Thursday, June 26, 2014

Ramadhan 1435H (FIFA) VS World Cup 2014 (FIFA)



Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,

Pada ketika entri ini ditulis, hanya tinggal 3 hari saja lagi untuk umat Islam menyambut kedatangan bulan yang penuh dengan keberkatan. Manakala, World Cup telah pun beberapa hari berlangsung mendahului Ramadhan. Bagi peminat fanatik bola sepak, World Cup adalah bulan yang penuh dengan kemeriahan dan sorakkan. Tak dinafikan, mungkin ada segelintir yang lupa akan kehadiran Ramadhan.

Sungguh hati ini sedang merindui kehadiran Ramadhan, malah suasananya sudah pun terasa sebulan lebih awal. Suasana bazar Ramadhan, suasana berbuka puasa, suasana bangun nak bersahur, yang paling best...suasana ketika jemaah sedang solat Tarawih! Fuhh....sangat memorable! Tetapi, awal Ramadhan kali ini, umat Islam diuji dengan kehadiran World Cup. Apatah lagi time awal-awal Ramadhan, World Cup sedang kemuncak. Memang ramai yang bertahajjud depan TV!

Hairan, semangat mereka luar biasa dengan World Cup ciptaan si Yahudi. Kalau tak kunci jam pun pasti akan automatik bangun tepat pada waktu dan terus terpacak depan TV. Tapi...kalau set nak bangun tahajjud atau qiamullail, kunci la 10 bijik jam loceng pun belum tentu bangun. Kalau tiada World Cup agaknya sahur pun telan air liur basi je...

Ehem! :)

Sebenarnya, aku yang sedang menulis ni pun salah seorang yang pernah menjadi peminat fanatik World Cup. Tapi itu dulu. Sekarang? -Sekarang dah kurang fanatik, sekadar ambil tahu keputusannya tanpa mengadap secara live. Disebabkan itu, aku tidaklah terlalu mengkritik mereka-mereka yang fanatik dengan World Cup, cuma sekadar memberi beberapa gambaran situasi yang 'not good' apabila menjelang sukan tersohor di dunia ni. 'Not Good' pada umat Islam. Tapi, jika kita bijak...apa kata sebelum tayangan World cup bermula, kita tunaikan solat tahajjud 2 rakaat dulu...berdoa...dan berzikir. Sekejap je pun...tak rugi apa-apa malah dapat untung berganda-ganda. Selepas solat, tengokla World Cup tu dan kemudian jangan lupa solat Subuh. Lepas tu...pepandai la nak buat apa. Nak tidur...atau terus bersiap pergi kerja. :) 

Kalau dibulan Ramadhan nanti, sesambil tengok World Cup boleh bersahur...jangan lupa niat kerana Allah bukan kerana World Cup ye ;)

Mudahkan? Islam itu bukanlah terlalu jumud (sempit), kita sebagai manusia perlu bijak. Terutama yang bergelar muslim. Jangan mudah terleka dengan rancangan orang-orang Barat terutama Yahudi yang sentiasa ingin umat Islam dalam keadaan lalai.

Konklusi dari semua yang diatas, apa yang menyebabkan para fanatik World Cup ni bersungguh  untuk bangun awal pagi adalah SEMANGAT & MINAT. Bila ada semangat dan minat, tak payah disuruh, hati memang ikhlas untuk segala-galanya termasuklah merelakan diri menjadi ala-ala Panda. (mata lebam akibat tak cukup tidur) Jika kita lihat dalam situasi ini, jelas ternyata bahawa masih kurangnya semangat dan minat orang Islam itu sendiri kepada agama mereka. Dah terbukti bukan? Tahajjud vs World Cup mana yang mendahului? Tepuk dada, tanyalah iman. Apa yang dikatakan semangat dan minat - iaitu semangat untuk melipat gandakan pahala dan meraih keredhaan Allah. Manakala minat adalah lebih sinonim kepada suka atau perasaan sayang. Ini bermakna, kurangnya perasaan sayang akan Allah dan tidak berminat untuk menjadikan Allah sebagai keutamaan dalam hidup.  Maka, SEMANGAT & MINAT itulah yang perlu dipupuk dalam diri umat Islam itu sendiri supaya lebih memahami tujuan dan amanah yang Allah bagi dalam kehidupan. 

Baiklah, sekian saja celotehan tangan untuk kali ini....memang ketika ini terasa bahangnya World Cup dan Ramadhan. Kedua-duanya seakan sedang bersaing. Bagi yang fanatik tegar World Cup pasti kurang merasai bahang kemeriahan Ramadhan, tetapi tidak bagi mereka yang bijak dengan memikirkan bulan yang mana Allah nak bagi sebanyak-banyaknya bonus pahala. Maka beruntunglah orang-orang yang kini sedang menanti kehadiran bulan Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih diberkati dan amalan kita lebih mantap dari Ramadhan sebelumnya. Aamiin Allahumma Aamiin....


~~Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubbarak~~

Sunday, May 18, 2014

Aku & Buku: Cerita Cinta Ahmad Ammar




Assalamu'alaikum wbt,


Siapakah saudara Ahmad Ammar? 
Serius...aku juga tidak mengenali individu tersebut melainkan selepas beliau tiada lagi di dunia ini. Aku yakin kalian yang bukan dikalangan ahli keluarganya atau rakan-rakannya juga tidak mengenalinya. Aku mula mengenalinya dan ambil tahu tentang saudara Ahmad Ammar selepas video pemergiannya mendapat sambutan di YouTube malah tersebar pula di laman Facebook. Fenomena itu membuatkan diri ini tertanya-tanya, siapakah gerangan pemuda ini? Apa yang membuatkan orang ramai seantero dunia memberi tumpuan kepadanya? Lalu aku mula mencari-cari info tentangnya sehinggalah terbitnya buku catatan kenangan yang disusun oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Buku yang bertajuk, "Cerita Cinta Ahmad Ammar" (CCAA)  ini mempunyai halaman berwarna dan ketebalan mukasurat lebih kurang 300 lebih halaman. Aku membelinya pada bulan Mac yang lepas dan baru semalam 17.Mei .2014 aku baru selesai mengkhatamkannya. Maklumlah atas kekangan masa dan kesihatan tak menentu, menjadikan masa yang diambil agak lama :) 

Apa yang memukul mood kemalasan aku untuk ber-blogging kepada mood kerajinan adalah kerana tertarik dengan suatu kesimpulan iaitu 'kembalil melihat sejarah'. Kesimpulan ini di simpulkan oleh aku sendiri sewaktu membaca buku CCAA. Dan, ini juga yang ingin disampaikan oleh saudara Ammar dalam menyusun strategi untuk melaksanakan misi & visi dakwahnya. 

Dalam buku CCAA, ada terdapat pelbagai coretan dan karangan yang dicoret khas daripada emak dan ayah beliau sendiri, juga daripada ahli keluarga terdekat dan sahabat-sahabat yang mengenali beliau. Coretan mereka banyak berkisar tentang keperibadian saudara Ammar dan  garis masa (timeline) kehidupannya. Emak dan ayah beliau (iaitu Tn. Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Abdul Aziz) adalah yang paling banyak berkongsi kisah tentang bagaimana anakanda lelaki tunggal mereka itu membesar termasuklah bagaimana pendidikkan saudara Ammar sejak dari kecil sehinggalah berakhir di sebuah universiti di Turki.

Begitu juga dengan kakak beliau dan juga abang iparnya, mereka berkongsi tentang perspektif  terhadap keperbadian Ammar yang sememangnya telah dibentuk melalui pendidikan emak dan ayahnya. Benarlah kata orang, bahawa pendidikkan awal adalah bermula daripada pendidikkan dirumah sendiri. Jika baik, maka baiklah. Jika sebaliknya, maka suasana yang kurang baik itu akan terbawa-bawa dalam keperibadian ahli-ahli keluarga.

Tidak terkecuali juga sahabat-sahabat saudara Ammar yang sudi berkongsi kisah kenangan mereka bersama pemuda itu. Membaca coretan mereka, hati ini turut merasa sebak. Sangat terkesan dengan pautan ukhuwah yang dibina sehingga membuahkan bibit cinta dan kasih sayang di dalam persahabatan mereka. Mereka sangat sayangkan sahabat mereka Ammar, namun Allah lebih menyayanginya. Mereka redha dengan menyahut seruan misi dan visi sahabat mereka Ammar untuk turut menyumbang bakti kepada umat. Perjuangan mesti diteruskan!

Sejujurnya aku ingin katakan, bahawa buku ini sedikit sebanyak telah menyimbah mata hati supaya celik untuk melihat betapa umat Islam hari ini perlu bangkit dengan melihat kembali sejarah kegemilangannya. Hanya dengan mengetahui sejarah, kita akan tahu bahawa Islam pernah mencapai tahap kegemilangannya. Bukan setakat tahu sahaja, tetapi harus untuk kita kaji dan ambil tahu tentang bagaimana umat terdahulu berjaya menguasai sepertiga dunia. Bagaimana tamadun Islam begitu gah dan menyebabkan kuasa-kuasa Barat ingin menyaingi kita? Dan, lihat pula pada hari ini...apa sudah jadi? Dimana umat Islam yang kuat dan digeruni musuh? Mengapa umat Islam kini ditindas? Ya, inilah persoalan yang memerlukan jawapan. Saudara Ammar sedar akan hal ini, kerana itulah beliau mempunyai semangat yang tinggi untuk menelusuri sejarah kebangkitan tamadun Uthmaniyyah di Turki dan melihat strategi Sultan Muhammad Al-Fateh dalam menakluki kota Konstatinopel pada usia muda (setahun lebih tua daripada saudara Ammar).

Saudara Ammar juga gigih mempelajari Kitab Risalah An Nur yang dikarang oleh Imam Bediuzzaman Said Nursi. Risalah ini banyak menyentuh tentang keimanan dan jati diri seorang muslim. Ia dapat memberi bimbingan untuk memahami hakikat-hakikat iman tanpa melalui jalan yang panjang dan berliku-liku yakni dengan berpegang teguh kepada sunnah dan ajaran Rasulullah SAW, itu cukup memadai untuk membawa jiwa seorang hamba mendekati Rabb nya -Allah SWT. Ini juga termasuklah dengan mendekati dan memahami Al-Quran kalamullah yang mulia. Oleh kerana itu, saudara Ammar juga tidak meninggalkan amalan membaca Quran malah beliau juga ada dan sedang menghafal beberapa surah di dalam Quranul Karim. Sungguh pun begitu, perkara asas yang membawa kepada keredhaan Allah terhadap saudara kita ini adalah IKHLAS. Ya, beliau ikhlas dalam menuntut ilmu demi untuk membela umat Islam diakhir zaman ini. Namun, perancangan Allah telah mendahului segalanya.

Selain saudara Ammar, di dalam buku CCAA ada seorang lagi insan yang aku kagumi. Beliau adalah Tn Hj Ahmad Azam iaitu ayahanda saudara Ammar. Kenapa beliau? Kerana beliau sanggup mengetepikan duniawi semata-mata ingin melihat umat Islam terbela. Sebelum beliau menceburi bidang dakwah dan melibatkan diri dengan badan-badan islamik NGO. Beliau mempunyai Bachelor Business Administration daripada Indiana State University dan Master Business Administration, Stephen F Austin State University Texas. Kalau dilihat daripada kelulusan dan pencapai beliau, ianya bukanlah calang-calang. Dengan pencapai tersebut, tentu sekali beliau boleh menjadi ahli perniagaan yang berjaya atau menyelusuri bidang-bidang korporat atau jika tidak berada di dunia dakwah beliau mungkin seorang ahli korporat di Malaysia. Namun, seperti yang diketahui, beliau tidak memilih untuk berada dilandasan cita-cita duniawi. Beliau memilih untuk terus bergerak dilandasan yang membawa keuntungan bagi membina kehidupan di negeri abadi yakni akhirat. Ternyata, siapapun kita diatas muka bumi ini hanyalah sebagai hamba kepada Allah. Bekerja untuk Allah untuk mendapat keredhaanNya, inilah yang menjadi pilihan Tn Hj Ahmad Azam dan seterusnya mengalirkan pula semangat dai'e ini kepada anakanda beliau, saudara Ammar juga kepada anak-anak yang lain. Inilah inspirasi buat jiwa, jika diberi pilihan, aku juga ingin berada selandasan dengan beliau. Biidznillah :) (Aamiin Allahumma Aamiin)

Terlalu panjang untuk aku huraikan secara keseluruhan, kerana buku CCAA ini terlalu banyak manfaatnya. Tidak rugi jika kalian ingin membeli dan membacanya kerana ia akan mencuit jiwa yang kian terleka dengan keseronokkan dunia untuk lebih memandang kepada hikmah yang Allah rencanakan buat hamba-hambaNya. Pendapat aku tentang fenomena saudara Ammar ini:- 

"Sesungguhnya aku yakin bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah. Pemergian Ahmad Ammar bukanlah suatu yang kebetulan berlaku tanpa perancangan daripada Yang Maha Merancang. Allah SWT ingin menyedarkan jiwa-jiwa muda khususnya supaya bangun dan bangkit untuk membela agama Allah. Allah SWT ingin melihat umat Islam kembali bersatu supaya daulah Islamiyyah kembali ditegakkan. Maka, saudara kita Ammar adalah asbab kepada menyuntik semangat umat Islam yang kian lemah imannya. Allah SWT ingin kita melihat dan menelusuri kembali sejarah ketamadunan Islam. Hanya dengan sejarah kita akan tahu bagaimana kegigihan umat terdahulu termasuklah umat Islam di zaman Rasulullah SAW. Ternyata selepas pemergian saudara Ammar, ramai daripada anak-anak muda mula menunjukkan minat dengan kajian sejarah Islam. Ada yang mula mencari info-info tentang tamadun Islam dan ada yang mula ingin melakukan perubahan dalam hidup untuk menjadi insan yang mempunyai misi dan misi dakwah. Ibu bapa juga tidak terkecuali daripada percikkan hikmah ini, ramai dikalangan ibu bapa mula tertarik tentang bagaimana Tn Haji Ahmad Azam dan Puan Azlina memberi pendidikan asas buat saudara Ammar sehingga berjaya membentuk keperibadian yang baik."

Begitulah serba sedikit perkongsian daripada pembacaan. Buku CCAA bukanlah buku yang hanya mencoretkan kenangan semata-mata dan bukan pula buku untuk mengagung-agungkan saudara Ammar. Apa yang ingin disampaikan adalah tentang misi & visi serta perjuangan dalam menuntut ilmu oleh seorang hamba Allah yang bernama Ahmad Ammar. Akhir kata, kembalilah melihat sejarah Islam kerana di dalamnya terdapat rangka strategi kejayaan buat agama Allah. Terima kasih Allah kerana hadirkan hambaMu Ahmad Ammar sebagai penyuntik semangat jiwa-jiwa yang alpa dengan keseronokkan dunia. Semoga roh Ahmad Ammar tenang dan damai bersama para solihin serta bertemu bidadari syurga idaman. Al-Fatihah buat saudara Ahmad Ammar.

"Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling, maka itu tidak penting. Jika Dia menerima sedangkan seluruh masyarakat menolak, maka tiada kesannya. Setelah Dia meredhai dan menerimanya, jika Dia kehendaki dan selari dengan hikmahNya, walaupun kalian dalam keadaan tidak meminta, Dia akan menjadikan masyarakat juga menerima dan meredhai. Kerana itu, keredhaan Allah sahaja yang perlu dijadikan sebagai tujuan utama dalam khidmat dakwah ini." - [Catatan terakhir yang dijumpai di dalam beg saudara Ahmad Ammar]


Ingin dapatkan buku CCAA? Klik di sini : The Caliph
Nak tahu tentang Grup Penjejak Tamadun Dunia yang saudara Ammar sertai? Klik di sini : GPTD


Sunday, March 9, 2014

Allah Tidak Memandang Semua Itu....

Assalamu'alaikum wbt & Salam Sejahtera,


Masih ingat tentang kisah seorang pemuda yang diangkat darjatnya oleh Allah SWT ketika kematiannya? Tentu masih segar diingatan kalian tentang pemuda yang bernama Ahmad Ammar bin Ahmad Azam itu, walaupun sudah berbulan berlalu, kisah beliau masih lagi menjadi topik perbincangan dan bualan khususnya di alam maya. Kini, kedua-ibubapanya pula menjadi sumber inspirasi dan aspirasi masyarakat. Selain itu, mereka juga menjadi tempat rujukan umum yang berkaitan dengan penerapan misi-visi dan nilai-nilai islami yang diterapkan di dalam pendidikkan anak-anak. 

Selepas mengetahui bagaimana Hj Ahmad Azam Abdul Rahman dan isteri menyediakan acuan dan bancuhan buat anakanda mereka Ammar, tidak mustahil pasti ada ibu bapa yang mempunyai persepsi negatif begini : "Ahh...mereka orang kaya, berduit..bolehlah hantar anak ke sana dan ke sini. Ada duit bukan setakat Turki, seluruh negara Arab tu pun boleh,"

Manakala bagi persepsi negatif individu pula khususnya anak-anak muda masakini, "Alaa..aku dulu pun pernah berangan nak ke Turki jugak, tapi tak mampu..nak buat macam mana?!" / "Anak orang kaya...bolehlaaaaa.." / "Tengokla siapa ibu ayahnya...No wonder la boleh belajar sana sini," 

STOP!

Adakah dengan menganggap harta, pangkat, dan jawatan seseorang itu adalah jaminan Allah untuk ke syurgaNya? Tidak, saudara & saudari.

Allah SWT tidak memandang akan semua itu melainkan ketaatan dan ketaqwaan. Malah, amat mustahil untuk Allah Yang Maha Adil berlaku tidak adil. Tentu kalian pernah mengetahui kisah seorang hamba Allah yang bernama Uwais al Qarni kan? Uwais itu seorang lelaki lebih dikenali oleh para penghuni langit berbanding di bumi. Malah, pada hari pengkebumiannya, beliau telah dihadiri oleh ramai manusia untuk menguruskan dan memberi penghormatan terakhir. Hal itu telah membuatkan penduduk kampungnya berasa sangat hairan kerana mereka mengenali Uwais yang bukanlah dikalangan orang-orang besar atau kenamaan.

Saudara & saudari,

Adakah Uwais itu anak orang kaya? Adakah Uwais itu dari kalangan orang-orang kenamaan? Adakah Uwais itu pergi belajar dan menimba ilmu ke serata dunia? TIDAK!

Jika semua hal di atas adalah 'tidak'. Maka, siapakah Uwais? dan kenapa darjatnya diangkat oleh Allah sedemikian rupa? Subhanallah....

Uwais adalah seorang pemuda yang tinggal di negeri Yaman. Beliau anak yatim yang kehilangan bapa dan hanya ditemani oleh ibunya yang sudah tua. Ibunya pula sudah uzur dengan penglihatannya yang kabur. Uwais bekerja dengan mengambil upah sebagai pengembala kambing. Walaupun kehidupannya yang serba kekurangan, beliau sentiasa ingin membantu jiran tetangganya yang miskin. Beliau seorang yang taat pada perintah Allah dan rajin beribadat. Selain itu, beliau sangat rindukan pada baginda Rasulullah SAW dan berkeinginan untuk dengan baginda. Pernah suatu hari, dengan keizinan bonda tersayang beliau menuju ke Madinah untuk bertemu dengan orang yang dirindui iaitu rasulullah SAW. Namun, setibanya beliau di rumah rasulullah SAW, beliau dimaklumkan oleh sayyidatina ‘Aisyah R.A bahawa baginda tiada dirumah kerana baginda masih berada di medan perang. Uwais berasa sedih, lalu meminta izin untuk segera pulang ke Yaman pabila mengenangkan pesanan ibunya yang uzur.

Begitulah serba sedikit ringkasan cerita tentang lelaki bernama Uwais ini. Jadi, kalian dapat lihat bukan?  Harta, pangkat dan jawatan itu bukanlah suatu jaminan untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Apa yang penting adalah keikhlasan dalam beribadat, ketaatan dalam mengikut segala perintahNya dan juga ketaqwaan dalam menjalani kehidupan seharian. Kesimpulannya, hiduplah sebagai seorang yang benar-benar muslim. Hadirkan keikhlasan dalam melakukan perkara-perkara baik. Taat kepada setiap perintah Allah terutama mendirikan solat 5 waktu dan didik hati untuk merasakan taqwa yakni berasa takut untuk melakukan kejahatan. Jika perkara-perkara ini menjadi sahabat karib buat rohani, InsyAllah mudah-mudahan mendapat redhaNya dengan tidak mengira siapa pun kalian di mata manusia. Professor ke...hakim mahkamah ke...raja ke...perdana menteri ke..Datuk bandar ke..Polis..doktor...cikgu..pelajar..nelayan..pengutip tin kosong..cleaner..penjaga tandas...dan bla-bla-bla...ITU SEMUA TIDAK PENTING! YANG PENTING IKHLAS DAN ALLAH REDHA!

Sama juga seperti yang telah berlaku kepada Ammar, beliau tidak dikenali manusia sebelumnya tetapi dikenali selepas kematiannya. Allah telah mengangkat darjatnya bukan kerana ayah ibunya adalah orang-orang yang dikenali atau beliau seorang yang kaya tetapi Allah telah melihat kepada apa yang diamalkannya dan keikhlasan dalam setiap kebaikkan yang dilakukan. Sememangnya kita tidak akan pernah tahu tentang apa selainnya yang Allah tahu tentang hambaNya itu. Cuma, apa yang kita lihat dan tahu hanyalah perkara dasarnya atau luarannya sahaja iaitu yang mampu dilihat dengan mata kasar tentang pemuda itu. Hatinya...pemikirannya...jika ianya tidak pernah diluahkan maka itu adalah dalam rahsia Allah kerana Allah sangat mengenali makhluk-makhluk ciptaanNya. Yang pastinya, ianya tentulah sesuatu yang istimewa. Namun, fenomena Ahmad Ammar itu, ternyatalah ada hikmah dari Allah untuk manusia. Carilah...kalian pasti akan tahu. Lihat dengan mata hati, tepuk dada tanyalah iman.


Wallahua'lam.





Wednesday, January 1, 2014

Kanvas Baru Lukisan 2014 (Menyelak Kanvas Lukisan 2013)




Assalamua'alaikum wbt & Salam sejahtera,


Alhamdulillah - Lafaz pertama yang ingin daku ucapkan bagi permulaan entri blog pada awal tahun baru 2014 (secara amnya kerana awal tahun baru bagi umat Islam sudah pun berlalu -yakni kita sedang berada pada tahun 1434 H). Jika dilihat pada tarikh entri blog yang lepas, hampir dua bulan lebih jari jemari tidak menari-nari di sini disebabkan oleh kekangan masa. Ya! Masa! Memang sangat terasa akan kepantasannya. Inilah masa akhir zaman. Walaupun begitu, masa tidak pernah menghalang untuk hamba-hamba Allah SWT di atas muka bumi ini untuk mencipta lukisan kenangan pada kanvas kehidupan masing-masing. Sudah tentu masa itu diberi keizinan oleh Yang Maha Pencipta. Maka.....bersyukurlah atas masa yang diberi dan kenangan yang tercipta. 

Bercerita tentang masa dan kenangan. Aku juga tidak terkecuali darinya. Tentu sekali aku ingin mengumpul dan mengutip serta menyimpan lukisan-lukisan kenangan yang terlakar pada tahun 2013 yakni banyak lukisan-lukisan yang terindah setelah bertahun-tahun aku hanya lakarkan lukisan yang comot. Aku sangat gembira. ^_^

2013 - kanvas kehidupan yang telah terlukis suatu diagram penghijrahan seorang hamba. Yang membawa kepada perubahan 360 darjah. Perubahan itu membawa aku di dalam sekumpulan corak-corak yang indah. Corak-corak itulah juntaian mutiara kurniaan Allah SWT buat hamba-hambaNya yang ingin berubah ke arah yang lebih baik. Ya! Mutiara-mutiara itulah rakan-rakan usrah yang disayangi. Bahkan mereka umpama bauan minyak wangi, harumnya semerbak turut mengenai diri ini yang dulunya hapak dan comot. Huhu...

Bagaimana tentang misi & visi?

Hurm...belum terlaksana sepenuhnya. Hanya satu yang diizinkan Allah iaitu mengikuti kelasa Bahasa Arab. Alhamdulillah, di penghujung tahun dapat juga mendaftarkan diri untuk hadir ke kelas bahasa syurga ni  di salah sebuah IPTA sekitar Kuala Lumpur.  ^_^

Apa perkara yang tidak dijangka tetapi ditakdirkanNya untuk berlaku?

Suka untuk menjawab soalan ni :) Perkara yang tidak dijangka tetapi ditakdirkanNya untuk berlaku adalah pemakaian purdah/niqab. Memang sebelum tahun 2013 lagi sudah ada impian untuk memakainya tetapi tidaklah menganggapnya sebagai misi dan visi. Namun, perancangan Allah mendahului segalannya. Maka, dengan restu bonda dan sokongan rakan-rakan samada secara langsung atau tak langsung, pada tarikh 26.Jun.2013 bermulalah kehidupan baru ku sebagai seorang niqabis/muslimah berpurdah yang membawa cita-cita sebagai seorang hambaNya. Walaupun begitu pada awalnya, diri ini hampir mengalah dan hampir rebah ketika tiba dipertengahan. Namun, kekuatan iman yang berbaki masih mahu memegang kemas nawaitu yang telah terbina. Sehinggalah pada saat entri ni sedang ditulis, aku masih lagi sedang mencari kekuatan untuk terus istiqamah. InsyaAllah...

Harapan :

Tiada apa yang diubah tetapi ada beberapa penambahan untuk misi & visi. Harapannya masih sama. Berharap agar dapat melaksanakan misi & visi lebih 50%. Biidznillah~ Dan, berharap akan lebih serius kerana umur semakin meningkat, masa pula semakin cepat dan amal ibadat belum pun meningkat. Hurmm~  Semoga dikurniakan kekuatan untuk berusaha dan diberikan kesihatan yang baik. Aamiin.


2013 - aku pasti akan merindui mu. Sama seperti tahun-tahun yang berlalu.....

P.s: Kenangan paling terindah, pabila Allah SWT hadirkan seorang sahabat yang sudi untuk turut sama-sama melukis di kanvas kehidupan hambaNya ini. Asykuruka ya rabb!  :)


Wednesday, September 25, 2013

Ya, ada hikmah disebaliknya.....

Sebarkan Bahagia <3


Assalamua'alaikum wbt & Salam sejahtera,

14.September.2013|Sabtu (8 Zulkaedah 1434H)

Rasa berbaloi, walaupun terlepas bas untuk tiket yang pertama dan terpaksalah beli tiket yang kedua rupa-rupanya ada suatu hikmah yang Allah rencanakan buat hamba-hambaNya.

Ditakdirkan diri ini bertemu dengan seorang gadis yang umurnya sebaya degan saya ketika saya menaiki bas trip yang kedua pada jam 8.30 malam. Wajahnya persis gadis Filipina, boleh saya katakan dia seorang gadis yang memiliki wajah yang cantik.

"Er..boleh saya duduk?  Ada orang kat sebelah tak?" Tanyanya dengan lembut dan sopan.

Saya geleng dan kemudian mengangguk sambil tersenyum disebalik tabir wajah. Mendengarkan jawapan itu, gadis yang memakai t-shirt nipis dan freehair itu segera melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah yang masih kosong. Kelihatan dia bersusah payah dengan beg-beg yang dibawanya dan terdengar dia mengeluh seorang diri kerana beg tangannya ditumpahi air jagung Nelson. Saya kasihan melihat kesusahan dia lalu menghulurkan beberapa helai tisu. Dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih berkali-kali sambil mengeluarkan barang-barangnya yang basah dan melekit dek air jagung yang tumpah. Dia minta tolong saya pegangkan barang-barangnya sementara dia mengelap beg tangannya. Sesambil itu dia memulakan perbualan dengan menceritakan perjalanan hidupnya pada hari itu. Ternyata, banyak ujian kesabaran buatnya. Alhamdulillah, dia seroang yang penyabar.

Setelah selesai kerja-kerja mengemaskan begnya. Masing-masing terdiam seketika. Selang beberapa minit, dia menyapa saya dengan sopan. "Err..minta maaf, saya nak tanya awak..minta  maaf ye soalan ni mungkin agak privasi."

Wahh sopannya dia. Hati saya berbisik. Saya mengangguk. "Boleh...tanyalah."

"Dah lama ke awak pakai macam ni?" soalnya.

Mendengarkan soalan yang tersenarai di dalam ramalan saya itu. Saya mengukir senyum disebalik tabir yang menutupi wajah. Saya yakin dia dapat melihat reaksi itu melalui pergerakkan mata saya. Dengan soalan yang pertama itu, maka bermulalah sebuah perbualan lanjutan yang melibatkan perkongsian pendapat, soal jawab dan perbincangan. Saya tertarik dengan analoginya, "Awak setuju tak bila saya cakap pakaian-pakaian yang menutup aurat..contohnya macam jubah-jubah dan tudung-tudung semuanya mahal harganya..kalau baju-baju yang singkat-singkat tu senang je nak dapat yang murah-murah...ada yang boleh beli borong..Hurm, betullah yang orang-orang yang menutup aurat tu memang mahal harganya...hmm..~" katanya sambil tersenyum dengan penuh rasa kagum. Saya dapat lihat dari wajahnya, ada sebuah harapan buat dirinya. 

Perbualan diteruskan dengan pelbagai isu tentang agama - iaitu tentang pemakaian, tentang kiamat, tentang takdir, tentang jodoh pun ada. Dia ada menceritakan pengalamannya yang pernah putus tunang dan dia berharap akan mendapat seorang suami yang dapat membimbing dia ke jalan Allah bukan yang akan merosakkan dia. Aamiin...saya hanya berdoa di dalam hati. 

Yang paling menarik, dia sudi berkongsi cerita tentang pengalamannya bertemu dengan seorang lelaki keturunan cina yang tidak menganut apa-apa agama atau lebih dikenali sebagai golongan Atheis. Mereka ini tidak percayakan akan kewujudan Tuhan dan lebih percayakan Sains. Lelaki Atheis itu memberitahu bahawa dia terpaksa mengaku bahawa dia beragama Buddha di dalam surat pendaftaran beragama hanya semata-mata ingin melengkapkan pendaftaran tersebut. Lelaki itu sememangnya tidak percayakan mana-mana agama. Dia berpendapat, jika adanya Tuhan..bagaimana pula dengan kejadian Tuhan itu? Siapa yang mencipta Tuhan? Si gadis yang bersamanya ketika itu cuba menanyakan pendapat tentang agama Islam. Lelaki itu memberi jawapan yang sama. Dia tidak percaya. Kemudian gadis itu bercerita serba sedikit tentang kewujudan Allah dan meminta pendapatnya tentang kejadian tsunami yang melanda Aceh yang mana pada ketika itu kesemua bangunan hancur ranap kecuali masjid. Lelaki yang bertuhankan Sains ini memberi jawapannya didalam teori saintifik. Katanya kedudukan binaan bangunan itu dipengaruhi oleh daya graviti bumi disebabkan kedudukannya berada di latitud sekian..sekian...kemudian berada di koordinat sekian..sekian..dan bermacam-macamlah teori si Atheis. Kemudian, si gadis itu berbalik kepada saya, dia pula menyoal tentang persoalan lelaki tadi - 'Jika ada Tuhan, siapa pula yang mencipta Tuhan?' Dia bukan was-was cuma pada ketika peristiwa yang dilaluinya bersama lelaki Atheis, dia tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepada lelaki itu. Dia bertanyakan pula kepada saya. Jawab saya ringkas, "Bagaimana adanya yang lain menciptakan Tuhan? Sedangkan itulah Tuhan Yang Satu, Maha Memiliki seluruh alam dan apa saja yang ada kat atas dunia," Mendengarkan jawapan itu, si gadis tersenyum sambil terangguk-angguk seolah-olah berpuas hati. 

Perbualan seterusnya, dia bercerita tentang seorang rakan sekerjanya seorang lelaki berketurunan India yang baru memeluk Islam. Lelaki itu berkongsi pengalamannya ketika dia hadir di pejabat agama untuk melafazkan lafaz syahadah. Ketika itu dia sempat menyuarakan persoalan yang terbuku di hati kepada seorang ustaz di situ mengenai 'Di manakah Allah? Jika Allah itu ada, mana buktinya?' Ustaz itu menerangkan analogi yang kian popular di dalam soal jawab dakwah iaitu analogi angin. Jawapan itu memuaskan hati lelaki India muslim tadi dan lebih mengukuhkan keyakinannya sehingga dia melafazkan lafaz syahadah. Alhamdulillah. 

Dua jam berlalu, mata saya kian mengantuk tetapi saya merelakan hati untuk terus melayan perbualannya. Saya yakin ada hikmah disebalik pertemuan dengannya dan saya tidak mahu melepaskan peluang dengan mensia-siakan usaha untuk saya memberi sesuatu bermanfaat kepadanya walaupun ilmu saya tidaklah seluas mana. Huhuhu... Dia terus bercerita dan berkongsi pendapat. Kadang-kadang dia bertanya jika ada perkara yang kurang difahami dan kadang-kadang dia meluahkan perasaan bahawa dia berasa malu untuk bercakap perihal agama memandangkan perwatakkannya seperti itu. Dia juga ada menyuarakan hasrat untuk bertudung dan merasa tertarik dengan muslimah yang memakai purdah. Dia kagumi dengan muslimah yang bertudung labuh, 'sejuk mata memandang' katanya sambil tersenyum lebar. Yang paling saya terharu, pabila dia berkata sambil menepuk lembut peha saya. "Saya berharap suatu hari nanti bila saya terjumpa dengan awak lagi, saya dah tak macam ni". Hati wanita saya tersentuh. Saya mengangguk kemudian memandangnya, "InsyaAllah, saya akan doakan awak." 

Walaupun dia begitu, apa yang mengkagumkan saya. Di setiap perbuatannya, pasti tidak lekang dibibir dengan sebutan zikir-zikir memuji Allah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, Lailahaillah...Astagfirullah...Dan, saya yakin dia mempunyai ciri-ciri seorang da'i memandangkan dia mempunyai kemahiran komunikasi yang bagus. Dia juga kelihatan bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu agama. Cuma perlu digilap sedikit dan perlukan bimbingan. Saya yakin, dia akan berubah dan boleh menjadi muslimah yang solehah. Siapa tahu, dengan kehendak Allah dan hidayahNya, si gadis akan menjadi salah seorang da'i dan menjadi muslimah yang taat kepada TuhanNya. Malah, mungkin lebih baik daripada saya yang tidaklah seberapa baik ni. Huhu..aamiin.

Jam hampir menunjukkan jam 12.00 am. Kerancakkan perbualan kami semakin perlahan sehinggakan dia terlena. Saya membiarkan dia terus diulit lenanya sambil berdoa untuknya. Selepas setengah jam, kami tiba ke destinasi. Dalam keadaan mengantuk yang amat dan keletihan, dia bangun dari tempat duduk dan segera turun daripada bas. Saya mulai sedar bahawa saya belum pun sempat bertanyakan namanya dan maklumat untuk menghubunginya maka saya hanya terkulat-kulat membiarkannya terus berlalu. Tak apalah..mudah-mudahan bertemu lagi dengannya...InsyaAllah...Pujuk hati seraya segera turun daripada bas dengan menyulam harapan buat si gadis.

Semoga apa yang saya sampaikan kepada dia dapat memberi manfaat untuknya dan semoga dia diberikan kekuatan serta diberi hidayah oleh Allah.  Aamin ya mujib~

Jangan menganalisis manusia daripada luarannya. Tetapi cuba selami dulu hati dan sikapnya. Mungkin padanya ada manfaat dan hikmah buat kita. Sesungguhnya tiadalah Allah menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Bak kata seorang sahabat, "Kejadian lalat tu pun ada hikmahnya..."
Antara ibrah (pelajaran) yang dapat dikutip melalui pengalaman ini:

  • Jangan ciptakan jurang dengan mereka yang belum menutup aurat sempurna (sedangkan kita yang dikatakan menutup aurat ini pun belum tentu mendapat nilaian yang baik disisi Allah) Cuba ciptakan suasana yang memudahkan mereka mendekati kita dan selesa untuk berbual. Kerana kita tidak tahu apakah hasrat hati yang terpendam disebalik dia berperwatakkan begitu. Daripada pengalaman, saya seringkali mendapat luahan bahawa muslimah-muslimah yang bertudung labuh dan berpurdah sukar untuk didekati oleh mereka-mereka yang berperwatakkan biasa-biasa. Disebabkan hal ini, mereka-mereka yang mempunyai niat suci murni dan hasrat untuk berhijrah mula berasa terpinggir dan berasa tidak layak. Maaf jika ada yang berkecil hati, saya sekadar mewakilkan diri untuk menyampaikan hasrat-hasrat mereka yang pernah meluahkan kepada saya. Dan, saya juga pernah berada disituasi mereka. Semoga kita sama-sama saling meraikan, saling memahami dan apa yang penting perlu saling bantu-membantu ke arah kebaikkan. Syurga bukan untuk kita seorang. Dan ingatlah, tidak mendapat cium bau syurga kepada orang-orang yang sombong.   :)

  • Dan, perkara yang kedua. Sebagai seorang yang bergelar muslim perlu adanya pengetahuan dalam agama walaupun hanya sekadar asas. Bukan itu saja, malah perlu pelajari teknik-teknik untuk memberi jawapan yang berhikmah dan beranalogi. Ini supaya, pabila kita diterjah oleh soalan-soalan daripada non-muslim, kita sudah punyai jawapan bagi menerangkan agama yang indah ini. Untung-untung, jawapan kita yang berhikmah itu dapat membuka pintu hati dan fikiran mereka serta menjadi asbab kepada hidayah Allah. Mudah-mudahan, InsyaAllah. Tidak perlu merendahkan diri untuk berdakwah, selagi bergelar muslim, menyebarkan dan memelihara agama Allah adalah tanggungjawab yang paling utama! (Nasihat ini lebih ditujukan kepada diri si penulis ini. Huhuhu....)

  • Setiap perkara dan setiap pertemuan kita dengan manusia pasti ada manfaat dan hikmahnya. Maka, hargailah dan raihlah manfaat tersebut dengan sebaik-baiknya. 

Sekian saja perkongsian pengalaman saya. Semoga bermanfaat dan ambillah pelajaran darinya. Dan, saya mohon kemaafan jika ada terdapat khilaf/kekurangan disebalik kata-kata. 


Saturday, August 3, 2013

Antara cita dan cintaNya



Assalamu’alaikum wbt & Salam sejahtera,

Antara dua pilihan…Antara cita dan cintaNya. Aku memilih….

Pada 26.Jun.2013 bersamaan dengan 17 Syaaban, 1434 Hijrah aku telah membuat suatu keputusan yang mana telah mengubah hala tuju hidup 3600  secara keseluruhannya. Bukan mudah untuk membuat keputusan ni. Ia mengambil masa hampir sebulan lebih untuk aku membuat penilaian, penafsiran, menanyakan pendapat dari rakan-rakan, meminta fatwa dari hati dan petunjuk dari Ilahi dengan Ishtikarah.

Dan pada ketika itu pula, syaitan rancak meniup api hasutan dan mempengaruhi hati dengan memutar belitkan maksud yang tersirat. Memang amat memerlukan iman yang kental. Puas juga aku bermujahadah, cuba melawan segala rasa. Tapi, Alhamdulillah…Allah memudahkan segalanya. Walaupun petunjuk tidak hadir melalui mimpi Ishtikarah, tapi ia hadir dengan rasa kecenderungan di hati. Hati berat ke arah pilihan B dan ia mula menjauhi dari pilihan A. A adalah pilihan berasakan dunia semata manakala B ia lebih fokus pada akhirat. Aku juga bimbang, jika aku memilih pilihan A ia akan menjauhkan aku dari jalan kebenaran dan melalaikan aku dari mengingati Allah. Ia akan memisahkan aku dengan sahabat-sahabat seperjuangan dan ia akan memisahkan aku daripada menghadiri majlis-majlis ilmu. Apa yang akan dilakukan nanti hanyalah ilmu dan pekerjaan dunia semata-mata. Tidak dinafikan juga, bahawa pilihan A itu adalah suatu cita-cita yang pernah aku memohon bersungguh-sungguh kepada Allah untuk memilikinya, dan ia hadir disaat aku mula memasang niat untuk melupakanya kerana bahagia dengan jalan yang telah Allah berikan. Iaitu jalan-jalan yang mendekatkan jasad dan rohani ini kepadaNya dengan menghadiri majlis-majls ilmu, suasana hidup yang islami dan sahabat-sahabat yang sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikkan.

Namun, aku yakin bahawa itu adalah ujian daripada Allah. Mungkin Dia mahu melihat dan menguji adakah benar aku ingin berjuang didalam agamaNya? Atau sekadar ungkapan biasa di bibir? Nah, inilah ujiannya. Pilhan untuk dunia vs pilihan untuk akhirat. Alhamdulillah…akhirnya aku diberi petunjuk walaupun tidak dinafikan fitrah sebagai seorang manusia, aku merasa sedih dengan cita-cita yang mana menjadi impian sejak kecil lagi. Kini, aku perlu menutup segala kenangan tentang itu serapat-rapatnya dan menyimpannya rapi sebagai kenangan terindah. Aku lepaskan mu wahai cita-cita ku kerana Allah semata-mata….Kini, baru aku mengerti bawaha Allah memandu hati hamba-hambaNya yang ingin berjuang dijalanNya.

Oleh kerana pilihan ini, aku juga telah bertekad untuk merasmikan pilihan ini dengan merealisasikan impian untuk berniqab/berpurdah. Sehari sebelum tarikh bersejarah itu, sempat aku menelefon ibunda yang tercinta untuk memohon restu. Alhamdulillah, beliau sangat supportive dan merestuinya. Mendengarkan itu, berbunga rasa hati dan kembali bersemangat. Kerana, setiap perkara yang ingin dilakukan selain daripada keizinan dan restu daripada Allah, restu daripada seorang ibu juga amatlah diperlukan. Syukur-syukur!

Maka, pada tarikh 26.Jun.2013, bermulalah kehidupan baru ku sebagai seorang niqabis/ muslimah berpurdah yang membawa cita-cita sebagai seorang hambaNya. Tiada lagi cita-cita khusus. Hanya yang ada iatu cita-cita sebagai seorang hambaNya yang akan membantu dalam urusan agama. Sebenarnya dalam erti kata lain, ingin menjadi seorang dai’ (pendakwah) tetapi memandangkan ilmu didada tidaklah sehebat mana cukuplah aku hanya mengatakan ingin menjadi hambaNya. Nampak seperti tiada apa-apa, tetapi pabila disebut sebagai ‘hambaNya’ ia membawa suatu tanggungjawab yang besar di atas muka bumi ini. Setiap manusia yang dicipta adalah bertanggungjwab diantara satu sama lain, baik sesama manusia, haiwan dan alam. Kesemuanya saling berkait. Tiada yang diciptakan berseorangan. Ini kerana hanya Dialah yang Maha Tunggal. Tidak berpasangan dan tiada yang kedua mahupun ketiga. Manusia sebagai hambaNya, ada amanah dan tanggungjawab masing-masing dan tanggungjawab yang paling besar adalah dalam mempertahankan agamaNya sehingga dihujung nyawa dan sehingga berakhirnya alam dunia. Ya, inilah yang ingin aku laksanakan. Ia tidak bermaksud ingin mengetepikan dunia, tetapi setiap perkerjaan itu ingin aku laksanakan sebagai sumbangan terhadap agama Islam.  Biarpun usaha itu nampak mustahil bagi hamba yang serba kekuarangan ini, semoga ia dipandang oleh Allah dan mendapat keredhaanNya. InsyaAllah semoga dipermudahkan. Kerana aku yakin, kekuatan dalaman ku hanya ada pada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Kuat. Manakala, keluarga serta sahabat-sahabat perjuangan adalah kekuatan luaran. Kedua-duanya saling memerlukan. Namun, kekuatan dalaman itulah yang paling utama. Tanpa kekuatan luaran masih tidak mengapa tetapi jika hanya dengan kekuatan luaran tanpa kekuatan dalaman (iaitu beriman kepada Allah) ia tidak bererti apa-apa. Its nothing!

Ya, itulah kisahnya di saat hati diuji untuk memilih antara Cita dan CintaNya. Maka, aku memilih….CintaNya ~


Saturday, June 8, 2013

Aku & Buku : Bersyukur Saat Di Uji

Assalamua'alaikum wbt & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah..Diri ini cuba untuk melawan segala perasaan negatif (malas, give-up, mengantuk, penat dan sebagainya...) untuk mengerahkan jari jemari berentak di papan keyboard. Sudah lama rasanya untuk aku berkongsi sedikit kupasan ilmu daripada buku yang bertajuk 'Bersyukur Saat Di Uji'. Buku ini ditulis oleh seorang hamba Allah yang penuh dengan sifat tawadhuknya, iaitu Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Aku memperolehi buku ini bukanlah sengaja ingin membeli, tetapi telah diberi pinjam oleh seorang teman di ofis. Katanya buku ni, "Best! Menyentuh dan menyentap jiwa yang sekian lama leka dengan dunia." Pabila di menawarkan buku tersebut untuk dipinjam, aku terus mengangguk tanda bersetuju. 

Keesokkan harinya, sebaik tiba di ofis aku tersnyum melihat sebuah buku itu sudah tersedia di atas meja.


Apa yang nak aku kongsikan kat ruangan ini adalah tentang sedikit kupasan yang dapat diambil daripada buku yang bertajuk 'Bersyukur Saat Di Uji' yang ditulis oleh Prof Muhd Kamil Ibrahim yang mana sangat jujur dan ikhlas dalam penulisannya. Bait-bait huruf yang ditaip di lembaran buku tersebut umpama sebuah bicara yang menerpa halwa telinga dan menyentuh hati si pembaca. Buku ini banyak memberi fokus pada hikmah disebalik kejadian atau perkara yang dialami oleh penulis sendiri yang mana beliau ikhlas dalam berkongsi pengalaman dan menghuraikan hikmah disebaliknya. Bab yang pertama, beliau menceritakan tentang pengalaman rumah kediamannya ditimpa musibah iaitu banjir besar. Bagaimana perasaan beliau dan keluarga dan bagaimana beliau menerima musibah tersebut dengan berlapang dada. Bukan itu saja, ketika musibah itu berlaku beliau diuji juga dengan kakak dan ayahnya yang sedang sakit. Subhanallah, tabahnya beliau dan keluarga. 

Itu hanya dipermulaan bab. Untuk bab-bab seterusnya, beliau terus fokus tentang ujian-ujian yang telah dilaluinya dengan susah payah dan dengan penuh ketabahan. Tujuan beliau berkongsi kisah-kisah tersebut bukan niat untuk riak atau berbangga kerana berjaya melalui kesemuannya tetapi apa yang ingin disingkapkan adalah hikmah dan pelajaran daripadanya. Tak mustahil, apa yang dialami beliau akan dialami juga oleh kita, cuma yang berbezanya adalah masa, tempat dan watak-watak yang terlibat. Pengajaran yang perlu diambil adalah bagaimana untuk bersabar, untuk mendidik hati menjadi lebih tabah, menjadi orang yang bersyukur dan menghargai nikmat kehidupan yang Allah SWT berikan.

Antara bab yang aku suka adalah bab 'Sabar dan Solat'. Di dalamnya beliau ada menulis :


Allahu Akhbar. Mengadulah kepada Allah. Bangunlah solat malam. Bermunajatlah kepada-Nya dengan penuh pengharapan betapa Dia Yang Maha Berkuasa untuk menyelesaikan kusut-masai. Menangislah kepada-Nya. Merayu dan merintihlah, biar kita terasa yang jiwa dan perasaan kita tersangat hampir dengan-Nya. Luahkanlah rasa hati kepada Allah Yang Maha Mendengar. InsyaAllah, Dia tidak akan membuka aib kita sehingga kisah kita menjadi bualan  sepejabat yang tidak membawa faedah. Bukankah Allah telah berfirman melalui satu hadis qudsi: 
Allah SWT turun ke langit dunia, ketika sepertiga malam masih tersisa, Allah menyeru: "Adakah antara hamba Ku yang berdoa kepada Ku, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba Ku yang meminta ampun kepada Ku, supaya aku mengampuninya? Adakah antara hamba Ku yang meminta kepada Ku, supaya aku memenuhinya?" [Hadis Riwayat Bukhari & Muslim]

Bab 28 : 'Mampukah Kita?'


Kedua saya mengajak para jemaah haji yang bersama saya untuk sama-sama melaksanakan solat malam. Saya fikir, bilangan manusia yang mahu melaksana dan sanggup bangun pada sepertiga malam tersisa sangat sedikit. Nisbah orang yang hendak dan berjaya melakukannya bukan terletak kepada pangkat dan darjat, kelulusan Universiti Al-Azhar atau UiTM, ustaz atau guru biasa, profesor atau pensyarah biasa ataupun Perdana Menteri atau raja. Dan pastinya mereka yang mahu melaksanakan amalan ini boleh dikelaskan sebagai golongan terpuji. 
 Saya terbaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud:

"Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajjud (tinggalkan tidur untuk solat) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji." [Surah Al-Isra' ayat:79]

Bab 29 : 'Kusyuk'

Bab ini aku paling suka sebabnya beliau mengulas tentang isu kusyuk dalam ibadah. Hal kusyuk inilah antara perkara yang paling aku lemah. Dan, daripada penulisan beliau ini aku berjaya mendapat sedikit kekuatan. Antara patah perkataan yang menyapa jiwa; 
Jika kita menghayati ada kehidupan lain selepas kematian serta berharap dan berhajat mendapat pembalasan yang terbaik pada kehidupan yang hakiki, insyaAllah datanglah kusyuk dalam solat ataupun amal ibadat lain.

 Bab 30 adalah bab yang terakhir tajuknya 'Tunggulah'. Bab ini pun menarik juga. Beliau mengingatkan para pembaca tentang hari pembalasan. Ada perenggan menarik untuk dikongsi.
Tunggulah...kita semua sedang menunggu. Apakah keputusan ujian kehidupan yang telah kita lalui? Bagi mereka yang tidak mengetahui yang mereka sedang diuji, ia tidak membawa sebarang erti yang signifikan.Buat mereka yang tidak mempercayai atau berpura-pura tidak mengetahui yang adanya kehidupan selepas kematian, mereka tidak akan menunggu hari tersebut. Jika ada yang menyangka mereka belum diuji, mungkin ujian tersebut berlalu tanpa mereka sedari. Tunggulah...Tunggulah....Tunggulah. Hari itu pasti tiba. 
MasyaAllah, boleh aku simpulkan disini, penulisan daripada buku bersaiz sederhana ini mampu membuka mata hati dalam melihat kehidupan dari pelbagai perspektif. Mengetuk jiwa-jiwa yang terpesona dengan keindahan dunia sementara dan mengingatkan diri tentang siapa kita dihadapan sang Pencipta.  Seriously, tak rugi jika kalian ingin membaca buku ini. Nampak bersahaja seperti buku cerita biasa, tetapi hikmah dan manfaat daripadanya amatlah luar biasa. Kata prof, itulah ilham dari Pencipta kepada hamba-hambaNya. Lalu aku teringat akan sepotong ayat al-Quran yang mana Allah SWT berfirman:
"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." [Surah Yunus, ayat: 107]
Sekian sajalah perkongsian kali ini, semoga mendapat manfaat daripadanya. Yang baik semuanya datang daripada Allah dan yang buruk daripada hamba sendiri...Ingatlah bahawa, baik kesedihan atau kegembiraan kedua-duanya adalah ujian, selagi mana ada kehidupan manusia memang tidak akan lepas daripada ujian. Bersiap sedialah dengan iman yang teguh dihati, kelak diberi ujian tidak mudah melatah dan masih mampu mengukir senyuman yang indah.  :)
"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa(seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
[Surah At-Taghabun, ayat: 11]