh. Takkan itu pun tak tau??"
"Aku yang jahil ni nak nasihatkan si lebai tu?? Memang takkkkk laa...!"
"Ah! Budak sekolah pondok takkan tak faham semua tu??"

Sinis bukan?
Inilah antara contoh-contoh bisikan hati yang kadangkala datang bergema di corong-corong hati. Inilah juga antara perspektif dari manusia kepada manusia lain. Sedang kita lupa, bahawa hati ini mudah berbolak-balik dan iman pula ada pasang surutnya. Hayati firman Allah ini dalam surah al-An'am, ayat 110 :
“Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.” 
"Hati dinamakan 'qalb' kerana sifatnya yang cepat berubah. Hati jugak dianggap seperti bulu ayam tergantung di atas sebuah pokok, yang dibolak-balikkan oleh angin sehingga atas terbalik ke bawah dan bahagian bawah terbalik ke atas" [Hadith Riwayat Ahmad]

Walaupun mereka kelihatan alim dan warak, mereka juga manusia yakni hamba Allah. Tiada yang sempurna melainkan Rasulullah SAW. Tiada yang zero dosa melainkan Rasulullah SAW. Jadi, sesiapa pun boleh terjerumus dengan dosa. Sesiapa pun akan ada silap dan salahnya. 

Apa guna kita hidup di dunia jika tidak melengkapi antara satu sama lain? Yang dipandang indah tidak akan selalunya indah. Yang dipandang cela tidak akan selamanya cela.

"Jika kami tersalah, tariklah tangan kami semula..." - kata si warak.





Friday, March 27, 2015

Aku Nak Berhijrah. Ta-pi.....




Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Terdetik di hati untuk menulis tentang 'hijrah'. Alhamdulillah. Mungkin disebabkan banyak terbaca tentang hamba-hamba Allah yang ingin berhijrah/ berubah. Ada juga terbaca kisah mereka-mereka yang telah pun mendapat hidayah. Syukur pada Allah. Dan, mengenangkan diri juga seorang yang pernah bergelar si jahil dan pernah melalui proses-proses hijrah, maka ingin dikongsikan diruangan bisu ini 1001 kisah tentang hijrah dan perkara-perkara yang berkait dengannya. 



HIJRAH. APA MAKSUDNYA?


HIJRAH. Apa makna yang tersirat disebalik perkataan ini? Tentu sekali jika dikaitkan dengan sejarah Islam, kita akan teringat akan peristiwa umat Islam dan Nabi Muhammad SAW berpindah dari Mekah ke Madinah bagi menyebarkan dakwah dan menegakkan agama Islam. Tetapi, bagaimana pula pengertian hijrah dalam konteks ‘diri kita sendiri’ ? Perkataan hijrah mengandungi elemen ‘dari’ atau ‘ke’ dan ‘daripada’ atau ‘kepada’. Dan inilah elemen yang mempengaruhi diri insan bernama manusia. Sebenarnya, dalam konteks hijrah terhadap diri sendiri  boleh juga dikatakan sebagai hijrah hati. Hijrah hati bermaksud, berhijrah daripada cinta selain dari Allah, kepada mencintai Allah. Berhijrah daripada menghambakan diri kepada manusia, kepada menjadi hamba kepada Allah. Berhijrah daripada bergantung kepada selain Allah (manusia & dunia), kepada takut dan berharap kepada Allah.



Setiap orang mempunyai pengalaman penghijrahan masing-masing. Bagaimana ia bermula? Sudah tentu melalui Dia yang Maha Esa. Tidak dinafikan, kadang-kadang sikap ego kita yang sentiasa menidakkan kehadiran hidayah Allah. Bila terasa hendak membuat kebaikkan, maka muncul lah bisikan-bisikan syaitan yang menghasut. Ini kerana, kita sudah terlalu selesa dengan cara dan gaya kehidupan yang tanpa kita sedari ianya terkeluar dari landasan Islam yang sebenar. Apa yang kita inginkan hanya keseronokkan, kepuasan, kegembiraan, kesenangan, kemegahan, pengaruh, dan puji-pujian. Kesemua ini adalah bersifat sementara. Apabila kesemuanya hilang, maka dengan itu kita merasa resah, merasa kehilangan, kemurungan, merasa diri tidak berguna, merasa kesunyian dan hati rasa kosong. Nah! Inilah cara Allah SWT menyapa hamba-hambaNya yang ego dan hanyut dengan keseronokkan dunia.


SEBAB APA NAK BERHIJRAH?


1.   Sudah Terhantuk Baru Tengadah
-          Kadang-kadang tanpa disedari, dalam keseronokkan dan kegembiraan kita terlupa untuk mendongak. Pastinya kamu pernah mendengar kisah tentang duit syiling sepuluh sen? Jika kamu tidak pernah tahu, baiklah…begini kisahnya: Ada seorang lelaki yang sedang asyik berkerja di bahagian bawah bangunan sebagai pembancuh simen. Tiba-tiba ada seorang rakannya yang berada di bahagian atas bangunan sengaja ingin mengujinya. Rakannya menjatuhkan beberapa keping duit syiling  kearah lelaki itu. Pabila melihat duit syiling  bertaburan jatuh ke tanah, lelaki itu teruja lalu terus mengutipnya. Dia lupa untuk ambil tahu dari mana datangnya duit-duit syiling tersebut. Rakannya ketawa melihat keterujaan lelaki itu, lalu dia ingin membuat sesuatu iaitu dengan menjatuhkan beberapa batu kerikil yang bersaiz kecil. Aduh! Aduh! dari mana datangnya batu-batu ini?? Sambil mulutnya membebel kesakitan, lelaki itu seraya mendongak ke atas mencari arah datangnya batu-batu kerikil yang mengenai tubuh badanya. Lupa dia pada keterujaannya mengutip kepingan duit syiling sebentar tadi.

Kesimpulannya, begitu juga dengan diri kita. Duit-duit syiling itu diibaratkan seperti keseronokkan dan kegembiraan terhadap kesenangan dunia. Batu-batu kerikil itu umpama ujian yang datang menimpa. Bila kita leka dan lalai dengan dunia, kita sering kali lupa memikirkan tentang dari mana kewujudan dunia dan kewujudan Sang Pencipta. Namun, apabila kita ditimpa musibah, bencana atau ujian barulah kita mula mendongak menadah tangan dan mula mencari dimana kahTuhan?


2.   Kiri Kanan Depan Belakang
-          Sebab seterusnya, adalah pengaruh atau persekitaran.  Mungkin kita mengalami perubahan dari segi persekitaran. Contohnya, tiba-tiba saja kita dihantar ke sekolah pondok atau madrasah-madrasah. Walau dalam keadaan terpaksa, kita perlu juga untuk mengikut arus. Kita pusing kiri, “Ah, labuhnya tudung sampai ke pusat!” Pusing kanan, “Perghh! Lagi labuh sampai boleh jadikan telekung!”  Toleh pula ke belakang, “Erk…kaki tangan semuanya bersarung. Adehh…”  Dan, toleh terus kehadapan, “Mak aihhh! Terkejut den! Ingatkan ninja mana tadi!" (muslimah berpurdah muncul tiba-tiba dihadapan dengan salam perkenalan) Assalamu’alaikum ukhti, salam ukhuwahfillah… - Erk!

3.   Suka-Suka
-          Ada ke orang yang suka-suka nak berhijrah sebab dah boring dengan zaman kejahilannya? Wahh! Kalau ada, TAHNIAH!  *Tak perlu dipaksa, tak perlu disuruh, tak perlu disapa ujian, sebab dikau sendiri yang suka rela. Alhamdulillah. Allah sayang*


4.   I follow you
-          Jenis ini, ikut trend artis. Sejak kebelakangan ini, kita banyak mendengar dan melihat berita-berita tentang artis-artis yang dahulunya seksi, rockers dan sebagainya sudah pun kembali ke jalan fitrah. Ambil contoh Felixia Yeap. Dahulunya seorang model majalah Playboy! (kepada yang tak tahu majalah apakah ini, sila Tanya Mr.Google), beliau mula minat untuk berhijab sebelum memeluk agama Islam. Dengan evolusi seorang hamba Allah ini, tidak dinafikan ia menjadi sumber inspirasi gadis-gadis di luar sana tertarik untuk menjadi seperti beliau. Sebaik sahaja Felixia Yeap berevolusi menjadi Raisyyah Rania Abdullah, beliau masih lagi mengekalkan imej anggun seorang muslimah dan kini menjadi tumpuan pihak pengajur program untuk menjemputnya sebagai penceramah bagi berkongsi kisah untuk dijadikan bahan inspirasi khususnya remaja muslimah. 

Kesimpulan daripada semua sebab diatas, tidak dinafikan kebanyakkan daripada kita datang keinginan untuk berhijrah atau berubah adalah disebabkan 'sebab' yang pertama. :)

Namun, pabila diri dibaluti keinginan untuk berhijrah. Ada pula halangan atau kekangan yang sengaja timbul mereka-reka alasan 'TA-PI'. Apakah alasan 'TA-PI' ini? Tunggu artikel seterusnya, insyaAllah.

Sekian....semoga bermanfaat. Aamiin!








Sunday, December 28, 2014

AKU DAN KEM MEKAR SETAMAN 2014

Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,


Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah SWT yang memberi izin untuk ku mencoretkan kata-kata di ruangan sepi ini dan selawat keatas baginda Rasulullah SAW serta ahli keluarga dan para sahabat baginda seluruhnya.

Ingin ku coretkan suatu pengalaman terindah diri ini bersama-sama ahli-ahli Usrah Tautan Hati (UTH). Baru-baru ini pada 22 November 2014 - 23 November 2014 aku bersama para admin UTH telah mengadakan program kerohanian iaitu KEM MEKAR SETAMAN 2014 (KMS) anjuran bersama syarikat Sebarkan Bahagia Resources milik Ustazah Fatimah Syarha dan suami-Dr. Farhan Hadi. Alhamdulillah, syukur pada Allah yang memudahkan segala urusan walau hakikatnya tersirat 1001 macam al-kisah. 

Beberapa hari sebelum program, kami para admin diuji dengan pelbagai ujian. Salah satunya ujian ukhuwah. Iaitu melibatkan kerjasama dan sikap antara ahli jawatankuasa. Maklumlah, masing-masing sedang sibuk dan kelelahan dengan urusan kerja ditambah lagi dengan memikirkan tentang program yang akan berlansung, maka terjadilah tekanan-tekanan dalam diri. Ini perkara biasa, dalam mana-mana organisasi program pun akan berlaku perkara sebegini. Mungkin juga Allah nak uji. Kan?

Tapi, sangat bersyukur. Semuanya dapat dikawal dengan baik. Para admin masih punya semangat kegigihan untuk meneruskan program. Pada permulaan pagi sebelum program bermula, kami semua diuji lagi dengan pelbagai masalah. Ada beberapa perkara yang telah berlaku diluar jangkaan kami. Tetapi, dengan kebijaksanaan para admin dan tentunya dengan izin Allah, kami berjaya mengawal suasana dan part paling penting adalah - coverline. Hehe...

Bila program dah bermula, terasa seronok walaupun masing-masing dah keletihan. Bab yang paling best bila join sesi taddabur alam @ jungle tracking. Memang mencabar jugalah. Masa sesi taddabur alam ni barulah dapat lihat tautan ukhuwah antara peserta dan kerjasama antara admin program. Para admin juga sentiasa fokus tentang keselamatan bagi memastikan para peserta dalam keadaan yang baik dengan izin Allah. Alhamdulillah. Akhirnya berjaya melakar sebuah kenangan yang terindah untuk tahun ni.





Paling yang tak boleh dilupakan yang ini (lihat gambar dibawah)

Kasutku Oh Kasut ku....

Sekian coretan kenangan yang menjadi lukisan di atas kanvas kehidupan. Semangat pasukan, saling kerjasama, bertolak ansur, rasa tanggungjawab, kreatif dalam mencari solusi permasalahan dan kemesraan dalam ukhuwah, inilah rempah ratus yang menjadi rencah kenangan. Terima kasih terutama buat sahabat-sahabat admin UTH yang bertungkus lumus dalam membuat persiapan KMS, terima kasih juga kepada para peserta kem yang sudi hadir dalam program kami yang tak seberapa ini. Tanpa penyertaan kalian, maka tak menjadilah program kami. Dan, tak lupa kepada Ustazah Fatimah Syarha selaku penasihat UTH, terima kasih tak terhingga atas teguran, nasihat yang bermanfaat dan sokongan.

Terima kasih juga kepada kalian yang sudi membaca dan singgah di ruangan blog ini. Semoga kalian mendapat manfaat. Mohon maaf atas keterlanjuran kata-kata. Yang baik segalanya dari Allah SWT, yang buruk adalah dari diriku sendiri.



Monday, November 24, 2014

Hikmah Kesayangan

Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,


Aku bersandar di tiang. Menghadap muka ke arah lampu neon di jalanan. Hati berlagu pilu menghambur segala rasa. Taktala itu juga, jiwa berkelahi dengan PenciptaNya. Kenapa Kau biarkan jadi begini? Aku minta lain...tapi kenapa macam ni??? Jika jadinya begini...Kau tunjukkan aku hikmah! Aku nak tahu hikmah. Tolonglah....huhuhu...AKU TAK KUAT...AKU TAK KUAT!

Diam membisu. Hati masih berlagu. Dan, malam pun berlalu melabuh tirainya.

Pagi yang indah datang menjelma. Seindah senyuman sang suria yang menjalankan tugasnya untuk dunia. Ia juga memaksa hati yang berbekas tangis semalam untuk turut mengukir senyum. Tiba-tiba, sepasang mata tertancap pada sebuah buku yang bersaiz sederhana di atas sebuah meja kecil. Tajuk buku dibaca perlahan. KESAYANGAN. Dibawah tulisan tajuk ada serangkap ayat yang berbunyi "Ujian menjadi kesayangan bukan kebencian bila disingkap hikmah berlautan". Sebaris ayat itu kemudiannya mendorong tangan untuk membelek-belek muka surat yang seterusnya. Badan mula bersandar di dinding, ia menyoroti anggota badan lain untuk berada dalam posisi duduk bagi menatap bait-bait ayat yang berbahasa bisu. Aku sedang diuji...apakah ada sesuatu didalam buku ni?

Pembacaan diteruskan. 

Allah tidak akan menguji kita, melainkan untuk menaikkan darjat kita ke silibus kehidupan yang lebih tinggi. Dia sengaja menghadirkan insan-insan yang tidak seperti kita inginkan supaya kita belajar erti sabar, memaafkan dan kreatif mencari penyelesaian.
Pap!

Hati tersentap. Dibacanya rangkap ayat-ayat itu berulang-ulang kali. Akhirnya hati mengerti, lalu bibir mampu mengukir senyum sendiri tanpa dipaksa lagi.

Terima kasih Allah. Jawapannya aku temui dalam buku ini. Maafkan hamba atas keterlanjuran berbahasa denganMu. 

Buku ini bukanlah Al-Quran. Malah ia sememangnya tidak dapat menandingi kehebatan Al Quran yang mempunyai pelbagai jawapan. Namun, buku ini cuba membantu diri untuk melihat kehidupan dari sudut yang berbeza-beza dan pelbagai-bagai agar tersingkap hikmah berlautan.





Jika berminat untuk dapatkan buku bersaiz sederhana ini, sila layari http://www.sebarkanbahagia.com






Wednesday, October 15, 2014

Geng Tudung Labuh, Jangan Serius Sangat!




Assalamu'alaikum wbt,


Beberapa bulan menyepi, kini jemari kembali menari. Bukan sebagai 'keyboard warrior' tetapi sebagai penari rentak kehidupan insani. Terlalu banyak perkara yang berlaku dan pelbagai ujian yang dilalui. Kesemuanya adalah rencah kehidupan, penyumbang nilai dosa pahala seorang hamba. Syukur kehadrat Allah SWT Yang Maha Baik, dan selawat kepada junjungan baginda Rasulullah SAW yang dikasihi lagi dimuliakan. Atas sebab keduanya (yakni Allah & Rasul) aku masih kuat untuk menyumbang coretan dakwah disini. Semoga menjadi saham di akhirat dan menyumbang manfaat kepada yang sudi membaca atau terbaca. [Heheh..]

Jom kita lihat kepada tajuk. 

Suka untuk aku membicarakan tentang tajuk ini memandangkan aku pernah menjadi Geng Tudung Bawal bidang 50' jer dan pernah menjadi Geng Tudung Labuh atau 'para sinisan' memberi gelaran sinis, Geng Khemah sebab tudung koshibo yang dipakai tu kata mereka boleh dibuat khemah kerana kelebarannya. Ok, tujuannya aku menulis tajuk ini kerana aku ingin fokus pada penyebaran dakwah kepada orang Islam itu sendiri. Terutama kepada para remaja Islam yang berada diluar sana. 

Sering kali aku lihat, atau daripada pengalaman aku sendiri. Geng-geng tudung labuh ni terlalu serius apa apabila berada dikelompok yang bukan gengnya. Jika begitu, bagaimana ingin menyebarkan keharuman dakwah Islam? Kita perlu sedar bahawasanya kita tidak boleh terlalu fokus untuk mengajak non-muslim masuk Islam sedangkan kita terlepas pandang akan muslim itu sendiri yang semakin jauh dengan cara hidup Islam. Apa yang kita hendak selamatkan sebenarnya? Seperti menakung air didalam besen yang besar tanpa kita sedar besen itu bocor dan air semakin berkurang malah sia-sia sahajalah usaha kita. Boleh faham tak analogi ni? Harap fahamlah yer...

Pecahkan tembok pemisah!

Pecahkan tembok perbezaan. Jangan cuba-cuba hendak membina kroni sendiri. Islam itu luas dan indah, hidup berpuak-puak tidak membantu dalam usaha dakwah kerana akan ada semangat mementingkan kumpulan atau puak itu sendiri. Tidak salah jika adakan persatuan/kumpulan, tetapi mestilah membawa satu matlamat bersamanya iaitu menjadi penyebar kedamaian, keamanan, kemesraan, dan kebahagian kepada umat sejagat. Lebih baik jika bercampur dengan masyarakat tanpa mengira siapa dia, bagaimana dia, dan status dia disamping membawa bunga akhlak yang baik, yang harum mekar dan mampu memikat hati orang yang melihatnya. Inilah salah satu cara dakwah yang baik.

Jangan serius.

Bukanlah bererti perlu untuk bersikap sambil lewa. Jangan bersikap terlalu serius apabila berada dikalangan mereka yang tidak bertudung labuh kerana siapa tahu di hati mereka juga pernah terdetik untuk menjadi salah seorang dari pemakainya? Jika anda boleh berlawak jenaka dan ceria dihadapan sahabat-sahabat yang seangkatan dengan anda, kenapa tidak dengan mereka yang bukan seperti anda? Tahukah anda, bahawasanya mereka-mereka ini berasa amatlah segan untuk mendekati anda.  Jadi, andalah yang perlu menyediakan ruang dan mencipta keserasian bersama. Ubah kejanggalan mereka kepada selesa. Jangan bercerita tentang kebaikkan diri atau tentang ilmu di dada tetapi berceritalah tentang kehidupan milik Allah ini. Orang yang berilmu tetapi merendah diri itulah orang yang sebenar-benarnya ikhlas dan mulia. Berusaha untuk mendapatkan redha Allah, itulah yang lebih utama!


Kami bukan baik macam malaikat. Kamu jangan menghukum.

Ya, kami yang bertudung labuh bukanlah baik seperti malaikat. Kami juga sedang berusaha dalam proses pembaikkan diri dan rohani. Maka, janganlah apabila kami tersilap kalian terus menghukum dan meletakkan label seolah-olah kami haram untuk membuat dosa. Kami dan kamu, kita semua hamba Allah yang tidak akan terlepas daripada membuat dosa besar mahupun kecil. Oleh sebab itulah, kita perlu sama-sama bergandingan dalam usaha menjadi hamba yang baik. At least, ada usaha daripada tak buat apa-apa. Kan??

Tiada beza.

Kita tiada beza. Yang berbeza hanya iman sahaja. Siapa kita disebalik pakaian kita hanya Dia Yang Maha Tahu. Jadi, jangan bermegah dengan pakaian yang dirasakan kitalah para alimah. Atau, kita pula yang selesa dengan pakaian yang tidak menutup aurat seolah-olah dunia ini kita yang punya. Duduklah dipertengahan. Bersederhanalah. Apa yang penting, perlu mengikut syariat yang digariskan Allah. Jika undang-undang negara kita patuh, kenapa tidak untuk undang-undang Allah? Renung-renungkanlah.....


Sekian sahaja perkongsian, coretan tarian jemari. Semoga dapat membuka mata dan minda 'kami & kamu'.  Mohon kemaafan jika ada kata-kata yang tidak disenangi. Sungguh tiada niat untuk menemplak atau menyindir atau memburukkan mana-mana pihak, ini sekadar ulasan daripada pengalaman sendiri. Demi kebaikkan ummah, perlu ada semangat bersatu padu dan tidak hanya mementingkan kelompok yang setaraf dengannya. Kita semua sama kerana kita para pendosa dan kita hambaNya. Segala yang baik adalah datang daripada Allah, dan yang buruk daripada diriku sendiri.