Friday, March 27, 2015

Aku Nak Berhijrah. Ta-pi.....




Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Terdetik di hati untuk menulis tentang 'hijrah'. Alhamdulillah. Mungkin disebabkan banyak terbaca tentang hamba-hamba Allah yang ingin berhijrah/ berubah. Ada juga terbaca kisah mereka-mereka yang telah pun mendapat hidayah. Syukur pada Allah. Dan, mengenangkan diri juga seorang yang pernah bergelar si jahil dan pernah melalui proses-proses hijrah, maka ingin dikongsikan diruangan bisu ini 1001 kisah tentang hijrah dan perkara-perkara yang berkait dengannya. 



HIJRAH. APA MAKSUDNYA?


HIJRAH. Apa makna yang tersirat disebalik perkataan ini? Tentu sekali jika dikaitkan dengan sejarah Islam, kita akan teringat akan peristiwa umat Islam dan Nabi Muhammad SAW berpindah dari Mekah ke Madinah bagi menyebarkan dakwah dan menegakkan agama Islam. Tetapi, bagaimana pula pengertian hijrah dalam konteks ‘diri kita sendiri’ ? Perkataan hijrah mengandungi elemen ‘dari’ atau ‘ke’ dan ‘daripada’ atau ‘kepada’. Dan inilah elemen yang mempengaruhi diri insan bernama manusia. Sebenarnya, dalam konteks hijrah terhadap diri sendiri  boleh juga dikatakan sebagai hijrah hati. Hijrah hati bermaksud, berhijrah daripada cinta selain dari Allah, kepada mencintai Allah. Berhijrah daripada menghambakan diri kepada manusia, kepada menjadi hamba kepada Allah. Berhijrah daripada bergantung kepada selain Allah (manusia & dunia), kepada takut dan berharap kepada Allah.



Setiap orang mempunyai pengalaman penghijrahan masing-masing. Bagaimana ia bermula? Sudah tentu melalui Dia yang Maha Esa. Tidak dinafikan, kadang-kadang sikap ego kita yang sentiasa menidakkan kehadiran hidayah Allah. Bila terasa hendak membuat kebaikkan, maka muncul lah bisikan-bisikan syaitan yang menghasut. Ini kerana, kita sudah terlalu selesa dengan cara dan gaya kehidupan yang tanpa kita sedari ianya terkeluar dari landasan Islam yang sebenar. Apa yang kita inginkan hanya keseronokkan, kepuasan, kegembiraan, kesenangan, kemegahan, pengaruh, dan puji-pujian. Kesemua ini adalah bersifat sementara. Apabila kesemuanya hilang, maka dengan itu kita merasa resah, merasa kehilangan, kemurungan, merasa diri tidak berguna, merasa kesunyian dan hati rasa kosong. Nah! Inilah cara Allah SWT menyapa hamba-hambaNya yang ego dan hanyut dengan keseronokkan dunia.


SEBAB APA NAK BERHIJRAH?


1.   Sudah Terhantuk Baru Tengadah
-          Kadang-kadang tanpa disedari, dalam keseronokkan dan kegembiraan kita terlupa untuk mendongak. Pastinya kamu pernah mendengar kisah tentang duit syiling sepuluh sen? Jika kamu tidak pernah tahu, baiklah…begini kisahnya: Ada seorang lelaki yang sedang asyik berkerja di bahagian bawah bangunan sebagai pembancuh simen. Tiba-tiba ada seorang rakannya yang berada di bahagian atas bangunan sengaja ingin mengujinya. Rakannya menjatuhkan beberapa keping duit syiling  kearah lelaki itu. Pabila melihat duit syiling  bertaburan jatuh ke tanah, lelaki itu teruja lalu terus mengutipnya. Dia lupa untuk ambil tahu dari mana datangnya duit-duit syiling tersebut. Rakannya ketawa melihat keterujaan lelaki itu, lalu dia ingin membuat sesuatu iaitu dengan menjatuhkan beberapa batu kerikil yang bersaiz kecil. Aduh! Aduh! dari mana datangnya batu-batu ini?? Sambil mulutnya membebel kesakitan, lelaki itu seraya mendongak ke atas mencari arah datangnya batu-batu kerikil yang mengenai tubuh badanya. Lupa dia pada keterujaannya mengutip kepingan duit syiling sebentar tadi.

Kesimpulannya, begitu juga dengan diri kita. Duit-duit syiling itu diibaratkan seperti keseronokkan dan kegembiraan terhadap kesenangan dunia. Batu-batu kerikil itu umpama ujian yang datang menimpa. Bila kita leka dan lalai dengan dunia, kita sering kali lupa memikirkan tentang dari mana kewujudan dunia dan kewujudan Sang Pencipta. Namun, apabila kita ditimpa musibah, bencana atau ujian barulah kita mula mendongak menadah tangan dan mula mencari dimana kahTuhan?


2.   Kiri Kanan Depan Belakang
-          Sebab seterusnya, adalah pengaruh atau persekitaran.  Mungkin kita mengalami perubahan dari segi persekitaran. Contohnya, tiba-tiba saja kita dihantar ke sekolah pondok atau madrasah-madrasah. Walau dalam keadaan terpaksa, kita perlu juga untuk mengikut arus. Kita pusing kiri, “Ah, labuhnya tudung sampai ke pusat!” Pusing kanan, “Perghh! Lagi labuh sampai boleh jadikan telekung!”  Toleh pula ke belakang, “Erk…kaki tangan semuanya bersarung. Adehh…”  Dan, toleh terus kehadapan, “Mak aihhh! Terkejut den! Ingatkan ninja mana tadi!" (muslimah berpurdah muncul tiba-tiba dihadapan dengan salam perkenalan) Assalamu’alaikum ukhti, salam ukhuwahfillah… - Erk!

3.   Suka-Suka
-          Ada ke orang yang suka-suka nak berhijrah sebab dah boring dengan zaman kejahilannya? Wahh! Kalau ada, TAHNIAH!  *Tak perlu dipaksa, tak perlu disuruh, tak perlu disapa ujian, sebab dikau sendiri yang suka rela. Alhamdulillah. Allah sayang*


4.   I follow you
-          Jenis ini, ikut trend artis. Sejak kebelakangan ini, kita banyak mendengar dan melihat berita-berita tentang artis-artis yang dahulunya seksi, rockers dan sebagainya sudah pun kembali ke jalan fitrah. Ambil contoh Felixia Yeap. Dahulunya seorang model majalah Playboy! (kepada yang tak tahu majalah apakah ini, sila Tanya Mr.Google), beliau mula minat untuk berhijab sebelum memeluk agama Islam. Dengan evolusi seorang hamba Allah ini, tidak dinafikan ia menjadi sumber inspirasi gadis-gadis di luar sana tertarik untuk menjadi seperti beliau. Sebaik sahaja Felixia Yeap berevolusi menjadi Raisyyah Rania Abdullah, beliau masih lagi mengekalkan imej anggun seorang muslimah dan kini menjadi tumpuan pihak pengajur program untuk menjemputnya sebagai penceramah bagi berkongsi kisah untuk dijadikan bahan inspirasi khususnya remaja muslimah. 

Kesimpulan daripada semua sebab diatas, tidak dinafikan kebanyakkan daripada kita datang keinginan untuk berhijrah atau berubah adalah disebabkan 'sebab' yang pertama. :)

Namun, pabila diri dibaluti keinginan untuk berhijrah. Ada pula halangan atau kekangan yang sengaja timbul mereka-reka alasan 'TA-PI'. Apakah alasan 'TA-PI' ini? Tunggu artikel seterusnya, insyaAllah.

Sekian....semoga bermanfaat. Aamiin!








Sunday, December 28, 2014

AKU DAN KEM MEKAR SETAMAN 2014

Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,


Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah SWT yang memberi izin untuk ku mencoretkan kata-kata di ruangan sepi ini dan selawat keatas baginda Rasulullah SAW serta ahli keluarga dan para sahabat baginda seluruhnya.

Ingin ku coretkan suatu pengalaman terindah diri ini bersama-sama ahli-ahli Usrah Tautan Hati (UTH). Baru-baru ini pada 22 November 2014 - 23 November 2014 aku bersama para admin UTH telah mengadakan program kerohanian iaitu KEM MEKAR SETAMAN 2014 (KMS) anjuran bersama syarikat Sebarkan Bahagia Resources milik Ustazah Fatimah Syarha dan suami-Dr. Farhan Hadi. Alhamdulillah, syukur pada Allah yang memudahkan segala urusan walau hakikatnya tersirat 1001 macam al-kisah. 

Beberapa hari sebelum program, kami para admin diuji dengan pelbagai ujian. Salah satunya ujian ukhuwah. Iaitu melibatkan kerjasama dan sikap antara ahli jawatankuasa. Maklumlah, masing-masing sedang sibuk dan kelelahan dengan urusan kerja ditambah lagi dengan memikirkan tentang program yang akan berlansung, maka terjadilah tekanan-tekanan dalam diri. Ini perkara biasa, dalam mana-mana organisasi program pun akan berlaku perkara sebegini. Mungkin juga Allah nak uji. Kan?

Tapi, sangat bersyukur. Semuanya dapat dikawal dengan baik. Para admin masih punya semangat kegigihan untuk meneruskan program. Pada permulaan pagi sebelum program bermula, kami semua diuji lagi dengan pelbagai masalah. Ada beberapa perkara yang telah berlaku diluar jangkaan kami. Tetapi, dengan kebijaksanaan para admin dan tentunya dengan izin Allah, kami berjaya mengawal suasana dan part paling penting adalah - coverline. Hehe...

Bila program dah bermula, terasa seronok walaupun masing-masing dah keletihan. Bab yang paling best bila join sesi taddabur alam @ jungle tracking. Memang mencabar jugalah. Masa sesi taddabur alam ni barulah dapat lihat tautan ukhuwah antara peserta dan kerjasama antara admin program. Para admin juga sentiasa fokus tentang keselamatan bagi memastikan para peserta dalam keadaan yang baik dengan izin Allah. Alhamdulillah. Akhirnya berjaya melakar sebuah kenangan yang terindah untuk tahun ni.





Paling yang tak boleh dilupakan yang ini (lihat gambar dibawah)

Kasutku Oh Kasut ku....

Sekian coretan kenangan yang menjadi lukisan di atas kanvas kehidupan. Semangat pasukan, saling kerjasama, bertolak ansur, rasa tanggungjawab, kreatif dalam mencari solusi permasalahan dan kemesraan dalam ukhuwah, inilah rempah ratus yang menjadi rencah kenangan. Terima kasih terutama buat sahabat-sahabat admin UTH yang bertungkus lumus dalam membuat persiapan KMS, terima kasih juga kepada para peserta kem yang sudi hadir dalam program kami yang tak seberapa ini. Tanpa penyertaan kalian, maka tak menjadilah program kami. Dan, tak lupa kepada Ustazah Fatimah Syarha selaku penasihat UTH, terima kasih tak terhingga atas teguran, nasihat yang bermanfaat dan sokongan.

Terima kasih juga kepada kalian yang sudi membaca dan singgah di ruangan blog ini. Semoga kalian mendapat manfaat. Mohon maaf atas keterlanjuran kata-kata. Yang baik segalanya dari Allah SWT, yang buruk adalah dari diriku sendiri.



Monday, November 24, 2014

Hikmah Kesayangan

Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,


Aku bersandar di tiang. Menghadap muka ke arah lampu neon di jalanan. Hati berlagu pilu menghambur segala rasa. Taktala itu juga, jiwa berkelahi dengan PenciptaNya. Kenapa Kau biarkan jadi begini? Aku minta lain...tapi kenapa macam ni??? Jika jadinya begini...Kau tunjukkan aku hikmah! Aku nak tahu hikmah. Tolonglah....huhuhu...AKU TAK KUAT...AKU TAK KUAT!

Diam membisu. Hati masih berlagu. Dan, malam pun berlalu melabuh tirainya.

Pagi yang indah datang menjelma. Seindah senyuman sang suria yang menjalankan tugasnya untuk dunia. Ia juga memaksa hati yang berbekas tangis semalam untuk turut mengukir senyum. Tiba-tiba, sepasang mata tertancap pada sebuah buku yang bersaiz sederhana di atas sebuah meja kecil. Tajuk buku dibaca perlahan. KESAYANGAN. Dibawah tulisan tajuk ada serangkap ayat yang berbunyi "Ujian menjadi kesayangan bukan kebencian bila disingkap hikmah berlautan". Sebaris ayat itu kemudiannya mendorong tangan untuk membelek-belek muka surat yang seterusnya. Badan mula bersandar di dinding, ia menyoroti anggota badan lain untuk berada dalam posisi duduk bagi menatap bait-bait ayat yang berbahasa bisu. Aku sedang diuji...apakah ada sesuatu didalam buku ni?

Pembacaan diteruskan. 

Allah tidak akan menguji kita, melainkan untuk menaikkan darjat kita ke silibus kehidupan yang lebih tinggi. Dia sengaja menghadirkan insan-insan yang tidak seperti kita inginkan supaya kita belajar erti sabar, memaafkan dan kreatif mencari penyelesaian.
Pap!

Hati tersentap. Dibacanya rangkap ayat-ayat itu berulang-ulang kali. Akhirnya hati mengerti, lalu bibir mampu mengukir senyum sendiri tanpa dipaksa lagi.

Terima kasih Allah. Jawapannya aku temui dalam buku ini. Maafkan hamba atas keterlanjuran berbahasa denganMu. 

Buku ini bukanlah Al-Quran. Malah ia sememangnya tidak dapat menandingi kehebatan Al Quran yang mempunyai pelbagai jawapan. Namun, buku ini cuba membantu diri untuk melihat kehidupan dari sudut yang berbeza-beza dan pelbagai-bagai agar tersingkap hikmah berlautan.





Jika berminat untuk dapatkan buku bersaiz sederhana ini, sila layari http://www.sebarkanbahagia.com






Wednesday, October 15, 2014

Geng Tudung Labuh, Jangan Serius Sangat!




Assalamu'alaikum wbt,


Beberapa bulan menyepi, kini jemari kembali menari. Bukan sebagai 'keyboard warrior' tetapi sebagai penari rentak kehidupan insani. Terlalu banyak perkara yang berlaku dan pelbagai ujian yang dilalui. Kesemuanya adalah rencah kehidupan, penyumbang nilai dosa pahala seorang hamba. Syukur kehadrat Allah SWT Yang Maha Baik, dan selawat kepada junjungan baginda Rasulullah SAW yang dikasihi lagi dimuliakan. Atas sebab keduanya (yakni Allah & Rasul) aku masih kuat untuk menyumbang coretan dakwah disini. Semoga menjadi saham di akhirat dan menyumbang manfaat kepada yang sudi membaca atau terbaca. [Heheh..]

Jom kita lihat kepada tajuk. 

Suka untuk aku membicarakan tentang tajuk ini memandangkan aku pernah menjadi Geng Tudung Bawal bidang 50' jer dan pernah menjadi Geng Tudung Labuh atau 'para sinisan' memberi gelaran sinis, Geng Khemah sebab tudung koshibo yang dipakai tu kata mereka boleh dibuat khemah kerana kelebarannya. Ok, tujuannya aku menulis tajuk ini kerana aku ingin fokus pada penyebaran dakwah kepada orang Islam itu sendiri. Terutama kepada para remaja Islam yang berada diluar sana. 

Sering kali aku lihat, atau daripada pengalaman aku sendiri. Geng-geng tudung labuh ni terlalu serius apa apabila berada dikelompok yang bukan gengnya. Jika begitu, bagaimana ingin menyebarkan keharuman dakwah Islam? Kita perlu sedar bahawasanya kita tidak boleh terlalu fokus untuk mengajak non-muslim masuk Islam sedangkan kita terlepas pandang akan muslim itu sendiri yang semakin jauh dengan cara hidup Islam. Apa yang kita hendak selamatkan sebenarnya? Seperti menakung air didalam besen yang besar tanpa kita sedar besen itu bocor dan air semakin berkurang malah sia-sia sahajalah usaha kita. Boleh faham tak analogi ni? Harap fahamlah yer...

Pecahkan tembok pemisah!

Pecahkan tembok perbezaan. Jangan cuba-cuba hendak membina kroni sendiri. Islam itu luas dan indah, hidup berpuak-puak tidak membantu dalam usaha dakwah kerana akan ada semangat mementingkan kumpulan atau puak itu sendiri. Tidak salah jika adakan persatuan/kumpulan, tetapi mestilah membawa satu matlamat bersamanya iaitu menjadi penyebar kedamaian, keamanan, kemesraan, dan kebahagian kepada umat sejagat. Lebih baik jika bercampur dengan masyarakat tanpa mengira siapa dia, bagaimana dia, dan status dia disamping membawa bunga akhlak yang baik, yang harum mekar dan mampu memikat hati orang yang melihatnya. Inilah salah satu cara dakwah yang baik.

Jangan serius.

Bukanlah bererti perlu untuk bersikap sambil lewa. Jangan bersikap terlalu serius apabila berada dikalangan mereka yang tidak bertudung labuh kerana siapa tahu di hati mereka juga pernah terdetik untuk menjadi salah seorang dari pemakainya? Jika anda boleh berlawak jenaka dan ceria dihadapan sahabat-sahabat yang seangkatan dengan anda, kenapa tidak dengan mereka yang bukan seperti anda? Tahukah anda, bahawasanya mereka-mereka ini berasa amatlah segan untuk mendekati anda.  Jadi, andalah yang perlu menyediakan ruang dan mencipta keserasian bersama. Ubah kejanggalan mereka kepada selesa. Jangan bercerita tentang kebaikkan diri atau tentang ilmu di dada tetapi berceritalah tentang kehidupan milik Allah ini. Orang yang berilmu tetapi merendah diri itulah orang yang sebenar-benarnya ikhlas dan mulia. Berusaha untuk mendapatkan redha Allah, itulah yang lebih utama!


Kami bukan baik macam malaikat. Kamu jangan menghukum.

Ya, kami yang bertudung labuh bukanlah baik seperti malaikat. Kami juga sedang berusaha dalam proses pembaikkan diri dan rohani. Maka, janganlah apabila kami tersilap kalian terus menghukum dan meletakkan label seolah-olah kami haram untuk membuat dosa. Kami dan kamu, kita semua hamba Allah yang tidak akan terlepas daripada membuat dosa besar mahupun kecil. Oleh sebab itulah, kita perlu sama-sama bergandingan dalam usaha menjadi hamba yang baik. At least, ada usaha daripada tak buat apa-apa. Kan??

Tiada beza.

Kita tiada beza. Yang berbeza hanya iman sahaja. Siapa kita disebalik pakaian kita hanya Dia Yang Maha Tahu. Jadi, jangan bermegah dengan pakaian yang dirasakan kitalah para alimah. Atau, kita pula yang selesa dengan pakaian yang tidak menutup aurat seolah-olah dunia ini kita yang punya. Duduklah dipertengahan. Bersederhanalah. Apa yang penting, perlu mengikut syariat yang digariskan Allah. Jika undang-undang negara kita patuh, kenapa tidak untuk undang-undang Allah? Renung-renungkanlah.....


Sekian sahaja perkongsian, coretan tarian jemari. Semoga dapat membuka mata dan minda 'kami & kamu'.  Mohon kemaafan jika ada kata-kata yang tidak disenangi. Sungguh tiada niat untuk menemplak atau menyindir atau memburukkan mana-mana pihak, ini sekadar ulasan daripada pengalaman sendiri. Demi kebaikkan ummah, perlu ada semangat bersatu padu dan tidak hanya mementingkan kelompok yang setaraf dengannya. Kita semua sama kerana kita para pendosa dan kita hambaNya. Segala yang baik adalah datang daripada Allah, dan yang buruk daripada diriku sendiri.


Thursday, June 26, 2014

Ramadhan 1435H (FIFA) VS World Cup 2014 (FIFA)



Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,

Pada ketika entri ini ditulis, hanya tinggal 3 hari saja lagi untuk umat Islam menyambut kedatangan bulan yang penuh dengan keberkatan. Manakala, World Cup telah pun beberapa hari berlangsung mendahului Ramadhan. Bagi peminat fanatik bola sepak, World Cup adalah bulan yang penuh dengan kemeriahan dan sorakkan. Tak dinafikan, mungkin ada segelintir yang lupa akan kehadiran Ramadhan.

Sungguh hati ini sedang merindui kehadiran Ramadhan, malah suasananya sudah pun terasa sebulan lebih awal. Suasana bazar Ramadhan, suasana berbuka puasa, suasana bangun nak bersahur, yang paling best...suasana ketika jemaah sedang solat Tarawih! Fuhh....sangat memorable! Tetapi, awal Ramadhan kali ini, umat Islam diuji dengan kehadiran World Cup. Apatah lagi time awal-awal Ramadhan, World Cup sedang kemuncak. Memang ramai yang bertahajjud depan TV!

Hairan, semangat mereka luar biasa dengan World Cup ciptaan si Yahudi. Kalau tak kunci jam pun pasti akan automatik bangun tepat pada waktu dan terus terpacak depan TV. Tapi...kalau set nak bangun tahajjud atau qiamullail, kunci la 10 bijik jam loceng pun belum tentu bangun. Kalau tiada World Cup agaknya sahur pun telan air liur basi je...

Ehem! :)

Sebenarnya, aku yang sedang menulis ni pun salah seorang yang pernah menjadi peminat fanatik World Cup. Tapi itu dulu. Sekarang? -Sekarang dah kurang fanatik, sekadar ambil tahu keputusannya tanpa mengadap secara live. Disebabkan itu, aku tidaklah terlalu mengkritik mereka-mereka yang fanatik dengan World Cup, cuma sekadar memberi beberapa gambaran situasi yang 'not good' apabila menjelang sukan tersohor di dunia ni. 'Not Good' pada umat Islam. Tapi, jika kita bijak...apa kata sebelum tayangan World cup bermula, kita tunaikan solat tahajjud 2 rakaat dulu...berdoa...dan berzikir. Sekejap je pun...tak rugi apa-apa malah dapat untung berganda-ganda. Selepas solat, tengokla World Cup tu dan kemudian jangan lupa solat Subuh. Lepas tu...pepandai la nak buat apa. Nak tidur...atau terus bersiap pergi kerja. :) 

Kalau dibulan Ramadhan nanti, sesambil tengok World Cup boleh bersahur...jangan lupa niat kerana Allah bukan kerana World Cup ye ;)

Mudahkan? Islam itu bukanlah terlalu jumud (sempit), kita sebagai manusia perlu bijak. Terutama yang bergelar muslim. Jangan mudah terleka dengan rancangan orang-orang Barat terutama Yahudi yang sentiasa ingin umat Islam dalam keadaan lalai.

Konklusi dari semua yang diatas, apa yang menyebabkan para fanatik World Cup ni bersungguh  untuk bangun awal pagi adalah SEMANGAT & MINAT. Bila ada semangat dan minat, tak payah disuruh, hati memang ikhlas untuk segala-galanya termasuklah merelakan diri menjadi ala-ala Panda. (mata lebam akibat tak cukup tidur) Jika kita lihat dalam situasi ini, jelas ternyata bahawa masih kurangnya semangat dan minat orang Islam itu sendiri kepada agama mereka. Dah terbukti bukan? Tahajjud vs World Cup mana yang mendahului? Tepuk dada, tanyalah iman. Apa yang dikatakan semangat dan minat - iaitu semangat untuk melipat gandakan pahala dan meraih keredhaan Allah. Manakala minat adalah lebih sinonim kepada suka atau perasaan sayang. Ini bermakna, kurangnya perasaan sayang akan Allah dan tidak berminat untuk menjadikan Allah sebagai keutamaan dalam hidup.  Maka, SEMANGAT & MINAT itulah yang perlu dipupuk dalam diri umat Islam itu sendiri supaya lebih memahami tujuan dan amanah yang Allah bagi dalam kehidupan. 

Baiklah, sekian saja celotehan tangan untuk kali ini....memang ketika ini terasa bahangnya World Cup dan Ramadhan. Kedua-duanya seakan sedang bersaing. Bagi yang fanatik tegar World Cup pasti kurang merasai bahang kemeriahan Ramadhan, tetapi tidak bagi mereka yang bijak dengan memikirkan bulan yang mana Allah nak bagi sebanyak-banyaknya bonus pahala. Maka beruntunglah orang-orang yang kini sedang menanti kehadiran bulan Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih diberkati dan amalan kita lebih mantap dari Ramadhan sebelumnya. Aamiin Allahumma Aamiin....


~~Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubbarak~~

Sunday, May 18, 2014

Aku & Buku: Cerita Cinta Ahmad Ammar




Assalamu'alaikum wbt,


Siapakah saudara Ahmad Ammar? 
Serius...aku juga tidak mengenali individu tersebut melainkan selepas beliau tiada lagi di dunia ini. Aku yakin kalian yang bukan dikalangan ahli keluarganya atau rakan-rakannya juga tidak mengenalinya. Aku mula mengenalinya dan ambil tahu tentang saudara Ahmad Ammar selepas video pemergiannya mendapat sambutan di YouTube malah tersebar pula di laman Facebook. Fenomena itu membuatkan diri ini tertanya-tanya, siapakah gerangan pemuda ini? Apa yang membuatkan orang ramai seantero dunia memberi tumpuan kepadanya? Lalu aku mula mencari-cari info tentangnya sehinggalah terbitnya buku catatan kenangan yang disusun oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Buku yang bertajuk, "Cerita Cinta Ahmad Ammar" (CCAA)  ini mempunyai halaman berwarna dan ketebalan mukasurat lebih kurang 300 lebih halaman. Aku membelinya pada bulan Mac yang lepas dan baru semalam 17.Mei .2014 aku baru selesai mengkhatamkannya. Maklumlah atas kekangan masa dan kesihatan tak menentu, menjadikan masa yang diambil agak lama :) 

Apa yang memukul mood kemalasan aku untuk ber-blogging kepada mood kerajinan adalah kerana tertarik dengan suatu kesimpulan iaitu 'kembalil melihat sejarah'. Kesimpulan ini di simpulkan oleh aku sendiri sewaktu membaca buku CCAA. Dan, ini juga yang ingin disampaikan oleh saudara Ammar dalam menyusun strategi untuk melaksanakan misi & visi dakwahnya. 

Dalam buku CCAA, ada terdapat pelbagai coretan dan karangan yang dicoret khas daripada emak dan ayah beliau sendiri, juga daripada ahli keluarga terdekat dan sahabat-sahabat yang mengenali beliau. Coretan mereka banyak berkisar tentang keperibadian saudara Ammar dan  garis masa (timeline) kehidupannya. Emak dan ayah beliau (iaitu Tn. Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Abdul Aziz) adalah yang paling banyak berkongsi kisah tentang bagaimana anakanda lelaki tunggal mereka itu membesar termasuklah bagaimana pendidikkan saudara Ammar sejak dari kecil sehinggalah berakhir di sebuah universiti di Turki.

Begitu juga dengan kakak beliau dan juga abang iparnya, mereka berkongsi tentang perspektif  terhadap keperbadian Ammar yang sememangnya telah dibentuk melalui pendidikan emak dan ayahnya. Benarlah kata orang, bahawa pendidikkan awal adalah bermula daripada pendidikkan dirumah sendiri. Jika baik, maka baiklah. Jika sebaliknya, maka suasana yang kurang baik itu akan terbawa-bawa dalam keperibadian ahli-ahli keluarga.

Tidak terkecuali juga sahabat-sahabat saudara Ammar yang sudi berkongsi kisah kenangan mereka bersama pemuda itu. Membaca coretan mereka, hati ini turut merasa sebak. Sangat terkesan dengan pautan ukhuwah yang dibina sehingga membuahkan bibit cinta dan kasih sayang di dalam persahabatan mereka. Mereka sangat sayangkan sahabat mereka Ammar, namun Allah lebih menyayanginya. Mereka redha dengan menyahut seruan misi dan visi sahabat mereka Ammar untuk turut menyumbang bakti kepada umat. Perjuangan mesti diteruskan!

Sejujurnya aku ingin katakan, bahawa buku ini sedikit sebanyak telah menyimbah mata hati supaya celik untuk melihat betapa umat Islam hari ini perlu bangkit dengan melihat kembali sejarah kegemilangannya. Hanya dengan mengetahui sejarah, kita akan tahu bahawa Islam pernah mencapai tahap kegemilangannya. Bukan setakat tahu sahaja, tetapi harus untuk kita kaji dan ambil tahu tentang bagaimana umat terdahulu berjaya menguasai sepertiga dunia. Bagaimana tamadun Islam begitu gah dan menyebabkan kuasa-kuasa Barat ingin menyaingi kita? Dan, lihat pula pada hari ini...apa sudah jadi? Dimana umat Islam yang kuat dan digeruni musuh? Mengapa umat Islam kini ditindas? Ya, inilah persoalan yang memerlukan jawapan. Saudara Ammar sedar akan hal ini, kerana itulah beliau mempunyai semangat yang tinggi untuk menelusuri sejarah kebangkitan tamadun Uthmaniyyah di Turki dan melihat strategi Sultan Muhammad Al-Fateh dalam menakluki kota Konstatinopel pada usia muda (setahun lebih tua daripada saudara Ammar).

Saudara Ammar juga gigih mempelajari Kitab Risalah An Nur yang dikarang oleh Imam Bediuzzaman Said Nursi. Risalah ini banyak menyentuh tentang keimanan dan jati diri seorang muslim. Ia dapat memberi bimbingan untuk memahami hakikat-hakikat iman tanpa melalui jalan yang panjang dan berliku-liku yakni dengan berpegang teguh kepada sunnah dan ajaran Rasulullah SAW, itu cukup memadai untuk membawa jiwa seorang hamba mendekati Rabb nya -Allah SWT. Ini juga termasuklah dengan mendekati dan memahami Al-Quran kalamullah yang mulia. Oleh kerana itu, saudara Ammar juga tidak meninggalkan amalan membaca Quran malah beliau juga ada dan sedang menghafal beberapa surah di dalam Quranul Karim. Sungguh pun begitu, perkara asas yang membawa kepada keredhaan Allah terhadap saudara kita ini adalah IKHLAS. Ya, beliau ikhlas dalam menuntut ilmu demi untuk membela umat Islam diakhir zaman ini. Namun, perancangan Allah telah mendahului segalanya.

Selain saudara Ammar, di dalam buku CCAA ada seorang lagi insan yang aku kagumi. Beliau adalah Tn Hj Ahmad Azam iaitu ayahanda saudara Ammar. Kenapa beliau? Kerana beliau sanggup mengetepikan duniawi semata-mata ingin melihat umat Islam terbela. Sebelum beliau menceburi bidang dakwah dan melibatkan diri dengan badan-badan islamik NGO. Beliau mempunyai Bachelor Business Administration daripada Indiana State University dan Master Business Administration, Stephen F Austin State University Texas. Kalau dilihat daripada kelulusan dan pencapai beliau, ianya bukanlah calang-calang. Dengan pencapai tersebut, tentu sekali beliau boleh menjadi ahli perniagaan yang berjaya atau menyelusuri bidang-bidang korporat atau jika tidak berada di dunia dakwah beliau mungkin seorang ahli korporat di Malaysia. Namun, seperti yang diketahui, beliau tidak memilih untuk berada dilandasan cita-cita duniawi. Beliau memilih untuk terus bergerak dilandasan yang membawa keuntungan bagi membina kehidupan di negeri abadi yakni akhirat. Ternyata, siapapun kita diatas muka bumi ini hanyalah sebagai hamba kepada Allah. Bekerja untuk Allah untuk mendapat keredhaanNya, inilah yang menjadi pilihan Tn Hj Ahmad Azam dan seterusnya mengalirkan pula semangat dai'e ini kepada anakanda beliau, saudara Ammar juga kepada anak-anak yang lain. Inilah inspirasi buat jiwa, jika diberi pilihan, aku juga ingin berada selandasan dengan beliau. Biidznillah :) (Aamiin Allahumma Aamiin)

Terlalu panjang untuk aku huraikan secara keseluruhan, kerana buku CCAA ini terlalu banyak manfaatnya. Tidak rugi jika kalian ingin membeli dan membacanya kerana ia akan mencuit jiwa yang kian terleka dengan keseronokkan dunia untuk lebih memandang kepada hikmah yang Allah rencanakan buat hamba-hambaNya. Pendapat aku tentang fenomena saudara Ammar ini:- 

"Sesungguhnya aku yakin bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah. Pemergian Ahmad Ammar bukanlah suatu yang kebetulan berlaku tanpa perancangan daripada Yang Maha Merancang. Allah SWT ingin menyedarkan jiwa-jiwa muda khususnya supaya bangun dan bangkit untuk membela agama Allah. Allah SWT ingin melihat umat Islam kembali bersatu supaya daulah Islamiyyah kembali ditegakkan. Maka, saudara kita Ammar adalah asbab kepada menyuntik semangat umat Islam yang kian lemah imannya. Allah SWT ingin kita melihat dan menelusuri kembali sejarah ketamadunan Islam. Hanya dengan sejarah kita akan tahu bagaimana kegigihan umat terdahulu termasuklah umat Islam di zaman Rasulullah SAW. Ternyata selepas pemergian saudara Ammar, ramai daripada anak-anak muda mula menunjukkan minat dengan kajian sejarah Islam. Ada yang mula mencari info-info tentang tamadun Islam dan ada yang mula ingin melakukan perubahan dalam hidup untuk menjadi insan yang mempunyai misi dan misi dakwah. Ibu bapa juga tidak terkecuali daripada percikkan hikmah ini, ramai dikalangan ibu bapa mula tertarik tentang bagaimana Tn Haji Ahmad Azam dan Puan Azlina memberi pendidikan asas buat saudara Ammar sehingga berjaya membentuk keperibadian yang baik."

Begitulah serba sedikit perkongsian daripada pembacaan. Buku CCAA bukanlah buku yang hanya mencoretkan kenangan semata-mata dan bukan pula buku untuk mengagung-agungkan saudara Ammar. Apa yang ingin disampaikan adalah tentang misi & visi serta perjuangan dalam menuntut ilmu oleh seorang hamba Allah yang bernama Ahmad Ammar. Akhir kata, kembalilah melihat sejarah Islam kerana di dalamnya terdapat rangka strategi kejayaan buat agama Allah. Terima kasih Allah kerana hadirkan hambaMu Ahmad Ammar sebagai penyuntik semangat jiwa-jiwa yang alpa dengan keseronokkan dunia. Semoga roh Ahmad Ammar tenang dan damai bersama para solihin serta bertemu bidadari syurga idaman. Al-Fatihah buat saudara Ahmad Ammar.

"Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling, maka itu tidak penting. Jika Dia menerima sedangkan seluruh masyarakat menolak, maka tiada kesannya. Setelah Dia meredhai dan menerimanya, jika Dia kehendaki dan selari dengan hikmahNya, walaupun kalian dalam keadaan tidak meminta, Dia akan menjadikan masyarakat juga menerima dan meredhai. Kerana itu, keredhaan Allah sahaja yang perlu dijadikan sebagai tujuan utama dalam khidmat dakwah ini." - [Catatan terakhir yang dijumpai di dalam beg saudara Ahmad Ammar]


Ingin dapatkan buku CCAA? Klik di sini : The Caliph
Nak tahu tentang Grup Penjejak Tamadun Dunia yang saudara Ammar sertai? Klik di sini : GPTD


Sunday, March 9, 2014

Allah Tidak Memandang Semua Itu....

Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,


Masih ingat tentang kisah seorang pemuda yang diangkat darjatnya oleh Allah SWT ketika kematiannya? Tentu masih segar diingatan kalian tentang pemuda yang bernama Ahmad Ammar bin Ahmad Azam itu, walaupun sudah berbulan berlalu, kisah beliau masih lagi menjadi topik perbincangan dan bualan khususnya di alam maya. Kini, kedua-ibubapanya pula menjadi sumber inspirasi dan aspirasi masyarakat. Selain itu, mereka juga menjadi tempat rujukan umum yang berkaitan dengan penerapan misi-visi dan nilai-nilai islami yang diterapkan di dalam pendidikkan anak-anak. 

Selepas mengetahui bagaimana Hj Ahmad Azam Abdul Rahman dan isteri menyediakan acuan dan bancuhan buat anakanda mereka Ammar, tidak mustahil pasti ada ibu bapa yang mempunyai persepsi negatif begini : "Ahh...mereka orang kaya, berduit..bolehlah hantar anak ke sana dan ke sini. Ada duit bukan setakat Turki, seluruh negara Arab tu pun boleh,"

Manakala bagi persepsi negatif individu pula khususnya anak-anak muda masakini, "Alaa..aku dulu pun pernah berangan nak ke Turki jugak, tapi tak mampu..nak buat macam mana?!" / "Anak orang kaya...bolehlaaaaa.." / "Tengokla siapa ibu ayahnya...No wonder la boleh belajar sana sini," 

STOP!

Adakah dengan menganggap harta, pangkat, dan jawatan seseorang itu adalah jaminan Allah untuk ke syurgaNya? Tidak, saudara & saudari.

Allah SWT tidak memandang akan semua itu melainkan ketaatan dan ketaqwaan. Malah, amat mustahil untuk Allah Yang Maha Adil berlaku tidak adil. Tentu kalian pernah mengetahui kisah seorang hamba Allah yang bernama Uwais al Qarni kan? Uwais itu seorang lelaki lebih dikenali oleh para penghuni langit berbanding di bumi. Malah, pada hari pengkebumiannya, beliau telah dihadiri oleh ramai manusia untuk menguruskan dan memberi penghormatan terakhir. Hal itu telah membuatkan penduduk kampungnya berasa sangat hairan kerana mereka mengenali Uwais yang bukanlah dikalangan orang-orang besar atau kenamaan.

Saudara & saudari,

Adakah Uwais itu anak orang kaya? Adakah Uwais itu dari kalangan orang-orang kenamaan? Adakah Uwais itu pergi belajar dan menimba ilmu ke serata dunia? TIDAK!

Jika semua hal di atas adalah 'tidak'. Maka, siapakah Uwais? dan kenapa darjatnya diangkat oleh Allah sedemikian rupa? Subhanallah....

Uwais adalah seorang pemuda yang tinggal di negeri Yaman. Beliau anak yatim yang kehilangan bapa dan hanya ditemani oleh ibunya yang sudah tua. Ibunya pula sudah uzur dengan penglihatannya yang kabur. Uwais bekerja dengan mengambil upah sebagai pengembala kambing. Walaupun kehidupannya yang serba kekurangan, beliau sentiasa ingin membantu jiran tetangganya yang miskin. Beliau seorang yang taat pada perintah Allah dan rajin beribadat. Selain itu, beliau sangat rindukan pada baginda Rasulullah SAW dan berkeinginan untuk dengan baginda. Pernah suatu hari, dengan keizinan bonda tersayang beliau menuju ke Madinah untuk bertemu dengan orang yang dirindui iaitu rasulullah SAW. Namun, setibanya beliau di rumah rasulullah SAW, beliau dimaklumkan oleh sayyidatina ‘Aisyah R.A bahawa baginda tiada dirumah kerana baginda masih berada di medan perang. Uwais berasa sedih, lalu meminta izin untuk segera pulang ke Yaman pabila mengenangkan pesanan ibunya yang uzur.

Begitulah serba sedikit ringkasan cerita tentang lelaki bernama Uwais ini. Jadi, kalian dapat lihat bukan?  Harta, pangkat dan jawatan itu bukanlah suatu jaminan untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Apa yang penting adalah keikhlasan dalam beribadat, ketaatan dalam mengikut segala perintahNya dan juga ketaqwaan dalam menjalani kehidupan seharian. Kesimpulannya, hiduplah sebagai seorang yang benar-benar muslim. Hadirkan keikhlasan dalam melakukan perkara-perkara baik. Taat kepada setiap perintah Allah terutama mendirikan solat 5 waktu dan didik hati untuk merasakan taqwa yakni berasa takut untuk melakukan kejahatan. Jika perkara-perkara ini menjadi sahabat karib buat rohani, InsyAllah mudah-mudahan mendapat redhaNya dengan tidak mengira siapa pun kalian di mata manusia. Professor ke...hakim mahkamah ke...raja ke...perdana menteri ke..Datuk bandar ke..Polis..doktor...cikgu..pelajar..nelayan..pengutip tin kosong..cleaner..penjaga tandas...dan bla-bla-bla...ITU SEMUA TIDAK PENTING! YANG PENTING IKHLAS DAN ALLAH REDHA!

Sama juga seperti yang telah berlaku kepada Ammar, beliau tidak dikenali manusia sebelumnya tetapi dikenali selepas kematiannya. Allah telah mengangkat darjatnya bukan kerana ayah ibunya adalah orang-orang yang dikenali atau beliau seorang yang kaya tetapi Allah telah melihat kepada apa yang diamalkannya dan keikhlasan dalam setiap kebaikkan yang dilakukan. Sememangnya kita tidak akan pernah tahu tentang apa selainnya yang Allah tahu tentang hambaNya itu. Cuma, apa yang kita lihat dan tahu hanyalah perkara dasarnya atau luarannya sahaja iaitu yang mampu dilihat dengan mata kasar tentang pemuda itu. Hatinya...pemikirannya...jika ianya tidak pernah diluahkan maka itu adalah dalam rahsia Allah kerana Allah sangat mengenali makhluk-makhluk ciptaanNya. Yang pastinya, ianya tentulah sesuatu yang istimewa. Namun, fenomena Ahmad Ammar itu, ternyatalah ada hikmah dari Allah untuk manusia. Carilah...kalian pasti akan tahu. Lihat dengan mata hati, tepuk dada tanyalah iman.


Wallahua'lam.